Adam membuka mata perlahan. Siling putih menyambut pandangannya. Bau ubat menusuk hidung, bunyi mesin memantau degup jantung berdetik perlahan di sisi katil. Ada rasa berat di kepala, seolah tempurungnya baru diketuk tukul besi.
Dia cuba gerak tangan, terasa lemah. Adam telan liur, rasa tak selesa dengan wayar berselirat pada lengan.
"Adam..." suara perlahan itu buat dada Adam berombak. Dia paling kepala, nampak Azhara duduk di kerusi sebelah katil, wajahnya pucat, mata sembap merah.
Adam alih pandang. Dia tak mahu lihat wajah perempuan itu. Luka dalam hati dia tak habis, walau sekarang dia terlantar. Egonya masih menjerit, membentak agar jangan tunjuk lemah. Dia tak nak nampak dia perlukan siapa-siapa — apatah lagi Azhara.
"Dah puas kau drama? Tunggu aku mati?" Suara Adam serak, tapi tajam. Mata dia tak pandang Azhara pun.
Azhara telan liur, bibir dia terketar. Dia genggam tangan sendiri atas riba, cuba tahan hati yang bagai dilapah sekali lagi.
"Jangan cakap macam tu. Saya..." Nafas dia pecah. "Saya risaukan awak"
Adam cebik. "Risau? Lepas kau boleh gelak makan minum dengan lelaki lain kat luar sana? Kau ingat aku tak nampak masa kat mall tu, hah?"
Azhara tunduk. Dia tak sangka walau sakit begini, Adam masih keluarkan racun sama.
"Itu semua salah faham, Muiz tu cuma—"
Adam terus ketap rahang, mata dia beralih ke luar tingkap. Cahaya matahari petang menembus langsir hospital, memantul pada wajah pucat dia. Ada riak sayu sekejap, tapi cepat dia tepis jauh-jauh.
"Tak payah cerita lagi. Kau boleh keluar sekarang. Aku penat nak tengok muka kau."
Azhara diam lama. Perih rasa hati dia. Tapi dia bangun juga, tarik nafas dalam-dalam sebelum tunduk, genggam jari Adam perlahan. Lelaki itu kaku, tak balas genggaman dia.
"Abang rehatlah ya. Kalau abang nak apa-apa, panggil saya."
Dia lepaskan tangan Adam, bergerak keluar. Bahunya melorot, langkahnya perlahan. Adam diam memandang kosong ke siling, tapi dada dia rasa sesak. Ada sesuatu tertarik dalam hati bila jari Azhara genggam dia tadi, rasa hangat tu masih tinggal. Tapi dia tak mahu mengaku.
Dia pejam mata rapat-rapat, cuba paksa diri tidur. Dalam gelap itu, muncul bayang Azhara. Mata dia, senyum dia yang pernah cuba buat Adam rasa rumah.
"Bodoh... kenapa kau kena buat aku rasa macam ni" bisiknya pada diri sendiri. Satu sudut hatinya berdarah lagi, entah sebab sakit luka kemalangan... atau sebab dia sedar dia sendiri yang paling banyak salah.
Share this novel