BAB 2

Romance Completed 14475

Nampak sangat taraf kereta aku berada di mana. Legging hitam di kaki aku betulkan kedudukannya supaya tidak menyukarkan kakiku untuk melangkah kelak. Baju putih berlengan pendek aku tatap sekilas melalui cermin mereta sebelum cermin mata hitam aku sangkutkan ke hidung.

Rambut aku biarkan bersanggul tinggi. Bimbang pula dimamah dek lembu yang fikirkan rambut aku ini rumput panggang kerana berwarna keperangan! Hish, tak sanggup aku! Minta simpang malaikat empat puluh empatlah jawabnya.

“You patut pakai but,” suara parau itu menegur dari belakang. Aku berpaling dan menyambut huluran sepasang but kuning yang dia berikan. Chen tersengih sebelum menjongketkan bahunya mahu mengusik. “Tempat ni kotor sikit so I don’t want to make you feel unconformable with it. You pun for sure tak nak kasut tumit tinggi you tu kotor dengan lumpur, kan?” tambahnya lagi.

Kujeling kedua-dua belah kasutku yang tersarung di kaki. Benar juga katanya. Jikalau aku memakai kasut kesayanganku ini, sudah tentunya kasutku bakal kotor dek calitan lumpur dan entah kotoran apa lagi yang wujud di kawasan ini.

Sudahnya aku menyimpan kasutku itu ke dalam kereta dan mengenakan but kuning sebagai galang ganti. Saiznya yang tidak terlalu besar untuk kaki kecilku membuatkan aku selesa untuk bergerak dengan bebas tanpa batasan.

“This is great. You sure know how to guess my size. They fit me perfectly.”

“Sweet! I guess I’m better at picking size for an angel.”

Amboi, baru mulakan bicara sudah bermacam-macam jenis pujian sempat dia berikan untukku. Kalau aku sudah menemu ramah dia, entah berapa bakul pujian yang bakal aku peroleh. Mungkin tak muat bangunan KLCC mahu mengisi kata-kata manisnya. Tergeleng-geleng aku memerhatikan sengihan nakal yang dia ukir selamba.

Aku menghulurkan tangan sebagai tanda perkenalan dan disambutnya dengan lagak yang agak teragak-agak.

“Rahadatul ‘Aisy. Call me Ad for short.”

“Miss Ad, you can call me Chen, then.”

Dia terlebih dahulu meleraikan salam perkenalan kami apabila aku terlalu asyik menatap wajahnya. Ditolehkan kepala ke sebelah kiri, memperlihatkan kandang yang agak besar binaannya. Cukup memuatkan ternakan lembu dan kambing untuk berehat di dalamnya.

Kamera DSLR yang aku sengaja bawa bersama kini fungsinya untuk menangkap gambar dari sudut yang sesuai. Bolehlah aku muatkan gambar yang cantik ke dalam segmen yang aku uruskan. Kemudian, aku selitkan sahaja gambar ke dalam laporan kerja yang Encik Firash berikan.

Aku kemudian dibawa untuk menikmati sarapan bersama-sama pekerja yang ada pada waktu itu. Segelintir sudah pulang ke rumah kerana bekerja pada waktu malam, mengawasi ternakan yang ada agar tidak dicuri orang.

Tersusun beberapa Tupperware berwarna-warni di atas pangkin kecil. Aku lantas dipersilakan untuk menyertai tiga orang penternak yang menanti kehadiran aku dan Chen. Kami masing-masing memperkenalkan diri untuk menjalinkan ukhuwah mentah yang ingin kami bina. Rajoo yang berbangsa India, Ahmad yang berbangsa Melayu dan seorang lelaki Thailand bernama Channarong.

Pandai dia berbahasa Melayu dan Inggeris sebenarnya. Bangga aku kerana dapat turun padang ke sebuah tempat yang begitu mengamalkan konsep perpaduan dan tidak memilih bulu ketika bekerja. Hidup bersatu-padu menguntungkan setiap pihak yang menyertai. Tak sia-sia!

“Makanlah, ada nasi lemak,” pelawa Channarong ramah.

“Khob khun krap!” sahutku ceria.

Channarong terpinga-pinga sebelum meledakkan tawanya mendengar ucapan terima kasihku di dalam bahasa Thailand. Ada juga aku mendengar ucapan itu dari mulut rakan-rakan yang baru pulang dari Siam atau Phuket untuk bersiar-siar. Rajoo yang mendengar turut tersengih sebelum menikmati suapan nasi lemak di dalam pinggan.

“Clever girl. Mana kamu belajar bahasa Thailand?”

Channarong nampak berminat untuk mengetahui rahsia aku boleh bertutur dalam bahasa ibundanya. Sila dibetulkan agar duduk menjadi lebih selesa. Sebelah tangannya menampung berat badan sementara tangan kanan memegang sudu untuk makan.

“Kalau belajar betul-betul, nanti saya bawa kamu ke kampung saya. Boleh jadi orang Siam,” katanya nakal.

Aku tahu dia hanya bergurau. Terus aku tersenyum-senyum sambil mencedok sambal tumis ikan bilis ke tepi pinggan dengan timun yang terhiris cantik. Sambil mengunyah sedikit makanan, aku membalas soalan yang dia ajukan.

“Dari kawan saya yang balik dari Thailand. Semua suka cakap benda yang sama. Terus saya pun terpengaruh sampai malam!”

Pecah tawa mereka yang ada.

“You’re quite funny,” komen Chen. Tangan dibasuh menggunakan paip yang ada setelah selesai menghabiskan sarapannya. Pandangan redup sempat dia lemparkan kepada aku yang kebetulan membalas renungannya di kala ini.

Bibir terkoyak dengan senyuman. Terasa segenap hati diserbu rasa yang semakin mekar berkembang ibarat kuntuman bunga di taman. Bunga yang indah warnanya kerana baja yang ditabur. Wajahnya yang lama aku tatap semakin menikam benak fikiran.

Tertunduk aku kerana terlalu malu untuk membalas panahan matanya yang sungguh membunuh jiwa wanitaku. Nasi lemak di dalam pinggan segera aku habiskan agar pinggan dapat dicuci dan dikeringkan.

“Ad…”

Detak jantung aku berubah. Rancak. Suaranya memanggil nama aku. Bagaikan enggan berdegup dengan normal seperti orang normal selalu lakukan. Lambat-lambat aku mendongakkan wajah ke arahnya, menanti ujaran yang seterusnya dengan debaran yang semakin menggila dari detik ke detik yang muncul.

Chen mengenyitkan mata. “Come.”

“Nak ke mana?” soalku tidak tahu.

“Join me if you are eager to know.”

Tanpa bertanya tentang apa yang dimaksudkan dengan lebih mendalam, segera aku mencuci tangan dan pinggan yang selesai aku gunakan. Bekas-bekas Tupperware aku tolong susunkan biarpun ditegah dek Rajoo dan Channarong. Ahmad turut menghalang namun aku tidak endahkan amaran mereka.

Babah mendidik aku untuk menghormati orang yang memberikan rezeki kepada kita. Memandangkan aku sudah dipelawa untuk bersarapan bersama, aku rasa tidak manis jika semua kerja-kerja membersih tidak aku laksanakan.

Sambil menguis rambut yang sedikit terurai ke telinga, aku menghampiri Chen yang berlari ke kandang bagi mencapai galah. Panjang. Seketika kemudian, dia mengajak aku untuk membuntuti dan aku hanya akur tanpa sepatah kata. Dibawanya aku untuk menghampiri sebuah pohon rambutan yang cukup rendang, sesuai untuk dijadikan tempat menumpang teduh.

“You nak buat apa ni?” tanyaku.

Senyap. Langsung dia tidak menjawab soalanku. Galahnya digunakan untuk mengait buah rambutan yang masak ranum. Merah saga warnanya, pasti isinya turut manis dan sedap. Buah demi buah rambutan jatuh mencium bumi dan aku yang tidak sengaja berdiri di tempat mendarat bagi buah tersebut terjerit kecil.

Segera aku menepuk-nepuk baju yang aku khuatiri menjadi tempat persinggahan kerengga. Terjegil mataku memandang Chen yang sudah sakan mentertawakan aku seraya mengait buah. Kurang asam betul.

“I’m sorry. It’s just too funny seeing you like that.”

Apa yang kelakarnya kalau sudah terkinja-kinja macam beruk kena air panas? Setelah banyak mengait buah rambutan, galah disandarkan ke batang pokok. Buah yang gugur dikutip lalu dimasukkan ke dalam sebuah bakul yang ada di situ.

Sebiji buah rambutan yang boleh tahan merahnya dikupas lantas dihulurkan kepada aku dengan senyuman yang kekal di bibirnya.

“Sorry about that. Here… you rasalah dulu buah ni. Sedap tau, manis aje.”

“Kalau I tak mahu, apa yang you nak buat?” ugutku.

“I tolong suapkan.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience