ASTAGHFIRULLAHALAZIM, lima minit lagi nak pukul 9.00 pagi, gerutu Maya di dalam hati. Kereta kancil merah yang dipinjamkan oleh abangnya itu dipandunya seperti Michael Schumacher. Kalau ada yang mengikut di belakang dia sudah tentu ada yang menyumpah seranah pemandu di depan.
Memandu macam pelumba haram peringkat kebangsaan gayanya. Maya melihat kiri dan kanan sebelum masuk ke dalam tempat letak kereta, manalah tahu takut terlanggar kereta hamba Allah yang tidak bersalah nanti dah kes aniaya pulak kan? Perlahan-lahan Maya mengundur ke belakang dan seingatnya dia line clear di belakang.
TANG! Alamak, kereta siapa pulak yang terlanggar tu? Maya menyumpah di dalam hati. Hai, mampuslah dia kena bayar ganti rugi macam ni. Dia mengerling ke arah cermin sisi. Gagap sekejap rasanya apabila terpandang kelibat kereta mewah Mercedes pacuan empat roda bewarna silver metalik yang tersergam indah di belakang. Selamat tinggallah kepada duit saku bulan ini. Siapa yang suruh gatal sangat bawak kereta tak berhati-hati? Gerutu Maya di dalam hati. Hendak keluar ke tak nak? Naluri Maya mula berkata-kata.
“Cik, boleh tak turun dari kereta awak ni dulu?”
Maya tersentak dari lamunannya. Eh, siapa pulak yang pandai-pandai suruh dia turun kereta pulak ni?
Suara rendah irama itu kedengaran agak tegas tiba-tiba, “Cik kita perlu berbincang!”
Maya cuba untuk bertenang. Harap-harap lelaki ini janganlah orang yang berniat jahat. Dia memang sudah tidak ada masa nak melayan karenah mana-mana lelaki sekarang ini. Lagi beberapa minit sebelum jarum jam menginjak ke pukul 9.00 jadi harap maaflah cik abang, gerutu Maya dalam hati.
“Encik, saya ni dah terlalu lewat ke temuduga ni,” tegas Maya yang hampir hilang sabar.
Lelaki itu menjawab dengan tenang, “Saya tahu tapi cik tak boleh buat remeh saja perkara ini. Kereta saya dah kemek jadi siapa yang mahu bertanggungjawab sekarang?”
Maya menjeling lelaki itu lalu tergamam seketika. Sungguh indah sekali ciptaanMu Ya Allah. Dia mengamati lelaki yang bertubuh tinggi lampai lagi sasa itu. Tubuh lelaki itu kelihatan sungguh tegap seolah-olah dia kerap menghabiskan masa di dalam gymnasium. Dia menarik muka ke atas lalu terpandang wajah yang paling tampan yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Bagaimana boleh wujud insan yang sekacak ini? Bisiknya di dalam hati.
Tulang pipinya itu begitu menyerlah dan kulitnya pulak, alahai putih bersihnya macam orang Korea. Matanya yang berwarna kebiruan bagai air laut itu mengingatkan Maya kepada hero-hero dari Korea.
Bibirnya yang merah itu membuatkan Maya membuat andaian yang jejaka kacak ini tidak pernah merokok sekalipun seumur hidupnya. “Baiklah apa yang encik mahu dari saya?”
Lelaki kacak itu membetulkan blazer suit Armani hitam yang dipakainya sambil melonggarkan tali-lehernya. Maka terlihatlah halkum cik abang yang seksi tu. Dugaan, dugaan! Lelaki itu kemudiannya memuncungkan bibirnya itu. Alahai, comelnya pulak. Kacamatanya pula ditanggalkan untuk meneliti wanita dihadapannya itu. Maya terkedu memandang renungan tajam lelaki itu lalu menundukkan muka.
Nampaknya cik abang ni benar-benar serius. Macam mana ni? Walaupun muka bengis tapi kekacakannya tetap kekal begitu. Melopong seketika Maya mendengar lelaki itu membebel.
“Saya tak suka bertelagah dengan perempuan dalam bab undang-undang ni.”
Maya hanya ternganga, “Saya tahu jadi awak nak saya buat apa sekarang?”
Lelaki itu menghela nafas sebelum mengurut hidungnya yang mancung itu. Sekali lagi Maya terlopong apabila terlihat lengan lelaki itu yang kekar berurat. “Beginilah, saya tak mahu panjang cerita. Bagi saya tak baik kalau saya minta pampasan dari awak. Tapi pesan saya bawa kereta tu tolonglah berwaspada. Takut ada nyawa lain yang terlibat. Assalamualaikum.” Lelaki tadi mengundur diri dengan begitu bergaya sekali. Sedikit pun lelaki tadi tidak menoleh malah dia berundur dan menuju ke kawasan letak kereta yang lebih jauh. Terbit pula rasa bersalah dalam hati. Dia terpandang ke arah jam yang tergantung di hadapannya. Alamak! Dah lewat giler!
Bergegas Maya menaiki lif yang baru terbuka itu lalu tiba di lobi syarikat Interscope. Gusar sungguh hatinya. Yang paling dirisaukan adalah dileteri oleh abangnya sendiri. Maklumlah dia yang beria-ria merekomenkan kerja ini kepadanya dan berusaha keras memujuk bosnya untuk menerima adiknya sendiri bekerja di situ. Sedang Maya sibuk berfikir, pintu lif terbuka dan kelihatan lobi syarikat tersebut yang sungguh luas. Saujana mata memandang, bak kata pepatah. Cewaaaah!
Priittttttt..................
Wanita berambut hitam ikal mayang di kaunter itu berpaling lalu tersenyum. “Ya, cik boleh saya bantu?”
Maya melemparkan senyum paksa kepada wanita itu sambil menghulurkan fail peribadinya, “Temuduga jawatan Perancang Bandar tu di mana?” Matanya meliar memandang sekeliling, “Semua ni datang temuduga juga ke?”
“Cik janganlah risau. Kalau kelulusan cik menepati kriteria yang bos kami cari, mesti cik akan diterima.”
Eh, pandai pulak perempuan ni mengipas punggung aku! Mana dia tahu aku ada pengalaman ke tidak? Main serkap jarang saja ni. Maya melihat ada beberapa orang wanita sedang menanti giliran untuk ditemuduga. Masing-masing sedang sibuk menyiapkan soalan ujian yang dikemukakan oleh pihak pengurusan. Maya meneliti soalan di dalam kertas tersebut. Berkerut dahi nak menyelesaikan satu-satu! Kenapalah bagi dekat dia soalan-soalan pengetahuan am macam ni? Bukanlah dia ni jenis yang rajin membaca. Alahai.....nasib!
Share this novel