Sejak penjelasannya, hidup aku kini kembali seperti biasa begitu juga hubungan aku dengan Lutfi. Aku juga berhasrat untuk mulai belajar untuk mengenali dia dan tidak lagi terpengaruh dengan masa lalunya.
Setiap pulang kerja dia akan menghantar aku pulang ke rumah kerana enggan membiarkan aku menunggu bas terlalu lama. Kadang-kadang dia akan membawa aku bersiar-siar mengelilingi bandar raya yang sesak dengan motosikal nya ataupun berjalan di pasar malam untuk membeli majalah terpakai sambil berpegangan tangan. Aku suka, tapi.. Aku siapa? Dia tidak pernah meminta untuk menjadi kekasihnya.
Apa sebenarnya dia sudah punya kekasih? Fikiranku tiba-tiba teringat akan gadis yang di dalam gambarnya bersama dengan arwah Zul. Dia tidak pernah ceritakan tentang dia dan setiap kali aku bertanyakan tentang gambar itu, dia akan menukar topik.
Siapa perempuan tu? Kenapa dia terlalu berahsia? Tapi aku tidak harus terkejut, ini bukanlah satu-satunya hal yang dia rahsiakan. Aku bahkan sudah lali dengan hidupnya yang sebegitu misteri. Setiap kali aku mendengar khabar tidak baik tentangnya, aku hanya tersenyum. Aku seakan sudah dapat meneka yang dia akan terus menerus diserang oleh Black Dragon dan kata-katanya sebelum ini hanya bayang-bayang sahaja.
"Awak cakap diaorang akan berhenti"
Tidak sampai satu hari, bibir Lutfi pula yang bengkak, tidak terlalu membawa rasa amarahku, aku dengan senang hatinya merelakan diri untuk menyapu lukanya dengan ubat antibiotik. Tapi itu tidak bererti aku setuju dengan semua ini.
"Ouch sakit!"
"Kalau dah tahu sakit kenapa masih lagi bergaduh"
"Kan dah cakap, diserang."
"Jadi kenapa tipu?"
"Saya tak tipu. Memang diserang."
"Ya. Tapi awak tipu, cakap diaorang takkan serang lagi."
"Kan kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan."
Sakit hati ku mendengar jawapannya, aku yang tadi mencuba untuk tidak marah dengan sengaja menekan tempat lukanya sehingga dia merengek kesakitan.
"Isabel. Sakit!"
"Tak sengaja."
"Awak marah?"
"Kalau saya marah pun bukannya dapat ubah pun 'takdir' awak"
"Isabel. Awak tahu kan saya tak suka kalau awak macam ni."
"Jadi berhenti."
"Saya tak boleh janji."
"Kenapa tak boleh?"
"Awak takkan faham."
"Awak fahamkan saya."
"Tak boleh."
Aku berhenti. Kapas dan ubat tersebut disimpan tepi. Aku tiba-tiba teringat akan pesan ayah. Kalau ingin melihat kejujuran sesorang tataplah matanya ketika berbicara. Aku ikut pesan ayah. Dari pandangannya, dapat aku merasakan satu sisi gelap Lutfi yang ada dalam dirinya yang sukar untuk aku bolosi. Aku mengeluh lalu berdiri sambil membawa ubat dan kapas itu tadi. Lutfi menahanku.
"Awak pergi mana?"
"Nak buang kapas ni dan simpan ubat ni balik. Beberapa hari lagi sembuh lah luka awak tu kot."
"Ayah ada cakap apa-apa?"
"Dia ajak awak makan disini. Tadi dia dah suruh bibik belikan kerang untuk makan malam nanti."
"Bukan pasal tu, pasal luka ni semua."
"Tak. Saya tak buka cerita."
"Yang dulu pun dia tak tanya, waktu awak dan ayah datang makan kat rumah"
"Mesti ayah dah lali memberi nasihat pada orang yang tak sudi mendengar."
Entah roh apa yang merasuki hingga aku boleh berbicara seperti itu. Bukan hendak membuatnya rasa tersinggung tapi seharusnya dia sedar kalau terlalu ramai yang risau akan dirinya jika dia terus diserang oleh kumpulan Black Dragon itu.
Yalah, memang bukan salah Lutfi kalau Black Dragon serang dia, sebab itu dah memang 'takdir' kalau dah terlibat dalam geng-geng, tapi pasti ada cara kan untuk keluar terus dari gengaman diarong kan? Takkan seumur hidup Lufti nak korbankan dirinya untuk diaorang?
?
Hari kelima Lutfi bercuti. Tinggal 2 hari lagi untuk dia masuk kerja semula. Sehari sebelumnya, aku ada singgah ke rumah untuk mengirim rendang yang di masak oleh ayah. Kata ayah, rugi kalau tak rasa masakkannya. Bukan selalu dia masak untuk orang luar. Haih macam-macam. Hahahahaha.
Melihat keadaan Lutfi, luka diwajahnya kian memudar. Sempat aku berdoa semoga geng Black Dragon tidak menyerangnya untuk 2 hari ini, kerana dia harus terlihat baik di hadapan bos. Kalau tidak mesti bos syak yang dia masih lagi aktif dengan kumpulannya itu dan serangan minggu lalu itu adalah dirancang.
Tok tok! Maria mengetuk meja makan sekaligus mematikan lamunanku. Aku memandang wajahnya dengan riak blur. Tanganku yang sejak tadi memegang straw tiba-tiba bergetar.
"Kau ok tak ni? Mengelamun memanjang. Tangan kau pun dari tadi bergetar aku tengok."
"Oh? Aku okay, aku pun tak tahu kenapa. Lapar kot."
"Kau tak makan pagi tadi?"
"Tak sempat.."
"Dan sekarang kau tak pesan makanan?"
"Aku takda seleralah."
"Aku bukan nak cakap apalah, tapi Isabel, ini sebab kenapa aku larang kau untuk dekat dengan Lutfi dulu. Dia toxic. Kau tengok apa jadi dengan kau. Dia hilangkan semangat kau."
Maria tak salah. Memang harus aku akui yang Lutfi membuatkan aku jadi kurang bersemangat padahal dialah yang dulu memberi aku 1001 sebab untuk terus bersinar setiap hari. Tapi sejak kejadian dia diserang, aku menjadi semakin bimbang. Aku tidak dapat berhenti memikirkan tentangnya. Setiap hari aku hidup dalam ketakutan. Takut kalau-kalau dia di diserang lagi. Tapi keterujaan aku membatasi rasa takut yang aku alami.
"Aku tahu. Kau betul, kalau aku tak wujud dalam hidup dia benda ni takkan jadi."
"Eh, apa kau merepek ni. Aku bukan nak salahkan kau."
"Kalau ayah yang masih awasi dia, geng tu takkan cari dia. Sebab dia dilindungi. Tapi sebab aku yang selalu dengan dia, ayah dah tak awasi dia lagi, itu peluang untuk mereka serang dia."
"Isabel..bukan tu yang aku cuba nak cakap. Kenapa kau jadi menyalahkan kau pula?"
"Sebab itu yang betul. Aku yang salah."
Maria jadi bingung. Itu jelas dari riak wajahnya. Tanganku yang tadinya bergetar kini kembali normal, berganti pula dengan keringat yang tidak henti-henti membasahi tubuhku. Kalau dilihat cuaca ketika itu, tidaklah terlalu panas. Tapi aku berpeluh dengan sangat teruk.
Maria ada memujukku untuk bertemu dengan pakar tentang gejala yang dihidapiku, namun aku ingkar, kerana menurut aku, bertemu dengan doktor biasa itu pun sudah memadai.
Masih terngiang-ngiang reaksi Maria saat aku menjawabnya seperti itu. Kalau ikutkan hatinya ingin saja dia cekik aku hidup-hidup.
Menurut doktor, gejala yang aku hadapi seperti mengeletar, merasa cemas, letih dan kerap berpeluh merupakan salah satu gejala hipoglisemia, iaitu satu keadaan di mana gula darah atau glukosa berada pada paras yang terlalu rendah dalam tubuh.
Katanya juga kebiasanya, keadaan ini disebabkan oleh kesan sampingan rawatan kencing manis yang diambil oleh penghidap kencing manis. Namun, ia juga boleh berlaku disebabkan beberapa keadaan lain atau kesan ubat-ubatan lain bagi mereka yang tidak menghidap diabetes.
Aku hanya mengiyakan doktor yang merawat aku saat itu walaupun apa yang dicari aku di internet berbeza dari pendapatnya. Tapi dia doktor, dia lebih arif. Internet pun bukannya boleh percaya sangat kan? Hanya sekadar menakutkan kita sahaja. Tambahan pula, aku memang ada mengambil ubat jenis tahan sakit setiap kali migraine datang menyerang, mungkin itu adalah salah satu penyebabnya.
Share this novel