♦
Bahagian II
Misi Menjejak Senjata Rahsia
♦
Bab V
Kumpulan Itu Berehat
♦
3 Disember 5371. Jam 2120. Kawasan Terbiar Daerah 31. (Bahagian Tercerma Miasma).
Pintu dibuka. Milan dapati sekurang-kurangnya enam orang memasuki ke dalam. Dua daripadanya merupakan perempuan. Wajah masing-masing tercungap-cungap bertungkus-lumus menghirup udara. Maiya segera menguncikan pintu. Seorang daripada lelaki tersebut terus jatuh melutut. "Aku ingatkan kita akan mati tadi..." Milan tersengih takala mendengar kata-kata itu. Mana tidaknya, semua orang bersabung nyawa dalam misi kali ini. Dia baru perasan Eric dan Cornelia ada di dalam kumpulan tersebut. Ketua operasinya.
"Terima kasih." Ujar Eric sepatah sambil memapah seorang lelaki berambut hitam. Dia turut dibantu oleh seorang lelaki berambut kuning emas. Lelaki berambut hitam tersebut dibaringkan disebelah Milan. Nafasnya tercungap-cungap laju daripada yang lain. Demankah dia? Hatinya berbisik. Sebelum Milan sempat menyentuh dahi pemuda tersebut tangannya berlaga dengan seseorang. Ianya milik seorang gadis dari kumpulan tersebut. Rambutnya merah diikat tocang.
"Maaf..." Ujar Milan. Rona-rona merah mula timbul di pipinya. Dia tidak biasa bergaul dengan perempuan apatah lagi menyentuh. Begitu juga dengan gadis tersebut. Rona merah pada pipinya juga muncul. Suasana bertambah janggal untuk beberapa tika. Hanya kedengaran suara-suara Kieran dan kumpulan Eric berbincang sesama sendiri. Sekali-sekala kedengaran Eric meninggikan suaranya. "Aku takkan tinggikan suara aku kalau kau tak berikan aku jawapan bodoh!"
Akibat jeritan Eric kedua-dua mereka seolah-olah sedar dari lamuan masing-masing. "Maaf..." Sekali lagi Milan bersuara. Dia dapati gadis dihadapannya tersenyum. Rona merah pada pipinya masih lagi ada. "Rachel." Dia mula memperkenalkan diri. "Barisan hadapan dan juga merupakan pengawal Genma." Gadis itu menunjukan plat perak di bahunya. Tertera lambang bintang. Milan juga melakukan perkara yang sama. Lainnya simbol pada plat peraknya berlambangkan suria.
Lambang suria dan bintang mempunyai makna yang berbeza. Ahli Rosamund yang berpakaian hitam seperti Kieran, Maiya, Milan dan Rachel merupakan barisan hadapan. Erti kata lain pakar tempur. Mereka yang berlambangkan suria membawa maksud kesateria seperti Kieran, Maiya dan Milan. Manakala mereka yang membawa lambang bintang merupakan pengawal Genma. Rachel contohnya pakar mengawal Genma, satu-satunya sumber kuasa yang wujud di Ghais Lavanark. Mereka yang mampu mengawal Genma jumlahnya tersangatlah sedikit untuk bangsa manusia. Terdapat juga lambang bulan sabit. Ertinya seseorang itu ahli sihir. Juga sesuatu yang jarang untuk bangsa manusia.
Mereka yang berpakaian perak pula merupakan tunjang utama yang mengerakan sesuatu unit. Eric, Cornelia, Robert, Niles dan Gavin merupakan ahlinya. Eric, Niles dan Gavin berlambang suria di plat masing-masing. Bererti unit pengurusan. Manakala Cornelia dan Robert pula berlambangkan bulan sabit, ertinya unit operasi. Terdapat satu lagi unit dibawah kawalan berwarna perak. Ianya lambang bintang. Membawa maksud unit kaji selidik. Membaiki pulih senjata dan perubatan merupakan bidang mereka.
"Boleh bantu?" Ujar Rachel tiba-tiba. Milan mengangguk setuju. "Apa yang perlu dibuat?" Matanya perhatikan pergerakan lincah milik tangan Rachel. Baju pada lengang yang sudah pun terkoyak milik lelaki berambut hitam tersebut, ataupun Niles namanya, dicarikkan menggunakan pisau belati. Di lengang Niles bengkak akibat kesan gigitan dan cakaran. "Aku hendak hapuskan kumannya. Prosesnya agak menyakitkan. Kau tolong pegang dia. Niles pasti akan meronta teruk."
"Baik..." Milan memegang kedua-dua belah bahu Niles. Lelaki malang itu masih tidak sedarkan diri lagi. "Boleh mulakan sekarang." Milan memberikan isyarat. Rachel menerimanya lalu memegang lengang Niles yang tercedera tersebut. Matanya dipejamkan. Dia mula menumpukan perhatian. Peluh dingin mula membasahi dahinya. Milan leka perhatikan wajah Rachel yang berubah sekelip mata. Lagipun wajah Rachel manis orangnya. Tumpuannya terganggu takala Niles mula bergerak. "Ia bermula..." Halus Rachel bersuara.
Kedua-dua belah tangannya yang menggengam lengan Niles mula mengeluarkan cahaya biru lembut. Itulahnya. Tenaga Genma. Semakin lama cahayanya semakin besar dan terang. Niles sudah pun mula mengerang. Kepalanya berkali-kali dipusingkan ke kiri kanan. Peluh juga telah membasahi dahinya. "Ber...henti...berhenti..." Suaranya dalam kesakitan. Walaupun matanya masih lagi terpejam, tangannya ligat menolak Milan yang memegangnya. Disebabkan kakinya yang terseliuh tidak beberapa membantu, Milan minta pertolongan.
Gavin sedar akan permintaan Milan lalu menghampiri mereka. "Niles!" Suaranya cemas. Segera dia mengambil alih tempat Milan. "Niles! Tolong jangan meronta." Kedua-dua belah tangannya menggengam kuat pada pergelangan tangan Niles yang tidak cedera. "Sakit...tolong...ber...henti..." Dia merayu dalam kesakitan. Rachel tidak bersuara dari tadi. Dia masih lagi dengan tumpuannya sehinggakan dia tidak sedar Cornelia berada di sebelahnya.
Gadis itu dapati luka-luka yang berada di lengang Niles kian hilang. Lebam di situ juga menghilang. Matanya terlopong melihat keajaiban yang berlaku. "Ajaib..." Suara Eric tiba-tiba disebelahnya. Cornelia menoleh dan dapati Eric disebelahnya memegang kaki kiri Niles yang asyik meronta menendang angin. Kieran pula dikaki kanannya. Melakukan perkara yang sama. Robert pula memegang bahu Niles daripada beranjak.
Proses itu memakan masa hampir setengah jam. Ianya boleh tamat dalam lima belas minit saja. Ataupun kurang daripada itu jika Niles tidak meronta. Tamat saja itu, Niles pengsan kerana kepenatan. Dia dibaringkan dilantai yang beralaskan tilam yang lusuh serta nipis. Disebelahnya Gavin. Milan juga ada sekali. Mata pemuda itu perhatikan Rachel. Gadis itu juga pengsan takala selesai menyembuhkan luka Niles lalu dipindahkan ke tempat yang berasingan. Dia ditemani oleh Cornelia dan Maiya. Milan tersengih. Katanya pada awal tadi hendak menghapuskan kuman. Inikan pula menyembuhkannya sekali. Kuasa penyembuhan yang hebat. Luka-luka Niles pulih sepenuhnya. Ia hanya meninggalkan parut saja.
"Amboi..." Satu suara nakal menyinggah telinganya. Milan segera menoleh. Kieran disebelahnya. Dirinya tersengih-sengih seperti kerang busuk. "Seronok nampak...perhatikan anak dara orang..." Kata-kata yang dilemparkan olehnya menyebabkan wajah Milan merah sepenuhnya. "Ma...mana...ada!" Jawabnya terketar-ketar. Akibat itu Kieran ketawa. "Tak perlu kau rahsiakan daripada aku..." Suaranya halus dengan nada mengancam. "Aku telah perhatikan segalanya...malah..." Dia menghulurkan sesuatu pada Milan. Telefon pintar miliknya. "Aku merakamnya sekali..." Kata-katanya diakhiri dengan satu senyuman penuh makna.
"Kau...kau..." Terketar-ketar dia bersuara, sambil itu dia bertungkus-lumus hendak mengambil telefon Kieran. Namun ia tidak mendatangkan hasil. Tangan Kieran tangkas membawa lari daripada Milan. "Berikan pada aku!" Suara Milan tegas. Dia bercadang hendak melompat pada Kieran. Lantaklah pada kakinya yang terseliuh. Asalkan dia dapat apa yang dia mahu. Namun semuanya tidak seperti yang dirancangkan. Robert dengan tergopoh-gapahnya tersandung pergelangan kaki Milan tiba-tiba. Entah dari mana dia muncul. Apa lagi, Milan menjerit kesakitan sekuat hati. Kieran cepat-cepat menekup mulut Milan.
Semua mata memandang padanya. Kecuali mereka yang pengsan. Maiya cepat-cepat mengambil senapangnya dan meninjau keadaan luar. Nasib mereka baik kerana tiada Gargoyle berdekatan. Setelah mendapat kepastian daripada Maiya bahawa keadaan selamat barulah Eric menghampiri mereka. Matanya perhatikan kaki Milan yang terseliuh. Kemudian dia beranjak pula pada Robert. "Kau buta Robert?" Soalnya dingin serta kasar. "Kaki dia punyalah teruk bengkak kau boleh tersandung."
Eric tidak mendapat jawapan daripada Robert. Lelaki itu hanya tersengih seperti orang bodoh. Eric hanya menggeleng. Kemudian dia bertumpu pada Milan. "Maaflah. Dia agak cemerkap. Ada kurang sakit?" Eric melutut supaya matanya sama aras dengan Milan. Matanya perhatikan pergelangan kaki Milan yang bengkak. Ianya teruk sekali. Eric mengerutkan dahi. Dia tidak percaya apa yang dilihatnya. Bagaimana Milan mampu bertahan sehingga kini? Dia kagum sekali. Milan menepis tangan Kieran yang menekup mulutnya. Segera dia mengangkat kakinya perlahan untuk diurut. Jangan kata urut, pegangkannya pun tak boleh.
Pemuda malang itu mendesis tahan sakit. Kieran perasan ada air mata di tubir matanya. Entah kenapa dia tersengih. Tidak sampai sesaat pun Milan menoleh. Raut wajahnya merah. Sama ada menahan sakit ataupun marah. "Aku tak menangis!" Dia menengking Kieran. Pemuda itu tak terkata apa. Dia tersenyum saja. Namun seseiapa yang melihatnya boleh perasan, ada rasa bersalah disebaliknya. Dia benar-benar terkejut dengan perubahan watak Milan. Nampaknya dia benar-benar kesakitan. Gavin tiba-tiba urut belakangnya. Perbuatannya mengejutkan Milan. Namun sedikit banyak dia berjaya menenangkan Milan. "Kenapa nak marah-marah?" Ujarnya riang. "Nanti bila Rachel sedar, kita boleh suruh dia periksa kaki kau." Meminta bantuan Rachel? Tidak! Milan tidak mahukannya. Semua sudah lihat bukan? Rachel telah pengsan sebaik saja dia berjaya memulihkan lengan Niles. Menggunakan Genma sememangnya memakan tenaga yang banyak. Dia tidak mahu menjadi beban-
"Sudah!" Suara Gavin tegas. Seolah-olah dia boleh baca fikirannya. "Ambil ni." Dia menghulurkan sesuatu. Milan agak lambat untuk mengambil. Eric mencelah setelah melihatnya. "Ubat. Ianya ubat tahan sakit." "Betul!" Ujar Gavin. "Aku selalu membawanya sebagai langkah berjaga-jaga. Makankah ubat ni. Pastikan kau tidur. Ia benar-benar mengantukkan. Rasanya tak ada masalah untuk kau tidur sekarang. Lagipun kita akan bergerak dua atau tiga jam nanti."
Milan diam untuk seketika. Akhirnya dia terpaksa akur. Lagipun dia tidak mampu berbuat apa-apa pun. Kebanyakan mereka sedang merehatkan diri masing-masing. Kecuali Maiya, Kieran, Robert dan Eric. Kebarangkalian mereka bertukar giliran untuk berjaga. Ataupun tidak.
Dia menelan ubat tersebut akhirnya. Perlahan-lahan dia merebahkan dirinya. Dia dibantu oleh Eric dan Gavin. Setelah dia baring, matanya mula berasa berat dan telinga mula gagal menagkap sebarang bunyi. Matanya semakin kabur. Ternyata kesan ubat tersebut begitu kuat. Pandangan terakhir yang dilihatnya sebelum matanya terlelap ialah Kieran dengan Maiya sedang berbincang sesuatu dengan Cornelia, Eric dan Robert.
Akhirnya dia terlelap jua.
♦
Cornelia bisik pada Eric setelah tunangnya menghampiri. "Bagaimana kakinya?" Eric tersengih pada tunangnya. Kemudian matanya merenung tajam pada Robert. Maiya dan Kieran yang berada diantaranya juga merenung sekali. Semuanya renungan maut. Akhirnya Robert bersuara. "Aku tak sengajalah! Lagipun kenapa dia menjulurkan kakinya kalau dah tahu sakit?" Mendengar saja kata-kata Robert menaikkan darah Eric. Namun sebelum keadaan menjadi lebih teruk Cornelia telah pun menghalangnya. "Sudahlah Eric. Kita tak nak ganggu mereka yang tidur, kan?"
Eric mendiamkan dirinya. Matanya perhatikan anak-anak buahnya yang sedang berehat. Milan telah pun lena setelah makan ubat tahan sakit. Niles dan Rachel pula tidur kerana kehabisan tenaga. Gavin pula tertidur sewaktu dia baring disebelah Niles setelah dia menolong Milan baring sebentar tadi. Eric merengus tanda menyerah. Cornelia tersenyum akan tindakan Eric. Robert pula tersenyum puas dan melepaskan satu hembusan nafas leka kerana Eric tidak lagi merenung padanya. Terima kasih Cornelia. Aku sangat terhutang budi pada kau!
"Tuan," Celah Maiya tiba-tiba. Seraya itu Terminal biru mudanya muncul dihadapannya. Tertera peta di atasnya. Semua mata tertumpu pada peta tersebut. Jari Maiya menekan lembut pada peta yang tertera tersebut. "Kita disini." Satu bulatan hijau muncul pada satu petak dalam peta tersebut. Kemudian bulatan hijau tersebut berpecah kepada enam bebola kecil. Bebola tersebut mewakili mereka. Kemudian jarinya dilurut lagi pada peta tersebut. Ianya meninggalkan kesan garisan sebagai penjejak. Mulanya pada bangunan yang mereka duduki sekarang, melalui jalan-jalan kecil yang melintasi sebahagian bangunan-bangunan lain sehinggalah dia berhenti pada satu petak yang paling besar. "Dan ini merupakan hala tuju kita. Istana yang gambaran Tuan Eric berikan awal tadi." Maiya mula berikan hujahnya. Yang lain tekun mendengar. "Berdasarkan laluan yang saya pilih, inilah yang paling terdekat. Jaraknya kira-kira dua belas kilometer."
"Baguslah." Suara Robert. "Sekurang-kurangnya kita dah temui jalan pintas ke istana tersebut..."
"Benar...tapi..." Maiya bersuara ragu-ragu. Robert dan yang lain kecuali Kieran mengerutkan dahi melihat reaksi Maiya. "Kita ada masalah. Masalah besar." Untuk membuktikan kata-katanya dia memetikakan jarinya. Seraya itu muncul bulatan merah pada peta tersebut. Ianya bukan sedikit tetapi banyak. Malah ia hampir merangkumi keselurah peta. Ia juga bergerak. Ada yang perlahan dan ada yang pantas juga. Cahaya Terminal Maiya yang biru lembut warnanya mula bertukar merah seolah-olah darah membasahi wajah masing-masing.
"Tak guna..." Suara Eric tidak puas hati.
"Benar...Gargoyle berada dimana-mana. Ia akan menyukarkan kita. Tambahan pula kita kekurangan barisan hadapan."
"Apa yang boleh kita lakukan?" Suara Cornelia kecewa. Segera Eric mengengamkan tangan tunangnya. "Kita sudah pun-"
"Tak perlu risau Cik Cornelia." Suara Kieran tiba-tiba. Dia melangkah setapak kehadapan mengantikan Maiya yang berundur ke belakang. Terminalnya segera terpadam. Suasana terus menjadi gelap. "Saya telah jumpa sesuatu yang menarik."
"Apa dia?" Soal Robert. Bunyinya menarik.
"Kita guna pembetungan air. Jalannya selamat. Tetapi berbau. Lebih menarik lagi, aku telah memecahkan sistem bandar ini dan berjaya jumpa laluan untuk ke istana tersebut. Bagaimana? Bunyinya menarik?" Seraya itu Terminal milik Kieran muncul. Berlainan dengan Maiya, miliknya berwarna biru nilam dan bentuknya pula bujur. Perlahan-lahan peta pembentungan itu muncul.
Suasana senyap seketika sehinggalah Maiya menyiku perut Kieran. Sekuat-kuat hatinya. "Kenapa kau tak beritahu perkara ini awal-awal!? Kau sengaja buat orang cemas!" Kata-katanya hanya disambut ketawa Kieran. "Memang itu niat aku..." Dan dia masih lagi teruskan ketawanya.
Mata Eric masih lagi perhatikan peta pembentungan tersebut. Dia tersenyum. Segera dia mengambil data peta tersebut. Dengan mengunakan Terminal miliknya dia mengantarkan pada kesemua anak buahnya. Cornelia ditepinya tersenyum manis. Gengamannya yang dipegang oleh Eric sengaja dikuatkan. Disebabkan itu Eric menoleh padanya. "Kita berjaya lagi. Kita berjaya melangkah setapak kehadapan, Eric." Ujarnya riang. Matanya mula bergenang. Kepalanya dilentokkan pada bahu Eric. Tunangnya hanya mampu tersenyum.
"Berehatlah. Biar aku dan Kieran berjaga. Kita sudah pun berehat tadi."
Cornelia, Eric dan Robert mengangguk setuju. "Terima kasih." Itu saja mampu mereka katakan. Kerana mereka benar-benar penat. Dalam dua tiga jam lagi mereka akan mulakan operasi seterusnya.
♦
Milan membuka matanya perlahan sebaik saja terasa kesakitan yang kuat pada kakinya. Seseorang mesti telah melanggarnya. Mesti Robert. Eric ada kata tadi. Dia cemerkap orangnya. Matanya segera dibukakan. Kerana ianya dipaksa, matanya masih lagi kabur serta mindanya yang terpisat-pisat. Ianya berlanjutan beberapa saat saja. Sebaik saja pandangannya susah pulih, matanya berjaya melihat siapa yang melanggar kakinya.
Satu susuk tubuh dihadapannya. Dia hairan. Orangnya pendek. Manakala Robert tinggi orangnya. Bukan itu saja, susuk tersebut juga ramping. Rona merah mula timbul lagi pada pipi Milan. Matanya sudah pun dapat menangkap apa yang dilihatnya. Susuk tersebut tak lainlah bukan...
"Rachel!"
Gadis tersebut menoleh sebaik saja namanya dipanggil. Dia tersenyum. Perbuatannya itu memerahkan lagi wajah Milan. "Maaf buat kau terjaga. Cornelia suruh aku periksa keadaan kaki kau. Lebam kau agak teruk. Boleh aku sembuhkannya?"
Milan berfikir sejenak takala mendengar saja kata-kata Rachel. Fikiran mengimbau kembali saat gadis tersebut memulihkan luka pada lengang Niles. Dia meronta teruk. Pasti proses itu menyakitkan. Peluh menitis pada dahinya memikirkan perkara itu. "Tak sakit ke?"
Mendengar saja soalan tersebut Rachel tersenyum. "Sejujurnya aku tak pasti...kerana aku sendiri belum pasti sifat Genma aku..." Wajahnya bertukar muram takala dia menghabiskan ayat-ayatnya. Benar katanya. Mereka yang mampu mengawal Genma terbahagi kepada tiga kategori :
1. Serangan.
2. Pertahanan.
3. Pemulihan.
Sepatutnya mereka menjalani latihan yang lama untuk mengenal pasti sifat-sifat genma tersebut. Rachel tidak berkesempatan kerana dia telah dikerah masuk ke unit yang sedia ada sekarang. Jadi masuk akallah proses pemulihan Rachel sangat menyakit. Milan hanya terdiam apabila perhatikan wajah sedihnya. "Maaf...aku tak bermaksud..."
"Jangan minta maaf!" Ujar Rachel tiba-tiba. Tangannya segera pegang jemari Milan. Sekali lagi wajah Milan berubah merah. Dia tertunduk-tunduk mengelak bertentangan mata daripada Rachel. "Ianya bukan salah kau. Cuma nasib aku tak beberapa baik. Percayalah, selesai saja misi ni aku akan berlatih dan cuba mengenal pasti sifat-sifat Genma." Kata-katanya diakhiri dengan senyuman manis.
Melihat saja Rachel tersenyum, Milan tersenyum juga. Perlahan-lahan dia bersuara. "Rachel...kalau boleh...tolong sembuhkan kaki aku...aku...aku...tak mahu menjadi beban pada sesiapa..." Kata-katanya diakhiri dengan bisikan halus. Pipinya masih lagi berona merah. Melihat saja reaksi Milan, Rachel ketawa. "Baiklah, pemalu." Sempat dia mengusik.
Milan tahan saja sewaktu kakinya dipulihkan. Prosesnya menyakitkan. Seolah-olah ditusik seribu jarum halus. Dia hanya mengertap bibir saja sepanjang proses tersebut. Kira-kira lima minit kemudian barulah tamat. Kedua-dua mereka menarik nafas sedalam yang boleh. Mereka tersenyum takala mata mereka bertentangan. Pandangan mereka terganggu sebaik saja Kieran jerit. Namun tidak sekuat jeritan Eric dan Milan.
"Dalam satu jam lagi operasi akan bermula!"
Milan mengangkat kening. Misi mereka akan bermula tak lama lagi. Tangannya mengurut kakinya yang sudah pun pulih. Rachel hanya tersenyum melihat reaksi Milan. Dia mengerti maksud Milan. Misi mereka akan bermula nanti. Misi menjejak senjata rahsia.
♦
Share this novel