21 - Hujan Cinta

Romance Completed 46143

“Dalam Surah Al-Baqarah dah ada disebut tentang perkara ni. Ayat 102,” Assila tekun mendengar kata-kata Ustaz Nan. Sepotong ayat yang dibacakan Ustaz Nan sedang tepat terkena pada masalah yang Assila hadapi sekarang bersama Amran.

‘Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah.’

Ya, tiada perkara buruk yang berlaku melainkan dengan izin Allah s.w.t. Assila berpegang pada kata-kata itu. Bi Iznillah...Dengan izin Allah.

“ Suami tak ikut?” Assila tersentak keluar dari ingatannya. Suara isteri Ustaz Nan yang gemersiknya bak buluh perindu menyiram air ke hati Assila. Untung Ustaz Nan. Punya isteri yang sudahlah cantik, adabnya juga tip top! Assila yang perempuan ini pun boleh terbuai hanya dengan melihat isteri Ustaz Nan.

“Suami saya...tak ada sekarang. Dia outstation,” bila diingatkan tentang Amran, sayu singgah di hati. Amran ke mana? Langsung tidak menelefon dari 2 hari lepas. Assila risau! Hanya pesanan ringkas sahaja yang mampu Assila hantar saban hari. Tidak berani mahu menelefon. Kalau Amran mahu mendengar suara Assila, pasti dia sendiri sudah lama menghubungi Assila. Kebisuan Amran memberi makna yang Amran sendiri tidak betah mahu mendengar suara Assila.

Ustaz Nan dan isterinya berpandangan. Entah apa agaknya yang ditafsir mereka dengan jawapan Assila. Biarlah! Bukan hal Assila jika mereka mahu berfikir macam-macam.

“Suami Puan dah tahu?” Ustaz Nan menebak. Assila jadi ragu mahu menjawab. Kata hatinya, Amran sudah tahu. Dan kerana itulah Amran membawa diri.

“ Kalau tengok dari Puan, saya rasa suami Puan dah tahu,” pandai pula Ustaz Nan meneka-neka. Dia pun pandai menilik kah?

“ Isteri mencerminkan suami. Tengok dari Puan pun, saya dah boleh agak macam mana peribadi suami Puan. Dari cerita Puan, saya rasa dia masih boleh kawal diri. Bermakna dia mungkin sedar apa yang sedang berlaku,” tidak tahu Assila sama ada Ustaz Nan mahu memuji atau memberi peringatan. Tanpa dipinta, isteri Ustaz Nan pula menyambung.

“ Assila jangan risau. InsyaAllah, masalah ni boleh selesai. Nanti suami Assila balik tu,”terasa mahu menangis pun ada mendengar pujukan isteri Ustaz Nan. Dengan suara lembutnya itu, memang betul air matanya mahu menitik.

“Balik ni, cuba cari keliling rumah. Sihir ni boleh dihantar dalam macam-macam bentuk. Melalui makanan pun boleh. Melalui barang pun boleh. Melalui gambar pun boleh. Periksa keliling rumah. Sebelum tu buat solat sunat mintak petunjuk dulu. InsyaAllah..hati akan tergerak sendiri ke tempat yang ditanam tu. Doa tu senjata penting. Ingat tu,”Assila angguk. Mulut terasa mahu bertanya satu perkara. Tapi takut diketawakan pula.

“Nak tanya apa? Nampak sangat muka teragak tu,” Assila garu kepala yang tak gatal. Pandai pula Ustaz Nan ni berlawak. Isterinya ikut sama ketawa.

“Err...Ustaz tak boleh tanya direct dekat benda yang dihantar tu ke?” seram sejuk rasa tubuh bila bertanya tentang makhluk-makhluk yang tak kelihatan dek mata itu. Sahihlah! Walaupun sudah diberitahu tidak perlu takut pada mereka kerana mereka juga makhluk Allah s.w.t, tetap rasa gementar itu ada. Sekarang pun Assila balik tidur di rumah Puan Habsah. Pada ibunya diberitahu tentang hal yang berlaku. Puan Habsah tidak pula bising. Dia cuma diam dan memberi nasihat supaya Assila lebih mendekatkan diri dengan Allah.

Kata Puan Habsah, ‘ Ihfazillah Yahfazka’ - Jagalah (hak) ALLAH, nescaya ALLAH menjagamu –

Assila yakin! Allah s.w.t. tak akan memberi beban yang tidak mampu digalas hambanya. Jika ini ujian untuk rumahtangga mereka, Assila redha. Dan Assila akan berusaha untuk keluar dari masalah ini. Pass with flying colors!

“Boleh kalau saya nak tanya, tapi Puan rasa jawapan yang diberi tu betul atau tipu?” oh, baru Assila faham. Kemungkinan makhluk itu menipu adalah besar. Tambahan pula, mengapa mesti dia membelakangkan Tuan yang menghantarnya?

Selepas sekali lagi memastikan dengan Ustaz Nan tentang cara untuk mencari benda yang ditanam itu, baru Assila mengundur diri pulang ke rumah.

Sunyi di dalam kereta membuat Assila rasa syahdu. Tidak ingatkah Amran pada isteri yang ditinggalkan? Sudah hilangkah cinta yang dulu disiram lebat untuk hati Assila? Hujan cinta Amran sudah semakin menipis. Tinggal Assila yang sedang berusaha berdoa meminta hujan yang satu itu tidak dihentikan dari menyirami hidupnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience