BAB 1

Romance Completed 14475

Cinta 'kan membawamu
kembali disini, menuai rindu
Membasuh perih
Bawa serta dirimu, dirimu yang dulu
Mencintaiku apa adanya

Saat dusta mengalir, jujurkanlah hati
Genangkan batin jiwamu, genangkan cinta
Seperti dulu, saat bersama, tak ada keraguan

****

‘’Sudah dapat emel yang saya kirimkan pada awak semalam? Dah buka?”

Alamak! Mampus! Bohong habislah kalau aku kata aku langsung tidak menerima e-mel penting sebegitu daripada Encik Firash kerana semalaman aku bertapa di hadapan komputer riba kesayangan, menanti e-mel daripadanya untuk aku gunakan.

Semalam, Encik Firash terpaksa menghadiri perjumpaan di Klang dan kes tergempar di sebuah dewan besar yang menemu ramah seorang pelakon popular, Rusy Hakimin mengenai kariernya yang semakin diterima ramai. Jawapan yang kami terima bakal dimasukkan ke dalam majalah Ekspresi di dalam segmen E-Bicara pula.

Stereng kereta aku genggam erat sementara menanti lampu isyarat berubah hijau. Lampu merah yang menyala terang membolehkan aku untuk menggunakan telefon bimbit bagi berhubung dengan Encik Firash di pejabat. Kepala tetap aku anggukkan laju biarpun tidak dapat dilihat dek pemanggil di hujung talian. Gayo (gaya) tak nak kaloh!

“Sudah. Saya dah catat apa yang encik tuliskan. Soalan-soalan tu nanti akan saya ajukan untuk Encik Chen. Kalau ada apa-apa saya akan hubungi enciklah.”

Chen Huan Kiat.

Perlu aku berjumpa dengannya sekiranya aku sudah sampai ke destinasi yang aku tuju. Kawasan Ulu Yam ini bukannya aku tahu sangat selok-beloknya, bimbang tersesat sampai ke Tanjung Rambutan pula. Mati nak jawab dengan Encik Firash kalau aku dimasukkan ke situ. Uiii… tidak semena-mena aku pula yang masuk majalah sendiri.

Aku dengar cerita daripada rakan-rakan bahawa Encik Chen sebenarnya merupakan salah seorang daripada penternak lembu dan kambing yang berjaya di kawasan ini. Cumanya nama mereka masih belum diketahui umum.

Ternakan lembu yang mereka ternak sihat-sihat belaka malah semakin mendapat tempat di hati pelanggan yang datang dan memesan lembu atau kambing. Kosnya juga amat berpatutan dan tidak sampai cekik darah dan urat saraf orang lain. Yang menjadi tumpuannya di sini ialah para penternaknya aku dengar sebenarnya masih muda.

Hah! Baguslah anak-anak muda bekerja dalam bidang yang dipandang remeh dek orang ramai ini. Setidak-tidaknya ada juga orang yang sudi menternak haiwan.

Pekerjaan sebegini dikira sebagai berniaga juga kerana berurusan dengan pelanggan yang datang untuk menempah terlebih dahulu atau mendapatkan hasil tenusu yang segar dari ladang.

Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa kedudukan perniagaan adalah merupakan suatu kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan”(Hadis Riwayat Tirmizi)

“Rahadatul ‘Aisy!”

Terkejut chimpanzi aku disergah dek Encik Firash di corong telefon. Chimpanzi pun tak pernah terkejut macam aku. Termalu aku sendiri kerana sempat pula mengelamun sambil memandu dan menggunakan telefon bimbit.

Ini kalau polis tahan sah-sah aku kena saman bertubi-tubi. Bibir tersengih serba salah dengan kelalaianku sendiri.

“Maaf, maaf. Encik ada pesan apa-apa ke tadi?”

“Saya cakap… sampai saya jangan lupa jumpa Encik Chen.”

“Ya, encik. Nanti saya jumpa dia.”

“Bagus. Kalau ada benda yang tak cukup bagitahu saya cepat-cepat.”

“Baik,” sahutku.

Talian aku matikan apabila mulai tiba di kawasan yang agak sempit di mataku. Penuh berhati-hati aku mengendalikan kereta kesayanganku untuk memasuki lorong yang sudah tidak nampak jalan turapnya. Hanya debu dan tanah yang dijadikan petunjuk sebagai laluan sedangkan kawasan sekeliling dilindungi dengan semak-samun dan rumput yang semakin menghijau.

Dapat aku perhatikan denai yang mengalir tenang di sebelah barat memukau mana-mana mata yang sempat menatapnya lama. Sinaran matahari yang memancar memberikan sinar kepada permukaan air yang sedikit berkocak, barangkali disapa dek ikan atau haiwan lain seperti pepatung.

Sebuah papan tanda yang memaparkan gambar lembu dan jumlah meter yang bakal membawa aku ke arahnya membuatkan aku semakin tidak sabar-sabar untuk turun padang. Inilah kali pertama aku akan melawat sendiri kawasan penternakan. Selama ini tugasku hanyalah menaip maklumat dan tips kesihatan di meja sendiri tetapi kali ini aku berpeluang untuk menemu ramah sendiri penternak yang berjaya.

50 meter.

Tidaklah jauh sangat, petik jari sudah sampai!

Kereta membelok perlahan ke sebelah kiri apabila terlihatkan beberapa ekor lembu yang dilepaskan sedang khusyuk meragut rumput di padang. Luas kawasannya begitu mengagumkan hati yang tidak pernah sebenarnya melihat tempat-tempat begini.

Kalau di pejabat, aku akan dihidangkan dengan bau asap kenderaan dan bangunan pencakar langit yang semakin bertambah jumlahnya. Kesesakan lalu lintas dan sikap tergesa-gesa manusia untuk ke tempat kerja sudah sebati di dalam jiwa.

Aku terpanar melihat seorang lelaki yang sedang elok mengusap badan seekor lembu yang meragut rumput. Senyuman di bibirnya menggambarkan betapa gembiranya dia dalam melaksanakan pekerjaan. Sesekali dia seperti berkata-kata dengan lembu yang kononnya memahami bahasa manusia.

Tok! Tok! Tok!

“Hello!”

Sapaan mesra daripada seorang lelaki berbangsa Cina membuatkan senyumanku menjadi bertambah lebar. Simbol tabik hormat aku tayangkan khas buatnya yang telah mengetuk cermin tingkap keretaku.

Perlahan-lahan cermin tingkap aku turunkan untuk berkomunikasi dengannya. Harap-harap dialah Encik Chen yang aku cari selama ini. Tidaklah aku terkejar-kejar mahu mencari lelaki yang Encik Firash maksudkan.

“Hello, there! Nice to meet you. Anyway, I’m Rahadatul ‘Aisy from Eskpresi magazine. Can I meet Mister Chen? Chen Huan Kiat. There’s something I need to discuss with him, if you don’t mind.”

Lelaki itu ketawa perlahan. Topi jerami di kepalanya yang terjatuh dibiarkan tersangkut sahaja di leher yang tercurahnya keringat.

“Lucky you as I’m Chen Huan Kiat.”

Aku terkejut. “Seriously you’re Mister Chen?”

“I’m afraid I am,” sakatnya sebelum menyambung sisa-sisa tawa yang berbaki.

Tidak lekang lelaki ini daripada senyuman manisnya yang aku kira tampak begitu ikhlas di mataku ini. Jari telunjuk dituding ke sebuah dataran kosong yang tiada pepohon mahupun rumput yang bisa dilihat. Hanya pasir dan tanah kosong yang terhidang di sana.

“You can park your car there. We’ll have our breakfast together first then we’ll start the interview, if it doesn’t bother your schedule. You look tired so you should get some rest before starting your job.”

Cepat sahaja kepala ini aku gelengkan. “It wouldn’t. Thank you.”

Jalan yang berlopak menyukarkan aku untuk memandu dalam keadaan yang selesa. Mahu kebas punggung kerana sedari tadi asyik terlompat sana, terlompat sini. Selesai memarkirkan kereta di sebelah kereta Lamborghini entah kepunyaan siapa, aku mengunci kereta aku sebelum membuat pembandingan percuma antara kedua-dua kereta yang ada di situ.

Lamborghini Gallardo.

Perodua Myvi sahaja aku punya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience