Bab 21

Romance Series 602

Hana memandang kosong skrin telefonnya. Sejak dia habis intern, kehidupannya jadi pelik. Luqman makin jauh, Kazim makin buat perangai entah apa-apa—kadang-kadang serius, kadang-kadang macam nak menyakat tapi tahan.

Dia menghela nafas. Kenapa rasa pelik sangat? Dulu dia biasa je kalau Luqman ada atau tak ada. Tapi sekarang, dia boleh rasa betapa janggalnya suasana bila lelaki itu makin kurang bercakap dengannya. Lebih menambah pelik, Kazim pula makin rapat.

“Okay, cukup. Aku kena cari penyelesaian.”

Hana bangun dan terus menuju ke kafe kegemarannya dengan satu niat yang sangat jelas—makan. Kalau perasaan dia tak boleh dikawal, sekurang-kurangnya perut boleh diisi.

Dalam masa 10 minit, dia dah ada depan meja dengan teh tarik tiga lapis, roti bakar dua set, nasi lemak ayam goreng besar, dan kuih-muih yang tak perlu tapi dia beli juga sebab bosan.

Kazim dan Luqman yang duduk di satu sudut kafe hanya mampu memandang dengan ekspresi bercampur-baur antara kagum dan seram.

“Aku pelik, dia ni betul-betul lapar ke atau tengah meluahkan perasaan dengan makanan?” bisik Kazim sambil menyuap bihun gorengnya perlahan-lahan.

Luqman mengangkat bahu. “Aku tak tahu. Tapi kalau dia terus makan macam ni, esok dia yang kena jawab dengan timbangan berat badan.”

Tiba-tiba Kazim meneguk kopinya, kemudian bersuara kuat, “Hana, kalau kau makan banyak macam ni, aku terpaksa cari tukang jahit khas buat baju tunang saiz king-size.”

Hana yang tengah mengunyah roti bakar *freeze* di tempat duduknya. Matanya membulat, otaknya masih memproses ayat Kazim.

**Tunang?!**

Serta-merta dia tersedak. Batuk-batuk kecil keluar, cuba menelan kembali roti yang terhenti separuh jalan. Kazim cepat-cepat hulurkan air kosong sambil tahan gelak.

Luqman pula… buat *double take*.

Dia cuba tahan senyum, tapi bibirnya tetap terangkat sedikit.

Kazim hanya senyum nakal. “Relax, aku main je. Kau ingat aku nak betul-betul ke?”

Hana tarik nafas dalam-dalam, menelan ego yang hampir terpelanting tadi. “Kazim, kalau kau main lagi macam ni, aku sumpah aku akan doakan kau tersedak masa tengah makan nanti.”

Luqman yang tengah minum *iced latte* hampir tersedak. Dia gelak kecil, tapi cepat-cepat kawal ekspresi muka supaya nampak neutral.

Hana buat-buat tak kisah, terus menyuap nasi lemaknya. Tapi dalam hati, dia masih terganggu dengan gurauan Kazim tadi. Kenapa dia rasa lain macam bila dengar perkataan ‘tunang’? Kenapa jantung dia berdegup laju bila Kazim sebut benda tu depan Luqman?

Luqman pula lepas tu diam je. Tak masuk campur, tak menyakat, tak menyindir. Dia hanya makan roti bakarnya perlahan-lahan.

Kazim pula seperti biasa, santai. “Aku pelik la. Sejak kau habis intern ni, kau banyak menyendiri. Selalu kita lepak sama-sama. Kenapa sekarang kau asyik mengelak?”

Hana telan air liur. “Mengelak apa? Aku biasa je.”

Kazim menyandar ke kerusi, memandangnya tajam. “Biasa ke kalau tiap kali aku ajak jumpa, kau cakap kau sibuk? Tapi lepas tu aku nampak kau lepak sorang-sorang dekat mall?”

Luqman yang tadi diam tiba-tiba angkat kening. Nampaknya dia baru tahu benda ni.

Hana tergamam. Macam mana Kazim tahu? Dia memang sengaja menjauhkan diri, tapi tak sangka Kazim perasan.

“Err… aku…”

“Jawab dengan jujur,” potong Kazim. “Kau tengah lari dari aku ke, atau dari diri kau sendiri?”

Hana rasa tekaknya kering. Dia pandang Luqman sekejap, tapi lelaki itu hanya menunduk, pura-pura sibuk dengan roti bakarnya.

Kenapa dia rasa hari ni perut dia bukan sahaja kenyang dengan makanan, tapi juga penuh dengan soalan yang tak ada jawapan?

Hana menghela nafas. Rupa-rupanya, bukan perut dia je yang berperang, hati dia pun tengah huru-hara.

Dia menoleh ke arah Kazim. “Aku…”

Kazim bersandar, bersilang tangan, menunggu.

Hana menghela nafas panjang. “Aku cuma… aku tak tahu. Aku rasa semua benda berubah lepas intern habis.”

Luqman memandangnya sekilas, tapi tetap tidak menyampuk.

Kazim angkat kening. “Maksud kau?”

Hana menggigit bibirnya. “Dulu, semua benda senang. Aku boleh gelak, boleh menyakat. Tapi sekarang aku rasa lain.”

Kazim tunduk sekejap sebelum kembali memandangnya. “Lain sebab apa, Hana?”

Hana menunduk, jari-jemarinya menggenggam sudu di tangannya erat. “Sebab… aku takut.”

Kazim dan Luqman sama-sama terdiam.

Kazim kemudian bersuara perlahan. “Takut apa?”

Hana akhirnya mengangkat wajah. Ada riak kejujuran di matanya. “Takut aku salah faham perasaan aku sendiri.”

Kazim tersenyum kecil. “Kalau kau takut salah faham, kau kena cari jawapan. Lari tak akan buat kau faham.”

Hana terdiam. Kazim menghabiskan sisa kopinya, sebelum bangun dari kerusi.

“Aku tak paksa kau bagi jawapan sekarang. Tapi aku harap, bila kau dah tahu jawapannya, kau jangan lari lagi.”

Luqman masih diam, hanya memerhatikan. Hana memandang Kazim yang berlalu pergi, sementara hatinya masih dipenuhi tanda tanya.

Di luar, angin bertiup lembut. Tapi di dalam hati Hana, ribut belum reda.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience