“TERIMA kasih banyak Mak Kiah dan Pak Kassim kerana menolong kami,” ucap Reza kepada kedua orang tua yang membantunya malam kelmarin.
Mak Kiah tersenyum simpul, “Apa salahnya. Lain kali datang lagi lawat kami.”
Pak Kassim menghulurkan beg plastik berisi rambutan dan betik, “Nah, ambil sebagai buah tangan dari kami.”
Reza tersenyum sambil membuka bonet kereta lalu memasukkan buah tangan tersebut ke dalamnya. Maya bersalaman dengan Mak Kiah sambil menghulurkan kepada mereka sedikit wang sebagai tanda terima kasih. Pada mulanya mereka menolak. Namun melihatkan Maya dan Reza bersungguh-sungguh ingin memberinya, akhirnya mereka menerimanya juga. Maya dan Reza meninggalkan mereka dengan berat hati sambil melambai ke arah mereka sebelum mereka sama-sama menaiki kereta. Enjin dihidupkan dan mereka pun berangkat dengan selamatnya menuju ke rumah masing-masing.
Setibanya di hadapan pintu pagar rumah Maya, Reza turun untuk membantu membuka pintu Maya lalu dibalas oleh Maya dengan senyuman melirik. Kelihatan kelibat abangnya yang sedang berdiri di tepi pagar memerhatikan telatah mereka.
“Amboi bukan main mesra nampak! Semalam pergi mana?”
Terkejut mereka berdua dibuatnya. Jarang-jarang Izham menyergah mereka begitu namun hari ini nampaknya dia seperti berang akan sesuatu, “Maaflah bang, kereta terkandas dalam hujan. Kami tumpang berlindung dekat rumah berdekatan.”
Izham menjeling mereka semacam, “Boleh percaya ke dengan korang ni?”
Reza menjeling Izham tajam, “Kau ni pun takkan aku nak buat apa-apa dengan adik kau!” Sambil menutup pintu kereta, Reza berjalan ke arah Izham, “Aku masih tahu halal haramlah bro.”
Izham membantu memunggah beg-beg Maya yang ada di dalam bonet kereta Reza sambil membawanya masuk ke dalam rumah. Reza pun turut sama mengeluarkan buah-buahan yang menjadi buah tangan dari Mak Kiah sekeluarga. Teringat suasana berkeluarga bersama pasangan tua itu, hati Reza terusik. Dia belum pernah merasai bahagianya bersama keluarga tercinta. Dia malah menganggap keluarga tersebut seperti keluarganya sendiri. Dia kembali memunggah buah-buahan tersebut lalu di berikan kepada Izham untuk dibawa masuk ke dalam rumah.
“Bos tak nak singgah rumah ke minum?”
Reza menggeleng laju, “Tak apalah. Lagipun saya dah lambat untuk urusan hari ini.”
Maya menghampiri Reza sambil tersenyum simpul, “Terima kasih untuk segalanya.”
Reza tercengang mendengarnya, “Awak ni cheesy pulak pagi-pagi ni. Dah masuklah ikut abang awak. Saya pulang dulu.”
Maya memerhatikan dari jauh ketika Reza mengatur langkah longlai menuju ke keretanya sebelum melambainya mesra. Izham menggeleng memerhatikan gelagat kedua pasangan itu sambil mengerling ke arah Puan Rahimah yang sedang menyediakan makanan di atas meja. Ibunya kelihatan teruja ketika menyediakan juadah di atas meja sambil memandang-mandang ke arah pagar.
Maya melangkah masuk menuju ke ruang tamu. Ibunya pula bergegas mendapatkan anak gadisnya itu. “
“Eh, mana tadi bos kamu tu? Kata nak masuk minum sekali?”
Maya melangkah longlai menuju ke arah meja makan sambil menuang kopi ke dalam cawan, “Dia sibuk sangat kot? Nanti sajalah kalau mama nak bertegur sapa dengan dia.”
Puan Rahimah menjngketkan kening, “Aik, macam tu pulak? Peliknya bos korang ni.”
Maya tersengih sambil menyua sekeping karipap ke dalam mulutnya, “Itulah yang anak mama seorang ni terpaksa tahan berhari-hari dengan attitude dia.” Nasib baiklah bos tu hensem, kalau tidak memang dah lama dia hempuk kepala bos tu dengan helmet.
“Kamu lambat hari ini? Apa alasan awak kali ni?”
Maya mengerling ke arah jam di dinding pejabat sambil sambil mengukir senyum sumbing. Dia terlalu nyenyak tidur semalam sehingga terlupa bahawa dia perlu bangun pagi untuk ke tempat kerja hari ini. Mengenakan skirt labuh krim ringkas dan blaus biru berzip di tengah, Maya kelihatan simple namun menarik untuk dipandang. Reza juga hampir kelu lidah untuk berbicara setelah bertentang mata dengan wanita secantik Maya.
Maya menoleh ke arah Reza yang sedang sibuk menaip sesuatu pada skrin komputernya, “Bos ada apa nak jumpa saya pagi-pagi macam ni?”
Reza menghulurkan fail di atas mejanya sambil tersenyum, “Tolong selesaikan benda ni?”
“Apa benda ni bos? Jangan main-main dengan saya.”
Reza berhenti menaip lalu berpaling ke arahnya, “Kita akan ke Eropah esok selama seminggu. Jadi awak kena siapkan sedikit kertas kerja untuk mesyuarat dengan klien kita nanti di sana.”
Maya merenung Reza tajam. Sedikit tergamam agaknya, “Bos, seriously? Tak tipu?”
Reza tertawa mendengar komen Maya, “Seriously! Jadi kamu suka tak ke Eropah?”
“Giler tak suka! Of course lah saya suka!”
Reza mengerling ke arah jam tangannya lalu memandang Maya, “Nak join saya pergi workout dekat gym?”
Dahi Maya berkerut seribu, “You mean right now? Tapi I tak ada baju untuk workout.”
“Baliklah ambil. I meet you dekat Celebrity Fitness dalam masa setengah jam lagi,okey?”
Dengan itu Maya ditinggalkan terpinga-pinga oleh Reza. Kenapa time ni pula nak pergi workout bagai? Gerutu Maya dalam hati. Sebenarnya Maya berat hati nak ikut Reza ke gym sebab nanti dia terpaksa memandang tubuh sasa yang menggoyangkan iman setiap wanita itu. Memang malu tapi kalau dah depan mata macam mana nak mengelak. Memang kenyanglah menjamu mata dengan susuk tubuh tegap milik bosnya itu. Hatinya ketika ini berbelah bagi namun tetap juga dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah untuk menukar pakaian agar dia boleh turut serta dengan Reza bersenam di gym yang dicadangkan oleh Reza sebentar tadi.
“Eh, cepatnya awak ganti baju! Jalan tak sesak ke tadi?”
Terkejut Maya apabila disergah seperti itu oleh Reza. Maya yang sudah lengkap berpakaian untuk bersenam dengan kemeja-t dan seluar trek kelabu itu terkial-kial mengikat rambut. Dia memandang bosnya yang turut siap berpakaian singlet hitam dan seluar pendek hitam paras lutut. Alamak bulu kaki bos aku! Maya berusaha untuk tidak memandang kaki bosnya yang kekar itu namun susah benar. Terpandang pula Reza sedang buat stretching sambil mengangkat ketiak. Oh shit! Pandangan PG-15! Boleh jadi gila jugak kalau lama-kelamaan dia memandang bosnya yang terlampau itu.
Maya mencuba mesin treadmill sambil perlahan-lahan membiasakan diri dengan kelajuannya. “Kenapa bos tiba-tiba nak workout time kerja pulak?”
“Eh, suka hati sayalah. Kalau awak tak nak ikut pergi balik!”
Ganasnya mamat ni! Kalau ajak orang datang tu tak menyempat-nyempat sekarang ni sesuka hati sahaja nak menghalau orang. Maya mencebik bibir sambil menoleh ke arah lain. Angin Reza ni memang sukar diramal. Kadangkala sepoi-sepoi bahasa tapi hari ini memang dah macam ribut tropika pulak.
Reza menegur dengan selamba, “Walaupun awak jarang pergi gym, figure awak mengancam juga. Yalah bagi seseorang yang jarang mengutamakan fitness.”
“Saya jaga pemakananlah bos! Takkan itu pun nak cakap,” rungut Maya.
Reza senyum melirik, “Pandai jugak awak jaga pemakanan ya.”
Maya senyum segaris. Barangkali malas nak melayan karenah bosnya yang selalu berubah-ubah tu. “Takkan saya nak biarkan badan saya mengembang. Saya ni bujang lagi tahu!”
Selesai bersenam bersama, Reza dan Maya kembali ke pejabat sambil membawa bekalan sarapan masing-masing. Maya kembali ke dalam biliknya untuk mengambil beberapa kertas kerja untuk dibentangkan di hadapan klien-klien mereka pada petang nanti. Reza pula kembali menatap skrin komputer untuk mengemaskini beberapa portfolio syarikat yang berada di bawah penyeliaan syarikatnya untuk tujuan rujukan bersama klien-klien barunya nanti. Dahi Reza berkerut. Terasa begitu lama pula masa yang perlu diambil untuk mengemaskini portfolio tersebut. Reza menguap beberapa kali sambil bersandar untuk menenangkan fikirannya yang kusut akibat kerja itu.
Pintunya diketuk perlahan. “Bos boleh saya masuk?”
Reza segera membalas, “Masuklah. Apa yang awak bawa tu?”
Maya tersenyum sambil berdiri disebelah Reza, “Ini dokumen yang bos minta hari tu kan?”
Reza tersentak dari lamunannya lalu membetulkan duduknya, “Thanks, saya hampir terlupa tadi.”
“Boleh saya tahu satu perkara? Itu pun kalau bos tak kisah?”
Reza mendongak sambil tersenyum, “Awak ni penuh dengan persoalan kan, Maya?”
Maya tertunduk malu, “Kenapa bos tak pernah ada relationship dengan sesiapa pun? Selama saya kenal bos, saya tak nampak bos keluar dengan mana-mana perempuan pun.”
Reza menggeleng laju sambil tertawa, “Kenapa awak risau sangat. Saya keluar dengan awak pun dah cukup. Kenapa, awak bukan perempuan ke?”
Aik, dia pusing balik soalan aku? Maya mencebik bibir. Bos yang seorang ni memang sukar nak diramal. Suka benar mengelak apabila ditanya soalan-soalan yang sensitif macam tu. Kadang-kadang mati akal Maya hendak memulakan bicara dengan bosnya ini. Segalanya serba tak kena. Kalau boleh memanglah dia ingin mengenali bos kesayangannya ini dengan lebih dekat lagi. Tapi susah sangat nak berborak dengan dia, tak tahu apa pulak topik yang digemarinya.
Reza tersenyum sambil mengangguk, “So, apa lagi yang awak nak tahu?”
Maya menggeleng lalu meminta diri, “Saya minta diri dululah. Kalau bos nak apa-apa nanti just inform me. I will be in my room.”
Reza meraup wajahnya. Sememangnya dia sudah tidak pandai lagi bermain dengan kata-kata terhadap perempuan. Cukuplah tragedi lalu yang meragut kekasih-kekasih gelapnya itu. Dia redha sekiranya ditakdirkan membujang hingga ke hujung nyawa. Andai segala tingkah lakunya terhadap Maya selama ini mengguris hatinya, dia ingin sekali memohon kemaafan darinya. Tapi dia tidak berdaya. Bagaimana jika dia jatuh cinta pada wanita tak berdosa itu? Dia tak mahu sekiranya kotoran dari kisah silamnya kembali terpalit pada wanita semurni Maya.
“Maya, wait a minute,” tegur Reza tiba-tiba seakan menahannya.
Langkah Maya terhenti. Dia menoleh kehairanan, “Kenapa bos? Ada apa-apa yang tinggal?”
Reza berjalan menghampiri Maya, “Saya nak bincang sesuatu dengan awak.”
Maya kelu lidah untuk berkata, “Baiklah, bos nak jumpa saya lepas lunch nanti ke?”
“Baiklah, saya tunggu awak di cafetaria lepas lunch nanti,” balas Reza dengan lega.
Maya mengangguk laju, “Okey, biar saya siapkan permintaan bos tadi dulu.”
Reza membalas dengan senyuman. Bos senyum! Cair hati Maya melihatnya. Perlahan Reza berundur kembali ke mejanya sebelum dia kembali fokus terhadap kerjanya. Maya tersengih sendiri melihat telatah bos kesayangannya itu yang sering berubah-ubah. Bukan mudah hendak mengenali empunya diri Reza Haikal Adriansyah ini kerana dia lebih gemar mengelakkan diri dari bercerita mengenai hal-hal peribadinya. Kalau ada yang berjaya berbual dengan beliau sehingga beberapa jam, sudah dikira bernasib baiklah tu. Berbekalkan wajah yang kacak dan susuk tubuh yang digilai ramai, tak hairanlah jika Reza boleh dkatakan agak ego dan angkuh dalam pembawaan dirinya.
“Maafkan saya bos. Lambat sikit sebab lif sesak tadi,” Maya memohon maaf.
Reza menggeleng laju. Dia membuang pandangan ke arah tingkap kafe tersebut. Pandangannya kosong dan seperti sedang jauh memikirkan sesuatu. Maya melabuhkan punggung di atas kerusi yang baru ditarik tadi. Merenung Reza tajam, Maya memetik jari untuk mengejutkan Reza dari angannya. Reza dengan tidak semena-mena terpinga-pinga seolah-olah baru sahaja kembali ke dunia nyata. Maya memandang Reza seolah-olah menantikan suatu jawapan. Reza mengukirkan senyum walaupun dalam hatinya ada pelbagai rasa yang bercampur baur. Dia berhati-hati sebelum memulakan bicara. Takut jika akan mengguris hati wanita selembut Maya itu.
Maya mengerling ke arah tingkap sambil bertanya, “Bos nak bincang dengan saya pasal apa tadi? Macam penting sangat saja.”
Reza menundukkan wajahnya sambil menghirup kopi panas, “Panjang ceritanya.”
Maya bersandar pada kerusi sambil menghela nafas, “Jadi pendekkanlah. Cerita pada saya.”
“Saya tak tahu macam mana nak beritahu awak. Saya bimbang awak tak suka.”
Maya mengerut dahi sambil menggaru kepala yang tidak gatal, “Boleh tak kalau bos berterus terang pada saya.”
Reza mengurut hidungnya yang mancung itu, “Saya akan ke luar negara untuk menguruskan perniagaan saya di cawangan London. Jadi saya harapkan awak dapat ikut saya untuk membantu sedikit sebanyak urusan di sana.”
Maya mengangguk laju, “Saya tahu. Bos kan dah beritahu saya tadi lagi.”
Reza menjongket kening, “Memang kita akan berangkat esok. Tapi maksud saya mungkin dalam 3-4 tahun lagi saya kemungkinan tidak akan menguruskan syarikat ini di Malaysia lagi. Sebab itu saya minta pendapat awak. Awak nak ikut saya ke tidak?”
Maya terdiam. Sanggupkah dia meninggalkan keluarganya untuk meneruskan kerjayanya bersama syarikat milik Reza itu? Dia bukannya tidak pernah hidup berdikari namun kali ini cukup berlainan sekali. Dia bakal meninggalkan keluarganya dan tinggal di bumi perantauan agak lama kemungkinan lebih 5 tahun. Sanggupkah dia bertahan? Lagipun dia bukannya faham sangat cara hidup di negara Britain itu. Cuaca dia pun sejuk dan Maya memang pantang kalau terkena sejuk maka dengan pantas dia akan menghidap demam. Tapi rasa serba salah pula hendak menolak permintaan Reza kerana beliau sudah begitu baik terhadapnya.
“Boleh beri masa untuk saya fikirkan dulu?” Maya mengeluh.
Reza faham sangat bagaimana manjanya Maya dengan keluarganya. Tak mungkin begitu mudah untuk dia meninggalkan keluarganya dan pergi ke Eropah bersama dia lagipun antara mereka bukannya ada apa-apa hubungan istimewa.
“Saya bukan nak paksa awak,” balas Reza dengan perlahan. “Semuanyanya terpulang pada awak kalau awak mahu,” sambungnya lagi.
Maya menghela nafas yang sesak. Serba-salah dibuatnya. Bukankah dahulu dia yang benar-benar beria hendak membina kariernya biarpun perlu berhijrah hingga ke China? Namun sekarang kenapa pula segalanya berubah dengan mendadak? Bagaimana dengan impiannya dahulu yang hanya ingin membina kerjaya yang cemerlang untuk menjadi kebanggaan keluarganya? Dia ingin sekali menjadi seorang wanita yang berjaya dan tidak perlu mengharapkan apa-apa dari keluarga lagi. Mereka pun telah banyak berkorban untuk dia sehingga kini dia masih belum berpeluang membalas jasa kedua orang tuanya.
Reza bangun sambil tersenyum, “Awak berilah jawapannya nanti. Awak ada banyak lagi masa untuk berfikir.”
Maya tertunduk. Benar-benar tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkan perasaannya ketika ini. Malu untuk memandang wajah kacak Reza yang sedang tajam merenungnya ketika itu.
“Terima kasih sebab memahami saya,” balas Maya perlahan.
Reza berlalu sambil mengatur langkah yang tidak bermaya. Dia tahu Maya tidak akan sudi mengikutnya untuk berpindah ke negara Eropah. Maya mempunyai keluarganya sendiri yang mana dia masih perlu berbakti terhadap mereka. Bukan seperti dirinya yang hanya tinggal sebatang kara, dia tidak perlu menanti sesiapa. Dia bebas untuk pergi ke mana sahaja yang dia ingini. Entah mengapa ketika ini dia benar-benar berasa sunyi. Dia tidak punya sesiapa untuk disayangi malah dia menganggap Izham dan Maya seperti keluarganya sendiri.
Maya serba salah di dalam bilik sambil mundar-mandir sehingga akhirnya dia merebahkan punggungnya ke atas sofa yang tersedia di penjuru biliknya. Mustahil untuk dia meninggalkan keluarganya dan berpindah untuk mengikuti Reza ke Eropah. Bukan setahun atau dua tahun dia akan menetap di sana kemungkinan bertahun-tahun sementara Reza selesai menguruskan cawangannya di sana. Rindulah nanti Maya nak merasa air tangan ibu tersayang; rendang ayam, sambal goreng dan ikan bakar. Kenapa pulak tetiba saja dia teringat pasal makan ni? Yang masalah sekarang adalah tinggal di negara asing bersama lelaki yang bukan mahramnya. Maya menggeleng kepalanya lagi.
“Awak tak nak balik ke? Dah hampir pukul 7 malam ni,” tegur Reza yang singgah di bilik Maya. Dia hanya berdiri di muka pintu sambil menjongket kening.
Maya yang dalam keadaan terpinga-pinga itu membalas, “Err...ada sikit masa lagi ni.”
Reza mengerut dahi, “Sudahlah tu! Abang awak pun dah beransur pulang. Apa kata awak balik sekarang sebab saya pun akan keluar tak lama lagi ni.”
Maya menjeling bos kesayangannya itu, “Nanti kalau kertas kerja ni tak siap...?”
Reza memotong percakapannya, “Sudah, let’s go now!”
Share this novel