“APA yang Maya cakap? Reza beritahu segala-galanya pada Maya?”
Izham melopong mendengar setiap kata yang diucapkan oleh adiknya. Macam tak percaya.
Maya mengangguk lesu, “Betul bang, En. Reza dah mengakui segalanya.”
Izham mengeluh panjang sambil menggeleng kepala, “Apa maksud Reza buat semua ini abang pun tak faham. Kenapa dia beria-ria nak bagi tahu Maya pasal dirinya? Betul ke kamu berdua tiada hubungan lebih dari bos dan pekerja?”
Maya menjeling abangnya tajam, “Abang jangan merepek boleh tak?”
Izham terdiam. Kadangkala dia sering terlepas cakap. Dewasa ini dia melihat hubungan Maya dengan En. Reza amat rapat sehingga menyebabkan dia mengesyaki sesuatu. Adakah dia boleh mempercayai Reza sebagai sahabatnya? Reza bukanlah lelaki yang jahat namun kisah silamnya itu amat menganggu Izham. Bagaimana kalau Reza hilang kawalan lalu menodai Maya? Dia tidak sanggup memikirkan kemungkinan itu.
Dengan langkah yang lonlai, Maya gagahkan jua dirinya untuk menaiki anak tangga menuju ke biliknya sambil hatinya berat memikirkan apa yang berlaku siang tadi. Sepanjang hari ini fikirannya menerawang entah ke mana. Dia langsung tidak dapat fokus pada pekerjaan hari ini. Segalanya seakan tiada makna buatnya. Dia terbayang bagaimana Reza beraksi dengan wanita lain di dalam biliknya itu. Tak tahan rasanya bila mengenangkan tubuh sasa Reza dinikmati oleh wanita lain. Entah mengapa dan dari mana wujudnya rasa cemburu itu memikirkan wanita lain menyentuh dan memeluk tubuh tegap Reza itu dan berada dalam pelukan lelaki itu. Geram pula bila dia membayangkan bagaimana Reza terkulai lesu setelah menikmati tubuh wanita lain. Cukup! Maya menepuk pipinya berkali-kali.
Kenapa timbul perasaan cemburu ini? Maya kerap kali cuba mencari di mana mulanya timbul perasaan yang tidak enak ini. Adakah dia menyimpan perasaan terhadap bosnya itu? Hubungan mereka sebelum ini pun tidak lebih dari bos dan pekerja. Jadi kenapa dia harus cemburu dengan masa silam Reza? Maya mengambil bantal lalu menekup mukanya sehingga terlelap.
Puan Rahimah puas mencari kelibat anaknya. Sudah puas terpekik terlolong memanggil Maya budak seorang ni namun tak juga menyahut. Melangkah menaiki anak tangga ke bilik anak gadis itu, alangkah terkejutnya si ibu apabila mendapati anak gadisnya tidur hingga terlepas waktu Maghrib. Puan Rahimah menggugah kuat bahu anaknya itru untuk mengejutkannya dari tidur sambil berleter. Akhirnya bangun juga Maya sambil menggeliat panjang. Dilepuk pula belakang Maya dengan bantal peluk yang selalu berdampingan dengannya itu. Dah serupa macam bantal busuk dah! Apa nak jadi anak gadisnya yang seorang ini?
“Maya kamu ni main tidur jer! Dah nak habis Maghrib dah ni tahu?”
Maya mengerling jam. Alamak, dah dekat nak habis waktu! Matilah.....
Puan Rahimah menggeleng kepala dengan nada kesal, “Apa nak jadi ni? Selalu tak macam ni pun.”
Maya menggenggam jemari ibunya, “Sorrylah mak, saya betul-betul letih hingga terlupa.”
Puan Rahimah berlalu pergi sambil menarik nafas lega. Maya pula bersiap-siap untuk solat. Sambil mengambil wudhu itu, Maya terus berfikir sendirian. Entah mengapa dia seakan tidak tenteram kebelakangan ini. Kerap memikirkan perkara yang bukan-bukan mengenai Reza. Dia lantas menghampar sejadah lalu meneruskan solatnya untuk mencari ketenangan. Sambil itu dia ingin mencari jawapan samada tepatkah keputusannya untuk mempercayai Reza.
Selesai solat, Maya keluar dari biliknya untuk bertemu dan makan malam bersama keluarga. Kelihatan kedua orang tuanya sedang sibuk menghidangkan juadah makan malam yang terlebih dahulu disediakan oleh ibunya. Juadah berupa sambal goreng dan ikan kerisi masak petai itu benar-benar membangkitkan seleranya. Siapa yang tak kenal dengan air tangan Puan Rahimah? Cuba sekali sudah tentu mahu lagi!
“Maya, mari tolong mak sendukkan nasi tu sekejap,” pinta ibunya yang memanggil di dapur.
Maya terkedek-kedek berjalan mendapatkan ibunya sambil menghidu bau makanan yang dimasak oleh ibunya itu, “Amboi mak, sedapnya! Nak tolong apa ni mak?”
Izham pula baru selesai solat jugak nampaknya. Titisan air pada rambutnya menunjukkan air wudhunya belum kering lagi. Izham mengenakan kemeja-t berwarna biru laut dan kain pelikat perang turun mendapatkan keluarganya yang sedang sibvuk menyajikan hidangan di dapur. Izham pergi mendapatkan ayahnya sambil mencium tangannya.
“Bagaimana cerita dekat pejabat hari ini?”
Izham hanya mengangguk perlahan, “Semuanya baik saja. Ayah janganlah risau.”
Ayahnya tersenyum gembira. Bangga dengan apa yang telah diraih oleh anak lelakinya itu.
Maya pula sampai di meja makan dengan membawa teko yang berisi air panas. Ayahnya memandang Maya seperti ingin tahu sesuatu. “Maya, macam mana dengann kerja kamu hari ini?”
“Kerja saya? Baik-baik je kot.”
Maya cuba untuk menyembunyikan perasaannya yang tidak tentu arah semenjak mendengar pengakuan Reza tadi. Harap-harap ayahnya tidak dapat menghidu perasaan kurang enaknya ketika ini.
Ayahnya terdiam seketika, “Tapi ayah tengok macam ada yang tak kena jer ni.”
Maya tersedak mendengar komen ayahnya. Nasib baik dia belum lagi menjamah makanan. Kalau tidak mahu terhambur keluar segala yang sedang dikunyahnya itu. Ayahnya ini macam ada deria ketiga pulak kalau isu-isu berkaitan anak-anak kesayangannya itu. Maya pulak merupakan satu-satunya anak gadis dalam keluarga kecil tersebut. Mana ayahnya itu tak risau! Maya pulak orangnya begitu peramah dan mudah sangat mesra dengan orang yang baru dikenalinya. Lagilah bertambah-tambah risau ayahnya itu.
“Tak ada apa-apalah ayah. Nanti saya cerita dekat ayah okey?”
Reza selesai menunaikan solat Tahajjud malam itu. Dia memohon dikurniakan petunjuk untuk dirinya dan Maya. Sambil melipat sejadah, dia terpandang akan sekeping kad yang terletak di atas lipatan pakaiannya di atas katil. Dia mengambil kad tersebut lalu membukanya. Di dalamnya tertera namanya sebagai tetamu undangan. Benar dia pernah menderma pada institusi anak yatim Darussalam namun dia tidak menyangka dipanggil sebagai tetamu memandangkan dirinya yang serba kekurangan itu bagaikan tidak layak untuk diterima sebagai tetamu di institusi yang berprestij itu. Dia meletakkan semula kad tersebut di atas lipatan pakaiannya lalu memadam lampu tidur di nightstand. Matanya terkebil-kebil sambil memandang ke arah siling rumah.
Entah berapa lama agaknya dia terlelap, tiba-tiba Reza merasakan sesuatu seperti tangan yang mulus merayap di atas badannya. Mata Reza yang tertutup rapat tadi kerana terlalu mengantuk akhirnya menjadi separuh terbuka. Setahunya, dia hanya berseorangan di dalam rumah agamnya ini namun tangan siapakah tadi yang merayap di atas badannya? Dia mengengsotkan diri ke arah nightstand untuk membuka semula lampu tidurnya. Sebaik sahaja lampu terbuka, Reza menoleh ke sebelahnya dan secara automatik mulutnya ternganga dan dia tersentak seketika. Sekujur tubuh yang begitu seksi sedang berbaring di sebelahnya dengan baju tidur yang cukup jarang.
Maya?
Fikirannya mula bercelaru mencari jawapan.
Bagaimana Maya boleh berada di dalam biliknya?
Peluh mula menitik di dahi Reza dan nafasnya pula semakin kecang turun naiknya. Reza tidak percaya dengan apa yang dilihatnya ini. Ya Allah, apakah ini suatu dugaan yang patut aku tempuhi juga? Sememangnya dia mengagumi Maya namun tidak dengan cara keji seperti ini. Dia membuang pandangannya ke arah lain ketika Maya cuba untuk mendekatinya. Tubuhnya seolah-olah kaku tidak dapat bergerak. Hanya tangannya sahaja mampu menepis setiap sentuhan Maya terhadap dirinya.
Secara tiba-tiba akalnya yang waras itu seperti tidak mampu lagi berfikir. Imannya seakan goyah tatkala dia terhidu haruman ringan Maya yang benar-benar menggoda nafsunya. Puas dia cuba untuk kembali sedar namun tidak mampu melawan godaan mimpinya ini. Keadaan bertambah hangat apabila Maya duduk benar-benar di hadapannya sambil bersimpuh. Dia tersenyum simpul sambil tangannya merayap ke paha Reza yang sedang dalam ketakutan itu. Reza sedaya upaya mengundur ke belakang sehingga terlanggar penjuru katil. Maya pula tidak segan-silu mendekati Reza sambil tangannya menyentuh bibir Reza yang terkumat-kamit membacakan doa pelindung diri.
“Janganlah takut pada saya,” pujuk Maya manja.
Tersirap darah muda Reza mendengar rayuan manja Maya itu.
Maya mula menanggalkan butang baju kemeja Reza satu persatu. Mata Reza berpinar menyaksikan adegan di hadapan matanya ini. Seolah-olah dia sedang dipukau dan tidak berdaya melakukan apa-apa untuk menghentikan kejadian ini. Leher Reza dipaut kemas oleh Maya setelah dia berjaya menanggalkan butang terakhir baju tersebut. Mata mereka bertentangan. Reza seperti dalam keadaan khayal dan mabuk. Mulutnya yang terkumat-kamit tadi sudah mulai senyap dan ternganga sedikit untuk menerima ciuman dari Maya.
Reza mengeluh, “Apa yang awak sedang buat ni, Maya?”
Maya tersenyum sambil mengucup pipi Reza, “Bukankah ini yang awak idamkan selama ini?”
Satu lagi ciuman maut singgah di leher Reza dan kali ini Reza memejamkan mata. Memang dia lelaki yang kalah dan tidak berdaya melawan godaan nafsu jahatnya selama ini. Maya memandang Reza yang sedang mulai asyik dalam belaiannya itu lalu tangannya merayap pada tubuh sasa Reza sambil dia mengucup kembali bibir Reza. Reza seakan hanyut dalam belaian mesra yang diberikan oleh Maya ketika ini. Mulutnya terketar-ketar namun tiada mampu menolak segala godaan yang datang kepadanya. Namun secara tiba-tiba dia tersedar dari keasyikan itu lalu menghayunkan tangannya ke nightstand itu dengan pantas. Kesakitan yang dirasai bukan kepalang namun ia berjaya menyedarkannya dari terus dihanyutkan oleh mim tersebut.
Beberapa kali Reza mengucap dan begitu bersyukur kerana Allah memberikannya kekuatan untuk menolak godaan tersebut. Dia segera turun dari katil lalu menuju ke kamar mandinya untuk membasuh muka. Dia menanggalkan kemejanya lalu membalingnya ke dalam bakul sebelum menyuluh dirinya pada cermin.
“Aku mahu menjaga dia,” bisiknya di dalam hati.
Sebenarnya memang itulah hasratnya semenjak pertama kali bersua dengan Maya.
Share this novel