Hana Sofea menggigit straw milo ais sambil merenung telefon bimbitnya. Scroll-scroll, tiba-tiba senyum sendiri. Bukan sebab video kucing comel, tapi sebab satu notifikasi WhatsApp yang baru masuk.
Kazim: "Lunch dah ke? Kalau belum, jom saya belanja."
Hana cepat-cepat matikan skrin telefon, jantungnya berdegup sedikit laju.
"Weh, kau ni kenapa tersengih sorang-sorang?" suara Afia memecah lamunannya.
Hana berpaling ke arah sahabat baiknya itu, cuba buat muka selamba. "Tak ada apa. Biasa je."
Afia menjeling tajam sebelum bersuara dengan nada penuh sindiran, "Tak ada apa? Habis tu siapa yang tersengih macam baru dapat duit terpijak tadi?"
Hana mencebik. "Kau ni suka buat cerita eh?"
Afia mengangkat bahu, tetapi wajahnya jelas menunjukkan dia tahu sesuatu. "Aku rasa Kazim suka kau."
Tersedak. Hana cepat-cepat capai tisu, matanya membulat memandang Afia. "Apa kau merepek ni?"
Afia menyilangkan tangan sambil bersandar ke kerusi kafe universiti. "Oh come on, Hana. Kau tak perasan ke cara dia layan kau? Dia lain dengan kau. Orang lain dia buat biasa, dengan kau je dia tiba-tiba nak belanja air, bagi jajan."
Hana meneguk liur. Betul ke? Dia tak pernah fikir ke arah tu. Kazim—seorang lelaki nerd yang sentiasa serius dengan kerja, jarang senyum, tapi entah kenapa selalu muncul dengan makanan untuknya.
"Hm... takkanlah. Dia kan baik dengan semua orang?" Hana cuba berdalih.
Afia menjungkit kening. "Semua orang? Kau pernah tengok dia buat macam tu dengan orang lain?"
Hana cuba memikirkan kembali, tapi otaknya kosong. Hmm. Betul juga.
"Alaaa... mungkin dia kesian tengok aku selalu lapar," Hana cuba menepis andaian Afia.
Afia ketawa kecil. "Atau..." Dia sengaja merapatkan wajahnya ke arah Hana. "Dia ada hati dengan kau."
Hana baru nak balas bila tiba-tiba suara garau menyampuk.
"Korang sembang apa ni?"
Serentak Hana dan Afia menoleh.
Luqman berdiri di tepi meja mereka. Kemeja hitam berlengan digulung sedikit, tangan kirinya memegang botol air, sementara tangan kanannya menyeluk poket seluar. Wajahnya tenang seperti biasa, tapi kehadirannya cukup untuk buat Hana rasa macam perutnya diserang kupu-kupu ribuan ekor.
Luqman. Crush yang dah empat tahun dia suka dalam diam.
"Tak ada apa," jawab Hana cepat-cepat, cuba mengawal riak muka supaya tak nampak terlalu excited.
Luqman mengangguk sedikit sebelum duduk di meja sebelah. Hana dapat rasakan Afia menahan gelak di sebelahnya.
"Weh, serious muka kau merah gila," bisik Afia perlahan.
Hana menjeling tajam. "Kau diam boleh tak?"
Namun, sebelum dia sempat mengubah topik, telefonnya bergetar sekali lagi.
Kazim: "Saya tengah cari meja ni. Kejap lagi sampai."
Hana terkedu. Kazim pun nak datang?
Sekarang, dia berada dalam situasi paling bahaya.
Di satu sisi, ada Luqman—lelaki yang dah lama dia suka, tetapi hubungan mereka tak pernah lebih daripada sekadar senior-junior.
Di satu sisi lagi, ada Kazim—yang tak pernah dia fikir lebih daripada kawan sekerja, tapi entah kenapa kebelakangan ini jantungnya selalu berdegup laju bila lelaki itu ada.
Hana mengeluh perlahan.
Kenapa dua-dua muncul dalam satu hari? Dan... kenapa dia rasa lain macam?
Share this novel