BAB 17

Romance Completed 14475

3 tahun kemudian…

Selesai memasak ayam masak sambal serai dan juga sayur campur untuk hidangan tengah hari, aku turut menyediakan sambal belacan dan sedikit kacang botol sebagai ulam-ulaman.

Kata babah hari ini ada tetamu yang hendak datang namun aku tidak tahu pula siapa. Barangkali babah bahu berbincang dengan AJK surau tentang Hari Raya AidilAdha yang bakal disambut kurang dari sebulan lagi. Hendak berbincang tentang kewangan dan siapa yang dilantik untuk menyembelih lembu-lembu itu nanti.

Babah yang muncul dengan kopiah di kepala tersenyum lalu aku membalas sahaja senyumannya. “Babah, siapa tetamu yang nak datang tu? Kalau ramai yang nak ke sini, Ad sediakan pinggan banyak sikit.”

“Uih… banyak jugak. Susah nak cakap…”

“Uish, macam banyak benar aje. Berapa orang?”

“Seorang!” Babah menjawab sebelum tersengih nakal.

Terjegil mataku memandang babah sebelum tangannya aku cubit manja sekadar melepaskan geram. Tak patut betul bergurau sebegitu. Mati-mati aku ingat ramai yang akan membuat rombongan ke sini. Babah memang suka buat aku dapat penyakit jantung terlebih mengepam darah beroksigen. “Babah ni, orang tanya betul-betul, dia main-main pulak!”

Ketawa babah mendengar bebelan aku.

“Nak bermanja dengan anak sendiri pun susah. Garang bukan main macam ikan pirana. Nanti babah bermanja dengan bakal mak kamu, mati kena serang dengan tok imam dan bilal!” sakatnya dan menyambung tawanya kembali.

Aku yang pada mulanya bermasam muka terus meledakkan tawa apabila terbayangkan babah yang gatal ingin mengorat ‘bakal mak tiriku’ itu. Aku tahu babah hanya berjenaka. Mak Kiah yang duduk di gerai makan Pak Ayyub itu memang sukakan babah tetapi babah buat tak layan sahaja. Jual mahal betul babah aku! Poyo ini semua, poyo…

Kata babah, dia ingin setia untuk terus mengingati arwah mama yang meninggalkan kami sejak sekian lama. Hatinya tidak ingin digantikan dengan cinta yang lain. Cukuplah hanya arwah sahaja yang pernah dia sayangi.

Sempat pulak hari tu babah buat sajak tak berformat depan aku untuk meluahkan emosi. Hailaa… babah, babah! Jiwang betul jiwanya itu! Nasiblah jadi babah aku. Kalau babah orang lain, aku gelak terguling-guling macam tenggiling.

“Sudah, sudah! Amboi… seronok sungguh gelakkan babah!”

“Mood ceria kena ada, baru dapat feel sikit nak gelakkan babah sendiri,” selorohku sebelum membancuh air oren di dalam jag buat tetamu yang bakal hadir kelak. Hanya menanti sahaja kehadirannya ke rumah ini. Jam aku kerling sekilas dan jarum jam berganjak ke pukul satu petang.

“Babah… mana tetamu babah tu?” soalku kurang sabar.

“Dalam perjalananlah agaknya…”

“Assalamualaikum!”

Serentak babah dan aku menjawab salam yang dihulurkan. Hai, panjang benar umur kau, Encik Tetamu. Baru kusebut namamu, sudah kau muncul secara tiba-tiba di rumahku. Firasatku kuat mengatakan bahawa orang yang datang itu sebenarnya ingin membincangkan soal korban dan sembelihan. Lagipun, memang babah yang bertanggungjawab untuk menguruskan hal-hal itu.

Kaki aku hayunkan kemas bagi bergerak ke dapur, mengisikan mangkuk kaca dengan air untuk dibuat basuhan tangan. Usai itu, penuh berhati-hati aku melangkah semula ke meja makan untuk menyertai mereka berdua yang bagaikan kenalan lama yang sudah tidak bertemu sejak dahulu lagi.

“Kamu sihat?”

“Alhamdulillah. Never been better.”

“Alhamdulillah, lega uncle dengar.”

Tetamu mana babah culik jadi mat saleh celup cat licau ini agaknya? Siap speaking London dengan babah dan babah pun pergi layankan sahaja gelagat tetamunya yang seorang itu. Sambil mulutku menggumam sendiri menyanyikan lagu Nak Dara Rindu dendangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, aku sempat mencapai kotak tisu Premier yang terletak elok di meja kecil dapur.

Langkah yang selaju Usain Bolt terus melekat di lantai apabila renungannya secara tidak sengaja bertembung dengan anak mataku yang turut memerhati.

Pranggg!!!

Wajahnya pantas berpaling untuk memandang aku yang tidak mampu memegang lagi mangkuk berisikan air basuhan tangan. Sama seperti aku, riak yang tercoret tampak sungguh pucat dan terkejut dengan pertemuan yang tidak terjangka usai tiga tahun berpisah tanpa kata.

Mengucap panjang babah sambil mengusap dada.

“Ya Allah… terkejut babah. Ingatkan apalah yang jatuh tadi. Ad okey tak?”

“Ooo… okey, babah. Ad okey,” bohongku walhal jantung mahu meletup ibarat mercun pop pop dengan aturan ini.

Serpihan kaca aku kutip dengan tangan sepantas yang aku boleh. Serpihan itu kemudian aku buangkan ke dalam tong sampah. “Babah, Ad… Ad ingat Ad makan dekat dapur ajelah,” aku cuba mengelak daripada bersua muka dengan lelaki itu lagi padahal semua lauk sudah selamat aku sendukkan ke dalam mangkuk yang ada di meja makan. Tak fasal-fasal aku baham peti sejuk.

“Isyh… apa cakap macam tu depan tetamu? Kan elok makan sama-sama dekat satu meja? Lagipun, kita bukannya selalu sangat jemput orang makan dengan kita dekat rumah. Eloklah kalau makan ramai-ramai daripada makan seorang diri. Betul tak apa yang uncle cakap ni, Muhammad?”

Tanganku semakin kemas menggenggam penumbuk. Bukan untuk menumbuk muka orang, apatah lagi menumbuk patung beruang untuk melepaskan amarah.

Perasaanku kini bercampur-baur dengan perencah sebak, sedih, geram, dan kecewa yang digaul menjadi sebuah sebatian. Muhammad? Selama ini dia sorokkan identitinya dan biarkan aku tidak tahu apa-apa sedangkan sedap sahaja mulutnya memanggil babah dengan gelaran uncle?

“Babah… ni siapa ye?”

Rasakan! Aku tahu jikalau aku mahu mendengar sendiri semuanya daripada mulut lelaki itu, sampai ke tahun depan pun dia tidak sudi menjawab. Banyak sangat jongkong emas agaknya di dalam mulut. Jadi lebih afdal jika aku mencungkil rahsianya daripada mulut babah sendiri yang ketiadaa emas di dalamnya!

“Oh, lupa babah nak kenalkan. Muhammad, kenalkan… ini anak uncle, Rahadatul ‘Aisy namanya. Ad, inilah orang yang babah nak bincangkan sama tentang lembu korban yang dia nak hantar untuk Aidiladha nanti. Kawan babah ada cakap majalah yang kamu kerja tu ada letak cerita tentang Muhammad dekat Perak sana. Tahun lepas AJK surau pun order dari Muhammad, cuma babah aje yang tak confirm sangat.”

Babah lupa agaknya anak kesayangan dia yang pergi turun padang sendiri untuk menemu ramah seorang manusia dingin yang menakutkan itu. Cerita tiga tahun lalu, mana mungkin dia mampu ingat tentang itu? Aku sekadar sengih terpaksa sebelum melabuhkan duduk bersebelahan dengan babah.

Disebabkan hari ini terpaksa memakai topeng ‘anak mithali makan Maggi’, aku pun menawarkan diri untuk menyendukkan nasi ke dalam pinggan masing-masing. Aku kalau memang dah geram ni lain sikit fiilnya.

Hendak aje aku bubuhkan nasi ibarat Bukit Beruntung tapi nanti tak semena-mena paha kena ketam dengan tangan sakti babah. Ilmu mengetam babah boleh tahan hebatnya, sama macam arwah mama punya kuasa cakura (Naruto)!

“Babah nak ayam? Sayur ni nak tak? Ad bubuhkan kacang botol dengan sambal belacan dalam pinggan babah ya?”

Babah sudah tenung aku semacam. Aku terpinga-pinga dengan renungan penuh makna yang babah berikan kepada aku. Rasanya muka aku tidak pula terkena calitan debu atau arang. Salahkah apa yang aku katakan tadi?

“Muhammad nak makan ayam? Sedap ni sebab ayam masak serai.”

Babah menghantar isyarat agar tetamu dilayan terlebih dahulu sedangkan rencanaku sejak awal-awal lagi adalah untuk tidak melayannya. Memandangkan mangkuk berisikan lauk itu berada betul-betul di hadapan aku, terpaksa aku memaniskan muka dan mencedokkan bahagian paha untuk lelaki itu.

Dia menunduk sebagai ucapan terima kasih, sama seperti kali pertama kami bertemu. Pertemuan pertama pun sudah haru-biru macam hendak pergi berperang.

Sayur pula babah yang cedokkan. Kemudian, babah membacakan doa makan dan kemudian barulah kami bersantap bersama-sama. Seleraku untuk menikmati makanan mati apabila teringatkan tentangnya yang pernah aku jumpa.

Tiga tahun bukannya sekejap. Tiga tahun dia menyepi sedangkan Chen boleh sahaja aku hubungi tanpa sebarang masalah kritikal.

Aku jauhi dia.
Dia jauhi aku.
Mungkinkah ilham kami berkongsi rasa?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience