Hana Sofea termenung lagi. Kali ni bukan sebab kerja, tapi sebab kepala dia dah penuh dengan tanda soal yang makin beranak-pinak sejak beberapa hari ni.
Kazim tiba-tiba jadi makin pelik. Suka bagi sticky note la, tiba-tiba drop pantun la.
Dan Luqman pula… makin susah nak faham.
Telefon di atas meja bergetar. Nama yang tertera di skrin buatkan jantung Hana hampir tersangkut.
Luqman Hakim.
Hana telan liur. Kenapa dia telefon tiba-tiba? Dengan tangan sedikit menggigil, dia menekan butang hijau.
“Hello?”
Suara Luqman kedengaran tegas seperti biasa. “Keluar kejap. Saya tunggu dekat parkir.”
Hana terkebil-kebil. “Hah? Kenapa?”
“Saya nak jumpa.”
Nada Luqman tak berubah. Tak ada salam, tak ada basa-basi, terus straight to the point. Hana tiba-tiba rasa tak sedap hati.
Tapi tanpa sedar, dia tetap mencapai beg dan keluar dari pejabat.
Di parkir universiti, Luqman sedang bersandar di sisi keretanya. Walaupun masih ada kesan luka di kening akibat kemalangan, dia tetap nampak… intimidating.
Hana menghampiri perlahan. “Kenapa cari saya?”
Luqman tak terus jawab. Dia hanya memandang Hana sejenak, seolah-olah cuba membaca sesuatu dalam wajahnya.
Lepas beberapa saat, dia bersuara. “Jangan rapat sangat dengan saya.”
Hana terkedu. “Hah?”
“Saya tahu awak baik, awak mudah mesra dengan orang. Tapi dengan saya, jangan.”
Jantung Hana berdegup kencang. “Kenapa tiba-tiba cakap macam ni?”
Luqman menghela nafas pendek, wajahnya sukar ditafsirkan. “Sebab saya tak nak bagi harapan palsu.”
Kata-kata itu menikam Hana tepat di dada.
“Harapan palsu?” Suara Hana hampir berbisik.
Luqman mengangguk. “Awak nampak saya macam lelaki baik, kan?”
Hana diam.
“Saya bukan lelaki baik, Hana.” Nada suara Luqman mendatar, tapi cukup tajam. “Kalau awak fikir saya ada hati dengan awak, awak salah.”
Kali ni, Hana betul-betul rasa nak ketawa—ketawa sebab sakit hati.
"Saya tak pernah fikir macam tu,” balas Hana, cuba berlagak selamba walaupun hakikatnya, ada sesuatu dalam hatinya yang sedang retak.
Luqman senyum sinis. “Bagus. Jangan fikir macam tu.”
Hana menggenggam tali begnya dengan kuat. “Saya cuma anggap awak kawan.”
Luqman mengangguk kecil. “Bagus kalau macam tu. Saya tak suka perempuan yang cepat jatuh hati tanpa fikir panjang.”
Sumpah, Hana rasa nak hempuk kepala lelaki ni ke cermin sisi kereta sekarang juga.
Dia menarik nafas panjang, cuba mengawal emosi. “Awak nak cakap apa-apa lagi?”
Luqman memandangnya buat kali terakhir sebelum berkata, “Tak ada. Cuma saya harap awak faham maksud saya.”
Lepas itu, dia terus masuk ke dalam kereta dan meninggalkan Hana terpacak di parkir, dengan hati yang berkecamuk.
Di pejabat
Hana duduk di tempatnya dengan muka blank. Kazim yang baru keluar dari bilik mesyuarat perasan perubahan pada wajah Hana.
“Kenapa muka kau macam baru kena block dekat WhatsApp?”
Hana menjeling. “Tak ada apa.”
Kazim mengerut dahi. Dia menolak cermin matanya sedikit ke atas dan meneliti wajah Hana.
“Kau jumpa Luqman?”
Hana terkejut. “Macam mana kau tahu?”
Kazim mengangkat bahu. “Aku nampak kereta dia dekat parkir tadi. Dari cara kau duduk macam mayat hidup sekarang, aku agak mesti dia cakap benda yang buat kau bengang.”
Hana mengeluh perlahan. “Entahlah.”
Kazim menarik kerusi di sebelah Hana dan duduk. Dia mengeluarkan sticky note kuning seperti biasa dan menulis sesuatu sebelum menampalnya di skrin komputer Hana.
Hana menjeling sticky note itu.
“Kalau rasa orang tak hargai kau, belanja diri sendiri boba.”
Hana tergelak kecil. “Kazim… kau ni asal setiap kali aku sedih, kau bagi sticky note pelik?”
Kazim sengih. “Motivasi bajet.”
Hana mengambil sticky note itu dan menyimpannya dalam laci. Dia tak tahu kenapa, tapi sticky note daripada Kazim ni selalu buat dia rasa lebih baik.
Mungkin sebab Kazim satu-satunya orang yang tak pernah buat dia rasa tak cukup baik.
Share this novel