18

Romance Series 580

Rumah banglo dua tingkat itu riuh dengan suara tawa umi dan abah Azhara yang datang melawat. Sejak mereka menjejak kaki tengah hari tadi, dapur tidak sunyi. Bau gulai tempoyak ikan patin yang Azhara masak bersama umi memenuhi segenap ruang, bercampur bau wangi kopi kampung kegemaran Encik Ahmad.

Adam hanya duduk di meja makan, kerusi rodanya rapat ke meja. Dia diam, tapi cuba senyum bila abah Azhara buka cerita lama tentang Azhara masa kecil. Kadang-kadang Encik Ahmad tepuk bahu Adam sambil gelak, dan Puan Khadijah pula tak henti puji rumah besar yang bersih.

Hati Azhara rasa lapang tengok umi abah kelihatan seronok. Walau cuma seketika, suasana keluarga itu menutup luka yang bersarang dalam rumah ini sejak berbulan.

Waktu hampir Maghrib, umi dan abah Azhara duduk di ruang tamu. Puan Khadijah tarik tangan Azhara duduk sebelah dia, jari mereka bertaut erat.

"Zara tidur bilik atas dengan Adam kan?" soal umi perlahan, mata masih tenung kain langsir mewah.

Azhara telan air liur. Sekilas dia pandang Adam yang sedang pura-pura main telefon. "Ha... ha'ah umi, tidur sekali."

Puan Khadijah angguk puas. "Alhamdulillah. Umi lega. Tak baik dah kahwin, duduk asing-asing. Orang nanti cakap bukan-bukan."

Azhara hanya senyum tipis. Dia tipu. Tapi dia tak mahu umi risau, biarlah dosa kecil itu dia simpan sendiri.

Malam itu, selepas umi dan abah masuk tidur di bilik tetamu, Azhara bawa naik bantal peluk dia ke bilik Adam. Hati dia berat, tapi tak ada pilihan.

Adam sedang duduk sandar atas katil. Dia angkat kening tengok Azhara letak bantal peluk atas katil. "Kenapa bawa tu naik?"

Azhara tarik nafas. "Umi suruh... tak elok suami isteri tidur asing. Nanti umi abah fikir macam-macam."

Adam diam. Pandangan dia hanya ikut gerak Azhara bentang toto nipis hujung katil.

Pagi esoknya, selepas subuh, umi dan abah bersiap nak balik kampung. Peluk cium, doa panjang, pesan jangan tinggal solat — semuanya buat Azhara rasa sebak. Adam pun ditarik sama dalam pelukan Encik Ahmad, ditampar perlahan belakang bahunya.

"Jagalah Zara baik-baik ya nak. Itu amanah abah."

Adam hanya angguk, pandang Azhara sekejap sebelum tunduk semula.

Petang selepas keluarga Azhara pulang, Azhara duduk dalam bilik Adam kemas barang dia. Dia susun lipat baju masuk bakul, nak pindah semula ke bilik bawah yang dia dah selesa sejak mula.

Tiba-tiba Adam bersuara dari katil, nada dia datar tapi tajam. "Kau nak pindah bilik mana tu?"

Azhara berhenti, pegang baju di tangan. "Saya nak turun semula bilik bawah. Dekat dengan dapur, senang nak ambil air."

Adam jungkit kening, wajah dia keras. "Tak payah."

Azhara keliru. "Kenapa pula?"

"Tidur saja sini. Senang aku nak panggil kalau perlukan apa-apa."

Dia tahu itu hanya alasan. Azhara pandang Adam lama, cuba baca mata lelaki itu yang tiba-tiba tak mampu renung dia balik. Akhirnya dia angguk perlahan, letak semula bakul baju tepi almari.

Sejak hari itu, Azhara tak turun semula ke bilik bawah. Dia tidur atas katil yang sama dengan Adam, meski awalnya dia hanya bentang toto di tepi. Lama-lama, Adam mula suruh dia naik sama atas tilam, katanya "sempit nak capai air kalau kau jauh."

Tapi Azhara tahu — itu hanya cara Adam untuk pastikan dia tak jauh lagi. Adam mungkin tak lafazkan rasa, tapi Azhara rasa genggaman tangan Adam waktu lena, bagaimana lelaki itu akan rapat bila malam makin gelap.

Dan dia tahu — sejak itu, dia bukan hanya isteri di atas kertas. Dia dah mula jadi bahagian rumah itu yang Adam tak sanggup hilang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience