Bab 5

Romance Series 602

Hana Sofea termenung di meja kerjanya di pejabat universiti. Sebagai intern di bahagian pengurusan pelajar, dia baru beberapa minggu bekerja, tetapi rasa macam dah berbulan-bulan. Hari ini, suasana pejabat lebih tegang daripada biasa. Bosnya, Encik Faiz, sedang dalam mood yang tak berapa baik, dan malangnya, dia jadi mangsa pertama.

“Hana, tolong susun balik fail ni. Saya nak sebelum tengah hari.” Nada suara bosnya tegas, hampir tiada ruang untuk bantahan.

Hana mengangguk laju, “Baik, Encik Faiz.”

Dia mencapai fail-fail yang bertimbun di atas meja, cuba menahan keluhan. Namun, tak sampai lima minit, Kazim Rayyan muncul di sebelahnya.

“Banyak kerja?” Suaranya rendah seperti biasa, tapi kali ini ada nada prihatin.

Hana menjungkit bahu. “Biasalah, intern kan. Semua benda kena buat.”

Kazim mengangkat kening, seolah-olah memerhati gelagat bos mereka dari jauh. “Kalau rasa tak adil, cakap je. Jangan biar orang ambil kesempatan.”

Hana ketawa kecil. “Abang Kazim, saya intern. Nak buat macam mana?”

Kazim memandangnya lama sebelum berkata, “Tak semestinya intern kena terima semua benda. Kalau rasa dibuli, kena bersuara.”

Hana terdiam. Dia tahu Kazim ni jenis tegas, tapi ada betul juga kata-katanya. Cuma dia tak nak dianggap manja.

Tetapi apa yang mengejutkan, tiba-tiba pintu pejabat terbuka dan Luqman Hakim masuk. Dengan postur tegap, wajah serius, dan aura matang, dia nampak seperti seseorang yang ada tujuan tertentu.

Hana hampir tersedak air liur. Sejak bila Luqman ada urusan di pejabat ni?

Kazim pula berundur sedikit, memberi ruang. “Luqman?”

Luqman mengangguk ke arah Kazim sebelum matanya jatuh pada Hana. “Saya ada hal dengan Encik Faiz. Awak okay?”

Hana terkedu. Kenapa Luqman tiba-tiba tanya dia macam tu depan Kazim? Rasa pelik pula.

Hana cuba senyum. “Okay je. Kenapa tanya?”

Luqman diam sejenak. “Saya nampak awak macam tak selesa.”

Kazim mencelah, “Dia kena buat kerja lebih hari ni.”

Luqman mengerutkan dahi, seolah-olah tak berpuas hati. Dia menoleh ke arah pejabat Encik Faiz sebelum berkata perlahan, “Sabar tu bagus, tapi jangan biar orang pijak kepala.”

Kata-kata itu membuatkan Hana tersentak. Entah kenapa, nasihat itu terasa seperti tamparan lembut yang menyedarkannya.

Dalam Islam, sabar memang penting. Tapi membiarkan diri dizalimi juga tak patut.

Dia menarik nafas panjang. Mungkin sudah tiba masanya dia belajar untuk berdiri sendiri.

Hana Sofea mengetap bibir sambil menekan Enter di papan kekunci. Baru selesai susun jadual perjumpaan pelajar bersama pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP), dia menarik nafas lega. Tapi sebelum sempat beralih ke tugas lain, suara garau yang sudah semakin biasa di telinganya bergema.

“Hana!”

Hana tersentak. Dia mengangkat kepala dan mendapati Encik Faiz sedang berdiri di hadapan mejanya, wajah berkerut seperti baru melihat satu kesalahan besar.

“Ini apa ni?” Encik Faiz mencampakkan kertas di atas mejanya.

Hana mengerutkan dahi sebelum mencapai kertas tersebut. “Err… jadual perjumpaan, Encik Faiz.”

“Kau buat kerja guna kepala lutut ke apa?” Herdikan itu membuatkan beberapa staf lain menjeling ke arah mereka.

Hana terkedu. “Tapi… saya ikut format yang sebelum ni—”

“Diam!” Suara Encik Faiz makin tinggi. “Kau ingat aku ada masa nak betulkan semua kesilapan kau? Kalau tak reti buat kerja, jangan jadi menyusahkan!”

Mulut Hana sedikit ternganga. Dia terkedu, malu, geram—semua bercampur. Intern je pun, kenapa kena marah sampai macam ni?

Sebelum dia sempat bersuara, satu suara yang lebih berat tetapi cukup jelas kedengaran.

“Encik Faiz.”

Kazim Rayyan bangun dari tempat duduknya, menutup fail dengan kasar sebelum berjalan menghampiri.

“Saya rasa Hana dah ikut format yang betul. Kalau ada benda nak betulkan, kenapa tak cakap elok-elok?” Suaranya tegang, matanya tajam menikam lelaki yang lebih berusia di hadapannya.

Encik Faiz menyilangkan tangan di dada, senyum sinis terukir di bibirnya. “Kazim, kau ni dari dulu memang suka tunjuk pandai, kan? Ingat kau bagus sangat?”

Kazim tidak berganjak. Matanya semakin tajam, tapi nada suaranya masih terkawal. “Saya cuma cakap benda betul. Kalau nak tegur staf atau intern, buat cara profesional. Bukannya maki hamun macam ni.”

Encik Faiz ketawa kecil, tetapi nadanya penuh sindiran. “Oh, jadi kau nak ajar aku cara kerja sekarang? Kau tu siapa, Kazim?”

Kazim tersenyum sinis. “Saya staf kat sini. Sama macam Encik Faiz. Cuma bezanya, saya tak perlukan orang lain untuk tunjuk saya siapa diri saya.”

Wajah Encik Faiz terus berubah. “Kau jangan nak kurang ajar, Kazim.”

Kazim mendekatkan sedikit wajahnya, menunduk hingga hanya beberapa inci memisahkan mereka. Suaranya mendatar, tetapi cukup untuk membuat suasana terasa menekan.

“Encik Faiz… saya kurang ajar ke, atau Encik Faiz yang tak reti nak ajar orang?”

Encik Faiz mendengus marah. “Kau jangan lupa siapa yang tolong kau dulu. Kalau bukan aku, kau dah lama terbuang!”

Hana hanya mampu memandang mereka silih berganti. Dia perasan rahang Kazim semakin mengeras. Ada sesuatu dalam kata-kata Encik Faiz yang nampaknya telah menekan titik hitam dalam diri Kazim.

Kazim ketawa kecil, tetapi nadanya penuh kemarahan. “Tolong aku?” Dia mendengus sinis. “Encik Faiz jangan perasan lebih. Apa yang Encik Faiz buat dulu bukan menolong, tapi menyusahkan.”

Suasana pejabat hening. Staf lain yang tadinya hanya memerhati dari jauh, kini menajamkan pendengaran mereka.

Hana menelan liur. Dia tak pernah lihat Kazim setegang ini. Lelaki yang selalunya serius dan pendiam, kini berdiri dengan wajah yang penuh dengan kemarahan yang cuba ditahan.

Encik Faiz mendekat, suara rendah tetapi cukup tajam. “Jangan lupa siapa yang pegang keputusan di sini, Kazim. Aku boleh buat kau susah dalam sekelip mata.”

Kazim tersenyum sinis. “Kalau Encik Faiz fikir saya takut, Encik Faiz salah besar.”

Hana cuba menyentuh lengan Kazim untuk menenangkannya, tetapi Kazim mengelak sedikit. Matanya masih memanah lelaki di hadapannya.

Encik Faiz mengetap gigi sebelum menjeling ke arah Hana. “Dan kau, Hana. Kau suka sangat, kan, orang bela kau? Kau ingat kau ni siapa? Intern baru, tapi perangai macam nak tunjuk bagus.”

Hana terkedu. “Saya tak—”

“Kalau rasa tak boleh kerja, sila angkat kaki.”

Hana menahan sebak. Dia tahu dia tak buat salah, tapi kenapa dia kena layan macam ni?

Kazim menutup mata seketika, seperti menahan sesuatu. Kemudian dia membuka mata kembali dan menoleh ke arah Hana.

“Kau tak ke mana, Hana.” Suaranya lebih lembut, tetapi masih tajam. “Kalau ada orang yang patut angkat kaki, bukan kau.”

Dia kembali memandang Encik Faiz, memberi senyum sinis terakhir sebelum melangkah pergi.

Hana tahu, selepas hari ini, hubungan Kazim dan Encik Faiz takkan pernah sama lagi.

Dan dia juga tahu, ada sesuatu dalam diri Kazim Rayyan yang dia masih belum faham sepenuhnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience