Azhara berdiri tepi pagar sambil pandang ke jalan besar. Tangan dia sibuk betulkan hujung tudung, cuba tutup riak gelisah. Dari tadi dia ulang buka aplikasi Grab, takut pemandu batalkan.
Adam duduk di kerusi roda tak jauh dari situ, wajah masam. "Lama lagi ke? Aku tak pernah naik Grab ni. Lepas ni jangan buat kerja bodoh tempah Grab lagi, Memalukan."
Azhara tunduk. "Saya minta maaf. Tapi awak kan tak ada orang bawa. Kalau awak nak tunggu driver Encik Farhan minggu depan, lambat pula fisioterapi tu. Nanti kaki makin keras."
Adam diam, tapi wajah dia jelas tak puas hati. Tangan dia genggam palang kerusi roda kuat-kuat.
Tak lama kemudian sebuah Axia putih berhenti depan rumah. Pemandu turunkan cermin, senyum sopan. "Puan Azhara ya? Boleh tolong angkat ke encik ni?"
Azhara cepat angguk, tolong buka pintu belakang. Dia tarik nafas, kemudian tunduk pegang lengan Adam perlahan. "adam, boleh berdiri sikit... saya tolong."
Adam hempas nafas. "Cepatlah, aku panas. Kenapa pilih kereta murah sangat ni? Tak ada ke booking kereta besar sikit, biar senang naik."
Azhara telan liur. Dia hanya mampu pandang tanah sambil bantu Adam perlahan bangun. Lutut Adam lemah, terketar. Tangan dia terpaksa paut bahu Azhara kuat-kuat, sampai Azhara rasa senak dada.
"Adam, sabar ya. Perlahan-lahan."
Bila dah duduk dalam kereta, Adam buka butang lengan kemeja, lap peluh di dahi. "Busuk kereta ni. kau tak reti nak tapis ke pemandu macam mana kau tempah ni? Entah-entah dia bawa orang gila sebelum ni."
Azhara tak balas. Dia cuma angkat kerusi roda, lipat letak dalam bonet dengan bantuan pemandu. Dalam hati dia cuma ulang doa. "Ya Allah, berikanlah aku kesabaran."
Dalam kereta, Azhara duduk depan, Adam di belakang. Dia pandang luar tingkap, cuba tahan sebak. Sesekali dia betulkan mask Adam, takut terherot.
Pemandu Grab tu peramah, tanya Adam kerja apa, rumah kat mana. Adam langsung tak layan. Dia pandang luar sambil jeling-jeling Azhara.
"Bising pula dia ni. Tak reti diam." bisik Adam, cukup kuat Azhara dengar.
Azhara tarik nafas panjang. Dia senyum kecil pada pemandu. "Maaf ya bang, suami saya letih sikit."
Adam ketap rahang, tapi tak cakap apa. Dia hanya main jari, gerak-gerak sendi tangan yang makin cengkung sejak dia jatuh sakit.
Sampai pusat fisio, Azhara tolak kerusi roda Adam perlahan masuk bangunan. Bau antiseptik memenuhi ruang legar. Sejuk pendingin hawa terasa sampai ke tulang.
Adam merungut lagi. "Lambatnya. Dah cakap dengan dia aku ni orang penting, tak boleh ke letak appointment awal? Menyusahkan."
Azhara tunduk sikit, suara dia perlahan. "Tuan kan CEO besar, klinik kecil macam ni mana tahu. Saya boleh minta nurse cepatkan sikit."
Adam gelak sinis. "CEO? Dengan rupa saya macam ni? Orang luar tengok pun kesian. Awak bangga ke bawa saya keluar macam badut lumpuh ni?"
Azhara pegang pemegang kerusi roda kuat-kuat. Dia rasa nak peluk Adam, nak bagi tahu semua akan okay. Tapi dia tahu Adam tak suka disentuh bukan sekarang, bukan dalam keadaan dia rasa rendah diri macam tu.
⸻
Masa terapi, fisioterapis ajar Adam buat senaman lutut. Adam mengeluh, muncung panjang. "Sakitlah. Kau suruh orang lumpuh buat kerja orang sihat. Gila?"
Fisio tu pandang Azhara, macam minta sokongan. Azhara cepat-cepat senyum, pegang lengan Adam. "Awak cuba dulu ya. Sikit-sikit lama-lama kuat. Kalau tak gerak, makin keras."
Adam pandang dia dengan mata merah. Entah marah, entah sedih. Tapi dia angkat juga kaki sikit, sampai berkerut dahi menahan sakit.
Bila selesai, Azhara lap peluh di tengkuk Adam. Tangan dia lembut. Adam tak tolak, cuma dia paling muka ke sisi. Azhara tak cakap apa, dia faham — lelaki tu malu, ego dia besar. Luka paling dalam bukan pada kaki yang lumpuh, tapi pada harga diri dia.
⸻
Semasa mahu pulang ke rumah agam, Grab tak sampai lagi. Azhara duduk tepi Adam, sama-sama tunggu dekat bangku luar klinik. Angin petang lalu sepoi-sepoi. Azhara diam lama, pandang pokok bunga kertas merah.
"Adam..." suara dia perlahan. "Kalau awak nak, saya boleh cuba minta hospital besar. Kat sana ada terapi mesin, mungkin cepat baik."
Adam jeling dia. "Kau diamlah. Banyak cakap pun bukan boleh buat kaki aku gerak."
Azhara hanya tunduk. Dia tahu, Adam sakit. Dia faham sangat. Tapi hati dia tetap terluka. Luka yang dia balut sendiri tiap hari, takut berdarah terlalu banyak sampai dia tak mampu bangun lagi.
Sampai rumah, Adam duduk termenung dalam kerusi roda. Azhara letak beg plastik ubat atas meja, dia nak ke dapur siapkan makan malam.
"Zhara."
Langkah Azhara terhenti. Jarang Adam panggil nama dia macam tu, tak ada 'kau', tak ada herdik.
Azhara pusing perlahan. "kenapa?"
Adam pegang roda kerusi dia erat. Mata dia nampak letih, jauh benar. "Lain kali... jangan paksa aku naik Grab. aku rasa... hina."
Azhara telan air liur, rasa pedih dalam dada. "Saya janji."
Dia masuk ke dapur cepat-cepat. Tak sanggup kalau air mata dia jatuh depan Adam. Dalam hati dia ulang sabar. Hari ni mungkin dia kena hina lagi. Esok siapa tahu, mungkin Adam akan sedar sedikit. Mungkin.
Share this novel