BAB 8

Drama Completed 979

PANTASNYA semester dua tiba tanpa Emma duga. Rasa macam baru semalam aje dia mendaftarkan diri di sini.

Sekarang dah masuk semester kedua juga semester akhir dia di sini. Diam tak diam sudah enam bulan dia di sini. Peperiksaan juga sudah selesai dijalankan dan bakal diumumkan keputusannya beberapa bulan akan datang.

Sedih apabila Nad memberitahu bakal menamatkan pengajiannya di matrikulasi dan akan melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Melaka. Ahli F3 306 bagai hilang separuh jiwa mereka apabila rakan sebilik mereka yang sudah dianggap seperti adik-beradik sendiri pergi meninggalkan mereka. Namun mereka terpaksa redha atas keputusan Nad dan keluarganya.

Satu perkara yang mengejutkan Emma pada semester dua ini ialah apabila Affan memperoleh 4 flat pada PSPM yang lalu. Emma pula masih memperoleh keputusan yang baik walaupun tidak sebaik Affan .

“Huyyo, Affan ! 4 flat kau, ya? Tahniah… Tahniah…” Affan menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakannya.

“Terima kasih." Ucap Affan namun matanya menangkap susuk gadis yang sedang berusaha keluar dari kelompok pelajar yang sesak di hadapan papan kenyataan yang memaparkan keputusan mereka.

Terkejut Emma apabila tiba-tiba bahunya dipaut seseorang yang membantunya keluar dari kelompok pelajar yang sesak itu. Ternyata orang itu Affan .

“Affan , apa awak buat ni? Matilah saya kalau ada orang nampak!” Bisik Emma keras pantas meleraikan pelukan Affan .

“Alaa… Tak ada orang perasanlah. Semua tengah sibuk dengan result masing-masing." Jawab Affan namun tiba-tiba dia menarik tangan gadis itu.

“Ey… Ey! Awak nak bawa saya pergi mana?”

Affan tidak menjawab sebaliknya terus menarik tangan Emma namun pegangannya itu direndahkan agar tiada siapa yang melihat. Affan terus menarik Emma sehinggalah mereka berada di sebuah tempat yang agak sunyi berdekatan tasik.

“Kenapa awak bawa saya ke sini?” Tanya Emma curiga apabila Affan mula duduk di hadapan tasik itu.

Perlahan-lahan Emma menurut. Dia ni ada niat tak baik dekat aku ke apa? Entah-entah nak tikam aku tak?

“Aku nak tanya result kau ajelah. Sambil-sambil tu saje aje nak bawa kau ambil angin. Aku jarang nampak kau keluar joging ke petang-petang. Kau joging atas katil ke?” Tanya Affan .

Emma mengetap bibir apabila telahan Affan itu hampir tepat mengenai hidungnya, “Mana ada! Adalah kadang-kadang tu! Awak aje tak perasan."

Affan hanya ketawa sinis, “Apa-apalah. Sekarang ni aku nak tanya result kau berapa?”

“Kenapa nak sibuk?” Tanya Emma tidak berpuas hati.

“Sebab aku laki kau. Cepatlah cakap!” Gesa Affan .

Emma mengetap bibir lagi menahan geram. Nasiblah sini tak ada orang. Karang ada kenyang makan beg galas.

“3.91 aje."

“Wooo… Pandai juga kau ya? Tengok muka macam bengap sikit." Ujar Affan selamba.

“Eh, eh! Kurang asamnya mulut. Taulah dapat 4 flat. Tak payahlah nak berlagak. Entah-entah baru first time dapat subjek A agaknya." Ujar Emma perlahan namun cukup untuk didengari Affan .

“Kau sibuk apa hal? Suka hati akulah nak first time ke second time ke." Balas Affan .

Emma hanya diam malas mahu membalas. Kemudian mereka hanya mendiam diri memandang ke arah tasik itu sebelum Emma tiba-tiba berkata, “Kalau mummy dan daddy saya ada lagi entah apa agaknya reaksi diorang ya?”

Affan terdiam.

“Awak untung, Affan . Awak masih ada orang tua. Walaupun mereka sayang saya juga tapi mereka bukan keluarga kandung saya. Tetap akan ada perbezaan di situ." Suara Emma tiba-tiba berubah sebak.

“Saya selalu tertanya-tanya, apa reaksi diorang ya bila tengok saya sekarang? Bila tengok kawan-kawan berusaha keras, saya pun buat benda yang sama. Tapi mereka buat itu semua untuk buat orang tua diorang bangga. Saya pula? Berusaha keras tanpa ada sesiapa untuk saya kongsikan. Papa dan mama memang ada sebagai ibu dan bapa angkat tapi saya yakin mereka akan lebih bangga kalau anak kandung mereka sendiri yang dapat."

Affan menjadi tersentuh hati mendengar kata-kata gadis itu.

Mungkin atas dasar kasihan, spontan tangannya perlahan-lahan membawa Emma ke dalam dakapannya. Agak mengejutkan gadis itu langsung tidak menolak malah sebaliknya terus menangis di dalam pelukannya.

Tahulah dia bahawa Emma sudah lama memerlukan seseorang untuknya meluahkan rasa.

Selama ini dia lihat gadis itu kuat. Tidak dia sangka bahawa di dalam hati gadis itu menyimpan 1001 rasa yang tidak pernah dia ketahui.

‘Ya Allah… Walaupun pernikahan kami ini bukan sesuatu yang kami pinta namun adakah ini merupakan sesuatu yang engkau redhai? Adakah benar kami ini diciptakan untuk satu sama lain sebagaimana engkau menciptakan Adam dan Hawa? Ya Allah… Berilah petunjuk kepada kami." Diam-diam Affan berdoa di dalam hati.
.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience