Bab 22

Other Completed 13152

Sudah seminggu berlalu sejak Ain menghantar pesanan kepada suaminya. Namun dirinya masih lagi berada di bawah kawalan lelaki yang menculiknya. Hatinya gusar. Kandungannya yang semakin membesar menambahkan kerisauannya. Jangka masa untuk dia melahirkan anaknya juga semakin hampir. Mungkin Ashhraff tidak menerima pesanan yang dihantarnya tempoh hari. Perasaan hiba mula menyelubungi.

Dalam tempoh sebulan dia diculik, makan pakainya tiada yang kurang. Malah berlebihan lagi. Namun hatinya yang galau tidak pernah merasakan semuanya mencukupi. Dia cuma menginginkan kebebasan yang dimiliki sebelum ini. Dia cuma ingin berkongsi setiap perkembangan tentang kandungannya bersuami suami tersayang.

Sering juga dia tertanya-tanya kenapa dia diculik. Kalau hanya kerana dendam lama, kenapa tidak dilunaskan segera? Apakah lelaki itu ingin melihatnya bersenang-lenang dahulu baru membuatkan hidupnya menderita? Apakah lelaki itu sengaja memberikan makan pakai yang berlebihan buatnya namun disebalik semua itu dia hanya ingin hati dan perasaan Ain perlahan-lahan menderita? Apakah lelaki itu hanya ingin mendera jiwa dan mindanya? Apakah lelaki itu ingin membalas dendam terhadapnya secara halus? Bermacam-macam persoalan muncul di benaknya.

'Akankah ku jejaki bahagia-Mu lagi?'

xoxoxoxoxoxo

Berkeriut pintu usang itu saat ditolak. Sekujur tubuh yang sedang berbaring mengiring itu dipandang sayu. Tidurnya pulas. Jelas kelihatan manik jernih mengalir dipipinya. Wajah itu jelas terpampang seribu satu rasa. Deritakah Ain sepanjang menjadi tawananku? Deritakah Ain sejak berpisah dan berjauhan dengan suami dan keluarganya? Deritakah Ain saat harus menerima ugutan dan cacian dari mulutku? Semua persoalan tersebut berlegar-legar dimindanya. Tanpa disedarinya setitis airmatanya tumpah menyembah bumi.

Kerana dendam lama Ain yang menjadi mangsa. Kerana kenangan semalam Ain yang menjadi galang-ganti. Kerana terlalu mengikut hati dan perasaannya, Ain yang menerima padahnya. Kejamkah aku? Mampukah aku terus melukai hati insan yang kusayang sepenuh jiwa dan ragaku?

Sepanjang sebulan lebih ini dia merasa cukup bahagia dengan adanya Ain disisinya. Dan selama itu jugalah setiap gerak-geri Ain diperhatinya. Tidak hairan lah jika dia mengetahui akan rancangan Ain untuk melepaskan diri darinya. Kerana itu nombor telefon dan juga telefon bimbitnya segera ditukar. Bimbang andai polis dapat menjejaki mereka. Kerana sayang dan cintanya pada Ain membuatkannya bertindak sedrastik itu. Kerana benci dan dendamnya pada Ashhraff membuatkannya mengambil tindakan bodoh itu. Ya, dia bertindak bodoh saat menculik Ain dan secara tidak langsung membiarkannya merasai penderitaan yang bukan sedikit. Zahir memang tidak tercela walau sedikit namun batinnya pasti!

Sering juga dilhatnya Ain cuba memaniskan muka saat berhadapan dengannya. Namun wajah Ain yang cuak sukar untuk disembunyikan. Kerapkali dilihatnya Ain terbongkok-bongkok cuba mencapai betisnya. Pasti kakinya sering terasa lenguh dengan pertambahan usia kandungannya. Ingin sekali dia menghulurkan bantuan mengurut kaki Ain namun dia sedar mereka berdua bukan muhrim. Tiada ikatan yang sah antara mereka yang menghalalkan dia menyentuh Ain sesuka hati. Dia sedar Ain adalah isteri orang. Isteri kepada salah seorang kenalannya!

Plastik berisi mee bandung permintaan Ain diletakkan di atas meja dengan berhati-hati. Bimbang andai lena wanita itu terganggu. Sudah cukup penderitaan yang dialami wanita itu selama ini. Cukup banyak dosa yang telah dilakukannya sehingga terasa bahunya sudah senget sebelah. Bahu kanan hampir sama kedudukan dengan telinga dan bahu kirinya pula separas dada. Terlayar-layar di ruangan matanya wajah cuak Ain memintanya membelikan mee bandung pagi tadi. Sungguh kasihan wanita itu. Makanan yang diidamnya kadangkala dipendamkan sahaja. Dia harus mengakhiri semua ini. Hanya dia sahaja yang boleh mengakirinya.

Dia menuju ke pintu. Ingin keluar dari bilik itu. Sebelum melangkah keluar, sempat dia berpaling dan hatinya berkata..

'Andai ini yang boleh membahagiakan Ainul Syauqah, aku rela mengundur diri. Andai ini yang boleh mengakhiri derita Ainul Syauqah, biarlah aku yang menamatkannya. Andai itu takdir buat Hafiz Nur Faqeh, aku redha.'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience