Bunyi loceng angin di pintu dapur berdenting perlahan setiap kali angin petang menyusup masuk. Rumah besar dua tingkat itu sepi tapi damai, tidak lagi menakutkan seperti dulu pada pandangan Azhara. Dia berjalan perlahan di belakang Adam, memerhati langkah suaminya yang berat.
Hari ini sudah genap enam bulan Adam menjalani terapi pemulihan. Namun kini, Adam dan Azhara tidak lagi ke pusat fisioterapi seperti sebelumnya. Adam enggan menaiki Grab, jadi mahu atau tidak, dia terpaksa meminta staf fisioterapi datang ke rumahnya dua kali seminggu, tapi selebihnya Azhara yang ambil alih tugas urut kaki, latih dia bangun, suruh dia cuba berjalan dari ruang tamu ke dapur, dari dapur ke hall. Kadang-kadang Adam marah juga, tapi sejak akhir-akhir ni, dia banyak diam. Penat mungkin. Atau... ego dia sedikit demi sedikit runtuh.
"Pegang sini," Azhara rapat ke sisi Adam, letakkan tangan lelaki itu pada bahunya. "Pelan-pelan je. Kita jalan sampai hujung hall sana."
Adam tak bersuara. Dia cuma mengangguk. Hidungnya sedikit merah, mungkin sebab tahan sakit. Dia genggam bahu Azhara kuat.
Langkah pertama buat lutut dia hampir terlipat. Azhara cepat-cepat paut pinggang Adam, tahan dia daripada jatuh.
"Tak apa... cuba lagi." Suara Azhara lembut, menenangkan. Dia pandang wajah Adam, nampak jelas keringat kecil mula muncul di dahi lelaki itu.
Dua... tiga langkah. Adam berhenti. Nafas dia tercungap, dada turun naik cepat. Dia pejam mata sekejap.
"Awak okay?"
Adam tak jawab terus. Lama dia telan liur, baru tarik senyum nipis senyum yang nampak dibuat-buat. "Terus je lah. Aku tak nak berhenti."
Mereka ulang langkah sama berkali-kali. Dari hall sampai dapur, dari dapur patah balik ke sofa ruang tamu. Bibik ada di sudut, tengah lipat kain. Bibik perhati senyap-senyap, sesekali angkat kepala senyum pada Azhara. Hati tua itu tahu, betapa sabarnya menantu keluarga itu. Kalau perempuan lain, belum tentu sanggup.
"Cik Azhara ni sabar betul jaga Tuan Adam," bibik tegur bila Adam dah duduk semula di sofa. Suara bibik rendah, takut Adam dengar.
Azhara hanya balas dengan senyuman hambar. Dalam hatinya, dia sendiri tak pasti sabar dia ni sebab cinta, atau sebab tanggungjawab. Mungkin keduanya.
Lewat petang, Adam terduduk di kerusi bar tinggi dekat meja dapur. Ini kali pertama dia duduk situ sejak lumpuh. Azhara di depannya, potong bawang, siang sayur kangkung.
Adam pandang saja gerak tangan Azhara, bau bawang naik sampai ke hidung. Entah kenapa, dada dia rasa pelik. Dulu dia benci bau dapur. Benci tengok Azhara sibuk basuh pinggan, basuh beras, macam perempuan kampung tipikal. Tapi sekarang... dia rasa lapang.
"kau nak aku tolong tak?" Adam tiba-tiba bersuara.
Azhara terkejut sikit. Pisau hampir terlepas. "Hah? Tolong apa?"
Adam pandang bawang. Dia lambai sikit tangan kiri dia yang dah mula kuat. "Bagi aku bawang tu. aku nak try potong."
Mata Azhara terbuka bulat. "Serius lah awak?"
Adam jeling. "Aku lumpuh, bukan bodoh."
Azhara tergelak kecil. Dia serah bawang, ajar Adam pegang pisau. Jari Adam nampak kekok. Potongan bawang dia senget-benget, kadang terlalu tebal. Tapi Azhara tak komen, dia cuma senyum.
"Cantik lah tu," puji Azhara dengan nada main-main.
Adam pandang dia, mata dia lembut. "kau tak perlu bohong. Aku tahu buruk."
Azhara gelak lagi. Dia ketuk bahu Adam sikit dengan belakang tangan. "Takpe lah. Yang penting awak cuba."
Adam diam. Tapi dalam hati dia rasa ada sesuatu cair. Dia suka dengar Azhara gelak. Suara dia... macam bunyi air sungai dekat kampung, tenang.
⸻
Malam tu, Adam tak boleh tidur. Dia berbaring mengiring di katil besar bilik utama, pandang kosong siling. Sejak dia balik rumah, Azhara masih tidur di bilik bawah asalnya bilik pembantu, tapi dah lama diubah jadi bilik tetamu.
Tiba-tiba telinga dia tangkap bunyi halus. Ada suara orang membaca Quran. Perlahan, terputus-putus, macam orang baru belajar. Adam kenal suara tu. Dia bangun duduk, biar kaki dia menjuntai di tepi katil. Degupan jantung dia laju.
Dia berdiri. Perlahan, tahan sakit, dia jalan keluar bilik. Pegang dinding sepanjang koridor. Dia sampai depan bilik Azhara. Pintu tak rapat, dia tolak sikit.
Nampak Azhara duduk bersila atas sejadah. Telekung putih dia jatuh menutup seluruh tubuh, Al-Quran atas rehal kecil. Suara dia terus berlagu perlahan.
Adam telan air liur. Dia tak tahu kenapa dia rasa macam nak nangis tiba-tiba. Dia sandar kepala pada dinding. Hati dia sakit. Sakit sebab dia terlalu lama jadi lelaki bangsat — mabuk, hina isteri sendiri, caci dia miskin, kata dia jalang. Sekarang baru dia sedar.
Perlahan, dia buka mulut, tak sedar air mata turun.
"Azhara..."
Azhara terhenti baca. Dia paling. Mata dia besar nampak Adam di muka pintu. "Awak... kenapa keluar bilik? Sakit lagi ke?"
Adam geleng. Dia tak mampu jawab. Azhara cepat bangun, datang pegang tangan dia. Tarik perlahan, bawa Adam duduk atas katil single bilik tu.
"Awak sejuk ya? Saya ambilkan sweater—"
"Tak payah." Adam genggam tangan Azhara. Mata dia merah. "Boleh Aku duduk sini je? Dengar kau baca?"
Azhara terdiam. Air mata dia bergenang. Dia angguk. "Bacaan saya tak sedap... nanti awak bosan."
"Tak. aku nak dengar." Adam tunduk, letak dahi pada bahu Azhara. "Sebab hati aku tak tenang. Bila kau baca, rasa lega."
Dan malam tu, Azhara teruskan baca. Kali ni perlahan saja, biar Adam boleh sandar pada dia. Adam tak banyak gerak, dia cuma genggam jari Azhara erat, macam takut kalau dia lepas, perempuan tu hilang selamanya.
Share this novel