BAB 3

Romance Completed 14475

Gulp. Is he serious?

Buntang mataku memandang wajah selambanya yang tidak beriak. Seakan-akan tiada salahnya di dalam ayat yang terpacul untukku. Entah di mana silapnya, hatiku disapa rasa indah yang aku sendiri tidak tahu untuk ditafsirkan.

Panas terasa kedua-dua belah pipi ini. Jemari sudahnya mencapai juga buah yang siap dikupas sebelum aku menggigitnya sedikit. Manis. Semanis senyuman yang Chen sering lemparkan buat aku sejak aku menjejakkan kaki ke sini.

Chen memandangku lama, tidak berkejip. “Macam mana?”

“Sedap,” ringkas aku menjawab.

Berpuas hati dengan jawapanku, Chen mengajakku untuk masuk ke dalam kandang pula. Ingin melihat lembu-lembu dan kambing yang diternak. Aku yang akur hanya mengekorinya sambil berjalan seiringan dengannya.

Tatkala terpandangkan seseorang yang sedang memberus tubuh lembu dengan berus di tangannya, aku terpaut untuk merenungnya lama. Keringat yang mencurah-curah terpancar di dahi dan lehernya hanya mampu untuk aku tatap. Bajunya basah lencun bermandikan peluh. Pasti dia kepenatan. “Chen, look over there.”

“Over… where?”

“That man… yang tengah berus badan lembu tu,” terjuih bibirku ingin menunjukkan lokasi sebenar orang yang aku maksudkan. Khusyuk sungguh dia menjalankan tugasnya hinggakan aku dan Chen yang memerhatikannya pun tidak dia sedari.

“He looks so tired. Kenapa dia tak join kita for breakfast?” soalku seperti kanak-kanak tadika.

Diam.

Aku ada tersalah cakapkah?

“He just loves to do his own works without people bothering him. Just let him be,” komen Chen dengan nada yang kendur sebelum cepat-cepat mengubah topik perbualan. Langsung tidak membenarkan aku untuk mengajukan sebarang soalan mengenainya.

Dengan bahu yang terjongket tinggi, aku hanya menghormati keputusan Chen untuk diam tanpa meluahkan apa-apa. Sesekali lensa kamera tertumpu kepada lembu dan kambing yang terdapat di kandang.

Sebahagian besar sudah dilepaskan ke padang untuk meragut rumput. Gatal pula tangan mahu mengusap tubuh mereka memandangkan aku tidak berpotensi melakukan hal sedemikian sebelum ini.

Ahmad yang kebetulan sedang memerah susu lembu tersenyum lebar. Tangannya dilambaikan ke arah kami yang menghampirinya. Kelihatan sebaldi hasil tenusu sudah dapat dia peroleh dan diletakkan ke tepi agar tidak dilanggar atau tertumpah.

Aku membalas senyumannya. “Ambil susu lembu?”

Angguk. “Nak cuba?”

“Boleh ke cuba?”

“Peluang sekali sahaja dalam seribu tau,” ujarnya sambil bangun daripada duduknya di atas sebuah bangku kayu yang kecil.

Aku memandang wajah Chen dan Chen bersetuju sahaja. Duduk kemudian aku labuhkan di atas bangku tersebut seraya memandang pula wajah Ahmad di sebelahku. Tidak tahu bagaimana mahu memulakan kerjaku.

Namun apabila Ahmad menyuruh aku memerah sahaja susunya, aku akur namun tiada apa yang keluar. Baldi baru masih kosong tanpa sebarang hasil tenusu yang boleh aku banggakan. Bibirku tercebik spontan seraya menghelakan nafasku berat.

“Lecehnya. Tak keluar pun,” omelku.

Ahmad senyum.

“Itu kerana awak terlalu memaksa dia untuk keluarkan susu. Posisi tangan awak pun salah sebab kalau tak betul caranya, susu pun susah nak keluar,” dia membuat sebuah demonstrasi kepada aku yang terangguk-angguk faham.

Lincah sahaja Ahmad memerah susu lembu dan kemudian dia menyuruhku untuk mencuba sekali lagi. Aku membuat cara yang sama seperti dia lakukan dengan perlahan-lahan dan kemudian barulah dapat aku lihat hasilnya. Tidak sampai beberapa minit, baldi sudah terisi separuh.

Chen duduk mencangkung di sisi, agak dekat dengan diriku. Hembusan nafasnya yang jelas terasa membuatkan rona di wajah berubah merah padam. Debaran di dada usah dikata kerana terlalu kencang untuk digambarkan.

Wajah aku palingkan dan alangkah terkejutnya aku apabila anak matanya merenung tepat ke dalam anak mata milikku. Hangat renungannya mendatangkan perencah kepada resepi bahagia yang entah bila hadir menjengah pintu hati.

“Clever girl,” bisiknya.

Semakin membahang rasanya muka yang ingin meletup. Pantas, aku palingkan wajahku semula dan berpura-pura sibuk dengan tugasanku. Kusembunyikan senyuman yang bakal terpamer kerana enggan disakat pula oleh Chen. Ahmad sudah beberapa kali menjeling ke arah kami, barangkali hairan dengan tingkahku yang mencurigakan di matanya.

Tepat pukul sepuluh pagi, barulah aku dibawa ke padang untuk membuat ‘lawatan sambil belajar’ untuk memerhatikan ternakan meragut rumput yang cantik hijaunya.

Sekali lagi aku terpandangkan susuk tubuh yang cukup aku kenali. Membelakangi aku dan Chen sambil bermain-main dengan anak lembu yang turut melayan fiilnya. Tidak jelas wajahnya di retina dan kornea mata namun aku tahu bahawa dia sedang ketawa bahagia.

Lelaki yang begitu bersungguh-sungguh memberus badan lembu biarpun jasad basah diulit keringat sendiri. Rambutnya yang disapa angin dibiarkan sahaja begitu. Selamba sahaja dia mendukung anak lembu yang sempat ditangkap seraya bermain-main dengannya seperti berinteraksi dengan keluarga sendiri.

“Ad… you will interview him.”

Hah?

Terpanar aku menoleh ke sisi dengan rahang yang kukira boleh sahaja gugur menyembah bumi. Bersilih ganti aku merenung wajah Chen dan susuk tubuh itu. Riak wajah yang terlakar barangkali sudah berubah sepenuhnya.

“Wait a minute. I ditugaskan untuk jumpa you oleh bos I. So why should I interview him?” tidak berpuas hati aku mengajukan pertanyaan. Muka dia sendiri aku tak kenal! Entah seramah Chen, entah tidak! Kalau garang macam beruang, matilah aku!

“Well, he’s the big boss here, by the way.”

“Kalau big boss kenapa dia yang buat semua kerja-kerja?”

“That’s what leadership means to him. A good leader wouldn’t just give orders to his followers without doing nothing but will try to help them with his own strength,” lembut Chen menjawab sebelum menudingkan jarinya ke arah orang yang tidak ingin aku temui.

“Go ahead. When you’re done, meet me at the barn.”

“Boleh tak kalau I just temu ramah you sahaja?”

Chen tersenyum kelat.

“I tak layak untuk gantikan posisi dia, Ad. Good luck.”

Ditinggalkan aku dengan seribu satu persoalan yang semakin menghantui kepalaku. Teragak-agak aku pada mulanya untuk menghampirinya yang sedang mengipas-ngipaskan wajah menggunakan topi jerami yang dia sangkut di leher jinjangnya.

Dengan perasaan yang bercampur-baur aku turutkan juga semuanya atas urusan kerja. Khuatir juga seandainya aku tidak akan dapat menyesuaikan diri dengannya berbanding ketika aku berkenalan dengan Chen dan para pekerja yang ramah-ramah belaka.

Matanya terarah untuk merenungku sekilas.

Aku menelan air liur yang pahit rasanya. Tajam pandangannya membuatkan gemuruh di dada sudah tidak dapat aku usir. Buku nota dan pensel terasa seperti mahu terlepas dari genggaman yang longgar. “Err…”

“Ni zài zuò se mo? (Apa yang awak sedang lakukan?)”

Eh, apa dia merepekkan ni? Fikir aku orang Cina?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience