Bahagian 3 - Bab 3

Mystery & Detective Completed 10182

♦

Bahagian III

Serangan Balas Bermula

Bab III

Semua Boneka Berkumpul

4 Disember 5371. Jam 0600. Bangunan Terbiar Daerah 31. (Bahagian Tercerma Miasma).

Blaize dan Cassandra jalan beriringan sambil mengaktifkan sihir graviti kelas pertama. Setiap satu sihir yang diaktifkan digunakan pada setiap Gargoyle yang menghampiri kumpulan mereka. Gargoyle-gargoyle yang dibunuh biasanya mati kerana badan mereka tidak mampu menampung tekanan yang ditimpa pada mereka. Darah akan mengalir keluar pada mata, hidung, telinga dan mulut. Mengalirnya dengan deras sekali. Ia akan menggelupur selagi boleh sehinggalah kepala ia retak.

"Baiklah," Suara Blaize tenang setelah menamatkan nyawa seekor Gargoyle. "Rasanya kerja kita sudah pun selesai." Matanya perhatikan bangkai-bangkai Gargoyle yang berlimpangan di belakang. Hatinya dilanda sayu apabila melihat keadaan tersebut. Seolah-olah mengerti apa yang dirasai Cassandra bersuara. "Ingat Blaize, kita lakukan ini semua kerana perbuatan Miasma." Dalam pada itu dia memegang lembut lengan Blaize. Pemuda itu hanya menoleh sambil mengukirkan senyuman sayu.

"Kita sampai!" Suara Rachel tiba-tiba. Gadis itu perhatikan keadaan sekeliling. Tiada yang lain. Nampaknya kumpulan mereka yang sampai dulu. Tidak puas hati dia perhatikan keadaan sekeliling sekali lagi. Setelah puas dengan pemerhatiannya dia hanya tersenyum hampar. "Kita sajakah?" Katanya dengan nada perlahan. Jangan katakan ramai yang terkorban. Tidak. Dia tidak mahu semua itu benar terjadi. Air matanya mula bertakung namun dia mengagahkan diri supaya ia tidak mengalir. Perlahan-lahan matanya melirik pada Niles yang berada di tepinya.

"Sabarlah." Perlahan saja dia bertutur. Walaupun begitu ia masih lagi jelas kedengaran. "Kumpulan kita baru saja tiba. Barangkali yang lain juga akan tiba kemudian."

"Rachel! Niles!"

Jerit Gavin dari luar perkarangan istana. Nadanya berbunyi teruja sekali. Kebarangkalian memikirkan pasukan bantuan akan tiba. Kelibatnya tidak kelihatan kerana kabus yang sangat tebal pagi itu. Mujurlah salji sudah berhenti turun. Dirinya baru kelihatan apabila dia berjalan menghampiri ke pintu masuk istana. Pagi yang dingin terserlah takala Gavin bersuara. Seperti biasa kepulan wap akan terkeluar daripada nafasnya. "Tolong aku pasangkan suar. Kabus terlalu tebal." Dia memberi arahan. Matanya merenung pada Niles. Kemudian beralih pula pada Rachel. "Kita juga perlu pastikan tiada lagi musuh berkeliaran. Kita tak mahu susahkan pasukan bantuan."

Rachel dan Niles mengangguk setuju. Mereka bergegas keluar ke perkarangan istana. Keluarnya dengan berhati-hati. Apabila masing-masing tiba pada satu sudut, suar yang diberikan pada Gavin segera dilepaskan. Ketiga-tiga manusia itu mendongkak tinggi ke lain. Suar merah kelihatan jelas disebalik kabus tebal. Mereka menantikannya. Mereka menanti dengan penuh debaran. Seolah-olah degupan jantung boleh didengari. Suasana sunyi yang hanya diiringi derungan sayu sang angin akhirnya tamat apabila bertalu-talu letusan suar dilepaskan pada arah yang bertentangan.

Pasukan bantuan membalas kembali.

Rachel melonjak keriangan. Dia tak sangka begini kesudahannya. Dia masih lagi hidup. Tika dia melonjak keriangan Niles dan Gavin menghampirinya. Sepertinya mereka juga mengukirkan senyuman. "Kita semua akan selamat!" Ujar gadis itu ceria. Niles tak terkata apa namun dia masih mengukirkan senyumannya. Melalui itu juga Rachel memahami perasaannya. "Sudah," Suara Gavin tiba-tiba. "Jangan terlalu seronok sehinggakan lupa tugasan kita. Rachel gunakan vizor kamu untuk perhatikan keadaan sekeliling." Arahnya lembut pada Rachel. Tambahan pula hanya vizor gadis itu saja yang masih elok. Niles punya sudah retak manakala Gavin punya entah mana pergi. Mungkin tercicir ketika berlari melindungi

Gadis itu hanya akur. Dengan menggunakan vizornya dia dapat melihat keadaan di langit lebih jelas. Dari jauh dia ternampak sebuah kapal menuju ke arah sini. Mungkin dalam lima belas minit ia akan tiba ke destinasinya. Tumpuan Rachel beralih apabila melihat sekumpulan Gargoyle terbang ke arah mereka. Gadis itu terketar-ketar memberitahu pada Gavin dan Niles.

"Gargoyle datang menyerang," Raut wajah Niles dan Gavin bertukar pucat takala dengar kata-kata gadis itu. Pada waktu begini mereka diuji lagi? "Jumlahnya banyak...kira-kira ratusan ekor..."

Blaize tak senang apabila mendapati Gavin, Niles dan Rachel diluar. Sedia maklum bahawa malang tidak berbau. Bahaya menanti saja untuk menerkam mangsanya. Sudah lama mereka diluar. Patutnya mereka boleh masuk sekarang. Lagak rungsingnya tak ubah seperti bapa menanti kepulangan anak-anak ke rumah dari taman permainan. Cassandra disebelah juga sama. Dia risau kalau apa-apa yang tak diingini terjadi.

"Rasanya aku patut tinjau keadaan diluar." Suara Blaize membuka langkah pertamanya. Dia berjalan ke depan beberapa langkah sebelum berhenti lalu menoleh pada Cassandra. "Tunggu sini, ya. Mana tahu yang lain akan tiba nanti."

Langkah Blaize terpaksa dihentikan apabila bunyi deruman air kuat menerjah pada belakang mereka. Cepat-cepat pasangan itu menoleh. Ya benar. Ada 'air terjun' turun dari tingkat atas. Mereka tak terkata apa-apa kerana terlopong melihat kejadian itu. Ia bertambah menarik lagi apabila 'air terjun' itu mula membeku dari atas sehinggalah kepenghujungnya. Ia membeku sebelum sempat dicecah lantai. Mata Blaize dan Cassandra terkebil-kebil.

"Siapa punya kerja ni?" Tanya Cassandra.

"Aku rasa aku siapa punya angkara-" Kata-kata Blaize terputus begitu saja apabila jeritan seorang perempuan kedengaran. Sekali kala ia mengilai. Agak menyeramkan bunyinya. Semakin lama ia semakin hampir. Saat itu Blaize nampak satu susuk menuju pantas ke arahnya. Hendak kata terbang ia sedang duduk. Lebih tepat lagi susuk itu mengelongsur di atas 'air terjun' beku itu. Ia semakin hampir. Ia semakin jelas kelihatan. "Bukankah itu-" Cassandra tidak sempat berkata apa takala susuk lembaga itu terus saja mengelongsur...melepasinya...lalu melanggar Blaize...sehinggakan tercampak beberapa kaki jauh darinya...

"Ingrid?" Suaranya terperanjat. Namun nadanya perlahan sekali. Dia tersenyum simpul sambil menuju ke arah mereka. Blaize mengerang menahan marahnya keluar (dia masih lagi berbaring di atas lantai) manakala Ingrid ketawa besar tidak pedulikan kemarahan Blaize (dia duduk di atas perut Blaize).

"Ingrid!" Blaize menolak kasar gadis genit itu. Dia benar-benar meluat dengan sikap keanak-anakan Ingrid. Gadis itu tak ambil peduli pun perbuatan kasar Blaize. Dia hanya ketawa tak ingat dunia. Dia akhirnya berhenti ketawa takala tak cukup nafas. "Seronoklah. Blaizzie patut cuba. Cassie pun!"

Senyap. Tiada kata-kata balas diterima untuknya. Ingrid menoleh pada Cassandra dan Blaize. Kedua-dua mereka mempamerkan wajah terkejut. Seolah-olah terlihat hantu. Entah kenapa juga Ingrid terasa seram sejuk tiba-tiba. Dia pernah mengalami perasaan ini lima puluh tahun lepas. Iaitu saat tika bertemping dengan-

Tidak! Dia tidak mahu pemikirannya menguasai. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah pandangan mata Blaize dan Cassandra. Suasana sunyi menggamit keresahan dirinya. Dirinya tersentap takala matanya melihat sesuatu ketakutan yang pernah dilalui lima puluh tahun lepas. Malah dia merupakan salah seorang daripada mangsanya.

Pemburu Bermata Merah berdiri di belakang mereka. Mata merahnya tajam menusuk ketiga-tiga Boneka dihadapannya. Dia perhatikan tanpa sebarang reaksi. Blaize beranikan diri untuk bersuara dulu takala dia bangunkan dirinya. "Kau...diaktifkan...Zachary?" Dia bersuara perlahan-lahan sambil menarik kedua-dua lengan Cassandra dan Ingrid ke belakang. Jauh daripada bahaya yang akan tiba.

"Ya, benar kata-kata kau." Zachary bersuara halus. Dia menghampiri pada mereka. Bunyi tumit kasut butnya bergema memecah kesunyian. Setiap bunyi membawa maksud irama ketakutan, dan irama kematian yang bakal tiba. Dia akan melakukannya. Tangan kirinya menggengam kuat pada hulu pedang yang tersisip kemas di pinggang kanannya. "Dengan itu akan aku melaksanakan tugas-tugas aku yang sudah pun terbengkalai selama lima puluh tahun..." Pedangnya dihunus keluar. Matanya tidak beralih pun daripada ketiga-tiga Boneka dihadapan mereka.

Dia akan menyelamatkan mereka.

Dia akan membunuh mereka.

Hanya dengan menamatkan riwayat mereka saja Pemburu Bermata Merah itu mampu menyelamatkan kesemua Boneka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience