BAB 17

Romance Completed 38699

TEPAT pukul 6 suasana di dalam pejabat sudah mulai lengang. Ramai mengambil keputusan untuk pulang awal kerana hari sudah mulai mendung. Ketika rakan-rakan Maya sudah habis meninggalkan pejabat, Maya masih lagi di situ tekun menyelesaikan kerjanya dengan amanah dan kepercayaan yang diberi oleh Reza. Dia sesekali merenung ke luar jendela dan memerhatikan rintik-rintik hujan yang mulai turun dan mulai melebat. Dingin terasa disertai hembusan penghawa dingin di dalam pejabat tersebut. Dengan pantas Maya mencari remote kawalan untuk memperlahankan penghawa dingin tersebut. Kakinya sudah terasa hampir beku di bawah meja.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi tapak kaki yang sayup-sayup bergerak semakin hampir ke arahnya. Dia menoleh ke belakang dan mendapati Reza sedang menuju ke arah lif untuk mengambil sesuatu di bawah. Maya hanya mengukirkan senyuman sambil jarinya tekun menaip di papan kekunci. Reza pula mempamerkan wajah yang manis di hadapannya sambil dia bergegas menuju ke pintu lif yang sudah terbuka. Maya memerhatikan susuk tubuh itu sehingga ia hilang dari pandangan. Susah jugak kan dapat bos hot macam ni, pekerja mesti ambil kesempatan untuk cuci mata.

Telefon berdering, Maya dengan pantas menyambut, “Hello, Interscope!”

Suara di dalam telefon itu berdehem, “Ini sayalah Maya!”

Maya tergamam. Bagaimana dia boleh tak perasan suara bosnya sendiri. Mampuslah kena maki lagi lepas ni.

“Awak ni, tolonglah peka sikit lain kali. Awak boleh tak switch on pintu keselamatan? Saya ada barang nak bawa masuk ke dalam office ni.”

Maya memegang remote yang berkenaan lalu bergegas ke lobby pejabat. Dia menekan butang yang mengaktifkan pintu keselamatan lalu pintu tersebut terbuka. Kelihatan Reza meluru masuk dalam keadaan basah kuyup. Wajahnya yang kebasahan itu krelihatan begitu seksi di mata Maya. Kemudian pandangan Maya beralih pada troli yang berisi begitu banyak kotak-kotak yang di dalamnya merupakan dokumen-dokumen daripada projek-projek yang lepas. Banyaknya! Sampai ke esok pun tak sudah untuk disusun kalau begini rupanya. Reza menanggalkan jaketnya yang basah kuyup itu sambil melepaskan tali leher. Jelas kelihatan susuk tubuh sasa Reza di sebalik kemejanya yang basah itu. Otot-otot diperutnya kemas terpamer melalui fabrik kemejanya itu.

“Awak tenung apa tu, Maya?”

Maya tersentak. Air liurnya seperti tertelan dan terasa payau.

Reza merenung Maya yang seperti hanyut oleh sesuatu, “Maya, are you alright?”

Maya masih kaku dan tidak bergerak. Secara tiba-tiba dia teringat yang dia sedang bercakap dengan Reza.

“Kenapa dengan awak ni, Maya? Macam ada sesuatu mengganggu awak.”

Maya menggeleng laju, “Tiada apa-apa bos. Saya okey jer.”

Reza beralan menuju ke pejabatnya sebelum langkahnya terhenti seketika. “Ikut saya sekejap.”

Mata Maya pejam celik, “Kenapa saya kena ikut bos? Kan proposal saya dah serahkan?”

Reza tersengih sambil bermain dengan anak rambutnya yang basah itu, “Awak perlu semak hasil kerja daripada projek-projek kita yang lepas. Ini untuk mengetahui punca-punca kegagalan beberapa projek kita yang lepas.”

Maya mahu memprotes, namun dia tetap akur. Dia menuruti langkah Reza dengan lambat sambil di hatinyas penuh tanda tanya. Okey, memanglah dia sukakan Reza berada di sisinya namun bila berdua-duaan dengan Reza pada ketika ini membuatkan hatinya tidak tentu arah. Aneh sungguh duduk berduaan dengan lelaki sekacak ini memang boleh goyang iman di dada. Apabila mereka tiba di muka pintu milik Reza, muka Maya berubah semacam. Reza berpura-pura tidak perasan sambil menyeluk sakuseluarnya untuk mengambil kunci biliknya. Setelah pintu dibuka Reza masuk sambil menyidai kotnya di kerusi bersama tali lehernya tadi. Penghawa dingin juga dipasang sederhana kelajuannya kerana udara dingin di luar sudah cukup sejuk bagi mereka.

“Jadi mana dokumen yang bos mahu saya periksa tu?”

Reza menuding ke arah timbunan kotak yang dibawanya masuk tadi, “Cuba lihat di sana.”

Maya mengeluh tidak puas hati, “Banyak sangat ni bos! Tak sempatlah hari ini.”

Reza mencebik bibir, “Dah berapa kali alasan awak sama jer. Tapi tengok siap jugak.”

“Itu lain sebab hari biasa. Esok kan dah weekend bos,” tegas Maya.

Reza membuntangkan matanya, “Tapi kita kena selesaikan around this week!”

“Teruknya pemaju yang bos upah tu. Zalim sungguh!”

Reza tidak dapat menahan ketawa mendengar omelan comel dari Maya. Sedang Maya sibuk menyelongkar timbunan kotak tersebut, Reza perlahan-lahan membuka pintu almari di sebelah meja tulisnya itu sambil mengambil kemeja lain untuk diganti dengan kemejanya yang basah lencun ini. Dia memilih kemeja biru satin dari sebelah atas lipatan lalu menanggalkan butang bajunya satu persatu dengan perlahan-lahan.

“Okey bos saya rasa saya dah jumpa dokumen tu!”

Reza menoleh ke arahnya sambil tersenyum, “Bagus Maya, keep it up!”

Secara tiba-tiba Maya menoleh lalu mukanya berubah menjadi merah. Mulutnya ternganga dan separuh menjerit. Matanya membulat sambil tangannya menekup mulutnya. Rupanya ketika itu Maya ternampak Reza sedang menanggalkan kemejanya dan ingin menyarungkan kemeja yang baru. Susuk tubuh Reza yang sasa dan dibasahi oleh air hujan tadi jelas kelihatan dan cukup menggiurkan. Lagi yang membuatkan Maya benar-benar kelu lidah adalah otot-otot di perut dan dadanya selain lengannya yang kekar berurat itu. Hampir mahu pengsan, Maya segera membuang pandangan ke arah lain sebelum dia hanyut dalam pandangan yang menggoda iman itu. Reza pula dengan pantas menyarungkan kemeja yang baru itu lalu membutangkannya dengan segera. Lupa pula ada anak gadis yang sedang memerhatikannya.

“Maafkan saya Maya, I tak sengaja,” Reza berkata.

Maya masih enggan memandang ke arahnya, “Tak ada apa-apalah bos, saya jer yang lebih.”

Reza menyambung lagi, “Saya sudah biasa macam ini. Tidak segan silu salin pakaian.”

Maya perlahan-lahan menoleh ke arahnya, “Habis tu depan wanita pun awak selamba jer?”

Reza mengangguk sambil tersenyum, “Apa salahnya? Bagi saya biasa saja.”

Maya menggeleng sambil menepuk dahi, “Itu auratlah bos. Mana wanita boleh tengok.”

“Itu saya tahu tapi cara awak pandang saya tadi macam saya ni hensem giler. Ke ni first time awak tengok tubuh seorang lelaki?”

Ke situ pulak bos ni!

“Kenapa pulak? Habis tu badan abang awak lain ker?”

Maya nak tergelak bila berdebat dengan Reza pasal perkara ni. Dahlah Reza ini keras kepala orangnya. Mana dia nak mengaku kalah! Memanglah Maya mengaku inilah tubuh lelaki yang paling menarik dia pernah tengok. Selalunya badan macam tu layak masuk majalah fitness saja kalau dipamerkan. Tapi tak pernah pulak dia lihat Reza pergi menghabiskan masa di gymnasium, banyak masa dihabiskan membulib dia di pejabat adalah! Tapi susuk tubuhnya itu memang macam model majalah kesihatan, bak kata minah gedik alaf baru ni – abang sado!

Maya cuba menukar topik, “Dahlah bos, tak mahu cerita pasal nilah!”

Reza giat lagi, “Kenapa pulak?Saya nak tahu jugak apa komen awak pasal badan saya.”:

“Bos ni gatallah! Benci betul!”

Reza tertawa mendengar rengusan comel Maya, “Awak suka tengok kan?”

Muka Maya semakin kemerahan menahan malu yang teramat, “Bencilah bos ni!”

Reza menghamburkan ketawanya apabila melihat Maya tergesa-gesa meninggalkan bilik pejabat dan meluru ke bilik air wanita. Telatah Maya itu benar-benar mencuit hati Reza yang sudah lama tidak pernah mendampingi mana-mana wanita setelah berubah ke arah kebaikan. Jika dahulu dia sememangnya playboy dan kaki perempuan yang tidak pernah sunyi daripada didampingi wanita cantik daripada yang berstatus model hinggalah kepada anak jutawan dan datin-datin. Kini Mayalah wanita pertama yang dekat dalam hatinya. Hari-harinya menjadi lebih indah dengan kehadiran hilai tawa Maya di sisinya.

Maya keluar dari bilik air dengan wajah yang merah padam. Perasaan malu itu masih tebal dirasa.

“Awak tak ambil hati kan dengan gurauan saya?”

Maya menggeleng sambil tersenyum malu, “Mana ada bos. Jomlah kita mulakan.”

Reza tersenyum sambil meneliti wajah Maya, “Awak nampak begitu comel dalam keadaan begini. Ini yang buat saya seronok nak mengenakan awak.”

Maya mencebik bibir sambil mengomel, “Saya lagi menyampah dapat bos nakal macam En. Reza Haikal Adriansyah!”

“Marah ke?” giat Reza lagi sambil menyenggol bahu Maya.

Maya membalas dengan nada yang sinis, “Eh, taklah. Saya suka sangat!”

Setelah hampir 2 jam mereka di pejabat sambil menyelesaikan tugas-tugas mereka dan memeriksa setiap dokumen projek-projek yang lepas, akhirnya sudah tiba masanya untuk pulang. Maya sudah hampir 5 kali menguap sepanjang berada di dalam bilik Reza dan Reza juga sudah mula hilang fokus kerana terlalu letih berada di pejabat sambil bertemu dengan klien sepanjang hari. Setelah habis meneliti fail yang terakhir, Reza mendapati Maya sudah pun terlena di sofa di mana tempat dia memeriksa fail tadi. Reza sudah mula berasa tidak selesa kerana dalam keadaan sunyi sepi begini, begitu banyak godaan yang akan timbul kemudian nanti. Mahu tidak mahu dia pun cuba untuk mengejutkan Maya untuk bangun agar mereka boleh pulang bersama. Namun sudah puas digugahnya tubuh Maya namun dia masih tegar enggan bangun dari tidurnya yang lena itu.

“Mungkin dia penat sangat kot?”

Reza kembali ke tempat duduknya sambil memikirkan cara agar tidak mengundang fitnah. Lalu dia segera menelefon Izham untuk memberitahu berkenaan keadaan mereka di sini.

Izham mengangkat telefon, “Ya, Izham bercakap di sini. Apahal bos?”

Reza serba-salah untuk memberitahu situasinya sekarang, “Maya terlelap dalam bilik aku.”

Izham mulai berasa curiga dan khuatir, “Macam mana boleh jadi macam tu?”

Reza menjelaskan perkara sebenar, “Tadi saya minta dia overtime. Maybe dia letih kot.”

“Bos nak saya datang jemput dia ke?”

Reza menggeleng sambil berkata, “Saya minta awak datang temankan kami. Sebab saya tak mahu timbul fitnah antara kami. Saya tak nak kejutkan dia sebab dia letih sangat.”

Izham mengangguk lalu meletakkan telefon. Reza berpuas hati setelah memberitahu Izham berkenaan keadaan mereka. Dia tidak mahu rakannya itu curiga dengan hubungan dirinya dan Maya dan tidak mahu jika ia mengeruhkan hubungan mereka. Reza kembali memandang ke arah sekujur tubuh milik Maya yang sedang lena beradu itu. Entah mengapa tiba-tiba Maya kelihatan begitu jelita sekali ketika tidur begitu. Reza bangun sambil menuju ke arah almari di sebelahnya lalu membuka pintu almari tersebut. Dia mengambil selimut tebal dari dalam almari tersebut sebelum perlahan-lahan mendekati Maya yang sedang terlena itu. Dia menyelimutkan Maya dengan selimut tersebut lalu kembali ke tempatnya semula dan dengan sabar menanti Izham datang.

Izham bergegas menuju ke arah lobi sebelum menekan butang lif. Ah, nasib baik sempat sampai! Dah lah trafik sesak giler. Kalau tidak nanti terpaksalah dia duduk di dalam kereta sahaja sampai pagi. Si Maya ni pun satu kalau dah terlelap susah sangat nak kejutkan dia bangun. Macam mana mahu jadi menantu nanti? Izham mengomel sendirian. Geram betul punya adik yang langsung tidak peka pada keadaan macam itu. Kalau tidak tentunya dia tengah seronok guling-guling atas katil. Sudahlah esok Sabtu betul-betul kacau daunlah minah ni pun! Tidak sudah-sudah Izham menyumpah seranah di dalam lif.

“Hah, saya dah sampai! Apalah bos ni sampai Maya terlelap dekat sini.”

Reza merenung Izham tajam, “Eh dia kan pekerja saya. Suka hati sayalah!”

Oops! Izham terlupa. Reza kan bos mereka. “Maaflah bos tapi saya marah sebab Maya ni kacau daun. Saya nak berehat puas-puas hari ini! Bukannya tinggal dalam pejabat sampai esok.”

Reza kembali tersenyum, “Sorrylah beb. Lagipun mana pulak saya tahu dia macam ni.”

Izham tertawa melihat gelagat bosnya itu yang suka mengusik, “Bos sekarang dah nakal ek? Pandai mengusik pekerja pulak sekarang.”

“Tengoklah belajar dengan siapa pulak kan?” Reza memerli Izham.

Izham mencebik bibir. Memang susah nak menang kalau berlawan dengan orang macam Reza ini. Ada sahaja rancangan dia untuk membalas balik. Izham datang sambil membawa beberapa pek makanan segera untuk dinikmati bersama. Sedang mereka asyik menghidangkan makanan secara tiba-tiba Maya terjaga dari tidurnya.

“Macam mana abang boleh ada dekat sini?”

Izham menjawab dengan sinis, “Habis nak biar korang berdua jer?”

Maya mencebik bibir sambil menjeling ke arah makanan, “I laparlah bos.”

Reza menghulurkan set ayam goreng dan kentang goreng itu kepada Maya sambil tersenyum, “Ni manja-manja ni nak minta saya tolong suapkan ker?”

Haish! Bos ni pun satu sengaja nak mengenakan dia lagi dah malam-malam macam ni. Sudahlah mood dia hari ini tidak baik sebab terpaksa bermalam di dalam pejabat. Abang Izham pulak sudah ada dekat sini maka makin gamatlah suasana dengan mereka berdua ini. Dia yang seorang ini bakal jadi bahan jenaka mereka. Reza ini kalau diberi muka memang semakin memnjadi-jadi pulak nakalnya!

“Janganlah habiskan ayam tu. Tinggalkan sikit untuk bos tu tahu!”

Maya menjeling abangnya sambil tersenyum pada Reza, “Bos tak kisah kan?”

Dengan pantas Reza menggeleng, “Awak habiskanlah, saya dah cukup kenyang tengok awak makan. Dah macam kuda!”

Pantas sahaja sebiji penumbuk hinggap di bahu Reza dan abangnya itu. Maya boleh bersabar dengan bosnya seorang tapi bila abang dia dah join lagilah bertambah nakal beruang dua ekor ini! Padan pun dua-duanya pernah digelar bad boy oleh pekerja di sini. Tak hairanlah dengan perangai mereka yang kadangkala kuat menyakat dan nauzubillah kalau difikirkan. Macam manalah ada perempuan yang tahan asyik kena usik sahaja dengan budak tak cukup sifat dua ekor ini?

“Habis tu, takkan kita nak tidur dekat sini sampai pagi?”

Reza dan Izham masing-masing menggeleng sambil menahan ketawa. Ternyata Maya ini seorang yang lurus bendul dan sangat kelakar. Comel pula bila Maya marah-marah begini, terserlah lagi keanggunannya itu, walaupun mukanya masam tapi dia tetap cantik di mata Reza. Seronok mengenakan Maya kerana entah mengapa Reza dapat merasakan yang mereka begitu rapat seperti adik-beradik dan keluarga. Reza walaupun menaruh hati pada Maya namun dia lebih selesa menganggap Maya sebagai seorang adik. Baginya, dia mahu Menjaga Maya seperti seorang abang dan memberikannya kasih sayang. Dia berasa dia tidak layak untuk mencintai Maya sebagai seorang kekasih.

Izham selamba berbaring di sofa sambil menguap, “Balik esok sajalah. Letih!”

Maya melepuk abangnya dengan bantal, “Abang ni, jomlah kita balik!”

Reza mencelah antara mereka, “Dah tu, jangan bergaduh dekat sini! Dah malam ni.”

“Saya tak mahulah tidur dengan korang berdua! Tidur dalam jamban tu lagi best tahu?” herdik Maya sambil membetulkan tempat tidurnya.

Reza bangkit sambil mengemas semua pek-pek makanan yang telah terbuka dan menuju ke pantri untuk menyimpan baki-baki makanan yang tidak habis. Izham sedang sedap melingkar di atas sofa sambil menguap dengan panjang. Maya pula berasa tidak selesa dengan perangai abangnya itu yang suka buat macam rumah sendiri. Maya akhirnya bangun sekali untuk mengikuti Reza ke dapur.

“Bos saya tak sukalah tidur dengan abang saya tu,” protes Maya sambil menghentakkan kaki.

Comel pulak anak gadis ini. Reza melihat sahaja Maya merungut sambil berpura-pura tidak mendengar. Kadang-kadang perangai Maya itu sungguh keanak-anakan. Reza sendiri suka menyakat Maya kerana mudah sangat hendak membuat dia merajuk.

Reza cuba memujuk Maya, “Awak tidur dalam bilik saya tu, biar abang awak dan saya tidur dekat meeting room.”

Maya berasa tidak senang hati, “Tapi nanti bos tak selesa. Biar sayalah...”

Reza tetap berkeras, “Sudah Maya awak tidur jer dekat dalam bilik tu.”

“Baiklah bos. Tapi jangan lupa ambil selimut tebal tu takut bos kesejukan pulak.”

Reza mengerling ke arah Maya sambil bertanya, “Abang awak macam mana pulak?”

Lantaklah Abang Izham tu, ada dia peduli! Ada dia kisah? Mengada-ngada nak datang tidur sini bagai. Kan ke lebih elok dia jemput Maya balik ke rumah bukannya join sama tidur dekat sini sekali. Bengkak betul hati Maya ketika ini. Abang Izham ni kadangkala memang cukup menjengkelkan. Bagaimanalah Reza boleh geng dengan abang Izham ni. Pening kepala Maya dibuatnya. Lain kali Maya nak offkan phone biar abang Izham tak menyibuk dalam hal-hal peribadinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience