Hana termenung di beranda rumah. Angin malam menyentuh lembut pipinya, tapi dalam hati, gelora masih bersisa. Sejak Kazim datang ke rumahnya semalam, perasaannya jadi tak menentu. Malam itu, dia cuba mencari jawapan dalam sujudnya, dan kali ini, dia rasa lebih tenang. Namun, tenang bukan bermaksud mudah.
Telefon dalam genggamannya bergetar. Nama Afia tertera di skrin. Hana menarik nafas sebelum menjawab.
"Kau sibuk?" suara Afia kedengaran seperti biasa, sedikit kasar tapi penuh ambil berat.
"Tak, kenapa?" Hana menjawab perlahan.
"Jom keluar. Aku kat depan rumah kau."
Hana mengerutkan dahi sebelum melangkah keluar. Sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta Afia, sahabatnya itu terus merenungnya tajam.
"Kau dah ada jawapan, kan?" Afia bersandar ke tempat duduk.
Hana menunduk, tangannya bermain-main dengan hujung tudung. "Aku... rasa aku tahu apa yang aku nak, tapi aku takut."
Afia tersenyum sinis. "Takut apa? Takut bahagia?"
"Takut kalau aku buat keputusan yang salah."
Afia menghela nafas panjang. "Hana, kadang-kadang kita terlalu banyak fikir sampai kita sendiri takut untuk ambil langkah pertama. Kalau hati kau dah ada jawapan, kenapa perlu ragu lagi?"
Hana memandang sahabatnya lama. Afia selalu begini—terus ke point, tak ada selindung. Dan kerana itu juga, Hana selalu sedar apa yang dia tak mahu akui.
"Kau tahu tak, kadang-kadang, kebahagiaan tu datang dalam bentuk yang kita tak jangka?" Afia menyambung lagi. "Tapi kalau kita terlalu sibuk mencari kepastian, kita akan kehilangan sesuatu yang sepatutnya kita hargai."
Di satu tempat lain, Luqman duduk di meja kafe sambil menatap skrin telefonnya. Nama Hana masih di situ, tapi kali ini, dia tak lagi tergoda untuk menghantar mesej.
"Kenapa muka kau macam orang hilang arah?" Suara Kazim tiba-tiba menyentaknya.
Luqman mendongak, terkejut melihat Kazim menarik kerusi dan duduk di hadapannya tanpa diundang. "Sejak bila kau ada kat sini?"
Kazim mengangkat bahu. "Dah lama. Aku perhati je kau dari tadi. Kau nampak macam tengah fikir benda berat."
Luqman tersenyum kecil. "Aku nampak serabut ke?"
Kazim menyilangkan tangan. "Jujurnya, ya. Dan aku agak aku tahu sebabnya."
Luqman menghela nafas. "Aku rasa… aku dah tak ada perasaan untuk Hana."
Kazim memandangnya lama sebelum bertanya, "Atau kau sebenarnya dah mula perasan perasaan kau pada orang lain?"
Luqman terdiam.
Kazim menyandarkan diri ke kerusi, menghirup kopinya perlahan. "Luqman, kau bukan lelaki yang suka menangisi masa lalu. Kalau kau masih fikirkan Hana, itu mungkin cuma tabiat. Tapi kalau kau dah mula rasa tenang... mungkin sebab hati kau dah mula terbuka untuk sesuatu yang lain."
Luqman menelan air liur. Kata-kata Kazim membuatkan dia berfikir. Dan entah kenapa, sejak kebelakangan ini, dia lebih banyak berbual dengan Afia berbanding dengan sesiapa pun.
Dia ketawa kecil, menggeleng. "Kau memang suka bagi orang mindblown, kan?"
Kazim tersenyum, kali ini lebih lembut. "Aku cuma suka tengok orang berhenti bodoh dengan perasaan sendiri."
Luqman ketawa kecil, tapi dalam hati... dia mula bertanya. Sejak bila Afia jadi seseorang yang aku tak kisah untuk sentiasa ada?
Malam itu, Hana termenung sebelum mengambil telefonnya. Tangannya bergetar sedikit, tapi akhirnya dia menaip satu mesej ringkas.
Hana: Assalamualaikum, Kazim. Awak sibuk? Saya nak tanya sesuatu.
Tidak lama selepas itu, skrin telefonnya menyala dengan balasan.
Kazim: Waalaikumsalam. Tak, awak tanya saja.
Hana menelan air liur, jari-jarinya menari di skrin.
Hana: Kalau saya takut dengan apa yang saya rasa, itu normal ke?
Hana menggigit bibir, menunggu. Dan akhirnya, jawapan Kazim muncul.
Kazim: Rasa takut tu biasa. Tapi kalau awak dah tahu apa yang awak rasa, jangan biarkan ia jadi penghalang. Kadang-kadang, kita perlu melangkah dulu sebelum kita tahu kita benar-benar berada di jalan yang betul.
Hana menatap mesej itu lama-lama. Kata-kata Kazim terasa menusuk ke dalam hatinya.
Dan kali ini, dia tahu dia tak boleh lari lagi.
"Kadang-kadang, kita tak perlu jawapan yang sempurna. Kita cuma perlu keberanian untuk memilih."
Share this novel