23 - Emak Hasif

Romance Completed 46143

Assila jatuh terduduk. Agaknya emak Hasif mengusung lesung batu di dalam beg tangannya. Beratnya menghentam kepala mampu menghentikan nafas Assila beberapa saat. Kantung kecil yang berada dalam genggamannya terlepas dari pegangannya. Isinya melantun keluar di atas lantai hadapan rumahnya.

Bila dunia kembali bercahaya, Assila menggerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan laju. Cuba membetulkan koordinat yang sudah lari dipukul tadi. Tangannya tiba-tiba dipagut lembut dan ditarik berdiri. Assila memandang gerangan yang membantunya.

Terlihat wajah risau Amran sedang memandangnya. Amran! Amran sudah pulang!

“Abang!” Assila terus melelar tangannya ke leher Amran. Tidak hirau pada mata emak Hasif yang memandang.

“Abang balik,” sendu suara Assila menzahirkan kepulangan Amran. Seperti mengulang pada dirinya sendiri yang itu adalah kenyataan.

“Abang dah janji kan,” Amran menjawab dari atas kepala Assila yang berada di bawah dagunya. Makin ketat pelukan Assila. Seakan tidak mahu melepas Amran walau pun sedetik.

“ Saya minta mak cik pergi dari rumah saya sekarang sebelum hilang sabar saya. Saya boleh buat report polis sebab mak cik datang rumah saya tanpa diundang dan cederakan isteri saya. Tolong pergi sekarang,” lembut tutur kata Amran berisi ugutan ternyata tidak menakutkan emak Hasif. Dia masih mahu melepaskan geramnya.

“Malang nasib kau beristerikan perempuan macam ni! Entah-entah kau pun dah digunakan dia!” kalau bukan dia yang sedang menjadi mangsa, memang sudah lama Assila angkat tabik spring pada emak Hasif. Begitu kental memelihara anaknya. Sampaikan habis dicari punca-punca yang menyebabkan kehidupan anaknya terganggu.

Bila tiada siapa yang bersuara dan membalas percakapannya, baru emak Hasif menunjukkan tanda mahu beredar. Assila yang dari tadinya sudah hilang dalam dunianya tersedar. Matanya terlihat kantung tadi yang sudah memburaikan isinya.

“Mak cik,” Assila panggil laju bila emak Hasif baru hendak beredar. Pelukannya dileraikan dari tubuh Amran. Assila tunduk mengutip kantung tadi dan isinya. Masih terlekat lagi sisa-sisa tanah di bahagian luarnya. Assila kembali memasukkan isinya ke dalam kantung tersebut dan diikat kemas.

Assila mampir ke arah emak Hasif dan menghulurkan kantung tersebut. Mata emak Hasif menajam memandang Assila dan kantung tersebut bersilih ganti.

“Saya jumpa ni ditanam bawah pokok pisang belakang rumah saya,” dahi emak Hasif berkerut. Nampak pergerakan tubuhnya yang seakan tersentak mendengar kata-kata Assila. Amran mendekat. Menarik tangan Assila yang sebelah lagi dan memegangnya erat. Seolah memberi kekuatan.

“ Pulangkan semula pada Hasif. Saya minta maaf dari mak cik andai sepanjang perkenalan saya dan mak cik, ada saya melukai hati mak cik. Walau sebenarnya saya sikit pun tak faham kenapa mak cik bencikan saya, saya tetap nak minta maaf. Anggap selepas ni tak ada lagi sebarang sengketa antara kita. Tentang Hasif pun saya minta maaf. Saya tak sangka kesannya sebegini teruk. Niat asal saya untuk tunaikan hajat mak cik saja. Tak sangka kesannya meleret sehingga sekarang. Sampaikan salam saya pada Hasif. Dan saya harap lepas ni, mak cik jangan cari saya lagi. Kita tak ada sebarang hubungan lagi,” terketar-ketar tangan emak Hasif menyambut kantung tersebut. Sepantas kilat emak Hasif hilang dari pandangan Assila dan Amran.

“Ada apa dalam kantung tu?” Assila pandang Amran dan memberi satu senyuman.

“Ada lah....barang tu dulu milik Sila, tapi dah lama Sila tak pegang. Tak perasan pulak yang ada orang lain tolong simpankan,” Assila kembali memeluk pinggang Amran. Pandangannya singgah pada kereta emak Hasif yang sudah keluar dari lorong rumah mereka.

Tidak tahu pada siapa hendak Assila letakkan salahnya. Hasif atau emaknya? Memnag benar, kasih ibu itu tiada penghujungnya. Tapi kalau sudah sampai tiada sempadan langsung seperti emak Hasif, itu sudah melampau. Takkan Assila mahu berdiam lagi.

Assila tekad mahu membuang nama Hasif dan emaknya dari memori Assila. Tiada untung pun jika diingat. Mungkin bolehlah diingat sebagai pengajaran. Pengajaran ke hadapan. Jangan diusik anak singa. Kalau ditangkap ibunya, padah akibatnya. Sayang emak Hasif membutakan mata.

Sedikit meremang bulu roma Assila mengenagkan sejauh mana emak HAsif sanggup pergi semata-mata untuk anaknya. Benci ada kalanya jangan terlalu diikut. Kelak boleh memakan diri.

Kalau dibuat list wanita yang paling ditakuti di dalam hidupnya, emak Hasif berada di tangga kedua. Yang pertama, tentulah ibunya Puan Habsah. Yang kedua, emaknya Hasif. Emaknya Hasif a.k.a Puan Embon.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience