Di sebalik Takdir

Romance Series 31808

Tania - Dalam hati Adam

Aku tak pernah sangka pertemuan dengan seorang lelaki muda yang menarik perhatian aku malam itu berakhir dengan satu hubungan yang merubah hidup aku sepenuhnya. Jujur, pada mulanya aku hanya inginkan hubungan satu malam saja tapi entah kenapa sejak malam itu, dia bersarang di dalam fikiran aku sehingga aku menjadi seorang yang melanggar semua peraturan kerja aku.

Kehadiran Adam Hafrez benar-benar merubah segalanya yang berlaku dalam hidup aku dari kecil sehingga aku dewasa. Dia mampu membuatkan aku lupa kisah hitam yang pernah berlaku dulu.

Adam Hafrez, cinta pertama aku. Lelaki pertama yang aku cinta sepenuh hati dan aku mahu dia menjadi yang terakhir juga. Aku tidak sempurna, aku tahu itu. Tapi Adam tidak pernah bangkitkan isu itu dengan aku. Aku tahu sehingga kini dia rasa bersalah kerana kejadian itu. Tapi aku tidak salahkan Adam. Andai ketika itu aku tidak halau dia keluar dari rumah, pasti Riz dan Sara tidak boleh apa-apakan aku. Adam cuma lakukan apa yang dia rasa dia perlu buat; berikan aku ruang untuk bertenang ketika itu.

Membeli aku dari Robert dengan harga yang tinggi, itu satu perkara yang aku tidak pernah terlintas seorang lelaki akan lakukan untuk aku, seorang Call Girl. Dan perkara yang aku paling tak sangka, Robert sendiri mempunyai agendanya. Mempergunakan Adam, meracuni pemikiran Adam supaya biarkan Altech Holdings terkubur. Dan aku tiba-tiba muncul dalam ceritanya untuk hancurkan Altech.

Tapi kini, aku bersyukur kerana keluarga yang suatu ketika dulu pernah berantakan kembali bahagia seperti sebelumnya. Meski pun ada nyawa yang perlu dikorbankan untuk itu.

Aku simpati dengan Mukriz. Aku marah dan aku bencikan dia. Tetapi pesanan Maklong untuk aku lepaskan segala dendam itu sebenarnya membantu aku. Sungguh, aku berasa lebih tenang selepas aku memaafkan Mukriz. Aku pasti kini dia menyesal dengan segala perbuatan lampaunya.

Aku tidak pernah sangka, Call Girl seperti aku mampu untuk bina kehidupan baru bersama Adam Hafrez, seorang CEO muda dan salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat yang terkemuka di Kuala Lumpur.

Kedudukan aku yang selama ini dianggap hina oleh masyarakat berubah sekelip mata. Kini darjat aku diangkat tinggi dan semua itu kerana lelaki ini, Adam Hafrez. Yang sudah sah bergelar suamiku.

Siapa kata wanita hina seperti aku akan selamanya hina?

**********

Adam Hafrez - Dalam hati Tania
Tidak pernah terlintas dalam fikiran, begini rupanya jalan cerita hidup aku. Tania, wanita yang telah berjaya membuatkan aku merubah tanggapan hubungan satu malam. Hebatnya kuasa seorang wanita seperti Tania sehingga mampu membuatkan aku tergila-gilakannya.

Atau mungkin aku termakan kata-kataku sendiri?

Mungkin!

Aku akui, hati aku pernah rasa untuk memiliki dia. Tapi bila Sara mula menunjukkan perubahan dalam hubungan kami, aku jadi berbelah bagi. Aku menyesal kerana pernah halau Tania ketika dia datang ke Melbourne dulu. Aku terkejut dan aku tidak sangka Call Girl seperti dia boleh menjadi begitu cuai dengan membiarkan benih seorang lelaki tersemai dalam rahimnya.

Betul kata Alex, she become vulnerable when she's with me. Tapi aku tak pernah nampak. Bila Sara tunjukkan dirinya yang sebenar, aku mula sedar apa yang aku nak sebenarnya. Aku pernah rasa nak ambil Sara sebagai isteri aku walaupun aku tahu selama ini dia bersama aku hanya kerana harta benda dan kemewahan. Sedangkan Nia, dia tidak pernah minta semua itu dari aku.

Aku yang minta dia jadi seorang yang eksklusif untuk aku, tapi aku cakap Nia terlalu naif kerana percayakan kata-kata aku. Hakikatnya aku sendiri tidak sedar apa yang aku cakap. Aku memang patut kena tampar dengan Nia waktu tu. Dan dengan tamparan itu membuatkan aku sedar, Tania bukan semurah yang aku sangka. Dia terlalu mahal nilainya.

Aku baru tahu ketika kali pertama Nia datang ke Melbourne, sebenarnya adalah untuk lari dari Fuad. Lelaki tak guna yang dah rosakkan Nia. Tapi aku sangka dia datang untuk ambil kesempatan dengan ugut aku pasal kandungan dia. Bodoh sangat aku waktu tu.

Aku terpukul dengan kata-katanya. "I never charged you for sex, Adam. Kalau I nak duit, bukan you yang I cari. Baik I kejar lelaki-lelaki yang lagi kaya dari you. You are totally wrong about me. And I was wronged about you. I ingat you lain, tapi you sama je dengan semua lelaki bernafsu binatang. You will regret, Adam. Mark my word! You. Will. Regret!"

You will regret, itu yang paling aku ingat. Dan ya, aku menyesal dengan apa yang pernah aku lakukan pada Nia. Hidup Nia tak pernah senang selepas itu. Hanya kerana aku, seorang lelaki bernama Adam Hafrez yang pentingkan diri sendiri.

Tapi kini, aku bahagia dengan Nia. Dan kami sedang menantikan kelahiran zuriat pertama kami hasil penyatuan benihku dan Nia yang ditumpangkan kepada seorang wanita yang sanggup menjadi ibu tumpang kepada zuriat kami.

Dan aku janji, aku tidak akan sia-siakan wanita yang sudah banyak berkorban untuk aku. Terlalu banyak budi yang Tania taburkan untuk aku dan keluarga aku hingga menyakiti dirinya sendiri. Sesungguhnya, kasih dan sayang aku untuk wanita ini tiada gantinya. I love you so much, my call girl!

**********

Alex - Kuala Lumpur
Pertemuan kali pertama aku dengan Tania lebih sedekad lalu mengingatkan aku pada Ally, adik kandungku yang mati akibat penyalahgunaan dadah ketika dia berusia 17 tahun. Aku tahu siapa pembekal dadah itu.

Robert. Lelaki yang akhirnya menjadi bos aku. Aku bekerja dengan Robert pada awalnya hanyalah untuk membalas dendam atas kematian adik aku. Tetapi, ketika itulah Tania muncul. Hati aku menjadi simpati dengan nasibnya. Kerana aku tidak mahu kejadian sama berulang, aku berjanji dengan diri aku sendiri bahawa aku akan menjaga Tania seperti nyawa aku sendiri. Dan aku sanggup mempertaruhkan nyawa aku demi keselamatan dia.

Tania, gadis seusia adik kandungku ketika kali pertama dia dijual kepada Robert. Ketika itu aku juga baru saja berkhidmat dengan Robert. Kali pertama aku melihat raut wajahnya, dengan esakan tangisannya, aku tahu dia seorang gadis malang yang menjadi mangsa keadaan. Bukan kuasa aku untuk membawa Tania keluar dari lembah penuh hina ini, tapi janji aku padanya yang aku akan sentiasa ada bersamanya.

Ketika dia mula berubah selepas bertemu sang Adam, aku yakin lelaki itu mampu merubah corak kehidupan Tania. Dan ya, walaupun dengan segala rintangan sehingga dia kehilangan harta berharga seorang wanita, Tania tetap utuh bersama Adam.

Dan kini, aku bahagia melihat Tania dan Adam bahagia. Sesungguhnya, tiada apa yang aku minta selain diberikan kebahagiaan yang berterusan untuk pasangan itu.

**********

Alana - Cyberjaya
Dari kecil, hidup aku dilimpahi kasih sayang yang tidak berbelah bagi dari papa dan mama serta dua orang abang yang aku ada, Adam Hafrez dan Adam Mukriz. Semakin aku menginjak remaja, aku semakin nampak kerenggangan hubungan Adam dan Mukriz serta kasih sayang mama yang nampak berat sebelah. Aku cuba faham situasi itu, tetapi aku tidak pernah mendapat jawapan.

Selepas Adam membawa Tania berjumpa keluarga, satu persatu sejarah hitam keluarga tersingkap. Aku mungkin terlalu muda untuk faham semua konflik yang berlaku dalam keluarga aku. Tapi aku tak bodoh untuk siasat tentang semuanya. Dalam mereka bertengkar, bergaduh tentang satu entiti yang kini menjadi milik aku, aku cuba memahami setiap bait kata yang mereka tuturkan sehingga aku dapat kaitkan semuanya menjadi satu. Dan aku tahu puncanya. Cuma aku mengambil sikap berdiam diri kerana aku takut jika suara aku tidak didengari.

Robert. Aku tidak sangka sebenarnya akulah anak haram hasil hubungan dia dengan mama. Lelaki yang aku panggil Uncle Robby itu sebenarnya bapa kandung aku!

Bagaimana aku tahu? Sudah lama aku ingin tahu. Sejak di bangku sekolah aku tertanya-tanya kenapa raut wajah aku tidak seperti papa, seorang lelaki Inggeris. Tidak juga seiras mama, wanita Melayu. Kulit aku putih kemerahan, mata aku sedikit sepet. Cuma rambutku saja hitam pekat. Setiap kali aku ajukan persoalan itu pada mama, mama akan kata kerana aku mengikut genetik nenek moyang aku sebelah mama yang berketurunan Cina. Aku pegang jawapan itu sehinggalah suatu hari aku nampak Alex memegang satu fail laporan makmal yang tertera nama Robert. Begitu cuai Alex dalam melakukan kerjanya. Aku mencuri lihat kandungan fail itu dan ketika itulah kebenarannya terbukti.

Aku tidak menyesal membunuh bapa kandung aku sendiri kerana dia memang patut mati! Dialah punca semuanya yang berlaku dalam keluarga aku.

Semuanya hanya kerana dendam!

Namun aku bersyukur kerana aku tidak disabitkan dengan sebarang jenayah kerana kejafian itu dianggap kejadian mempertahankan diri dan Robert juga merupakan penjenayah yang dikehendaki polis Malaysia.

**********

Adam Mukriz - Di manakah selayaknya aku? Syurga atau Neraka? ??
Kalaulah aku dihidupkan kembali, aku berjanji aku tidak akan lakukan semua kerja jahat tu. Aku ingin bertaubat. Aku mahu bersihkan hati aku yang penuh dengan dendam terhadap abang aku sendiri. Aku ingin mohon maaf pada setiap orang yang telah aku sakiti terutama Tania.

Kerana aku, dia hilang satu-satunya nikmat yang Tuhan berikan kepada wanita. Aku ragut impian dan harapan dia. Aku musnahkan kehidupannya. Semua kerana perasaan hasad dengki dan busuk hati aku pada Adam Hafrez.

Memang benar dalam nama Adam, ada aku. Tapi dua Adam ini tetap tidak mampu tandingi hebatnya seorang Adam.

Pemikiran aku diracuni sejak dulu lagi. Mama bermati-matian mahu aku menerajui Altech Holdings. Dia bentuk aku jadi seorang yang kejam dan tidak berhati perut. Dia jadikan aku seorang yang bencikan darah daging aku sendiri. Dia buat aku bermusuh dengan Adam sedangkan lelaki itu tidak pernah peduli dengan segala kemewahan yang keluarga dia miliki dan dia lebih senang membina empayarnya sendiri.

Aku perlu akui bahawa aku seorang lelaki yang tewas. Tewas dengan godaan dunia. Aku tewas dengan nafsu aku sendiri yang mahukan segalanya menjadi milik aku.

Dan kini, aku hanya menanti masa untuk diadili seadil-adilnya.

**********

Sara James - Nerakakah tempat aku?
Aku menyesal kenal bapa kandung aku. Aku tidak sepatutnya kembali ke Malaysia lama dulu untuk mencari dia. Sebelum aku kenal bapa kandung aku, hidup aku tenang. Aku ada mummy yang terlalu sayangkan aku dan Henry yang begitu cintakan aku.

Tapi... kerana janji dia untuk berikan aku segalanya, aku jadi gelap mata. Aku tidak menjadi diri aku yang sebenar. Sifat baik yang aku ada hilang serta merta dan aku disogokkan dengan kemewahan dan status.

Adam Hafrez. Lelaki ini tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada Robert. Aku menyesal mengikut perancangan Robert dari awal lagi. Aku masuk ke dalam hidup Adam sebagai pembantu peribadinya dan kemudian memerangkap Adam untuk terus berada dalam rancangan jahat Robert. Aku hanya boneka yang dimainkam Robert bertahun lamanya.

Tipu jika sepanjang aku mengenali Adam, aku tidak jatuh hati padanya. Dia seorang lelaki yang baik. Dia berikan aku segalanya. Tapi aku tahu, dia bersama aku dan bertahan dengan aku hanya kerana apa yang aku berikan padanya.

Ketika Adam halau aku dari rumah, Robert orang pertama yang marah. Dia kata aku cuai. Ya, aku tahu. Aku tak sepatutnya simpan pita rakaman cctv rumah Adam. Aku sepatutnya hapuskan bukti tu lama dulu. Robert terlalu marah dan aku tahu, aku perlu buat sesuatu untuk hapuskan Adam.

Dan ketika itulah aku bertemu Mukriz. Kerana dendam yang sama, aku membuat pakatan dengan Mukriz. Namun ternyata, orang yang baik sentiasa dilindungi Tuhan.

Tiada apa yang aku boleh lakukan sekarang selain menunggu masa untuk diadili. Dan aku tahu tempat aku hanya di neraka jahanam!

**********

Tan Sri Mikael - Maafkan papa!
Aku punca semua ini. Kalau bukan kerana aku mengambil Maya dari Robert, pasti semua ini tidak akan berlaku. Pasti tiada dendam yang wujud dalam dirinya.

Bukan aku memilih untuk jatuh hati pada Maya. Perasaan itu datang tiba-tiba. Dan aku tahu, salah aku kerana meminta Maya melayani client aku semata-mata untuk aku dapatkan tender untuk Altech Holdings. Itu kesilapan terbesar yang aku buat sehingga Adam menjauh dari aku.

Meski semua orang tahu Robert dalang kepada perbalahan yang berlaku dalam keluarga aku, namun aku sedar punca sebenarnya adalah aku!

Aku tidak boleh salahkan Melanie jika dia menjadi seorang yang pendendam kerana aku yang membuka ruang itu untuk dia. Aku yang melukai hatinya, mengguris perasaannya sehingga dia bencikan Adam. Hilang segala sifat keibuannya pada Adam hanya kerana sakitnya hati dia pada Maya.

Aku tahu dia yang bunuh Maya tapi aku mengambil sikap berdiam diri kerana aku rasa bersalah pada Melanie. Sehingga aku hembuskan nafas yang terakhir, aku masih cintakan Melanie. Cuma dia yang tidak tahu tentang perasaan itu.

Alana. Aku tahu dia bukan anak aku. Tapi aku tetap sayangkan dia sepertimana aku sayangkan Adam dan Mukriz. Aku tidak pernah bangkitkan hal itu baik pada Melanie ataupun Alana kerana ketika itu aku yakin, aku masih mampu mengemudi keluarga aku sendiri.

Namun, ternyata aku seorang yang gagal. Aku gagal untuk membentuk anak-anak aku. Aku gagal mendidik mereka untuk saling melengkapi dan memerlukan satu sama lain.

Tiada orang lain yang aku salahkan kecuali diri aku sendiri.

**********

Puan Sri Melanie - Apa salah aku?
Salahkah jika aku cuma ingin pertahankan hak aku? Salahkan jika aku ingin menuntut semua hak aku dan anak-anak aku yang telah diberikan kepada Maya dan anaknya?

Aku pernah sayangkan Adam sama seperti aku sayangkan Mukriz dan Alana. Aku berikan kasih sayang yang sama rata pada Adam kerana aku tidak mahu dia terasa terasing dalam keluarganya sendiri. Atau lebih tepat, aku hanyalah rasa bersalah terhadap Adam kerana telah meragut nyawa ibunya.

Ya, aku seorang pendosa. Aku curang bersama kawan baik suami aku sendiri. Aku lahirkan anak lelaki lain. Aku tahu Mikael tahu tentang itu tapi dia diamkan diri. Mungkin kerana perasaan bersalahnya yang menduakan aku.

Dan ya, aku seorang pembunuh. Aku yang bunuh Maya. Aku letak racun dalam minuman dia. Aku bermanis muka dengan Maya selama dia menjadi maduku hanya kerana aku tidak mahu sesiapa menghidu rancangan jahat aku. Dan Mikael rahsiakan semua itu dari semua orang. Dia tetap menyimpan seorang pembunuh seperti aku.

Dan aku tahu, di mana tempat aku selayaknya. NERAKA.

Maafkan mama, Lana. Bukan niat mama untuk rahsiakan semua itu dari Lana. Mama cuma tak mahu Lana rasa terasing dalam keluarga.

Maafkan mama, Riz. Mama yang salah kerana meracuni pemikiran Riz untuk bencikan Adam, untuk merampas Altech dari Adam sedangkan mama tahu papa berlaku adil untuk setiap seorang dari kamu.

Dan Adam, maafkan mama juga. Semua ni sebab mama yang terlalu dengarkan bisikan syaitan. Mama sayangkan Adam macam anak mama sendiri. I am so sorry, Adam Hafrez.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience