BAB 16

Romance Completed 38699

MAYA termenung jauh semenjak tiba di pejabat tadi. Trafik pagi ini cukup sesak namun berjaya juga dia gagahkan diri untuk menempuhnya. Hasilnya Maya berjaya sampai lebih awal ke pejabat hari ini. Suasana di luar agak mendung kemungkinan akan hujan sebentar lagi. Hembusan udara dingin sudah mula dapat dirasai. Maya merenung ke arah sebuah kereta Mercedes pacuan empat roda yang berhenti di perkarangan pejabat. Kelihatan Reza baru sahaja turun dari kereta tersebut sambil mengunci pintu kereta. Hujan mulai turun dan menjadi makin lembat. Entah mengapa hati Maya terusik apabila Reza basah kuyup oleh hujan. Dia mesti berasa sangat sejuk ketika ini. Maya berasa serba salah lalu turun ke lobi untuk mendapatkan Reza.

“Kenapa awak tak bawa payung?” Maya bergegas mendapatkan Reza.

Langkah Reza terhenti. Dia memandang Maya dengan pandangan sayu.

Maya membuka payung lalu memayungi Reza, “Awak boleh jatuh sakit nanti tahu?”

Reza merenung mata Maya sambil menolak payung tersebut. “Jangan ganggu saya!”

Maya tersentak dengan tindakan kasar Reza tadi terhadapnya. Reza hanya berlalu dengan tidak langsung memperdulikan Maya. Maya berasa kurang senang dengan tindakan Reza yang berubah secara mendadak dengan tiba-tiba.

“Sekurang-kurangnya awak perlu minta maaf kepada saya,” balas Maya dengan perlahan.

Reza mendengus sambil tertawa sinis, “Jadi awak terasa pula sekarang. Bukankah awak jenis yang tidak kisah dengan bapa pun yang terjadi di hadapan awak?”

Maya terkesima untuk seketika, “Apa maksud bos ni? Saya tak mengerti.”

Reza enggan menoleh lagi. Dia terus sahaja berjalan masuk secara menonong sebelum dia masuk ke dalam perut lif. Sukarnya bagi dia untuk bertindak sedemikian. Dioa dapat melihat betapa hampa dan kecewanya perasaan Maya apabila diperlakukan sedemikian namun apakan dayanya? Dia terpaksa melakukan perkara ini untuk menjauhkan diri Maya darinya. Dia hanya akan menjadi racun dalam kehidupan Maya nanti.

“En.Reza, saya sedang bercakap dengan awak!”

Reza tersentak apabila kelihatan pintu lif tu seperti ditahan dari tertutup oleh seseorang.

Maya!

Maya yang sedang menahan lif tersebut. Reza memandang apa yang terjadi dengan gerun. Segera dia menarik Maya masuk ke dalam lif sebelum pintu itu kemas tertutup. Maya mendongak lalu terpandang mata Reza yang berkaca. Adakah Reza sedang bersedih kerana risaukan dirinya?

Maya berada kemas dalam pelukan Reza. Masing-masing terkejut dengan apa yang menimpa mereka tadi lalu Reza cuba menjarakkan dirinya kembali. Maya menundukkan muka sambil menelan air liur. Entah mengapa apa yang bermain di fikirannya tadi langsung mati. Mereka hanya memandang wajah masing-masing dengan aneh. Reza bingkas bangun sambil menghulurkan tangannya pada Maya.

“Awak tak apa-apa?Maafkan saya atas kejadian tadi.”

Maya melopong mendengar kata-kata Reza tadi, “Saya tak apa-apa.”

Maya bangun untuk mengikuti bosnya keluar dari lif. Reza nampaknya seperti tidak selesa bersamanya. Maya berasa sedikit tersinggung dengan tindakan Reza terhadapnya. Dia tidak punya hak untuk menyuarakan rasa hatinya pada Reza. Siapalah mereka? Bukannya pasangan kekasih pun! Namun pandangan Reza terhadapnya tadi amatlah berlainan dari biasa. Seolah-olah dia menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan Maya sendiri. Reza mengerling ke arahnya sambil memikirkan apa yang dapat dibicarakan dengannya kini.

“Kita sambung perbincangan projek itu sekejap lagi.”

Maya mengangguk sambil bergegas ke mejanya untuk mendapatkan fail yang berisi dokumen-dokumen yang diperlukan untuk perbincangan tersebut. Proposal projek pun sudah hampir siap sepenuhnya dan dia sendiri tidak sabar untuk menyerahkannya kepada Reza. Harap-harap Reza akan berpuas hati dengan hasil kerjanya. Dia mahu bosnya itu kembali tersenyum seperti selalu. Dia tidak seronok jika Reza tidak tersenyum ketika berbicara denhgannya. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

Maya menghulurkan fail tersebut kepada Reza, “Proposal sudah siap bos.”

Reza meneliti dokumen-dokumen yang terkandung dalam fail tersebut sambil mengangguk, “Okey, boleh kita bincang pasal ni?”

“Ini adalah fasa pertama untuk projek pembangunan rakyat.”

Maya menjelaskan butiran projek tersebut dengan panjang lebar sambil didengari dengan setia oleh Reza. Reza mengangguk tanda bersetuju dengan usul-usul yang dicadangkan oleh Maya ketika itu. Maya pula meneruskan pembentangan dengan begitu pasti dan memberikan idea-idea yang bernas sambil menggulungkan hujahnya.

Reza bersandar sambil mengurut dahi, “Okeylah, cukup setakat itu.”

Maya berhenti tatkala Reza menyuruhnya berhenti. Dia mengemas kelengkapannya tadi lalu duduk di hadapan Reza sambil mendiamkan diri.

“Saya berpuas hati dengan proposal awak,” terang Reza sambil tersenyum.

Akhirnya Reza tersenyum! Yeah, misi awak telah berjaya Maya!

Reza mengangkat kening sambil merenung Maya, “Kenapa awak tiba-tiba tersengih ni?”

Maya tersentak, “Err...tak ada apa-apa bos.”

Sudah terkantoi pulak. Macam manalah dia boleh tersengih macam kerang busuk depan Reza tadi? Memalukan kaum Hawa betullah! Maya duduk termanggu di atas kerusi sambil memerhatikan Reza menyemak proposal projek yang disediakannya terlebih dahulu itu berkali-kali. Secara automatik maya tegak di atas kerusi sambil lehernya panjang untuk mengetahui apa yang diteliti beria-ria benar oleh Reza.

“Tadi bos kena hujan. Tak mandi dulu ker?”

Reza menoleh ke arah Maya sambil tertawa, “Saya rasa okey jer. Tak basah pun.”

Maya membuat muka toya sambil mencebik bibir, “Dia nak senang MC la tu.”

Reza mendekati Maya sambil berbisik, “Seumur hidup saya, sekali pun saya tak pernah MC tahu tak?”

“Kenapa pulak? Bos sentap ker saya kata macam tu?”

Nampaknya Maya sudah pandai mencabar ego Reza sekarang ini. Reza enggan mengaku kalah. Mood membuli sudah mula diaktifkan dan kini Reza memandang Maya dengan pandangan nakal. Tapi nakal Reza kali ini pun berpada-pada juga. Dia tak mahu kalau Maya mengadu pada Izham tentang mereka nanti. Kalau boleh dia mahu Maya respek dengannya jadi tak perlulah dia untuk berlembut lagi dengan minah separuh senget ni! Bukan tak minat tapi ini adalah untuk kebaikan mereka berdua jugak.

“Hari ini awak kena siapkan dokumen khas projek tersebut untuk disubmit pada pemaju.”

Maya melopong, “Hari ini bos? Tak sempatlah macam tu!”

Reza menjelingnya tajam, “Awak kurangkan berborak dengan sarkas 2 ekor tu, mesti awak boleh fokus untuk siapkan benda ini!”

Sekali lagi mulut Maya ternganga, “Bos tak baik panggil orang sarkas!”

Reza hanya tersenyum angkuh sambil berpeluk tubuh, “Sudah saya mahu tengok dokumen itu di atas meja saya petang nanti. Jika tidak awak tahulah nasib awak nanti.”

Maya tercengang terkulat-kulat mendengar sindiran-sindiran tajam yang dilemparkan oleh Reza terhadap rakan-rakan barunya itu. Seolah-olah mereka langsung tidak menyumbang apa-apa kepada kemajuan syarikat. Maya juga geram dengan sikap angkuh Reza yang sedaya-upaya cuba untuk mengenakannya padahal dia tidak tahu menahu pun jika dia ada melakukan kesalahan pada Reza. Mnengapa Reza tiba-tiba benci pada dia?

Reza merenung ke luar jendela sambil memikirkan tindakannya yang keterlaluan terhadap Maya tadi. Maafkan aku Maya, aku terpaksa berbuat begini terhadap awak. Rasa bersalah menghimpit dirinya dan dia sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu merungkai semua kekusutan ini. Dia tidak mahu Maya jauh darinya namun dengan adanya Maya seringkali hampir dengannya membuatkan nafsu serakahnya itu membuak-buak. Bila-bila masa sahaja Reza boleh hilang kawalan dan menodai gadis tersebut. Dia tidak mahu perkara sedemikian berulang kembali. Dia tidak dapat membayangkan jika dia mengkhianati kepercayaan yang Izham berikan kepadanya.

Izham menyergah masuk ke dalam bilik Reza sambil tersengih. Cepat-cepat Reza menyeka airmatanya sambil mengukirkan senyuman. Sebagai rakan dan pekerja yang amat dihormatinya, dia benar-benar mengagumi Izham kerana ketekunan kerjanya dan keperibadiannya yang tinggi. Dia sedar dia tidak layak mendapat rakan sebaik Izham namun Izham tetap setia bersamanya dalam menangani setiap masalahnya. Selain seorang pendengar yang setia, Izham juga sering menasihatinya dalam perkara-perkara yang menjurus ke arah kebaikan.

“Kenapa ni bos nampak muram saja hari ini?”

Reza membalas dengan nada sinis, “Habis tu, takkan hari-hari kena senyum kot?”

Izham memandang bosnya dengan pelik, “Ada apa-apa masalah dengan Maya ke?”

Reza menggeleng laju sebelum kembali fokus dengan skrin komputer ribanya sambil menaip sesuatu. Semuanya ini tiada kena mengena langsung dengan Maya.

Izham giat lagi, “Ni mesti Maya ada buat hal ni. Jangan risau bos, nanti saya nasihatkan dia.”

Reza membalas sambil mata fokus pada skrin komputer, “Dahlah tu. Lupakan saja.”

Izham mencebik bibir. Selalunya Reza ni jarang bermuram sepanjang perkenalan mereka. Namun kini dia sudah mula termenung sendirian, bermuram durja dan seringkali bercakap sendirian. Izham berasa kasihan dengan keadaan Reza namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Reza sepatutnya sdah mendirikan rumahtangga dan punya seseorang untuk menjaganya kini namun keadaan tidak mengizinkan. Dia sering juga terfikir adakah tepat untuk membenarkan Maya bersama dengan Reza? Ya, Reza memang lelaki yang baik dan taat pada agama. Dia merupakan lelaki yang paling sesuai untuk bersama dengan adiknya yang seorang itu.

“Bagaimana keadaan Maya, Reza?”

Izham terlopong mendengar pertanyaan Reza, “Saya tak sempat jumpa dia tadi.”

Reza terdiam seketika sebelum menyambung, “Saya tak sengaja berkasar dengan adik awak tadi. Saya hanya mahu dia menjauhkan diri dari saya.”

Izham terkedu mendengar pengakuan Reza yang jujur itu, “Bos tak salah dalam hal ini. Kenapa bos mahu menjauhka diri dari dia? Saya sememangnya bersyukur kerana bos ada untuk jaga Maya.”

Reza berasa sebak, “Saya pergi cari Maya sekejap. Boleh kamu tunggu sini?”

Dengan segera Reza bangun dari tempatnya lalu meluru keluar untuk mendapatkan Maya. Izham terharu melihat bosnya yang kini sedang berperang dengan perasaannya terhadap Maya. Tak salah sekiranya mereka berkawan kerana masing-masing sudah begitu dewasa untuk mengenal halal dan haram dalam menjaga batas pergaulan.

Maya sedang merenung jauh ke luar tingkap. Pelbagai persoalan ligat bermain di fikirannya sekarang ini. Entah mengapa seperti dia harus mencari jawapan untuk setiap persoalan yang tidak terungkai. Fikirannya menjadi kusut semenjak pengakuan Reza tempoh hari. Lebih-lebih lagi apabila Reza seperti menolak dia seperti dia melakukan suatu kesalahan yang besar terhadapnya. Hati kecilnya seperti dicarik-carik ketika ini. Sampai hati Reza menyakiti hatinya dengan berbuat demikian.

“Maya, saya ada sesuatu nak cakap dengan awak,” suara garau itu berkata.

Maya mengerling sambil terpana. Susuk tubuh yang begitu familiar sekali itu berdiri di hadapannya. Kali ini dia mengukirkan senyuman dan Maya dapat melihat perasaan bersalah tertulis di wajahnya.

Reza mendekatinya. Dia tidak menghiraukan pekerja lain yang berada di sekelilingnya. Harapannya hanya satu iaitu semoga Maya dapat memaafkan kekasaran dia selama ini. Maya tidak layak diperlakukan sebegitu. Setelah mereka hanya berada beberapa inci antara satu sama lain, Reza menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan tanda berdamai.

Maya melopong melihat Reza, “Bos buat apa dekat sini?”

“Saya tidak boleh langsung datang menjenguk awak ke?” Reza bertanya sinis.

Maya menggeleng sambil tersenyum, “Tak, memang tak ada salahnya pun.”

Reza menundukkan wajahnya sambil berkata, “Saya nak minta maaf.”

“Minta maaf untuk apa, bos? Saya benar-benar kurang faham.”

Reza menyambung bicara, “Saya tak patut melayan awak dengan begitu sekali. Selama ini saya sedar yang awak terluka. Boleh tak kalau kita bermula sekali lagi?”

Hati Maya sudah mula bebunga. Bos datang ke tempatnya untuk minta maaf! Tak pernah sekali pun terjadi seumur hidup. Kalau rakan-rakan sekolejnya dahulu dapat tahu pasal perkara ini, konfirm mereka akan meroyan tak habis-habis akibat cemburu.

“Kali saya saya nak kita berkawan. Seperti saya dan abang awak.”

Maya membalas huluran salam Reza, “Baiklah, kita lupakan hal tadi.”

Reza kembali ceria mendengar kata-kata Maya, “Terima kasih, Maya. Saya rasa bersalah sangat sepanjang hari. Saya akan lakukan apa-apa sahaja untuk menebus kesalahan saya.”

Imej nakal mula bermain di minda Maya. Buat apa-apa sahaja? Yahoo! Memang sudah menjadi idaman saya nak buat macam-macam dekat awak En. Bos! Berbisik Maya dalam hati sambil tersenyum nakal. Kalau diikutkan hati mahu saja Maya ikat bos kesayangannya itu di kerusi sambil bermain dengannya. Geram kadangkala bila melihat Reza tersenyum angkuh jadi dia mahu menconteng wajah kacak Reza itu sepas hatinya. Sabar Maya, jangan bertindak melulu, pujuk hatinya. Nanti tak pasal-pasal kerjaya dia melayang pulak! Bos kacak tu bukannya boleh dipandang ringan.

Reza berpaling lalu tersenyum sebelum berlalu dari situ. Makin melopong Maya memandang apabila Reza melompat kegirangan tak ubah seperti budak-budak. Tercuit jugak hati Maya apabila menyaksikan perubahan mendadak bosnya itu daripada pendiam dan sukar didekati kepada periang dan peramah. Mungkin selepas ini suasana berkerja bersama Reza akan lebih menyeronokkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience