Di Pejabat
Hana termenung di hadapan skrin laptop. Satu tangan di pipi, satu lagi memegang pen, tetapi langsung tak bergerak.
Kazim yang duduk di meja sebelah hanya memerhati sebelum akhirnya bersuara.
"Dah tiga puluh minit awak tenung skrin kosong. Itu kajian saintifik ke?"
Hana tersentak. "Hah?"
Kazim menutup laptopnya. "Bukan apa… saya risau awak tengah cuba hack sistem universiti guna mind power."
Hana menjeling tajam. "Kazim, lawak awak hari ni tak kena."
Kazim mengangkat bahu. "Tak apa. Lawak saya sentiasa underrated."
Hana mengeluh sambil menutup buku notanya. "Saya tengah buntu. Projek ni makin serabut."
Kazim menyandarkan tubuhnya ke kerusi, matanya tajam memerhati Hana.
"Nak saya tolong?"
"Sanggup ke?"
"Saya selalu sanggup."
Hana mencebik. "Konon."
Kazim tersenyum kecil. "Hana, kalau ada benda awak nak buat dalam hidup ni, jangan tunggu orang lain yang permudahkan. Awak kena usaha dulu. Allah takkan ubah nasib seseorang kalau dia sendiri tak cuba ubah."
Hana diam.
Kenapa Kazim ni makin banyak bagi nasihat?
Dan… kenapa setiap kali dia cakap benda macam ni, hati Hana rasa lain macam?
Hari Pembentangan Projek
Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba.
Hana berdiri di hadapan dewan kuliah, cuba menenangkan diri.
Kazim dan beberapa rakan sepasukan lain duduk di barisan depan, bersedia untuk pembentangan.
"Okay, saya akan mula dengan menerangkan—"
Tiba-tiba slide tersangkut. Skrin jadi kosong.
Hana panik. "Eh, kenapa ni?"
Satu dewan mula berbisik-bisik. Hana cuba klik beberapa kali, tapi laptop langsung tak respon.
Kazim, yang dari tadi tenang, bangun perlahan-lahan dan berjalan ke arahnya.
"Relax, tarik nafas."
Hana menelan air liur. "Tapi—"
"Tarik nafas."
Hana akur, menarik nafas perlahan.
Kazim mengambil laptop dan menekan beberapa butang. Dalam masa lima saat, skrin kembali berfungsi.
Hana terkejut. "Macam mana awak buat tu?"
Kazim tersenyum. "Saya ni kan nerd."
Satu dewan ketawa kecil. Hana pula rasa nak baling buku ke kepala Kazim.
Tapi, jujur dia akui… Kazim selalu ada bila dia perlukan bantuan.
Hari-hari terakhir di tempat kerja berlalu lebih pantas daripada yang Hana jangka.
Setiap pagi dia datang dengan perasaan bercampur-baur.
Satu perasaan yang dia tak boleh nak jelaskan… atau mungkin tak berani nak jelaskan.
Kazim, seperti biasa, ada di meja sebelah. Tapi kali ini, suasana antara mereka sedikit berbeza.
Lebih banyak diam, tapi diam yang bukan kosong.
Kadang-kadang Kazim perasan Hana termenung.
Kadang-kadang Hana pula perasan Kazim buat sesuatu, tapi cepat-cepat pura-pura sibuk bila dia perasan Hana pandang.
Sehari sebelum hari terakhirnya, Kazim tiba-tiba bersuara.
"Awak ada rancangan lepas ni?"
Hana berpaling. "Maksud awak?"
"Lepas internship. Dah fikir nak kerja kat mana?"
Hana diam sebentar.
"Saya tak pasti lagi."
Kazim mengangguk. "Saya rasa awak patut cari tempat yang sesuai dengan potensi awak."
Hana ketawa kecil. "Maksud awak?"
Kazim merenungnya sejenak sebelum berkata, "Awak ni lebih hebat daripada yang awak fikir. Cuma awak sendiri tak nampak."
Hana terdiam.
Kenapa Kazim selalu cakap benda yang buat dia terfikir panjang?
Pagi itu, Hana datang ke pejabat dengan perasaan sedikit berat.
Mejanya masih sama. Kazim masih di meja sebelah.
Tapi hari ini rasa lain.
Waktu tengah hari, Kazim tiba-tiba letakkan sesuatu di atas meja Hana.
"Benda ni untuk awak."
Hana memandang sebuah kotak kecil berbalut kertas warna biru gelap.
"Apa ni?"
Kazim hanya tersenyum. "Buka lah."
Hana membuka kotak itu dengan penuh tanda tanya.
Di dalamnya ada sebuah pen berukir nama Hana dan sehelai kertas kecil.
"Orang yang suka menulis kena ada pen sendiri. Semoga satu hari nanti awak tulis sesuatu yang bermakna untuk dunia."
Hana menggenggam pen itu. Matanya beralih kepada Kazim yang masih memandangnya tenang.
"Kenapa…"
"Sebab saya tahu awak ada sesuatu yang istimewa dalam diri awak."
Hana cuba bersuara, tapi entah kenapa… tekaknya terasa sebak.
Kazim mengerling jam di tangan.
"Okay, saya kena keluar sekejap. Nanti kita jumpa lagi."
Hana mengangguk perlahan.
Dan untuk pertama kalinya… dia rasa kehilangan walaupun Kazim masih di depan mata.
Sebelum balik, Hana berjalan perlahan ke tempat letak kereta.
Kazim sedang berdiri di tepi keretanya, memandang telefon.
Hana melangkah mendekatinya.
"Awak tak balik lagi?"
Kazim mengangkat muka. "Tunggu seseorang."
Hana mengerut dahi. "Siapa?"
Kazim tersenyum kecil. "Tak tahu lagi."
Hana diam.
Mereka berdua berdiri dalam diam yang penuh makna.
Sebelum Hana sempat bersuara lagi, telefon Kazim berdering.
Kazim melihat skrin sebelum mengangkatnya.
"Hana, saya kena pergi dulu."
Hana mengangguk perlahan.
Kazim menatapnya seketika, seolah-olah mahu berkata sesuatu—tapi akhirnya hanya mengukir senyuman kecil.
Dan saat dia berlalu pergi, Hana sedar sesuatu.
Selama ini, dia tak pernah perasan… Kazim selalu ada.
Tapi selepas hari ini… dia tak pasti sama ada Kazim akan tetap ada.
Dan itu lebih menakutkan daripada apa pun.
Share this novel