"Kau patut ikut Sara mati, Mukriz. Liat betul nyawa kau kan? Kau sepatutnya ikut Mikael masuk kubur, tapi kenapa kau degil?!"
Robert berbisik rapat dengan telinga kiri Mukriz. Tiga bulan dia menunggu untuk masuk ke bilik wad yang menempatkan Mukriz, setiap kali itu tidak berjaya. Melanie sentiasa ada menemani anaknya ini. Tapi hari ini, Melanie ke pejabat Altech Holdings atas urusan syarikat itu.
"Tapi bila aku fikir balik, aku rasa kau tak patut mati. Aku nak kau dengan mak kau merana dan Altech melingkup. Adik kau aku boleh ambil jadi pelacur"
Robert ketawa besar. Dia perlu mengubah rentak permainannya ketika ini. Adam sudah tidak kisah tentang Altech. Fokus lelaki itu kini hanyalah Tania.
"Bagus juga Adam jumpa Tania. Selepas Sara tak mampu nak buat apa yang aku suruh. Lima tahun dah aku tunggu. Mikael tetap nak serahkan Altech dekat Adam. Aku tak faham!"
Robert bangun dan berpusing ke sebelah kanan katil Mukriz pula. Lelaki ini masih tidak sedarkan diri. Tiga bulan hidupnya masih dibantu alat bantuan pernafasan. Robert kemudian duduk di kerusi yang berada di sisi katil itu. Dia bersandar lalu kaki bersilang ke depan. Santai sungguh lagaknya.
"Aku suka bila kau berebutkan Altech. Bertahun-tahun aku racun fikiran Adam supaya bencikan Altech. Tapi bila dia putuskan hubungan dengan Sara dan Sara buat agenda lain, aku tak boleh berdiam. Keadaan dah jadi semakin huru-hara. It was not the plan!"
Robert diam. Ditenungnya sekujur tubuh kaku ini lama. Dari kepala hingga ke kaki. Oh, bukan! Hingga ke pinggang. Robert tersenyum sinis.
"Kau memang tamak Mukriz. Kau dah dapat Sara, itu bagus. Kau tetap teruskan usaha kau nak jatuhkan Adam. Aku kagum. Tapi kau tak puas, kau kacau Nia. Kau memang silap. Itu memang kepantangan aku".
Robert merapatkan kerusi dengan katil, mulutnya dibawa dekat dengan telinga Mukriz.
"Kalau kau sayang mak dan adik kau, cepatlah bangun. Aku takut kalau kau lambat, mak kau dah mati, adik kau dah jadi pelacur"
Terburai tawa Robert memenuhi bilik wad Mukriz. Dia kemudiannya pergi meninggalkan ruang itu. Selepas ini, dia perlu memantau Adam pula.
****************************
"Tak boleh macam tu, Puan Sri. Kita masih perlukan Encik Adam Hafrez. Dia pemegang saham terbesar sekarang. Yang kedua baru Encik Adam Mukriz".
Puan Sri Melanie merengus kasar. Dalam hati dia menyumpah seranah arwah suaminya. Tidak sangka pegangan saham yang arwah suaminya ada diserahkan 10% lebih banyak kepada Adam dan menjadikan lelaki itu pemegang saham terbesar syarikat.
"Dia taknak uruskan syarikat ni. Buat apa kita nak cari dia". Marah Puan Sri Melanie. Peguam syarikat hanya menggeleng kepala. Susah baginya untuk fahamkan tentang perkara seperti ini dengan wanita seperti Puan Sri Melanie.
"Macam ni lah, Puan Sri. Kalau betul Encik Adam taknak uruskan Altech, saya cadangkan Puan Sri minta dia jual share dia pada Puan Sri atau pada Encik Mukriz. Asalkan Puan Sri atau Encik Mukriz mendapat peratusan pegangan saham tertinggi, both of you can handle the company", cadang peguam syarikat.
"Tapi Puan Sri pun tahu Encik Mukriz masih koma. Jika Puan Sri mahu penjualan itu dilakukan dalam masa terdekat, Puan Sri boleh berjumpa sendiri dengan Encik Adam", sambung peguam syarikat lagi.
Puan Sri Melanie terdiam dan berfikir sejenak. Nampaknya dia perlu mengadap muka Adam lagi. Bertahun-tahun dia memendam perasaan dan berpura-pura di depan suaminya. Kali ini, dia akan tunjukkan dirinya yang sebenar. Sisi dirinya yang bencikan Adam dari dulu lagi.
"Okay, fine. Kalau macam tu I akan deal dengan Adam. Please prepare the necessary documents for me", kata Puan Sri Melanie sedikit mengarah. Dia mahu cepat selesaikan masalah ini. Adam tidak layak untuk dapatkan Altech Holdings. Dia yang bersusah payah selama ini hidup bersama Tan Sri Mikael meskipun ayahnya juga seorang hartawan.
Sejak mereka berkahwin, ayahnya mahu mereka berusaha sendiri untuk berjaya. Tiada sebarang bantuan yang diberikan kepada anak dan menantunya. Semuanya usaha keras Mikael dan Melanie. Kemudian muncul Maya, merubah segalanya.
Dia benci wanita itu, tapi dia pendam semuanya dalam hati. Melanie tidak nafikan Maya tidak pernah meminta sesuatu di luar kemampuan suami mereka, namun dia sedar sejak lahirnya Adam, Mikael lebih menumpukan perhatian kepada Maya dan Adam. Hati wanitanya terusik, dia cemburu. Tetapi dia tetap melayan Adam seperti anaknya sendiri, cuma dia sudah mula bencikan Maya.
Tanpa diduga, Melanie disahkan mengandung ketika Adam berusia dua tahun dan lahirlah seorang lagi bayi lelaki, bakal pewaris Mikael yang diberi nama Adam Mukriz. Secara jujurnya, Melanie tidak pernah membezakan kasih sayang antara kedua-dua Adam itu. Namun selepas niat Mikael untuk Adam Hafrez menerajui Altech Holdings kelak membuatkan hati Melanie mula berubah.
Baginya, hak itu perlu diberikan kepada Mukriz meskipun anaknya merupakan anak kedua tetapi dia isteri pertama Mikael yang sama-sama sudah bersama Mikael dulu untuk membina Altech Holdings.
Melanie nekad, dia akan tetap pastikan Adam Hafrez serahkan pegangan sahamnya padanya atau Mukriz.
*************************
Tania menadah tangan dan segera menghadiahkan surah Al-Fatihah. Batu nisan di depannya ini ditatap lama. Hatinya mula berombak sayu. Sepuluh tahun dia tinggalkan kampung ini dan kini dia kembali demi satu tujuan.
Untuk lenyapkan sejarah hitam yang menghantui hidupnya selama ini. Tania membawa Adam ke tempat di mana segalanya bermula. Di sini, di kampung tempat dia dilahir dan dibesarkan.
"Maafkan Nia, Nek. Nia tak pernah balik tengok nenek. Nia malu, nek. Dan Nia takut", perlahan Tania membisik. Tangannya mengusap lembut batu nisan putih yang dipacak hujung kubur.
Sudah hampir lapan tahun nenek pergi. Tania tahu tentang itu dari kawan sekampungnya, tapi dia takut untuk balik ke sini. Dia takut kalau-kalau bertemu dengan Fuad.
Adam hanya memerhatikan Tania dari tadi dengan ekor mata. Dia faham perasaan itu. Dia juga hilang orang yang dia sayang, papa. Meski pun Adam tidak suka dengan apa yang Tan Sri Mikael tentukan untuknya, lelaki itu tetap bapanya. Seburuk-buruknya, lelaki itu tetap menerima.
Kecuali tentang Tania.
"You..", sapa Adam perlahan. Tania kalih pandangan kepada Adam.
"Yes?"
"Kubur parents you yang mana?", tanya Adam beranikan diri. Semasa dalam perjalanan ke kampung Tania tadi, sempat wanita ini ceritakan serba sedikit tentang dirinya yang dulu. Kematian ibubapa ketika kecil, malah Tania tidak pernah kenal ibubapanya. Yang dia kenal hanyalah pusara orang tuanya.
Tania bangun dan mula mengatur langkah ke bahagian lain dalam kawasan perkuburan itu. Agak jauh juga dari pusara neneknya. Adam hanya mengekori dari belakang. Sesekali dia mengerling ke arah seorang lelaki yang sedang membersihkan kubur di hujung kawasan itu. Sudah agak lama juga lelaki itu berada di situ. Sejak dia dan Tania tiba tadi, lelaki itu sudah berada di dalam kawasan perkuburan ini.
"Sini. Yang itu mak, yang ni ayah". Suara Tania itu memecah kesunyian sekejap tadi. Adam melihat ke arah yang ditunjukkan Tania. Tanpa disuruh, Adam segera membersihkan daun-daun kering dan ranting yang memenuhi atas kubur. Keadaan kubur ini sudah jelas menunjukkan tiada siapa yang datang menziarah. Nampak usang.
Tania membersihkan kubur sebelah lagi, kubur ibunya. "Mak dengan ayah meninggal sebab accident. Lepas dia orang meninggal, I diserahkan dekat nenek. Nenek dengan Paksu yang besarkan I".
Adam hanya mendengar cerita itu. Tidak mahu mencelah. Dia mahu Tania sendiri rela membuka cerita lama sebelum dia dijual kepada Robert.
"Hidup kita orang tak adalah senang. Nenek ambil upah jahit baju, Paksu kerja kilang dekat pekan. Tapi cukup makan pakai. I pun dapat sekolah sampai SPM"
Ceritanya terhenti di situ. Keadaan kubur sudah bersih. Tania mengibas kedua tapak tangan, membuang segala kotoran yang melekat di tangannya dan segera menadah tangan. Mata dipejam dan mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu yang tidak begitu jelas di telinga Adam. Adam juga turut lakukan perkara yang sama. Cuma yang dia baca hanyalah surah Al-fatihah. Doa lain dia tidak tahu.
Matanya merenung ke arah batu nisan yang tertera nama penghuninya. Abdullah Bin Abdul Mutalib. Itulah nama penghuni kubur ini.
'Pakcik, saya mohon restu pakcik untuk nikahi Tania. Saya janji saya akan jaga dan sayang dia sepenuh hati saya', bisik Adam dalam hati sambil pejam mata.
Adam buka mata, Tania tersenyum di depannya. "You doa apa untuk ayah?", tanya Tania dengan senyuman meleret. Dia nampak Adam pejam mata, menadah tangan dan tertunduk tadi. Entah apa yang didoakan lelaki ini.
"I tak doa". Selamba jawapan Adam. Dia kerling riak terkejut Tania kemudian mengukir senyum. "Tapi I minta izin dia untuk nikah dengan you", kata Adam lalu kenyit mata dengan senyuman nakalnya.
"You ni...". Tania sudah berasa malu. Entah kenapa wujud perasaan itu tiba-tiba. Merona merah pipinya yang putih. Adam ketawa kecil, suka melihat Tania begitu.
"Betullah. Nak kahwin dengan anak orang, kenalah minta izin", kata Adam. Huluran tangan diberikan kepada Tania untuk membantu wanita itu bangun dari duduknya di tepi kuburan itu.
"Kalau dia orang masih hidup, agaknya dia orang terima tak I sebagai menantu?", tanya Adam dalam bisikan di telinga Tania.
"Hish you ni. Mestilah terima. You kan baik. You jaga I, you sayang I", balas Tania.
"Lagi..lagi? Takkan itu je?", tanya Adam manja. Bukan selalu mendapat pujian dari Tania.
"Mengada lah you ni. Nak manja-manja tak kena tempat. Sini kubur tau tak? Nanti hantu ayah datang kacau you baru tahu", seloroh Tania. Adam makin geli hati melihat keletah Tania. Pipinya yang semakin merah saja cukup membuatkan Adam tahu Tania sedang menahan rasa malu.
"Tak apalah kalau hantu ayah kacau I. Kalau dia datang, I terus salam dia lepas tu minta dia nikahkan I dengan you", balas Adam dalam ketawa. Suka benar dia menyakat Tania kala ini.
"Eee..geramnya you ni!". Satu lagi tamparan lembut singgah di lengan Adam. Tawanya masih bersisa. Pintu kereta sebelah pemandu dibuka untuk Tania. Tania melangkah masuk ke dalam kereta.
"Assalamualaikum".
Ucapan salam itu membuatkan Tania dan Adam berpandangan sesama sendiri dan kemudian Adam menoleh ke belakang. Suara lelaki yang memberikan salam itu datang dari belakangnya.
"Wa-waalaikumsalam", jawab Adam tergagap dan berpaling ke arah suara lelaki itu. Dadanya berdegup kencang. Begitu juga dengan Tania. Setahu dia tiada siapa mengekori mereka tadi.
"Kamu ni saudara Abdullah dengan Nek Yah ke?", tanya lelaki itu. Adam sedikit lega. Ini lelaki yang dia nampak membersihkan kubur di hujung tadi. Tania yang mendengar soalan itu keluar dari kereta.
"Saya, pakcik. Tania, cucu Nek Yah". Jawab Tania. Adam ke tepi sedikit untuk memberikan laluan kepada Tania. Sempat juga Adam bersalaman dengan pakcik ini.
"Ohhh.. Tania. Lama betul kamu tak balik kan? Ingat Paklong lagi tak?", tanya lelaki itu. Berkerut dahi Tania cuba mengingati wajah lelaki ini dan kemudian mengukir senyum. Memori itu sudah kembali semula.
"Paklong. Sorry, Nia tak perasan tadi", balas Tania lalu bersalam dengan lelaki ini. Tangan tua itu dicium tanda hormat. Adam hanya memerhatikan tingkah laku mereka berdua. Dalam fikirannya, lelaki ini sudah tentu bapa saudara Tania juga.
"Tak apa. Lama kamu tak balik. Lepas habis sekolah kamu terus hilang macam tu je. Nenek kamu meninggal pun kamu tak balik. Tak ada orang bagitau kamu ke Nia?", tanya Paklong. Tania tertunduk sayu. Bukan dia tidak mahu pulang, tapi...
"Fuad meninggal kamu tahu?", soal Paklong lagi. Tania angkat muka, memandang wajah lelaki ini. Matanya kemudian dialihkan kepada Adam pula dan kemudian kepada Paklong kembali lalu menggelengkan kepala.
Jantungnya berdegup laju mendengar nama itu. Sebab lelaki inilah dia kembali ke kampung ini. Adam sudah mula rasa tidak selesa. Memang dia mahu Fuad mati, tapi tidak sangka lelaki itu sememangnya sudah mati.
"Bi-bila tu paklong?", tanya Tania tergagap-gagap. Paklong mengajak Tania dan Adam ke satu kubur. Tanah kubur itu masih coklat kemerahan, seperti kubur baru. Mungkin dalam tiga ke empat bulan barunya.
"Empat bulan lepas. Katanya kes langgar lari. Penyelenggara lebuh raya jumpa dalam parit tepi highway, dah hampir busuk", jelas Paklong. Tania dan Adam berpandangan lagi. Tania pelik, begitu juga Adam. Banyak persoalan yang bermain di minda Tania sekarang. Namun satu yang dia pasti, ini pasti kerja Alex atau Robert.
"Innalillah.. tak tahu Nia nak cakap macam mana. Dah ajal dia kan". Hanya itu yang mampu terluah di mulutnya. Tidak jahat rasanya jika hati Tania berasa lega dan gembira dengan berita ini. Lelaki itu yang menyeksanya sekian lama, menghantui tidurnya hampir setiap malam. Tania lega kerana dia tidak perlu menatap lagi wajah lelaki durjana itu.
"Paklong.. rumah nenek tu masih ada?", soal Tania. Sesampainya dia di kampung tadi, dia terus ke sini. Paklong angguk.
"Ada. Elok lagi. Fuad jaga rumah tu. Dulu dua tiga bulan sekali dia ada balik sini. Dia memang ada hulur duit dekat Maklong untuk bayar bil api air semua. Maklong kamu yang selalu pergi tengok rumah tu. Kunci rumah pun ada dekat Maklong. Kamu nak ke sana ke?", tanya Paklong.
Tania pandang Adam. Adam kerdip mata beberapa kali. Sejujurnya Tania tidak mahu jejakkan kaki ke rumah itu lagi. Rumah yang menyimpan segala memori dukanya. Pujukan Adam yang membawa mereka ke sini. Kata Adam, untuk lupakan kisah itu Tania perlu berani berhadapan dengannya sekali lagi. Tapi kini Fuad sudah tiada, yang ada hanyalah bayangan yang dia tinggalkan di rumah itu.
"Boleh juga. Rindu rumah nenek", balas Tania.
"Kalau macam tu nanti singgah rumah Paklong ambil kunci. Kamu nak tidur sana pun boleh. Cuma kena kemas sikitlah. Kawan kamu ni boleh tidur rumah Paklong", cadang Paklong.
"Sorry lupa nak kenalkan tadi. Ni Adam, suami Nia", bohong Tania. Cadangan Paklong untuk Adam bermalam di rumahnya sudah betul, tapi membiarkan Tania bermalam berseorangan di rumah nenek?
That's a big NO.
Adam tersenyum nipis dengan pembohongan Tania. Paklong angguk kepala beberapa kali dan menyengih.
"Maaflah. Ingatkan kamu belum kahwin", kata Paklong. Tania dan Adam tersengih.
Memang belum, tapi macam dah kahwin!
Share this novel