BAB 23

Romance Completed 14475

Minda cuba aku fokuskan seratus peratus perpuluhan satu terhadap artikel-artikel pendek yang ingin dimuatkan ke dalam majalah. Masa genting sebeginilah otak terasa malas mahu bekerja. Macam orangnya jugak! Kepingan gambar yang berselerak mengenai perniagaan terpaksa aku pilih untuk diletakkan ke dalam segmen E-Berjaya.

Segmen di mana beberapa orang perniagaan yang berjaya atau sedang mengukir nama akan berkongsi tips dan pengalaman dalam bidang yang mereka ceburi.

Kepala yang tidak gatal aku garu dengan jari sebelum pensel aku bawa untuk mengetuk-ngetuk pipi sendiri. Berfikir dua atau tiga kali untuk membuat sesuatu keputusan.

Beep!

Bunyi mesej yang dihantar membuatkan aku tersentak. Bimbang andai Encik Firash yang menghantarnya, aku cepat-cepat menekan butang ‘buka’ dan dahiku berkerut seribu tatkala satu mesej aku terima daripada Chen sendiri.

Sudah lama kami tidak berhubung sejak dia memberitahu untuk aku bahagia dengan orang lain. Katanya, dia sudah mampu menerima kenyataan.

Kini, Chen sedang berusaha memahami Islam bukan kerana aku namun kerana kagum dengan abangnya yang sentiasa membaca kalamullah dan menunaikan solat. Ingin dia menemui ketenangan hakiki dan aku doakan agar impiannya tercapai kelak.

Sesungguhnya hati manusia itu Tuhan yang memegang biarpun kita yang menyimpan di dalam jasad. Jika Dia berkehendak, maka tidak mustahil sekiranya suatu hari nanti Chen bakal mengucapkan lafaz dua kalimah syahadah untuk mencintai Islam sepenuh hati.

‘Congrats!’

Hah?

Tak faham.

Kenapa pulalah dengan dia ini mesej yang pelik-pelik? Bukannya aku menang dalam acara lompat kereta 80 meter pun. Hendak kata aku dapat apa-apa bonus, aku rasa tiada. Malah, aku tidak rasa aku menyertai apa-apa pertandingan dan menggondol gelaran juara untuk aku banggakan.

‘Apa maksud you? Tak faham.’

Aku menghantar mesej kepadanya dan dia tidak mengambil masa yang lama untuk membalas kembali. Kemelut persoalan yang membelenggu jiwa perlu aku leraikan juga.

‘Oops, am I too early to wish you? Sorry but still, congrats!’

Chen ni memang sengaja mahu menyimpan rahsia. Buat suspens aje! Huh! Aku merengus kegeraman sebelum mencapai pen dari dalam raga kecil lantas memulakan catatanku di atas sebuah kertas kajang. Sedang elok aku merelakan pen milikku menari di atas lembaran kosong tersebut, telefon bimbitku menjerit-jerit minta diangkat. Ringtone Sia-Chandelier masih aku gunakan.

Nama babah terpampang jelas di skrin.

Aikkk… tak pernah-pernah babah menelefonku ketika aku sedang bekerja. Tiba-tiba hari ini boleh pula dia menghubungi aku. Something smells fishy.

“Assalamualaikum, babah…”

“Waalaikumussalam!”

“Ya, babah? Ada apa call Ad?” soalku.

Babah ketawa perlahan.

“Tahun depan babah ingat nak order lembu free of charge untuk babah seorang ajelah. Jimatnya duit kalau macam ni. Tak payah susah-susah nak bayarkan,” selorohnya dan menyambung sisa-sisa tawanya kembali tanpa menjelaskan pernyataannya dengan lebih mendalam.

Aku mengurut pelipisku, lembut. Pening kepala hendak memahami apa sebenarnya yang babah mahu sampaikan. Tak akan call semata-mata nak bincangkan soal lembu? “Babah, Ad tak fahamlah. Babah cuba cakap apa yang babah nak beritahu Ad ni?”

“Babah nak dapat menantu…”

Erkkk!!!

Hampir terjatuh aku daripada kerusi kalau bukan kerana tangan yang sempat berpaut pada meja. Boleh terguling-guling bebola mata ini terkeluar dari posisi asalnya mengenangkan apa yang disampaikan oleh babah.

Peluh mulai memercik di dahi. Jikalau babah sedang bergurau, sungguh gurauannya kali ini tidak mampu untuk membuatkan aku ketawa!

“Babah, babah cakap apa ni?”

“Muhammad datang tadi… sampaikan hajat untuk memperisterikan kamu. Babah tak cakap apa-apa tapi babah cuma bagitahu dia supaya tunggu jawapan daripada kamu dulu sebelum buat keputusan. Mesti penat dia drive dari Perak ke sini. Itu sebab babah bincangkan soal lembu tu, manalah tahu terbuka pintu hati anak babah nak terima dia kalau babah bangkitkan tentang lembu,” usik babah tak henti-henti.

“Babah!”

Hish, babah ni. Tak tahu agaknya anak dia punya jantung tengah buat larian merentas negara di benua Antartika. Boleh pula babah berlawak di saat-saat aku sedang berdebar seperti ini. “Kalau… kalau Ad setuju, babah sanggup terima dia walaupun dia ada kisah silam yang pahit?” aku meminta kepastian.

“Ad…”

Aku tekun mendengar.

“Kalau kita pilih keturunan daripada agama, keturunan tu daripada baik sebenarnya boleh berubah menjadi jahat juga. Kalau kita pilih paras rupa, bila dah tua kulit berkedut juga. Kalau kita pilih wang dan harta, nanti di akhirat

Tuhan tanya kalau tak sedekah di jalanNya. Babah tak nak memilih dalam bab-bab kahwin ni sebab suami kamu akan jadi ketua kepada anak-anak kamu. Babah tak nak bermenantukan orang yang kurang didikan agama sebab agama yang membimbing keluarga untuk ke syurga. Kalau tak ada agama, macam mana nak bimbing keluarga sendiri?”

Diam aku membenarkan semuanya. Dalam diam, aku bersyukur kerana babah tidak terlalu cerewet dalam menjadikan seseorang sebagai menantunya. Barangkali babah tertarik dengan perwatakan yang dibawa oleh Jun Jie.

“Lagipun, babah berkenan sangat dengan dia. Amanah tu penting dalam menjalankan perniagaan dan sifat tu yang susah nak jumpa dalam kalangan anak muda masa ni. Walaupun dia usahakan ladang ternakan dia sendiri, tapi babah tengok rajin dia keluarkan zakat harta ikut sistem haul (pusingan). Harga lembu pun tak mahal sangat sampai cekik darah. Cuma… dia pendiam sikit.”

Sebenarnya hatiku tercuit untuk meledakkan tawa apabila babah membuat review tentang lelaki itu. Aku akui yang dia memang pendiam dan lebih gemar berdiam diri daripada berbual-bual kosong. Jikalau berbual pun, dia sekadar menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya sahaja. Pendiam dan dingin.

“Babah boleh jadi juri MasterChef sebab pandai buat review.”

“Amboi… perli babah nampak?”

“Kalau perli dekat rumah, nanti kena tidur luar.”

Ketawa.

“Hah… kamu setuju ke tidak, Ad?”

“Err… entahlah. Nantilah Ad bagi jawapan. Ad letak dulu, ya babah? Assalamualaikum,” cepat-cepat aku cuba meloloskan diri daripada disoal siasat oleh babah sebagai hakim. Malulah aku jika aku terus bersetuju macam orang gelojoh yang tidak sabar-sabar hendak berkahwin. Jatuh saham!

Usai memutuskan talian aku mengemaskan apa-apa yang patut di atas meja dan ketika itu jugalah satu lagi mesej masuk.

‘Jun Jie tahu tentang kita, I yang cakap. But don’t worry, I tak nak ganggu you, angel. Sometimes I just have to let go of something for someone who is really special in my life. Jun Jie suffered a lot when he was young. I nak dia lupa semua tu. I nak abang I bahagia dan I tahu, youlah kebahagiaan dia.’

‘Thanks.’

‘No, thanks to you, Ad. I tengah cari ketenangan yang I nak dan I dapat daripada Al-Quran. You cakap buku tu istimewa so I nak kaji buku tu dengan lebih mendalam. Sekarang Jun Jie tengah ceritakan tentang kisah Jalut dan Thalut dalam surah Al-Baqarah. Sekarang, I jadi lebih tenang. I tak nak this feeling hilang lagi. Again, thank you.’

Sama-sama. Moga hidayah milik Tuhan menjadi miliknya… aku berdoa di dalam hati. Benarlah, ketenangan itu bukan dapat diperoleh jika meneguk arak atau berjudi bagi melepaskan geram.

Tenang itu bukannya dapat digapai andai merempit dan merokok menjadi amalan harian. Ketenangan sebenar bagi hati ialah apabila jasad sujud menyembah Tuhan bagi mencari redha Ilahi. Usah risau sama ada Allah sudah melupakanmu atau tidak.

Sedangkan mereka yang melanggar suruhanNya Dia ingati, inikan pula hamba-hambaNya yang taat dan akur akan perintahNya.

Jika kita cintakan Allah, percayalah bahawa cintanya Allah kepada kita sebenarnya lebih daripada apa yang kita sangkakan.

“Hey, Ad… kenapa senyum sorang-sorang ni? Muka tu berseri-seri saya tengok. Ada berita baik untuk dikongsikan ke?” Encik Firash yang keluar dari biliknya mengajukan soalan dengan senyuman di bibir.

Aku sengih.

“Nasi minyak.”

“Hah?”

“Eh? Saya cakap apa tadi? Errr… err… tak ada apa-apalah, bos,” aku control ayu sebelum menyambung kerjaku. Tershashul pulak menyebut nasi minyak padahal kahwin pun belum lagi. Baru sampaikan hajat. Gatal gila anak dara babah ni nak kahwin cepat-cepat. Mahu kena sakat sampai esok pagi dengan babah kalau babah tahu.

Encik Firash sudah tergeleng-geleng kepalanya melihat telatahku. “Macam-macam awak ni. Nanti kalau awak dah siap masukkan artikel tentang middle-aged executives dalam segmen dia, awak cakap dengan saya.”

“In Shaa Allah, bos!”

Kupandang susuk tubuh yang berlalu itu dengan senyuman yang tidak pudar dari bibir merahku. Wajah terasa panas membahang, kali pertama orang menyampaikan hajat untuk menikahiku. Jikalau benar dia jodoh yang Tuhan telah tetapkan sebagai sebuah percaturan, masakan aku ingin menolak?

Yang pasti, rasa cinta ini sudah terbit secara sendirinya dan aku tahu ia sungguh indah dan juga petanda dari Allah.

Ya Allah maha mendengar segala doa kita, namun jika ada keraguan, walau bahagia dan suka macam mana sekalipun, jangan lupa padanya kita meminta lagi, tikar sembahyang menanti kita, takkan jemu seperti mana Allah takkan jemu mendengar doa hambanya.

Jika dia adalah jodoh untukku, maka KAU dekatkanlah dan bawalah cinta ini ke syurga impian setiap manusia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience