19 - Yang Kekal Itu

Romance Completed 46144

Amran duduk lama di dalam kereta. Lampu yang terpasang di dalam rumah dipandang lama. Jam sudah mencecah pukul 10 malam.

Aduhh....serabut! Amran pening dengan perasaan sendiri. Sayangnya pada Assila menggunung tinggi bak Gunung Everest. Tapi kebelakangan ini, bila melihat wajah Assila, Gunung Everest terus runtuh menyembah bumi. Hilang rasa kasih.

Ada saja tingkah Assila yang menjentik amarah di hati. Di mana silapnya? Masuk ke rumah, Amran memaling muka dari Assila. Bila pergi bekerja, wajah Assila pula yang diingat-ingat seperti orang angau bercinta.

Hei! Assila itu isteri dia! Mengapa mesti angaukan sesuatu yang memang sudah menjadi miliknya. Saban hari Amran hampir menghantar mesej pada Assila mengajaknya keluar makan sekali. Hujung-hujungnya, jari terhenti setakat di atas nama ‘Isteri’ di dalam telefon. Niatnya mati tiba-tiba tanpa sebab.

Allah.....Amran raut wajah sambil bersandar di dalam kereta. Amran pasti ada yang tidak kena. Pasti!

Langkah kaki dilangkah berat menuju ke pintu masuk. Tidak sampai beberapa saat, pintu sudah terbuka. Menampakkan samar-samar wajah Assila yang disirami cahaya lampu dari ruang hadapan rumah.

“Abang!” siap dengan senyuman lagi Assila menyambut. Kalau dulu, senyuman Assila seperti ABC yang diminum ketika matahari membahang. Tapi detik ini, senyuman Assila seperti dirasakan mengejek-ngejek kepenatan Amran yang pulang lambat. Dan di luar sedar, mulut Amran terus mencipta ayat.

“Seronok tengok orang balik lambat ke?” mati senyuman Assila. Disambut mesra-mesra, dilayan seperti orang berdosa besar pula!

“Abang dah makan? Assila boleh panaskan lauk kalau abang nak makan” Amran menjeling Assila tanpa sebab. Geram benar dirinya melihat Assila yang ceria malam-malam begini. Rasa mahu diramas-ramas wajah Assila yang berseri bak bulan mengambang tersebut.

Tanpa menjawab, Amran terus menonong masuk ke bilik. Baju yang sudah tersedia di atas katil dipandang sekilas. T-shirt berwarna biru lembut dan kain pelikat tersebut tampak buruk di matanya. Diambil t-shirt dan kain pelikat tersebut dan terus dibaling masuk ke dalam almari. Dia boleh pilih sendiri bajunya! Tak perlu Assila mengatur-ngatur hidupnya.

Malamnya, Amran terjaga dari tidur. Terpana sebentar melihat wajah Assila yang dekat dengan wajahnya. Bergerak tangan Amran mahu mengelus pipi Assila. Baru saja hujung jarinya menyentuh pipi mulus Assila, terbit satu rasa tidak suka. Lantas ditarik tangannya pantas seperti baru menyentuh besi panas.

Bilik tiba-tiba terasa panas. Amran bangun keluar dari bilik. Sebelum pintu tertutup, matanya masih memandang Assila.

Berbaring di atas sofa hadapan, Amran pandang kipas yang berputar laju. Mindanya bermain-main sendiri.

Kata dia, Assila bukannya isteri yang baik. Sudahlah banyak bercakap. Berceloteh sana sini seolah-olah Amran suka sangat mendengar ulahannya. Kata dia lagi, dulu Amran silap memilih. Mengapa mengejar Assila yang tidak pernah mengatakan dia cinta pada Amran? Sudahlah mencari Amran hanya selepas berpisah dengan kekasih hatinya. Begitu kah calon isteri solehahnya?

Mata Amran tiba-tiba menangkap kelibat sesuatu dari ekor matanya. Berdiri di depan pintu bilik air. Terasa pendek nafasnya bila sedar apa yang dilihatnya itu bukan makhluk yang berkongsi dunia dengannya.

Amran bangun duduk dan segera dengan sedikit lantang memuji kebesaran Allah s.w.t. 3 kali diulang, lembaga hitam tersebut hilang. Kemudian baru Amran membaca ayat kursi.

Amran berdiri memandang seluruh pelusuk rumahnya. Baru dia tersedar yang tadinya dia sudah hanyut dibawa bisikan makhluk tadi. Kata dia...kata dia...Siapa dia? Siapa dia yang membisikkan keburukan Assila di fikirannya dalam diam.

Amran melangkah ke bilik air. Mahu mengambil wudhuk untuk menunaikan solat sunat. Ada sesuatu yang sedang mengganggu rumah tangganya. Dan dia akan pastikan semua gangguan itu nyah dari hidupnya dan Assila!

Usai solat sunat tahajud dan solat hajat, jam sudah menunjukkan pukul 3.30 pagi. Kalau Amran tidak tidur sekarang, mahunya esok dia terlungkup di meja meeting dek mengantuk. Sewaktu berpusing mahu bangkit, sekali lagi Amran terkejut!

Assila sudah berbaring tidur betul-betul di belakangnya berbantalkan bantal kusyen kecil. Sayu sebentar melihatkan tubuh kecil isterinya yang mengerekot tidur. Kenapa sampai ke sini Assila sampai?

Sudahnya, Amran ikut serta berbaring di tepi Assila. Selimut tebal yang diambil dari dalam bilik di ambil buat melindungi mereka dari sejuk pagi.

Wajah Assila direnung sehingga matanya terlelap. Sayang, bukannya tidak sayang. Siapa tak sayang bini oii....Amran senyum seorang mengingatkan ayat yang selalu menjadi sebutan ramai orang itu.

Yalah, siapa yang tak sayang isteri? Amran lagi lah. Assila itu di sayang separuh mati. Masakan sekarang dia mahu menyerah kalah pada gangguan-gangguan begini. Gangguan itu hanya sementara. Tapi hidupnya dengan Assila itu untuk selamanya. Cinta Amran pada Assila itu kekal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience