2

Romance Series 580

Rumah kayu sederhana itu kembali meriah. Hari ini hari yang ditetapkan keluarga Puan Maimun datang untuk majlis merisik dan terus meminang. Sejak pagi, Azhara sibuk membantu umi menyiapkan hidangan. Walau hatinya berdebar, dia paksa bibir tersenyum, tak mahu umi nampak gelisahnya.

"Zara, nanti kalau tetamu tanya, jawab elok-elok ya. Kamu jangan terlalu tunduk sangat, nanti orang kata kamu tak suka pula," pesan umi sambil membetulkan tudung Azhara.

Azhara angguk perlahan. "Baik umi."

Tak lama kemudian, deretan kereta mewah berhenti di halaman rumah. Debar dada Azhara makin menggila. Dari balik jendela, dia nampak Puan Maimun turun anggun berbaju kurung moden berwarna ungu lembut. Di belakangnya seorang lelaki muda berkemeja hitam, wajahnya redup tapi nampak acuh tak acuh — itu pasti Adam.

Dalam rumah, Azhara hanya duduk diam di sudut. Hatinya masih berat. Sesekali dia pandang Adam yang tampak lebih banyak menunduk, bermain dengan jam tangan di pergelangan. Hanya sesekali saja Adam menatap dia, itu pun sekilas.

"Alhamdulillah, niat kami ke sini hari ini nak meminang anak dara umi ni," kata Puan Maimun tenang. Suaranya tegas tapi penuh senyum, seolah sudah terbiasa memimpin majlis sebegini.

Umi angguk, balas dengan sopan, "Kalau itu sudah jadi hajat keluarga, kami pun terima dengan hati terbuka. Asalkan anak-anak redha."

Adam hanya menghela nafas. Dia seperti tidak benar-benar hadir dalam majlis itu, fikirannya entah ke mana. Bila diminta bersalaman dengan abah Azhara, dia hulur tangan tapi matanya tak langsung pandang wajah tua itu.

Abah Azhara menepuk perlahan tangan Adam. "Adam, selepas ini kamu jagalah anak kami baik-baik. Kalau ada salah silap dia, maafkan. Ajar dia perlahan-lahan."

Adam hanya mengangguk, hambar. "Insya-Allah, pakcik."

Di dapur, Azhara menahan gelisah. Dalam diam dia mencuri dengar setiap bicara. Hatinya cuba menerima. Ini pilihan keluarganya, juga jawapan istikharahnya. Kalau ini takdirnya, maka dia akan cuba jalani.

Tak lama selepas itu, dia dipanggil ke ruang tamu untuk sarung cincin tanda. Umi genggam erat tangan Azhara sebelum melepaskannya.

"Kamu kuat ya, nak. Apa pun jadi nanti, umi dan abah tetap ada."

Air mata Azhara hampir tumpah. Dia hanya mampu senyum, lalu menapak ke depan perlahan-lahan.

Tangan Puan Maimun yang dingin menyarungkan cincin di jari manisnya. Senyuman wanita itu manis, tapi entah kenapa Azhara rasa ia kosong, tak selembut senyum umi.

"Cantik benar kamu ni, Zara. Nanti lepas nikah, bolehlah ikut saya ke KL. Adam pun memang duduk sana," tutur Puan Maimun, suaranya seolah berbaur arahan.

Azhara hanya tunduk, mengulum rasa gusar. Adam pula masih sama — sekadar duduk membisu, tak nampak langsung teruja bakal bernikah.

Lewat petang, selepas rombongan keluarga Adam pulang, Azhara duduk di pangkin belakang rumah. Umi datang, duduk di sisinya.

"Umi nampak kamu diam saja dari tadi."

Azhara tarik nafas panjang. "Zara takut umi... takut nanti Adam tak dapat terima Zara seadanya."

Umi usap bahu anak gadisnya lembut. "Kalau dia belum mampu hargai kamu sekarang, doa umi satu saja — biar nanti Allah sendiri buka hatinya perlahan-lahan. Kamu sabar ya, nak."

Azhara angguk perlahan. Dalam hatinya, dia hanya mohon satu — semoga Allah pinjamkan dia kekuatan menghadapi hari-hari mendatang, walau tak pasti ada bahagia atau tidak di hujung jalan.
n m

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience