28

Romance Series 580

Petang itu redup. Angin kampung lembut saja membelai kulit, bau tanah lepas hujan masih melekat. Rumah papan umi abah Azhara sunyi tak macam selalu. Azhara duduk di anak tangga, tengok hujung kaki. Baju kurung dia warna biru kelabu, lusuh tapi masih wangi sebab umi dia rajin masukkan bunga cempaka dalam almari.

Dari jauh, deru enjin kereta buat dia terus kaku. Dia tahu sangat siapa yang datang. Kereta Adam, warna hitam berkilat yang nampak janggal berhenti depan rumah kayu tua tu.

Adam turun perlahan.  mata dia tetap pandang tegak ke arah Azhara. Dalam diam, dia telan air liur, cuba tahan gelora dada.

Umi Azhara yang tadi sibuk menyapu halaman, berhenti. Dia pandang Adam dengan redup, ada kecewa, tapi masih hormat. "Masuklah Adam..."

Adam angguk kecil. Dia naik tangga rumah, berdiri depan Azhara yang masih tunduk, tak sanggup angkat muka.

Dalam rumah, umi abah Azhara duduk sama. Adam duduk bersila atas tikar mengkuang, letak tongkat tepi. Dia pandang Azhara lama. Dada dia rasa sempit, tapi dia dah nekad.

"Azhara..." suara Adam serak, macam tercekik batu. "Saya datang ni... nak selesaikan semua. Saya... saya tak nak seksa awak lama-lama."

Azhara pegang hujung kain dia kuat-kuat. Dia rasa nak marah, tapi dalam masa sama dah terlalu letih untuk membenci. "Apa maksud kau?"

Adam pejam mata sekejap. Dia hembus nafas dalam. "Dekat sini... depan umi dengan abah awak. Saya... saya ceraikan awak dengan talak satu, saya dah taknak gantung awak tidak bertali."

Umi Azhara terus kesat mata. Abahnya tunduk, genggam tangan sendiri. Azhara ternganga, tapi air mata dia cepat turun, laju menitis atas kain. Dia rasa dada dia pecah walau selama ni dia kata dah tak kisah, rupanya dia masih hancur.

"Kenapa... baru sekarang?" suara Azhara tenggelam, penuh sendu.

Adam angkat muka, matanya merah. "Sebab saya sayang awak, Zahra. Saya terlalu sayang sampai saya takut kalau saya terus pegang awak, awak makin mati."

Dia kalih pada umi abah Azhara, tunduk hormat. "Maafkan saya... saya tak mampu jadi suami yang baik pada anak umi abah."

Abah Azhara hanya angguk perlahan. Umi Azhara peluk bahu anak perempuannya yang dah teresak. Adam pandang Azhara buat kali terakhir pandangan yang dia cuba ukir seikhlas mungkin.

"Jaga diri awak, Zahra. Saya akan doakan awak... sampai bila-bila."

Dia bangun perlahan. Masa dia melangkah turun anak tangga rumah kayu tu, Azhara cuma mampu tengok belakang dia yang makin jauh. Dalam hati dia teriak, "Adam... kenapa baru sekarang kau letak aku pergi?"

Tapi lidahnya kelu. Air mata dia dah cukup jadi jawapan.

**

Selepas itu, rumah kampung tu kembali dengan bunyi cengkerik dan daun kelapa bergesek. Cuma dalam hati Azhara masih ada ruang kosong, kosong sangat. Tapi dia tahu satu hal dia takkan lagi hidup dalam luka yang sama. Allah dah bagi dia lepas, biarpun dengan cara paling sakit.

Adam? Dia balik Kuala Lumpur, tapi tiap malam masih bangun tahajud, doakan Azhara perempuan yang dulu dia punya, tapi dia sendiri tak pandai jaga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience