BAB 11

Romance Completed 14475

“Nah, kunci.”

“Err… terima kasih.”

Huluran kunci bilik bersambut juga. Syukurlah kerana masih ada bilik yang kosong untuk aku menginap pada malam ini dan semuanya di atas jasa Jun Jie sendiri. Usai membuka kunci pada pintu bilik di hotel, aku masuk ke dalam dan dia sekadar menunggu di muka pintu sahaja.

Sepatutnya aku boleh sahaja pulang pada hari ini namun Encik Firash baru sahaja menghantar mesej, katanya ada lagi beberapa jenis soalan perlu aku ajukan kepada Jun Jie. E-mel yang dia hantarkan padaku semalam tidak lengkap. Hendak menghubungi aku ketika

Asar, talian tidak dapat disambungkan. Hujan! Aku pula yang tidak bersedia memang tak bawa apa-apa keperluan dan baju untuk bermalam di sini. Sudahnya, sebelum sampai ke sini Jun Jie menemani aku ke pasar raya untuk membeli apa-apa yang patut.

Bungkusan di tangan aku letakkan elok ke atas katil sebelum memerhatikan keadaan bilik. Ada televisyen kecil, tandas pun ada, almari… cukuplah untuk aku seorang. Tak perlu mewah-mewah sangat kalau tidak mahu poket berlubang.

Langkah aku orak selamba menghampirinya sebelum jari telunjuk menggaru-garu dagu yang tidak gatal. Kekok rasanya mahu memulakan perbualan lebih-lebih lagi perlu berterima kasih dengannya.

Lirikan mata aku tumpukan sepenuhnya untuk memandangnya biarpun dia tidak memandang wajahku, seperti biasa. Sudah aku lali dengan perangai peliknya yang kurang gemar membalas pandangan mata insan lain.

Akulah insan malang tu! Siapa lagi?

Aku terdengar bunyi suara Jun Jie sedang berkomunikasi dengan seseorang yang aku sendiri tidak tahu siapa. Malas pula mahu masuk campur urusannya dan aku juga enggan digelarkan sebagai penyibuk jalanan.

Pakaian yang akan aku pakai untuk esok aku gantungkan ke dalam almari bersama-sama dengan kain yang dipilih oleh lelaki itu sendiri. Sehelai selendang coklat yang tidak aku tahu fungsinya turut dia belikan kepadaku.

Hish, mentang-mentang duitnya berlambak macam Gunung Kinabalu! Senang-lenang aje menghabiskan wang untuk selendang ini. Pembaziran betul. Bukannya aku akan memakainya kerana aku tidak reti hendak melilitkan selendang di kepala, takut terjadi macam bunga tahi ayam.

Sudahnya, aku gantungkan juga pemberiannya ke bajuku sebelum menutup daun pintu almari perlahan. Kasut tumit tinggi di kaki aku gantikan dengan stokin sahaja, bimbang andai jari kakiku berubah merah kerana terlalu lama memakainya.

“Rahadatul ‘Aisy…”

Suara yang seakan-akan begitu hampir denganku membuatkan aku kalut. Tergopoh-gapah aku cuba berpaling ke belakang sebelum mataku membulat memandang susuk tubuhnya yang berdiri bertentangan denganku.

Hembusan nafasku menjadi semakin laju dan aku tahu kini sukar untuk oksigen memasuki paru-paruku dengan secukupnya. Aku betul-betul cemas!

Seperti baru tersedar dari lamunan, Jun Jie meraupkan wajahnya sebelum berundur beberapa tapak ke belakang. Serba salah dia kelihatan dengan sejadah dan telekung yang ada di tangannya. Keningku terjongket tinggi mengenangkan benda yang dipegangnya namun aku tidak mahu bertanyakan dengan lebih lanjut mengenainya.

Jun Jie kemudian meletakkan telekung dan sejadah itu ke katil tanpa sebarang bantahan dan kemudian ingin berlalu pergi sebelum aku yang sempat menghalangnya.

“Tunggu sekejap!” pintaku.

Jun Jie mendecit.

“Move aside.”

“Telekung dan sejadah tu… awak minta untuk apa?” soalku ibarat orang bodoh yang tidak boleh berfikir dengan betul.

“Islam… agama awak mengajar awak untuk sembahyang. Saya hormati awak dan agama awak jadi saya minta telekung dan sejadah ni untuk awak tunaikan ibadah awak untuk Tuhan awak. Awak ada Tuhan untuk disembah. Awak ada tanggungjawab untuk menyembah Tuhan awak. Kalau awak tak rapat dengan Tuhan awak sendiri, jangan haraplah untuk Tuhan nak rapat dengan awak.”

Ouch. That hurts.

Bisa daripada katanya meresap masuk dan meracuni fikiranku terhadap apa yang diutarakan. Pedih kerana diri sendiri tidak pernah merapatkan diri kepada Tuhan apatah lagi memikirkan tentangNya pada setiap detik.

Malu sungguh aku kerana dia yang mengingatkan aku tentang agama, tentang ibadah, tentang tanggungjawab untuk Tuhan sedangkan selama ini aku sering melupakan.

“Mana awak tahu semua tu?” dugaku.

“Experiences. Friends. Stories.”

“Apa lagi yang awak tahu tentang Islam?”

“Saya tak nak sebut, nanti awak terasa.”

“Just say it cause I know I won’t.”

“Don’t be too confident of yourself,” sampuknya sebelum sekali lagi mencapai tuala yang terdapat dari dalam bilik air. Aku dibiarkan terpinga-pinga tanpa penjelasan nyata.

Keluar sahaja dari dalam bilik air, diletakkan tuala itu ke atas kepalaku lantas menudingkan jari ke rambut yang terurai, begitu juga leher yang terdedah.

“Apa yang saya belajar, semua ini perlu awak tutup. Cover, not wrap. Saya tengok perempuan Islam pakai tudung dah bagus, tapi lengan pendek, legging, kaki pun terdedah. Is that what you called… covering your aurah? Kalau macam tu awak sama aje macam perempuan lain yang tidak tutup aurat.”

Aku menggeleng. “You shouldn’t blame me for not doing so.”

“So you think I should blame your religion instead?”

Kelu lidahku untuk bersuara apatah lagi apabila dia suka-suki hatinya sahaja membangkitkan soal agama. Sindirannya teramat pedas untuk aku tahan. Cili yang terasa pedasnya sudah tidak mampu aku hapuskan dengan air. Tidak ada guna pun jikalau aku berdebat dengannya kerana Jun Jie begitu pandai dalam mematahkan hujah-hujah yang aku utarakan.

“Apa yang saya pakai ialah hak saya dan kebebasan saya. Tak ada kena-mengena pun dengan tuduhan terhadap agama saya!”

Dia kulihat mengangkat tangan tanda mengalah. Kelopak mata dia pejamkan sebelum dada yang berombak cuba untuk dia tenangkan.

“Saya nak balik.”

Secepat itu? Sungguh, aku benar-benar terkejut!

Mulut yang ingin menegah akhirnya kaku tanpa suara apabila susuk tubuhnya berlalu pergi, membiarkan aku dihambat pilu. Aku terduduk di birai katil sebelum merelakan titisan air mata berderaian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience