“KENAPA mak tak kejutkan saya dari tadi lagi,” Maya Karmila bertanya dengan mata yang masih berpinar. Kenapalah dia gatal sangat nak keluar dengan rakannya malam tadi? Hah, kan dan terbabas! Gerutu si Maya dalam hatinya. Masa masih berbaki 1 jam lagi dan kini dia harus segera bersiap agar tidak lewat ke temuduga hari ini.
“Maya ingat mak ni dah taka da kerja lain nak buat ke dekat dalam rumah ni?” Puan Rahimah Salim sememangnya surirumah yang berdedikasi. Jangan kata mengemas rumah malah segala macam lagi kerja-kerja di dalam rumah ini dikendalikannya tanpa sedikit pun rungutan.
Maya memuncungkan bibirnya, “Kalau kena marah habislah. Abang mesti dapat malu juga.”
“Jangan risau. Dah cepat pergi bersiap. Turun bersarapan dulu tau?”
Sememangnya kerja tersebut direkomenkan oleh abangnya sendiri Izham Kamal yang telah 5 tahun menjawat jawatan penting di syarikat Interscope International sebagai pengrus di bahagian projek pembinaan. Bersusah payah abangnya itu meyakinkan bos syarikat itu untuk menemuduga adiknya yang langsung tiada pengalaman bekerja. Maya baru sahaja selesai melakukan kerja amal di Gaza dan India bersama pihak UNICEF. Jadi untuk pekerjaan pejabat memang satu pun dia tidak tahu.
Maya bersiap melangkah ke dalam tab mandi lalu berendam untuk seketika sebelum membilas tubuhnya dengan pancuran air. Suhu di ketika itu amat sejuk lalu dia pun menukar suhu air kepada yang lebih panas untuk menghangatkan dirinya. Kenapalah aku keluar malam tadi? Maya risau kerana segala yang berkenaan dengan persediaannya untuk temuduga pagi ini lama kelamaan makin menghilang dari ingatannya. Dari awal minggu dia telah meneliti keadaan syarikat tersebut dan membuat kajian berkenaan pekerjaan yang ditawarkan itu. Pagi ini semuanya seperti masih blur. Lalu dia melangkah longlai turun menuruni tangga sambil menghela nafas yang panjang. Nampak benar kegusarannya di wajah jelitanya itu.
“Hai, nak pergi temuduga pun tarik muka macam ni?” Puan Rahimah menegur nakal.
Maya mengerling seketika wajah ibunya, “Saya risaulah mak. Macam tak ready jer.”
Ibunya itu menggeleng kepala. Anak gadosnya ini kalau terlewat sedikit memang kalut semacam. Terdetik juga rasa risau di hatinya macam manalah Maya mahu membawa diri di syarikat segah syarikat tempat Alongnya itu bekerja. Sudahlah suka berangan setiap masa dan liat pula mahu disuruh menjalankan tugas di rumah. Alahai, anak seorang ni. Dia meneliti pakaian yang dipilih Maya ke temuduga hari ini – blaus biru dan blazer kelabu. Skirt paras lutut.
“Seksinya anak mak ni! Dah macam heroin Hollywood pulak.”
Maya memandang dirinya pada cermin. Rambut perangnya itu disisir rapi dan didandan kemas untuk menunjukkan ciri-ciri wanita korporat. Tubuh genitnya yang bersarung blazer kelabu itu di perhatikan dengan penuh asyik. Sesekali dia membetulkan gincu di bibirnya. “Mana ada seksi mak. Biasalah wanita bekerjaya pakai macam ni,” tegasnya lagi.
“Nak mengorat bos abang kamu ke?” Giat Puan Rahimah lagi, berseloroh.
Maya manja memprotes, “Mak, janganlah fikir macam tu. Nanti saya cancel temuduga tu.”
Pulak dah! Anak gadisnya ini pandai sangat mengugut. Ada sahaja modalnya kalau bercerita pasal jodoh ni. Bukannya apa, tapi Puan Rahimah merasakan yang Maya sudah sepatutnya punya calon lelaki untuk dijadikan menantu. Umur pun dah semakin meningkat jadi bila lagi ibunya dapat menimang cucu? Maya dan Alongnya itu sama sahaja degilnya hendaknya kalau disentuh soal jodoh, memang terpelanting disergah mereka berdas-das.
“Yelah, mak saja jer mengusik kamu. Mana tahu niat kamu ke lain pula nanti,” ujar ibunya.
Maya membalas selamba, “Tak ada maknanya mak. Dah Maya cabut dulu ya?”
Puan Rahimah memerhatikan sahaja gelagat anak gadisnya yang seorang ini. Umur dah hampir 30 tapi perangai masih tak berubah lagi. Sangat kebudak-budakan sangat! Macam mana nak hidup berumah tangga kalau perangai macam ni? Lagi, ofis tempat dia bekerja bukannya dekat. Nun di Kuala Lumpur sana. Sedangkan rumah pula di Seremban. Memanglah boleh nak berulang alik tapi kalau dah lambat tak ke nanti menggelabah dibuatnya. Baru masuk kerja dah kena cop yang bukan-bukan. Puan Rahimah kembali ke dapur untuk menyelesaikan tugas yang belum siap.
Dia melihat gambar anaknya menggenggam segulung ijazah. Alhamdulillah, ucapnya di dalam hati. Kedua-dua anaknya berjaya dalam pelajaran dan tiada yang tercicir, Walaupun segilnya mengalahkan kepala batu, namun dalam bab pendidikan mereka bertungkus lumus siang dan malam untuk berjaya dalam peperiksaan masing-masing. Kedua-da anaknya keluaran Universiti Sains Malaysia, ibu bapa siapa yang tidak bangga?
Share this novel