24 - Insan Berdosa

Romance Completed 46143

Puan Embon memandu pulang dalam sedar tak sedar. Kantung yang berisi sebentuk cincin dan sepasang subang itu berkali-kali ditoleh tengok. Jantungnya terasa mahu luruh saat Assila menyerahkan barang tersebut.

Tujuannya sekarang hanya satu. Mahu selamat sampai di rumah. Mahu membetulkan keadaan yang sudah jauh terpesong.

Masuk ke perkarangan rumahnya, sedang elok azan maghrib berkumandang dari surau taman perumahan. Puan Embon gagahkan kakinya membawa tubuh yang terasa longlai dari rumah Assila tadi lagi.

Tubuhnya yang sedikit gempal itu terus terhenyak di atas sofa. Ibarat tiada tulang lagi duduknya. Lemah terasa seluruh tubuh. Kantung yang berada dalam genggamannya dipegang erat. Matanya meliar melihat segenap penjuru rumah. Rasa takut tiba-tiba menerpa. Kantung tadi dicampak ke atas meja kopi di hadapan sofa.

“Emak?” suara Hasif kedengaran dari muka pintu dapur. Sepantas kilat Puan Embon menoleh memandang anaknya. Satu-satunya anak lelaki yang ditatang bagai minyak yang penuh. Ini sahaja harta peninggalan arawh suaminya. Ini saja harta dunia dan akhiratnya. Tapi sekarang?

Di mana silapnya? Salahkah dia membenci Assila? Semasa awal diperkenalkan kepada Assila, Puan Embon tidaklah benci seperti sekarang. Dia tumpang gembira bila Hasif gembira. Puan Embon turut sama melayan mesra Assila. Padanya, jika itu yang Hasif sayang, maka itu jugalah yang akan dicinta.

Tapi lama-kelamaan, kasih Puan Embon jadi pudar. Dilihatnya, Hasif sayangkan Assila berlebih-lebihan. Sehinggakan ada satu waktu dahulu, Hasif sanggup bertukar tempat kerja semata-mata untuk menemani Assila yang menyambung pengajian di negeri lain.

Ketika itu lah, suka Puan Embon pada Assila diterbangkan angin. Hilang terus diganti dengan rasa benci. Assila mengambil Hasif daripadanya! Assila curi kasih Hasif pada emaknya sendiri!

Bermula dari itu lah, Puan Embon giat memperkenalkan wanita lain kepada Hasif. Wanita yang mendengar kata Puan Embon. Wanita yang boleh Puan Embon ikat kuat di sisinya. Kalau rancangannya berjaya, Hasif akan selama-lamanya kekal bersama Puan Embon. Tak perlu Puan Embon risau yang suatu hari nanti dia terpaksa menagih kasih anaknya sendiri.

Tapi hampa! Sayang Hasif tidak bertepi. Assila tidak semudah itu boleh dikikis dari fikiran Hasif.

Bila Assila mengundur diri, Puan Embon lah manusia yang paling gembira di muka bumi ini. Kesedihan Hasif padanya bersifat sementara. Masa akan mengubati luka di hati Hasif. Tapi....

“Emak?” lampu di ruang tamu dibuka. Menampakkan wajah Puan Embon yang pucat tidak berdarah. Mata Hasif singgah pada kantung di atas meja kopi. Matanya membulat. Mata Puan Embon peka memerhatikan tindak tanduk Hasif.

“Sif yang buat kan?” mata Hasif bergerak memandang Puan Embon. Puan Embon mengambil kantung tadi dan terus dibaling ke arah Hasif. Pantas Hasif menyambut sebelum terkena di dadanya.

“Mana mak ambil ni?” lain yang ditanya, lain pula yang dijawab. Puan Embon mula menyirap.

“Jawab soalan mak!” suara Puan Embom sudah meningkat satu tangga dari tadi.

“Mak ni tuduh apa ? Sif buat apa?” Puan Embon mencemuh. Masih mahu berpura!

“ Jangan tipu mak! Apa Sif buat ni? Sif tahu tak semua tu syirik? Kita ada agama. Sedar diri tak?!”

“Sebab Sif sedar diri lah Sif buat semua tu!” Puan Embon terpempan. Jadi, memang sah lah Hasif ada membuat perkara terkutuk tu! Puan Embon kembali bersandar di sofa. Terkumat kamit mulutnya beristighfar. Apa yang sudah Hasif lakukan?

“Sif buat supaya Assila cerai dengan suami dia! Assila tu milik Hasif tau mak. Dulu pun Assila tinggal Hasif, entah-entah lelaki tu guna-gunakan dia. Sebab tu Assila terus kahwin dengan dia lepas putus dengan Sif. Lelaki tu yang mula dulu guna cara kotor rampas Assi....!” tempikan Puan Embon mematikan amukan Hasif yang seperti orang hilang arah percakapannya.

“Hasif!!”

“Mak yang buat Assila putus dengan Sif! Mak! Semua ni salah mak! Bukan salah Assila!” mulut Hasif terbuka tertutup persis ikan sedang mencungap. Tidak tahu apa yang mahu dikatakan ketika itu. Puan Embon punca hubungan dia dan Assila berantakan?

“Mak jangan nak reka cerita la mak..Sif tahu lelaki tu yang buat something sampai Assila gilakan dia,”

“Tak! Mak yang salah!” beria Puan Embom mengaku sampai menepuk-nepuk dadanya sendiri.

“Mak marah Assila. Mak maki Assila. Mak yang buatkan Assila minta putus dengan Sif. Sebab mak tak suka Assila. Mak tak mahukan dia sebagai menantu mak. Bukan salah dia..bukan salah dia...,” Puan Embon sudah menekup muka menangis teresak-esak. Hasif yang tadinya berdiri sudah terjelepuk di atas lantai.

Bukan salah Assila tapi salah emaknya sendiri? Jadi betullah kata Assila tentang emaknya? Bila Assila meminta dia mengikut kata emak, itu bermakna Assila juga sedang menunaikan hasrat emak? Hasrat emak yang tidak mahu bermenantukan Assila.

Hasif senyum seorang sambil menggeleng kepala. Rambutnya diramas dengan kedua-dua tangan. Tidak! Dia tidak percaya semua ini!

“Apa yang kau buat tu syirik Sif....dosa besar....Ya Allah...,”rintihan Puan Embon sampai di telinga Hasif. Perlahan Hasif bangun dari duduknya di atas lantai. Tangannya bergerak mahu mencapai kantung yang berisi cincin dan subang milik Assila, Tapi terhenti sekerat jalan.

Untuk apa lagi menyimpan benda yang bukan miliknya? Assila hilang dari genggamannya bukan salah sesiapa. Itu semua salah dirinya. Salah dia kerana tidak peka dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Salah dia kerana tidak menjangka emaknya sendiri mampu bertindak sebegitu rupa.

Sangkanya Puan Embon masih boleh dipujuk untuk menerima Assila. Rupanya, benci Puan Embon sudah berakar umbi sampai ke dalam perut. Tak mungkin boleh diubah lagi.

Dan yang lebih bodohnya, Hasif ikut sama terjerat. Terjerat dengan dirinya sendiri yang tidak mahu menerima takdir. Tidak redha dengan qada’ dan qadar.

Nah! Inilah balasannya. Sudahlah bodoh, jahil agama pula! Bisikan syaitan mudah benar sampai di hatinya sehingga dia ikut melalui jalan hitam. Menghantar benda tidak elok yang boleh meruntuhkan rumah tangga Assila.

Ya Allah.....menitik air mata Hasif. Betapa besarnya dosa dirinya. Membuat perkara yang dilaknat! Syirik! Lagi cuba meruntuhkan masjid yang dibina Assila.

Memang padan dengan dirinya. Patutlah Assila bukan jodohnya. Kerana wanita seperti Assila tidak mungkin padan dengan insan berdosa sepertinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience