BAB 5

Romance Completed 14475

Mendung langit memberikan petanda bahawa hari hendak hujan. Kami baru sahaja selesai menikmati makan tengah hari bersama-sama dan semestinya lelaki pelik itu tidak turut serta. Sombong sungguh. Sudah dipelawa untuk menjamah sedikit, langsung enggan menunjukkan muka.

Kuambil peluang yang terhidang untuk menangkap beberapa keping gambar memaparkan dada langit yang gelap warnanya. Awan yang berarak muncul seketika dan berkemungkinan menampung sejumlah air yang tidak tertanggung. Menunggu sahaja masa untuk diturunkan bagi membasahi tanah.

“Ad!” jerit Chen dari kandang.

Aku segera berpaling.

“Come! Nak hujan ni, nanti you basah!”

“Wait, I nak ambil gambar lagi!” aku turut terjerit kecil untuk membalas. Chen yang hendak datang ke sini seperti terpaksa membatalkan niatnya kerana perlu memasukkan lembu dan kambing yang dilepaskan ke dalam kandang semula.

Pagar kayu diikat supaya ternakan tidak terlepas. Ahmad dan Rajoo turut menghulurkan bantuan sementara Channarong sibuk berhubung dengan telefon. Barangkali pelanggan yang memesan ternakan mereka sebelum dirembat orang.

Luas padang yang terbentang membuatkan aku terasa seperti mahu berguling-guling di atas rumputnya. Aku bergerak ke tengah padang seraya mengambil gambar keadaan kandang ternakan tersebut dari jauh untuk dimuatkan ke dalam majalah jika bersesuaian. Gambar-gambar yang tidak menepati cita rasa segera aku buang untuk menangkap gambar yang lebih cantik.

Setitis.

Dua titis.

Bertitis-titis.

Rambutku terasa sedikit basah disapa titisan hujan.

Kupandang langit yang mulai mencurahkan air matanya. Lebat hujan yang membasahi bumi memaksa aku untuk berlari mencari tempat bagi menumpang teduh. Satu tubuhku sudah basah lencun dibasahi hujan.

Kaki kuatur laju untuk berteduh di bangsal kecil yang menjadi stor penyimpanan alatan ternakan. Daun pintu yang tidak berkunci membolehkan aku masuk ke dalam tanpa sebarang gugusan kunci. Kedinginan angin yang menyapa amat sejuk dan menggigilkan tubuh.

Aku menyalakan lilin yang ada di atas kaunter kayu. Setelah itu aku mencari-cari kalau ada pakaian atau kain yang sesuai untuk membungkus tubuhku yang hebat menggeletar menahan dingin di waktu hujan.

Sedang elok aku memulakan misi pencarian, daun pintu tiba-tiba sahaja dikuak dari luar dan menyentakkan aku. Tangan aku silangkan ke tubuh apabila pandangan mata lelaki itu tertancap ke arahku.

Dapat aku lihat dia turut terkejut melihat kehadiranku di sini yang barangkali tidak disangka-sangka olehnya. Segera dia mengalihkan pandangan ke arah lain namun aku sedar akan wajahnya yang berubah riaknya. Lambat-lambat tangan menutup kembali pintu bangsal sebelum menguncinya.

Setapak demi setapak aku berundur ke belakang, hinggakan tubuh tersandar elok ke dinding. Tidak ada jalan keluar untuk diri ini aku loloskan. Terperangkap dengan lelaki ini merupakan kejadian ngeri yang tidak ingin aku alami.

“Awak menggigil. Ambil towel ni dan tutup badan awak.”

Huluran tuala daripadanya mengejutkan aku. Tanpa suara, aku tetap menyambutnya juga biarpun malu bukan kepalang dengan keadaanku kini. Dia kulihat terus menanggalkan baju yang basah, menampakkan susuk tubuhnya yang agak sasa.

Dilapnya wajah dan rambut yang basah dengan tuala kecil yang dibawa bersama tanpa memandang ke arah sini. Baju itu lantas diperah sebelum digantungkan di tempat penggantung yang ada di belakang pintu.

Sangkaku, dia akan duduk di tempat dia sedang berdiri namun lain pula yang jadi apabila lelaki itu mulai menghampiriku. Semakin menggila debaran di dalam dada melihat susuk tubuh yang tidak berbaju itu semakin lama semakin mendekati dengan wajah yang tegang dan serius. Entah mengapa, lemah terasa sendi di lutut untuk terus berdiri tegak.

Tubir mataku berlinangan dan hampir menitiskan air mata tatkala aku dapat merasai hangatnya dia menghembuskan nafas di hadapan wajahku. Kelopak mata aku pejam dengan kepala yang aku tundukkan sehabis mungkin. Enggan mengetahui benda-benda buruk yang bakal berlaku terhadapku kelak.

Aku hanya seorang perempuan.

Dan dia tetap lelaki yang bernafsu.

Apa-apa pun boleh terjadi lebih-lebih lagi dengan keadaanku yang tidak sewajarnya menjadi tatapan sesiapa. Terasa menyesal kerana tidak memakai pakaian yang lebih sopan. Terasa menyesal kerana terlalu ikutkan fesyen zaman kini dalam berpakaian.

Sanggul di rambutku juga sudah terlerai ikatannya. Ingin menangis, tiada esakan yang terhasil. Ingin menjerit, tiada suara yang terkeluar. Baru kini aku teringatkan Tuhan yang Menciptakan sedangkan selama ini hati begitu sukar untuk menyebut dan mengingati namaNya Yang Esa.

Ya Allah…

Ya Allah…

Teresak-esak aku menangis apabila terasa ada susuk tubuh yang betul-betul berada di hadapanku. Seolah-olah duniaku yang penuh dengan kemewahan dunia hilang disapa angin mendung yang berlalu. Dentuman guruh yang kuat terhasil benar-benar menakutkan aku yang berdua-duaan dengannya.

Ah, baru kini terfikirkan soal hukum-hakam agama? Selama ini mengapa tidak pernah berdetik soal itu di minda? Mengapa tatkala jiwa bersalutkan dunia, yang akhirat punya tidak pernah aku jaga sebaik-baiknya? Inikah namanya hambaNya?

“Tolong… jangan… jangan apa-apakan saya!”

Senyap tanpa respons.

“I’m… I’m begging you, please… don’t…”

Terasa ada tuala yang membaluti kepalaku. Hujung tuala itu juga digunakan untuk mengesat titisan air mata yang menyentuh lekuk pipi. Kedudukan tuala di bahu dia betulkan sedikit lantas ditutup bahagian yang terdedah.

Kelopak mata lambat-lambat aku buka untuk merenung wajahnya namun palingannya terhadap arah yang lain membuatkan aku gemuruh untuk bertatapan renungan dengan si dia. Aku turut melakukan hal yang sama dengan sisa-sisa tangisan yang masih belum dapat aku noktahkan.

“See… that’s why kena pakai benda yang elok-elok. Kalau orang lain, I don’t think you’ll be safe without being touched.”

Semakin menggigil tubuh kecilku mendengarnya. Faham benar aku dengan apa yang cuba dia sampaikan biarpun pelat Cinanya masih kedengaran. Mesej yang cukup mendalam dan senang untuk aku fahami ertinya.

“Jadi kenapa tak jadi macam mereka yang akan menyentuh saya? Kenapa awak macam baik sangat dengan saya? Orang kuat agama?” aku menyoal dalam nada sedikit memerli.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience