09

Romance Series 1061

09 - TaMin

Amina bersandar pada kerusi pejabatnya. Fikirannya menerawang jauh, mengingatkan orang yang sudah pergi jauh.

Arlisa dan Arasyah...

Kedua-dua mereka merupakan 'rumah' untuknya. Namun, apalah sangat perkataan rumah tersebut jika rumahnya telah pergi?

Okey, tidak.

Maryam Arlisa merupakan adik kandungnya, manakala Arasyah merupakan rakan baik kepada Arlisa. Dan kedua-duanya amat baik dengan Amina.

Kejadian yang terjadi di hadapan matanya kembali mengimbau di benak fikirannya. Peristiwa yang merubah segalanya.

Selepas tragedi hitam itu berlaku, perbualannya dengan Arasyah terimbas kembali di ingatan.

.
. .

Amina terhenjut-henjut menangis di taman hospital. Dia habiskan masa di sini hampir dua jam, sebaik sahaja mendengar khabar berita tentang kematian Arlisa yang disebabkan penyakit yang memamahnya.

"Kak Min." Perlahan, Arasyah labuhkan punggungnya di sebelah Amina. Dia nampak tadi, bagaimana Amina dimarahi ibu dan ayah hanya kerana Amina meninggalkan Arlisa sekejap sahaja untuk ke bilik air. Apabila Amina kembali dari tandas, Arlisa sudah tiada. Perkara sekecil itu sahaja Amina dimarahi.

"Arasyah." Amina menyebut nama tersebut. Dia hapuskan sisa air matanya. Dia hembus nafas berat tatkala perasan akan Arasyah yang ingin 'membujuknya'

"Arlisa ada cerita tentang kak Min. Dia cakap, dia sayangkan kak Min. Walaupun kak Min 'keras' dan macam tak sukakan Arlisa.

Arasyah tahu, dan Arasyah faham apa yang ada di hati kak Min. Arlisa pun faham. Kak Min tak salah. Arasyah faham latar belakang keluarga kak Min. Arlisa pun faham. Kalau Arasyah ada di tempat kak Min pun, mungkin Arasyah akan buat benda yang sama. We're still a teens, and craving love from our parents supposedly."

Amina berpaling ke arah lelaki tersebut. Tiada kata-kata yang mampu dilafazkan. Lidahnya kelu.

"I don't know how to give you any words to make you ease or feeling better."

Amina angkat kepala. Dia tidak ingin berlama-lama untuk berbual dengan Arasyah. Dia bimbang- bimbang dia akan hamburkan tangisnya kepada Arasyah pula. "Arasyah pula macam mana?"

Arasyah tersenyum kelat. "Arasyah okey je. Arasyah dengan Arlisa kan cuma kawan."

Begitulah kebenarannya. Arlisa diterima baik di dalam keluarga Arasyah, bahkan keluarga lelaki tersebut melayaninya seperti anak kandung sendiri.

"Terima kasih Arasyah. Min gagal jadi kakak yang baik kepada Arlisa. Arlisa bernasib baik dipertemukan Arasyah sekeluarga."

"Tidak. Sebaliknya, Arlisa yang berikan kekuatan untuk kami. Arlisa tu kuat kan, kak Min? Walaupun dia lebih sakit daripada Arasyah, dia lebih kuat berbanding Arasyah."

Amina senyum. Kedua-dua mereka diuji dengan penyakit yang sama. Dan, Hospital Tun Jaafar menjadi titik pertemuan segalanya.

Taqi mendekati mereka berdua. "Arasyah?" Suara dinginnya memanggil Arasyah.

Arasyah angkat kepala. "Angah..."

Taqi memberi isyarat mata ke pada adiknya. Membuatkan Arasyah meminta diri, "kak Min. Abang ngah nak cakap dengan kak Min. Arasyah pergi dahulu."

Amina angguk kepala. Dia kerling ke arah Arasyah yang telahpun bangun daripada duduknya, malah tempat kosong yang ada di sebelahnya terisi dengan kehadiran Taqi.

"Awina mana?" Taqi memulakan perbualan dengan menanyakan keberadaan Awina.

"Belum sampai." Jawab Amina. Dia kerling ke arah Taqi yang tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tidak menunjukkan perasaan sedih, tidak juga menunjukkan riak bahagia, tidak juga marah. Hanya, biasa.

"Sedih?" Taqi menyoal.

"Kau tak pernah rasa kehilangan ke?" Amina menyoal. "Kenapa ibu dan ayah aku salahkan aku atas kematian Arlisa? Bukannya aku cabut nyawa dia pun. Kalau aku boleh cabut nyawa orang, dah lama aku cabut nyawa dorang."

"Kau memang nak diorang mati ke?" Soalan daripada Taqi membuatkan Amina tersentak.

"Kalau mati, boleh putarkan masa untuk adakan Arlisa balik?" Amina mengelap sisa air matanya yang mulai kering. Dia menyampah dengan kehidupannya sekarang ini. Ibu ayah dia... Hanya sayangkan Arlisa, manakala dia dan Awina dipinggirkan!

Taqi mengengsot, mendekati Amina. "Ikat rambut kau, dah macam hantu kak limah." Dia menyuakan getah rambut yang berwarna biru cair kepada Amina.

Amina melihat kelakuan Taqi dengan pandangan kosong. "Arlisa dah tiada, maksudnya aku pun dah tiada sesiapa dalam rumah itu." Kosong, dingin dan tawar mulutnya menuturkan kata-kata tersebut.

"Kau masih ada Awina?"

Amina ambil huluran getah rambut tersebut di tangan Taqi, menyebabkan tangan mereka bersentuhan buat seketika. "Sejuknya tangan kau."

Taqi senyum kelat. Sembunyikan resah pada rawan. "Pergi lah dekat ibu ayah kau. Aku datang ambilkan Arasyah je ni."

.
. .

Dia kembali ke realiti. Dia teringat akan Taqi pula. Kenapa Taqi yang dulu dan Taqi yang sekarang amat berbeza?

Dahulu, Taqi dan dia boleh dikatakan kamceng. Sampailah Taqi pergi sambung belajar di negara matahari terbit. Sampai sekarang, hubungan mereka tidak seperti dahulu. Dan mungkin, setelah pernikahan yang tidak jadi antara dia dengan Awina memacu ketidakakraban antara dia dan Taqi.

Bukan sahaja Taqi yang berubah. Malah, Amina juga. Lagi-lagi setelah kematian Arasyah, Amina mengasingkan diri dan menjadi pendiam.

Seketika, dia teringat akan kejadian lain pula yang berlaku.

.
. .

"Kak Min!" Dari seberang jalan, Arasyah lambaikan tangannya terhadap Amina.

Amina sedari tadi mencari kelibat Arasyah, mula perasan akan kehadiran Arasyah yang berada di tengah-tengah keramaian. Dia sedang lambaikan tangannya di udara. Dia senyum tatkala nampak kelibat Arasyah.

Di sisi jalan yang lain, kelihatan seorang wanita yang sarat mengandung sedang berjalan perlahan, di hadapannya terdapat kanak-kanak kecil yang mungkin berumur dalam lingkungan dua atau tiga tahun. Anak kecil tersebut ketawa riang sambil mengayuh basikal roda tiga itu.

"Perlahan sikit, sayang." Si ibu berkata dengan lembut. Sebaik sahaja anak perempuannya itu mengayuh dengan sedikit laju ke hadapan.

Namun, sebelum dia sempat mengatakan selebihnya, bunyi jeritan tayar bergesel dengan jalan raya. Bunyinya bingit nian. Kereta berjenama luar negara itu meluru laju dan secara tidak terkawal menuju ke arah anak kecil tersebut.

Arasyah yang dapat membaca perkara yang bakal terjadi tersebut, melajukan langkahnya ke arah kanak-kanak tersebut. Dia memecut laju, menolak batas kemampuannya tatkala kereta tersebut hampir sahaja melanggar anak kecil tersebut. Anak itu kaku di tempatnya, masih menggenggam hendal basikal.

Tepat pada masanya, Arasyah cengkam tubuh kecil tersebut lalu menolaknya jauh dari bahaya hingga membuatkan tubuh anak kecil tersebut terpelanting ke sisi jalan.

Namun, niat baiknya itu memakan dirinya sendiri.

Dentuman kuat bergema.

Kereta itu menghentam tubuh Arasyah. Tubuhnya melayang ke udara, sebelum terhempas ke atas jalan dengan hentakan yang cukup kuat.

Kereta itu akhirnya berhenti beberapa meter di hadapan, pemandu lelaki berbangsa India terhuyung-hayang keluar daripada tempat pemandu. Dia menekup mulutnya bagai tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

Senyap.

Orang-orang yang ada di sini, masih memproses apa yang telah berlaku. Semuanya berlaku dengan begitu cepat.

Amina, tanpa berfikir panjang membuka langkahnya mendekati ke arah Arasyah yang sudah terbaring.

"ARASYAH!" Jeritan tersebut memenuhi udara.

Sebaik sahaja sampai di tempat Arasyah, dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dia duduk melutut di sisi Arasyah. "Arasyah, Astaghfirullah Arasyah." Terketar-ketar tangannya meletakkan kepala Arasyah atas ribanya.

"ALLAH, ALLAH, ALLAH."

Arasyah terbatuk lemah. Darah mengalir dari hidungnya. Nafasnya tidak terurus, menandakan waktunya hampir tiba.

"Ya Allah, Arasyah. Tolonglah jangan pergi lagi." Air mata mengalir deras di pipi gadis itu.

"Mereka selamat kan?" Perlahan-lahan Arasyah menyoal.

"Ya Arasyah, mereka semua selamat." Amina mengusap dahi Arasyah lagak seorang kakak yang kasih terhadap adiknya.

"Good. That's the most important."

"Aku dah hilang Arlisa, adik aku, aku dah tak nak hilang adik aku buat kali kedua, Arasyah."

Arasyah senyum. "Bagitahu umi, babah, along, angah, abang Thariq, bonda dan semua. Arasyah sayang mereka sangat-sangat." Suaranya hampir hilang. Dengan kudrat yang tersisa, dia angkat tangan yang lemah, menyentuh pipi Amina yang basah dengan air mata. "Arasyah sayang kakak." Bisiknya lagi.

Dan, kemudiannya tangannya terkulai layu. Nafasnya mulai tidak teratur.

"ALLAH ALLAH ALLAH."

"ALLAH ALLAH ALLAH."

Dan suasana kembali sunyi. Dan, sunyinya kali ini membawa kehilangan yang tidak mungkin akan berganti. Buat kali kedua, Amina hilang 'rumahnya' lagi.

Saat akhir, Arasyah sempat menyelamatkan nyawa seorang anak. Dengan menjadikan nyawanya sebagai imbalan.

.
. .

Cecair jernih mengalir, membasahi pipi Amina. Sekarang, kedua-dua 'orang rumah' Amina telah pergi. Arlisa pergi setahun lebih awal dan dituruti dengan Arasyah. Dan tahun ini, genap tujuh tahun Arlisa pergi. Kepergian mereka berdua menambahkan luka pada rawan. Sampai saat ini, kedua-dua mereka masih ada di benak fikirannya.

Akhir-akhir ini, semuanya menjadi tidak masuk akal. Semua perkara yang telah berlaku di dalam kehidupannya seakan-akan menghantui dirinya kembali. Dia sudah pasrah dengan takdir Tuhan, dengan beranggapan perkara baik akan kunjung tiba. Tapi, entahlah... Perkara baik seakan menjauhinya sekarang ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience