Bahagian 3 - Bab 4

Mystery & Detective Completed 10182

♦

Bahagian III

Serangan Balas Bermula

Bab IV

Serangan Boneka Bermata Merah

4 Disember 5371. Jam 0610. Bangunan Terbiar Daerah 31. (Bahagian Tercerma Miasma).

Mata masing-masing bertautkan pada renungan warna merah tidak berperasaan itu. Dirinya berdiri kaku takala tangan kidal memegang erat pada hulu pedang. Sebelahnya lagi dibiarkan saja. Pemburu itu menanti saja. Menanti apabila mangsa lalai untuk melakukan kesilapan.

Sepantas kilat dia menerpa pada mangsanya. Bilahnya dihayunkan untuk pisahkan kepala dari badan mangsa. Biarlah cepat ia berakhir walaupun caranya kejam sekali pun. Namun begitu seperti dirinya juga Blaize juga ada kehebatan tersendiri. Cassandra dan Ingrid segera ditolakkan ke tepi. Pedangnya segera dihunuskan lalu berdepan dengan pedang Zachary. Takala kedua-duanya berlaga satu bunyi derungan kedengaran bersertakan arus gelombang angin yang kuat.

Zachary tidak memberikan peluang langsung pada si mangsa, segera dia menghayunkan kakinya tepat pada wajah Blaize. Sepakkan itu kuat sehinggakan Blaize terseret kebelakang. Mujurlah dia sempat mengaktifkan satu medan perlindungan pada wajahnya. Belum sempat dia membuka langkahnya Pemburu itu mara lagi. Kali ini dia mengasak sepenuh hatinya. Setiap libasan pedangnya berjaya ditangkis oleh Blaize. Bunyi pedang berlaga bergema di dalam istana yang menjadi tapak pertempuran mereka.

"Aiden," Suara Blaize halus. Jemarinya dilurutkan pada bilah pedangnya. Dia menyeru nama pedangnya. Memanggil kuasa yang terpendam pada bilah tersebut. "Marakkan apimu!"

Dia menglibaskan pedangnya pada Zachary. Seraya itu, bilah tersebut disaluti api yang sangat marak. Zachary tidak menduga perkara ini terjadi. Libasan api tersebut berjaya mengenai pada bahunya walaupun sempat di elak. Mujurlah bukan bahu kirinya. Bahu yang terbakar itu segera digenggam untuk menahan sakit daripada menular pada seluruh tangannya. Pedangnya pula tercampak tidak jauh daripadanya.

Suasana menjadi sepi buat seketika. Bilah Blaize masih lagi memarakkan apinya. Boneka itu membetulkan kedudukannya. Langkah kekudanya dibukakan. Kedua-dua belah tangannya menggengam erat pada pemegang Aiden. Dia menanti Pemburu Bermata Merah itu membuka langkah seterusnya. Cerita mengatakan bahawa dia penuh dengan kejutan yang tak diduga. Dengan itu dia perlu berhati-hati, tersilap langkah saja bukan dia saja yang tergadai, Cassandra dan Ingrid juga akan turut sekali.

Tidak jauh dari situ Ingrid dan Cassandra perhatikan keadaan. Berlainan dengan Blaize, mereka merupakan ahli sihir. Gaya pertempuran mereka tidak mampu menandingi Zachary. Mujurlah Blaize ada jika tidak hayat mereka akan tamat disini jua.

"Zachary memang hebat..." Suara Ingrid kagum. Disebalik perasaan tersebut dirinya dilanda ketakutan. Mana tidaknya kepantasan Zachary terlalu hebat. Matanya terkial-kial cuba untuk menumpukan perhatian pada perlawanan tadi. Blaize pula terkocoh-kocoh untuk menangkis libasan Zachary. Kebanyakkan masa dia hanya menangkis serangan Zachary, dia tidak berkesempatan pun hendak membuat serangan balas.

"Zachary!"

Jerit Cassandra tiba-tiba. Kesemua mata beralih padanya. Hairan dan terperanjat kerana nama itu yang terpacul dari mulutnya. "Kenapa kau lakukan semua ini!?"

Mata Zachary merenung pada Boneka yang memanggilnya. Dahinya mula berkerut menahan sakit yang mula menular. Pada saat itulah Blaize mengambil kesempatan yang ada. Dia meluru pada Zachary. Dengan menggunakan hulu pedangnya, dia berniat hendak pengsankan Boneka Bermata Merah itu. Benci untuknya menyatakan, dia perlukan kekuatan Zachary. Bukan dia seorang tapi kesemua Boneka yang lain berpendapat sepertinya.

Berbanding dengan yang lain Zachary mempunyai pengalaman yang banyak ketika berdepan dengan Miasma. Malah dia juga pemain pedang yang sangat cekap. Banyak Boneka yang telah dihapuskannya. Pertempurannya dengan Boneka yang lain telah memberikannya pengalaman baru. Dari situ dia gunakannya untuk menumpaskan yang seterusnya. Blaize sendiri telah berdepan dengannya. Dia dapat merasakan perbezaan besar takala bertarung dengannya. Dia mengaku Zachary bukan calang-calang.

Takala hulu pedangnya hampir mengenai kepala Zachary, dirinya 'berhenti'. Dia tak mampu bergerak. "Tak guna! Aku termasuk ke dalam perangkapnya!"

Pada bawah tapak kaki Blaize, munculnya medan sihir berbentuk pentagon. Sinar merahnya hanya sekadar menyuluh pada sekelilingnya saja. "Bila dia mengaktifkan sihir masa ini? Jangan katakan pada saat Cassie memanggilnya tadi!?" Blaize sempat berdecit takala mendengar Zachary ketawa kecil. Matanya bertembung sesama sendiri sambil dia berjalan untuk mengambil pedangnya yang tercampak tadi.

"Aku tinggalkan kau sebentar disini..." Suaranya halus. Pedangnya kini sudah berada digengaman. Seraya itu dia menuju ke arah Cassandra dan Ingrid. Sengaja dia mengheretkan pedangnya. "Sementara aku selesaikan mereka berdua..."

Tak guna! Blaize cuba menggerakkan tubuhnya namun ia tidak mendatangkan sebarang hasil. Jadi benarlah, Pemburu Bermata Merah ini mempunyai banyak muslihat dan dia telah pun jatuh ke dalam perangkapnya! Sihir masa telah mematikan segala pergerakannya, malah suara dia sendiri pun tidak mampu untuk keluar. Dia benar-benar kecewa. Dia tak mampu untuk mempertahankan dirinya apatah lagi untuk melindungi yang lain.

Zachary tahu Blaize sedang menyumpah pada dirinya. Dia kecewa sangat. Pemburu Bermata Merah itu tahu apabila Boneka mula menanam sifat-sifat negatif, mereka perlu dihapuskan segera! Mereka tidak boleh sama sekali untuk memiliki sifat-sifat tersebut. Sebelum kekecewaan Blaize bertambah teruk dia akan bunuh kedua-dua ahli sihir di hadapannya.

Cassandra dan Ingrid terkejut apabila dapati Zachary berlari ke arah mereka. Pedangnya diangkat tinggi takala menghampiri mereka. Berada dekat saja pada mereka pedangnya dihayunkan pada mereka. Saat itu pedang Zachary memarakkan api biru. Mujurlah Cassandra sempat mengaktifkan medan perlindungan. Arus gelombang panas kuat menerjah sekeliling mereka.

"Zachary!" Laung Cassandra kuat. Kedua-dua belah tangannya dihalakan ke udara. Menahan medan perlindungannya daripada pecah akibat tekanan yang diberikan oleh Zachary. "Kenapa kau lakukan semua!? Adakah dengan lakukan semua akan membawa kebaikan?" Medan sihirnya mula meretak. Sebahagian medan tersebut mula menggugurkan debu-debunya di setiap celah rekahan-rekahan tersebut. Ia tak mampu untuk bertahan lagi. Dia menanti medannya hancur. Saat itu pasti Zachary akan menyambar padanya. Memikirkan itu membuatkannya takut, lalu memejamkan matanya erat.

Namun ia tidak terjadi seperti yang disangkakan. Tekanan pada medan tersebut pun tiada lagi. Hairan kerana apa yang dinanti tiada yang timpa padanya. Matanya dibuka perlahan-lahan. Dihadapannya Zachary. Dia berdiri memerung tajam pada pasangan ahli sihir tersebut. Di tangannya masih lagi memegang pedangnya. Bilahnya masih lagi memarakkan api biru. Hanya medan perlindungan yang menanti masa untuk roboh menjadi pemisah diantara mereka. Boneka Bermata Merah itu merenung tajam pada mereka.

"Kenapa?" Suara Cassandra lantang. Sambil itu dia mengukuhkan lagi medan perlindungannya. Ingrid disebelahnya juga membantu. Medan tersebut yang lalunya goyah kini telah pun kembali kukuh. Setelah yakin keadaan medah itu kuat, kedua-dua ahli sihir itu merebahkan tangan masing-masing. "Zachary! Tolong beritahu aku kenapa kau membunuh Boneka!? Bukankah kau salah seorang daripada kami!?"

Zachary membisukan diri. Namun matanya masih tak terlepas daripada merenung pada pasangan ahli sihir tersebut. Setelah beberapa kali namanya dipanggil barulah suara dikeluarkan. "Ada sesetengah perkara eloklah dibiar rahsia. Andai aku memberitahu pada kalian, belum tentu kalian akan menerimanya."

Selesai saja berkata demikian Zachary menghayunkan pedangnya pada medan perlindungan itu. Serta-merta angin yang panas serta kuat menerpa terus membelahkan penghalang dihadapannya. Api biru pada bilah tersebut serta-merta terpadam. Tindakan itu tersebut juga melibas kuat pada Cassandra dan Ingrid. Kedua-dua ahli sihir malang itu terhumban ke belakang sehinggakan mereka terhempas kuat pada dinding. Disebabkan hentakkan yang kuat tiba pada mereka, kepalanya berpinar teruk. Pandangan mereka juga berbalam. Cassandra cuba untuk berdiri, untuk pertahankan diri. Namun tak terdaya. Ingrid disebelahnya pula mula menangis. "Kita akan dibunuh. Dibunuh."

Mendengar saja kata-kata tersebut air mata Cassandra mula berkumpul. Perlahan-lahan ia tumpah pada pipinya. Hentakkan kasut but Zachary semakin hampir. Bunyi esakkan dan hentakan kasut Zachary bergilir memenuhi suasana yang sunyi itu. Bunyi itu terhenti saat Zachary berada dihadapan Cassandra. Dia hanya berdiri disitu. Seolah-olah menantikan sesuatu.

Casaandra beranikan diri untuk mendonggak melihat Zachary. Matanya yang berair memenuhi perasan bertembung dengan mata yang kering tanpanya. Sekali lagi dia bersuara. Bunyinya tersangkut-sangkut. "Mengapa...mengapa Zachary?"

Boneka itu tidak menjawab. Sebaliknya dia mengangkat tinggi pedangnya. "Aku lakukannya untuk menyelamatkan kalian." Pedangnya dilibaskan.

Ia tidak mengena tepat pada Cassandra tetapi dihalang oleh sebilah pedang. Bunyinya bergema takala bertembung. Sebilah pedang yang mengeluarkan wap sejuk bersilang dengan pedang Zachary. Perlahan-lahan mata Zachary beralih pada empunya bilah tersebut. Empunya itu tersenyum. "Tak manis Zachary apabila kau tak memberi peluang pada gadis untuk pertahankan dirinya." Seraya itu dia menangkis pedang Zachary sehinggakan Zachary berundur dua tiga tapak ke belakang.

"Kau apa kurangnya, sesuka hati masuk campur urusan orang lain. Ia juga bukan perbuatan manis. Tapi aku rasa kau sendiri tahu bukan, Gabrian?"

Gabrian ketawa sambil membantu Ingrid berdiri. Cassandra sudah mampu berdiri sendiri. Itu pun dia memaksakan dirinya untuk berdiri. Ingrid pula terus memeluk erat pada Gabrian sehinggakan pedangnya terlepas lalu terjatuh. Dia betul-betul ketakutan. Maut benar-benar dihadapannya. Gabrian menenangkannya dengan memeluk gadis genit itu. "Maaflah kalau perbuatan aku mengecilkan hati kau tapi keadaan tak mengizinkan. Aku terpaksa..."

Zachary hanya mengerutkan dahinya. Pedangnya digenggam kuat. Kehadiran Gabrian memburukkan keadaan. Dia belum berjaya menamatkan mana-mana riwayat Boneka. Keadaan bertambah buruk lagi apabila ada sebilah pisau terhunus pada lehernya tiba-tiba. Tangannya yang memegang pedang digenggam kuat oleh seseorang. Disebabkan genggaman yang kuat itu, pedangnya terlerai dari tangan. Matanya beralih pada empunya pisau tersebut.

Colbert orangnya.

Seperti Zachary, dia merupakan Kesateria Sihir, malah warna pada seragamnya hitam yang disertakan warna merah. Erti kata lain dia setaraf Zachary. Boneka Bermata Merah itu cuba meleraikan tangannya daripada genggaman Colbert namun tidak berhasil sebaliknya genggaman itu diperkuatkan lagi. Malah pisau ditekan lagi rapat ke lehernya. Zachary terpaksa mendonggakkan kepalanya untuk menggelak lehernya daripada cedera. "Kau masih sama seperti dulu, bermasalah..."

"Biasalah, kambing hitam pasti wujud dalam mana-mana kumpulan."

Suara satu Boneka. Namanya Myriad. Dia juga setaraf Zachary dan Colbert. Tidak seperti Boneka yang lain, kebanyakkan guna pedang ataupun pisau sebagai senjata, Myriad menggunakan sabit gergasi sebagai senjata. Boneka itu tersenyum sambil berjalan ke arah Blaize. Boneka malang itu masih lagi dalam posisi yang sama kerana terperangkap dalam kurungan masa Zachary. Tibanya Myriad dihadapan Blaize segera dia membenamkan sabitnya ke sekitar lantai Blaize berdiri. Lebih tepat lagi pada medan perangkap sihir tersebut. Bilah sabit tersebut menghentak kasar pada permukan itu lalu terbenam dalam di bawah retakan yang terhasil. Sekali gus membatalkan perangkap masa yang 'berhentikan' Blaize.

Bebas daripada kurungan tersebut, Blaize terlepaskan pedangnya. Api yang membara terus terpadam. Lututnya juga tak terdaya hendak menampungnya. Akhirnya dia jatuh terduduk. Bunyi pedangnya jatuh ke lantai melantunkan bunyi yang bertalu. Nafasnya tercungap-cungap kerana pada saat dikurung, semuanya terhenti. Termasuk pernafasannya sekali. Setelah berjaya mengambil nafasnya, dia berdiri lalu berpaling pada Zachary, yang kini menjadi dikunci pergerakannya.

"Apa yang patut kita lakukan?"

Myriad pandang pada Blaize. Dia hanya tersengih takala dengar soalan Blaize. Apa yang boleh dibuat? Zachary tak boleh dibunuh. Kekuatannya diperlukan. Lagipun mereka yang setaraf dengannya hanya ada beberapa orang saja. Termasuk Colbert dan Myriad, baru tiga saja yang berkumpul. Kalau tak silap, lima puluh tahun lepas pada saat mereka semua dipadamkan hanya terdapat sepuluh Boneka saja yang mempunyai tahap yang tinggi. Sekiranya Zachary hendak dihapuskan ia bukanlah pilihan yang baik.

"Baiklah..."

Zachary bersuara mengambil semua perhatian Boneka. Seperti biasa dirinya sentiasa dikunci daripada perasaan. "Nampaknya aku tidak mampu untuk menentang kalian semua." Kata-katanya ibaratkan membekukan masa. Mereka tidak percaya apa yang didengar. Zachary menyerah diri. Sebelum ini belum pernah dia menyerahkan diri. "Nampaknya aku tiada pilihan lain melainkan bekerjasama dengan kalian."

"Buat masa ini..."

Hatinya berbisik sambil mengukirkan senyuman penuh makna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience