3

Romance Series 580

Hari yang dinanti — atau lebih tepat, hari yang mendebarkan itu akhirnya tiba juga. Sejak subuh lagi rumah umi sudah riuh rendah dengan suara saudara-mara yang datang membantu. Kuali bergesel, pinggan mangkuk berlagu, bau ayam masak merah berlegar di setiap sudut rumah kayu itu.

Azhara hanya duduk di bilik, memerhati cermin. Wajahnya ditatarias sepupu umi yang datang khas dari kampung sebelah. Bedak nipis, celak sedikit pada mata, dan gincu merah jambu yang langsung tak menyerlah. Itu pun sudah cukup buat Azhara rasa dia bukan dirinya lagi.

"Azhara, nanti selepas akad, kamu jangan takut nak senyum ya," pesan sepupunya sambil menyiapkan veil nipis yang menutup sebahagian rambut Azhara.

Azhara hanya mampu mengangguk. Jantungnya bagai mahu meletup. Dia genggam hujung kain baju nikahnya erat-erat, menahan resah yang tak mampu terucap.

Sementara itu, di ruang tamu, Adam duduk bersama imam, tok kadi, abah Azhara dan Encik Khalil. Dia bersongkok hitam, berkemeja putih polos dan sampin kelabu perak. Wajahnya tenang tapi matanya kosong. Dia langsung tidak menatap sekeliling. Hanya menunduk, seolah tak sabar mahu semua ini berakhir.

Puan Maimun pula sibuk mengatur hantaran. Dia mahu segalanya tampak sempurna di mata tetamu kampung.

"Adam, nanti sebut elok-elok. Jangan sampai dua kali pula," tegur Puan Maimun perlahan, mencubit lengan anaknya.

Adam hanya menghela nafas. "Insya-Allah," jawabnya pendek.

Saat ijab kabul dimulakan, suasana seketika sunyi. Semua pandangan terarah pada Adam. Imam memulakan lafaz, kemudian Adam menyambut.

"Aku terima nikahnya Azhara Imani binti Ahmad dengan mas kahwin seratus ringgit tunai."

Suara Adam kedengaran jelas, walau sedikit bergetar. Cukup sekali nafas, tiada sangkut. Namun hanya Allah yang tahu, hatinya bagaikan disiat. Ini bukan pilihan hatinya. Dia tidak pernah rancang mahu ikat hidupnya dengan seorang gadis kampung, yang kerja hanya membantu di warung kopi.

Tepukan kecil bergema, disusuli doa oleh imam. Usai doa, Puan Maimun tersenyum puas. Dia lekas bangun memeluk Azhara yang dibawa keluar bilik.

"Cantik sungguh menantu mama hari ini," ucap Puan Maimun, sengaja menekan kata "mama".

Azhara hanya tunduk, malu-malu. Dia mencium tangan wanita itu, lalu mencium tangan Encik Khalil pula. Adam sekadar berdiri, memerhati — dan bila Azhara mahu menghulur tangan, Adam hanya balas sambil lewa.

Petangnya, selepas semua tetamu sudah berangkat pulang, Azhara menukar pakaian kepada jubah labuh warna hijau pucuk pisang. Dia keluar ke dapur membantu umi dan makcik-makcik membasuh pinggan mangkuk. Namun dari jauh, dia sesekali menoleh, mencari kelibat Adam yang entah ke mana.

Di beranda depan, Adam duduk bersandar pada tiang, sibuk bermain telefon. Rokok terselit di jari, asapnya melingkar-lingkar naik ke langit. Azhara menelan air liur. Dia sedar suaminya itu kelihatan langsung tidak teruja menjadi pengantin baru. Hati Azhara terasa disiat perlahan-lahan, tapi dia cuba pendam.

Malam itu, selepas semua saudara mara pulang, hanya tinggal keluarga terdekat saja. Umi membawa masuk dulang berisi air panas dan ubat-ubatan tradisional.

"Azhara, malam ni kamu tidur saja dalam bilik kamu ya. Mama Adam kata nanti esok pagi suami kamu pulang ke KL."

Azhara angguk patuh. Dalam hatinya, ada rasa lega — sekurang-kurangnya malam ini dia tak perlu lalui apa-apa yang dia sendiri belum bersedia.

Adam hanya diam, duduk di hujung sofa. Dia langsung tak menyibuk dalam hal Azhara atau keluarganya. Pandangan dia kosong, jarang bertentang mata dengan sesiapa. Dalam kepala hanya ada satu dia mahu cepat balik ke kota, kembali ke dunia asalnya yang penuh bunyi muzik, asap rokok, dan gelas-gelas keras berisi minuman syaitan.

Keesokan paginya, sebelum pulang, Adam sempat bersalam dengan umi dan abah Azhara. Tapi tidak lebih dari itu. Tiada pelukan, tiada nasihat ayah mertua yang mesra. Semua terlalu kaku, terlalu cepat.

"Adam, kamu jaga Azhara ya. Dia tak pernah jauh dari kami," pesan abah, suaranya dalam tapi bergetar.

Adam sekadar angguk, "Insya-Allah."

Azhara pula hanya berdiri di sisi umi, matanya mula berkaca. Dia genggam erat tangan ibunya.

"Kamu sabar ya nak, umi selalu doakan kamu. Kalau rindu, telefon umi," ujar umi perlahan.

"Baik umi," jawab Azhara, suaranya tenggelam bersama tangis yang cuba dia tahan.

Perjalanan ke Kuala Lumpur senyap. Adam memandu kereta mewahnya laju, seolah mahu cepat tiba. Sepanjang jalan hanya bunyi deru enjin. Azhara duduk diam memeluk beg kecil, sesekali mengusap jari yang masih terasa dingin dek cincin pernikahan.

Sesampai di rumah banglo dua tingkat milik Adam, Azhara terpinga-pinga. Rumah itu besar, moden, cantik — tapi sunyi. Tiada sesiapa. Hanya bibik Indonesia yang membuka pintu sambil senyum nipis.

"Bibik, siapkan bilik tamu bawah. Itu bilik dia," arah Adam selamba.

Azhara terkedu. Matanya membuntang memandang Adam. "Bilik tamu? Adam... saya isteri kamu."

Adam mendengus, memandangnya sinis. "Ya, isteri atas kertas. Jangan nak lebih-lebih. Aku dah cukup baik tak campak kau balik kampung."

Azhara telan air liur. Dia hanya angguk, menahan air mata daripada tumpah. Bibik menuntunnya masuk bilik tamu — bilik sempit berkipas syiling, dengan katil single dan almari lama. Tiada katil empuk raja sehari, tiada langsir cantik seperti rumah pengantin lain.

Malamnya, Azhara berbaring di katil sempit itu, memandang siling. Dia tarik selimut menutup dada, menahan tubuh yang kesejukan. Air mata tumpah perlahan, membasahi bantal. Dalam diam dia berdoa.

"Ya Allah... kalau ini takdirku, kau kuatkanlah aku. Kalau suatu hari Adam akan sedar, lembutkan hatinya. Tapi kalau tidak... kau redhakanlah aku, biar hati ini tak lagi menanti sia-sia."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience