Aku membuka mataku perlahan lahan. Entah sudah berapa lama aku tidur, tapi cukup lama sehinggakan Maria tertidur disisiku. Aku senyap senyap bangun dari katil kerana enggan membuat Maria terjaga. Mesti dia letih.
"Isabel.." Aku menepuk dahiku. Terjaga juga dia.
"Maria. Maaf, aku tak seng.."
"Takpa, kau lapar?"
"Ya.."
"Sini, tadi aku ada tapaukan untuk kau. Aku suapkan, okay." Aku mengangguk lalu kembali duduk di atas katil ku.
"Isabel, ayah kau titipkan maaf buat kau. Tadi dia ada, tapi dah balik. Dia pergi ke rumah arwah.." Ujar Maris selepas usai satu suapan.
"Takpa..aku faham. Ayah Lutfi perlukan seorang kawan seperti mana aku perlukan kau sekarang.." Aku tersenyum lemah.
"Kau kuat kau tahu tak. Kalau aku jadi kau, belum tentu aku dapat hadapi semua ni."
"Terkadang kita kuat kerana keadaan yang memaksa.."
"Isabel.."
"Ya?"
"Kau ada rahsiakan sesuatu dekat aku, tak?"
"Aku mana ada pernah rahsia apa apa kat kau.."
Maria tunduk diam.
"Kenapa ni?"
"Tadi, doktor cakap.. Yang kau.. Kau disahkan menghidap anxiety disorder."
"Oh."
"Semua simptom yang alami sebelum ni, tu semua simptom anxiety disorder bukannya kurang gula semata mata."
Aku terduduk diam. Apa yang aku rasakan selama ini benar belaka. Carianku di google bukan untuk menakutkan aku tapi ianya realiti yang aku harus telan mulai sekarang. Aku melabuhkan kepalaku dibahu Maria. Dia mengusap lembut rambutku. Untuk seketika aku merasa tenang.
"Esok pagi kau dah boleh keluar.."
"Aku, aku nak pergi majlis tahlil arwah.."
"Kau betul?"
"Aku tak sempat nak tengok dia dikuburkan. Cuma ini yang aku dapat buat Maria.."
"Baiklah.."
?
Kalau dulu rumah ini dipenuhi orang ramai atas berita gembira, tapi sebaliknya hari itu. Langit terlihat cerah namun angin yang meniup membuat tubuhku terasa dingin. Aku menggosok lenganku yang dibaluti kain berulang ulang kali.
Aku tercegat di depan pintu rumah Lutfi, mengingati semua kenangan manis yang ada di dalam dan luar rumah ini. Ruang tamu yang dijadikan tempat pertemuan aku dan keluarganya untuk pertama kalinya, dapur yang penuh dengan usikan Lia dan juga ibu. Aku tersenyum lemah. Terngiang ngiang suara Lutfi yang sedang asyik tertawa. Aku kemudiannya menoleh ke arah buaian yang dulunya sering diduduki oleh kami berdua.
"Isabel.." Sapa Lia yang entah sejak bila muncul di hadapanku.
Lia di hadapanku tapi disebabkan pintu nya terbuka luas, pandanganku lebih tertumpu pada tetamu yang ada di ruang tamu yang kini menoleh ke arah ku. Namun, dalam banyak mata mata yang memerhati, aku tertangkap untuk melihat sebuah figura yang kalau dulu aku anggap sebagai pesaing, Zia.
"Masuklah.." Pelawa Lia. Hatiku menjadi sayu saat melihat matanya yang kembang dan bibirnya yang pucat. Ibarat kehilangan sebelah sayap, itulah perumpamaan yang tepat buat perasaan Lia ketika itu.
Aku berjalan masuk ke dalam dan sedang aku melangkah tanganku ditarik oleh seseorang. Aku menoleh. Zia. Dia menahan tanganku membuat aku terpaksa duduk disebelahnya. Maria yang sudah pun selangkah depan meninggalkan aku keseorangan. Aku melihat Zia dengan penuh hairan. Disebelahnya lagi ada seorang lagi perempuan yang tampak lebih muda darinya.
Aku hanya berdiam. Aku tidak tahu macam mana hendak memulakan bicara. Sesekali aku menjeling ke arahnya dengan menggunakan ekor mata. Tiba tiba tanganku diramas, aku menoleh ke arah Zia. Dia sudah pun bersandar di atas bahuku. Aku terkesima. Aku tidak tahu harus bagaimana kerana aku bukanlah kawannya dan bukan juga lawannya. Aku cuma mengenali dia melalui sekeping gambar dan pertemuaan dua kali.
"Arwah baik orangnya.." Dia mula bersuara.
"Silap saya.." Tambahnya lagi. Aku mengenggam erat tangan kami dua yang masih lagi menyatu.
"Dah ajal, siapa kita untuk persoalkan.."
"Tapi betul silap saya, Isabel.."
"Macam mana awak tahu nama saya?"
"Isabella Aryana Hussein. Tak pernah lengkang nama awak dari bibir arwah.." Dia mengangkat wajahnya lalu menoleh tepat ke dalam mataku.
"Apa awak suka, awak benci, semua dia ceritakan."
Aku terdiam. Ya Allah, apa yang sedang berlaku? Aku melihat dia mengeluarkan sesuatu dari beg yang tersimpan rapi disisinya. Sekeping surat. Dia menghulurkan surat itu kepadaku. Aku menatapnya dengan penuh hairan.
"Lutfi, surat tu Lutfi nak berikan kepada awak tapi tak sempat.." Aku menyambut surat itu. Perasaan aku bercampur baur. Aku takut untuk membukanya. Namun belum sempat aku buka, Zia menahanku.
"Awak baca balik nanti, di bilik tidur. Sorang sorang.." Aku hanya mengangguk patuh.
Selesai saja majlis tahlil buat arwah, aku dan ayah meminta izin untuk pulang. Ibu dan ayah arwah berterima kasih kepada ayah kerana sanggup bersengkang mata bagi menguruskan jenazah sehinggalah ke majlis tahlil itu. Tidak hairanlah kalau wajah ayah terlihat kusam. Ternyata bukan cuma aku saja yang merasakan kehilangan Lutfi tapi ayah juga.
"Kehilangan Lutfi itu umpama kehilangan anak laki laki buat ayah.."
Itulah kata kata ayah saat kami sudah pun sampai di depan rumah kami. Aku menceritakan kepada ayah tentang kejadian Zia tadi. Aku mengatakan yang aku menerima surat daripada arwah yang dia tulis sebelum dia pergi dan aku meminta untuk membacanya di dalam bilik seroang diri. Ayah mengangguk patuh. Walaupun dia seorang ayah, privasi anaknya itu tetap privasi.
Aku membuka pintu bilik lalu melabuhkan punggungku di atas katil. Surat yang tadinya, aku keluarkan. Terkumat kumit mulutku membaca bismillah sebelum membukanya, dengan harapan hatiku kuat untuk menerima apa pun isinya.
Isabel,
Isabella Aryana Hussein. Terima kasih kerana sudi berbagi hati, waktu dan kenangan denganku. Terima kasih kerana telah menerima segala kekurangku. Terlalu banyak hal yang aku harus katakan disini, hal yang tidak pernah terungkap olehku. Maafkan aku Isabel, kerana aku gagal untuk menjadi yang terbaik buatmu.
Kalau boleh katakan, hampir setiap hari aku memikirkanmu. Walaupun aku selalu diam membisu, menghilang bagaikan ditelan bumi, bukan berarti di hati aku tidak menyimpan sejuta rindu. Aku rindu. Sangat rindu. Aku rindukan tawa riang dan senyumanmu, yang sering membuat aku senang. Aku ingin sekali memelukmu di saat aku kedinginan, mengenggam tanganmu disaat aku membuatmu merasa gelisah, berlari dari hujan yang membasahi tubuh kita. Aku ingin menjadi sosok yang sentiasa ada disisimu, tapi aku tak boleh. Aku tak boleh Isabel dan itu kerana masa lalu ku.
Aku tahu, kamu tidak pernah persoalkan tentang masa lalu ku walaupun pada akhirnya kamu lakukan ia. Tapi aku tidak marah, Isabel. Kamu berhak untuk berbuat apa saja terhadapku kerana aku tahu kamu takut. Aku tahu rasa takut yang kamu alami, rasa takut akan kehilangan orang yang kamu sayang. Makanya, aku pergi. Aku tidak lagi ingin menjadi beban dalam hidupmu. Aku tidak mahu terus membuat kamu merasa tidak aman.
Tapi dengar kataku, aku lakukan ini semua kerana maruah. Maruah dan kesilapan yang harus aku tebus suatu ketika dahulu. Satu hal yang kamu tidak tahu, Black Dragon mencari keluarga arwah Zul sebagai balasan aku menyerangnya. Waktu aku tahu tentang itu, aku takut. Banyak hati yang aku fikirkan Isabel. Ayah, ibu, Lia, Zaki, ayahmu, kamu, termasuk juga Maria. Aku tidak melakukan ini dengan sewenangnya. Aku tidak meminta ini untuk terjadi tapi aku harus apa?
Saat itu, aku terlalu memerlukanmu untuk mendengar keluh kesahku, tapi sayangnya kamu terlalu sibuk mencari salahku hinggakan aku terpaksa memendam rasa. Jangan risau, aku tidak menyalahkanmu bahkan aku bersyukur. Jika aku ditempatmu juga pasti akan melakukan hal yang sama. Semua orang inginkan yang terbaik kan buat orang yang mereka sayang.
Janji tetap janji Isabel, aku tak mahu kehilangan orang yang aku sayang untuk sekian kalinya. Jadi aku bertekad untuk kembali ke Borhan dan geng geng aku untuk melindungi Zia dan keluarganya. Zia, dia adik arwah dan sasaran utama Black Dragon. Dia pernah diculik dan hampir dijual oleh mereka. Ibunya datang ke rumah, menceritakan semua itu. Dari situlah, aku mula berhubung dengannya dan bertemu dengan Borhan.
Hati aku berbagi Isabel. Aku tidak pernah mengatakannya tapi, aku pernah hampir putus asa. Setiap malam aku bertanyakan pada Tuhan, kenapa aku dilahirkan jika pada akhirnya hanya menjadi beban kepada semua orang. Jika kamu ditempat aku, apa yang akan kamu lakukan? Memilih untuk terus ke depan dan jalani hidup bersama orang yang baru ataupun bertanggungjawab atas kesilapan lalu?
Aku buntu. Maafkan aku, sebab dah kecewakanmu, mahu pun sengaja atau pun tidak.
Isabel, aku mencintaimu tapi aku tidak boleh memilikimu.
Namun, meski pun kita tidak dapat bersama, aku selalu memdoakanmu agar siapa pun yang akan kamu cintai nanti, akan mencintaimu lebih dari aku mencintaimu, akan memperlakukanmu selayaknya kamu diperlakukan dan akan bersabar mendengar telahanmu daripada aku dan semoga dia dapat mejagamu sehingga halal. Amin.
Dan untuk Dia, aku titipkan Isabella Aryana Hussein, lanjutkan perjuanganku untuknya..
Isabel, aku sebahagian dari orang yang kurang beruntung kerana tidak dapat bersama dengan orang yang aku cintai tapi tak mengapa, pengalaman cinta orang kan berbeza dan dengan menyerah kerana merasakan yang aku belum cukup untuk mencintaimu, adalah satu satunya cara untuk aku membuktikan cintaku padamu.
Mungkin kamu akan dengarkan hal ini dari mulut orang lain, tapi kita tidak jadi menyerang Black Dragon. Borhan yang putuskan. Dia baik, Isabel. Cuma salah langkah. Macam aku. Kamu pun tahu kan.
Oh ada satu lagi, dulu kamu pernah tanya kan, macam mana aku boleh belajar bahasa isyarat. Aku tak pernah sempat untuk menjawab. Hahaha. Zila, adik bongsu arwah Zul. Dia bisu. Aku belajar dari arwah Zul. Macam macam arwah tu pandai. Beruntungnya aku kenal dia.
Hmm semoga apa yang aku katakan semua ini dapat mejelaskan keadaan. Maaf andai masih ada persoalan yang membelenggu fikiranmu. Tugasku untuk mencintai dan menjagamu selesai sampai disini, aku serahkan pada yang lain, okay? Iklaskan aku pergi, Isabel..
Share this novel