AMINA HUSNA menghantar kepergian Qayyum dengan ekor mata sahaja. Dia hembus nafas yang berat. Akhir-akhir ini, dia tidak mampu untuk bertenang seperti biasa. Dia berasa mudah untuk marah, dan individu yang dia lepaskan marahnya adalah Qayyum. Kasihan sekali insan yang tidak bersalah itu, sudahlah kelahirannya di dunia ini tidak diterima orang.
Dia genggam stereng kereta kuat. "Tenang Min, tenang. Nanti kacau." Dia melakukan teknik deep breathing. Apabila semuanya kembali seperti biasa, barulah dia bergerak menuju ke suatu tempat yang terletak tidak jauh daripada pusat asuhan Qayyum.
Sampai sahaja ke destinasi, dia ambil masa untuk menatal skrin telefonnya buat seketika. Mesej daripada Puan Hasmiza, merangkap ibu mertuanya dibaca.
- Assalamualaikum Min.
Umi whatsapp Min ni hendak bagitahu yang ibu ada buat doa selamat sedikit bersempena Naqiuddin dapat kerja dekat sini. Malam esok, datang awal tau dengan Qayyum.
Bermalam dekat sini pun apa salahnya.
Amina menekan papan kekunci telefonnya, membalas mesej yang telah dihantar oleh ibu mertuanya.
Walaupun layanan yang diberikan suaminya teruk, namun dia masih bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang baik. Yang masih menerimanya di rumah tersebut dengan suam hangat penuh kasih sayang.
Dia letakkan telefon pintarnya ke dalam beg tangannya. Lalu, dia matikan enjin keretanya. Bersedia untuk keluar daripada perut kereta. Baru sahaja keluar dari perut keretanya, dia disapa oleh Imran, salah seorang pemegang syer di Teratak Bahagia Kita.
"Uittt, Min." Senyuman lebar diberikan kepada Amina.
Amina membalas senyumannya. "Mana kak Intan?" Dia perhatikan jika ada seorang wanita yang mengekori Imran, tetapi tiada.
"Intan tak datang hari ni, penat katanya. Morning sickness," Imran memperlahankan nada suaranya di ayat yang terakhir.
Amina mengambil masa untuk memproses apa yang dikatakan Imran tadi. Dan, sekarang barulah dia faham bahawa Intan, yang merupakan isteri Imran sedang berbadan dua. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi. Abang Imran dan isteri diuji pada tahun lepas dengan keguguran kandungan isterinya, sekarang Tuhan telah mengurniakan mereka malaikat kecil yang kedua. "Alhamdulillah, tahniah abang Im dan isteri."
"Terima kasih, Min. Okeylah, abang nak naik atas dahulu. Ada mesyuarat hari ini." Imran meminta diri.
Amina menghantar pemergian Imran dengan ekor mata. Hari ini, dia agenda lain. Dia hendak melawat penghuni-penghuni di Teratak Bahagia Kita. Sejujurnya, tempat ini merupakan rumah keduanya. Jika dia hendak melampiaskan tekanan, dia pasti akan datang ke sini. Melihat senyuman-senyuman penghuni di sini sudah memadai untuk mengubati sakit dan lara di hati.
Pertama sekali, dia menuju ke arah blok Teratak Kasih. Penghuni yang ada disini merupakan anak-anak yatim piatu yang telah kematian ibu bapa. Sewaktu dia mendaki tangga, dia terserempak dengan Haura dan Zarith.
"Kak Min!" Haura menegurnya. Tubuh Amina dipeluknya erat. "Tak cakap pun nak datang."
Amina senyum. Ini antara salah satu sebab mengapa dia suka berada di sini. "Halah, kenapa nak cakap dekat awak pula? Awak tengah cuti sem ke?" Amina membalas pelukan hangat Haura.
"Saya baru je habis PBS," Ujar Haura setelah sahaja melonggarkan pelukan.
"Ouh PBS. Okey tak?" Amina menyoal.
Laju Haura angguk kepala. "Alhamdulillah okey je. Dapat environment yang supportive."
"Ahh I see, so apa perancangan sekarang?" Amina menyoal.
"Kalau cuti balik kampung la kak Min. Esok angah nak kahwin. Jemputlah datang kalau tak keberatan." Haura mempelawa.
"Insha Allah, kalau takde aral yang melintang." Amina kerling ke arah Zarith pula. "Zarith?"
Segaris senyuman terbentuk pada ulas bibirnya. "Ris baru turun dari KLIA kak Min, Haura yang ambil tadi. Lepastu Haura kata nak datang sini, katanya rindu dekat anak-anak. Kejap lagi dah nak balik Kelantan."
"Berdua?"
"Adam ada, tapi dia dekat Teratak Harmoni." Zarith menjawab soalan daripada Amina.
Amina kulum senyuman. Dia menghantar isyarat mata kepada Zarith. "Bila?"
"Bila apa kak Min?"
Amina membuat pandangan mengusik. "Nanti ajak okey."
"Ajak apa kak Min?" Zarith menyoal sekali lagi. Pura-pura tidak faham dengan isyarat tersebut. Kak Min kalau mengusik orang, nombor satu! Amina tidak membalas, sebaliknya dia mengenyitkan matanya sahaja. Zarith sangsi, tapi dia tepis sahaja perasaan itu. Dia alihkan pandangan ke arah Haura yang sedia memandangnya dengan penuh tanda tanya. "Haura nak pergi dengan kak Min ke? Ris nak pergi tempat Adam."
"Nak pergi dengan kak Min."
"Kalau macam tu kak Min, Ris pergi dahulu." Zarith meminta diri.
"Okeylah Ris. Kak Min bawa bakal kau pergi tengok anak-anak dahulu." Amina menekankan perkataan 'bakal' tersebut. Nak kasi Zarith faham maksud tersirat itu!
Zarith senyum lalu pergi meninggalkan Amina dan Haura berdua.
"Jom?" Ajak Amina.
"Jom." Haura setuju dengan ajakan Amina. "Kak Min tak bawa Qayyum sekali?"
Mereka berdua mula membuka langkah menuju ke dorm anak-anak perempuan. "Malas lah nak bawa Qayyum, Qay buli budak-budak dekat sini kan."
"Aihh, Qay budak baik lah macam mommy dia. Kak Min tahu tak, kalau Haura tengok Qayyum mesti Haura bayangkan anak sedara Haura, si Theena tu. Perangai diorang sebijik sangat!" Cerita Haura bersemangat.
"Sebijik eh, tapi Theena lagi behave rasanya."
"Tapi Qay lagi matang, tak padan dengan umur!"
Amina senyum sahaja apabila Haura tidak habis-habis memuji anaknya. Syukurlah dia berjaya membesarkan Qayyum dengan baik, walaupun berseorangan.
"Macam mana dengan suami kak Min?" Haura menyoal, ingin tahu.
Amina senyum sahaja. "Masih hilang, sampai sekarang."
"Sorry kak Min, tapi Haura harap sangat-sangat supaya yang baik-baik sahaja datang untuk kak Min."
"Insya Allah."
'Yang baik akan datang, cuma belum tiba masanya. Percayakan takdir Tuhan.'
.
.
.
Amina membuang pandangannya ke laman Teratak Harmoni. Ada yang tengah berbual-bual sesama sendiri, ada yang berjalan di atas batu refleksologi dan ada juga yang duduk bersendirian, meratapi nasib dinihari.
Amina faham, insan-insan yang berada di sini bukanlah secara rela untuk ada di sini. Ada segelintir anak-anak yang bekerjaya tidak mahu dan tidak mampu untuk menjaga ibu bapa mereka dan mengambil keputusan untuk menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang-orang tua. Ada juga segelintir yang rela hati untuk datang ke sini bertujuan untuk menghabiskan masa sesama mereka untuk menguatkan ukhuwah. Tetapi, itulah...
Amina hembus nafas buat keberapa kali. Iris matanya tertancap pada seorang warga emas yang berada di atas kerusi rodanya. Lelaki tua tersebut sekadar menunduk. Apabila Amina amati dengan lebih dekat, dan seingatnya, lelaki tua tersebut tidak bergerak sejak dari tadi. Hal ini membuatkan dia membuka langkah mendekati lelaki tua tersebut.
Dia duduk melutut di hadapan lelaki tua tersebut. "Pakcik?" Amina menyoal. Namun, apa yang dia dapat adalah tiada reaksi daripada lelaki tua ini.
"Pak cik?" Amina menyapa buat kali kedua. Lengan lelaki tua ini digoncangnya perlahan, dengan harapan lelaki tua ini akan sedar atau...
Amina mengambil tindakan yang cekap, dia segera memeriksa kadar denyutan nadi lelaki tua ini pada pergelangan tangannya. Tiada!
Amina berpaling ke arah sekeliling, mencari jikalau ada mana-mana pembantu di pusat jagaan orang-orang tua ini. Matanya tertangkap seorang lelaki yang berkacamata bulat.
"Yousuf!" Amina memanggil nama lelaki tersebut. "Yousuf, datang sini cepat!"
Yousuf mencari punca suara, sebaik sahaja matanya menangkap Amina yang sedang memanggilnya, dia segera berlari anak meluru ke arah Amina.
"Kenapa Min?"
"Pak cik ni... Pak cik ni tak bernyawa."
Riak wajah Yousuf bertukar menjadi pucat. Dia memeriksa denyutan nadi pada pergelangan tangan lelaki tua tersebut. Apabila dia mendapati denyutan nadi lelaki tua tersebut tiada, dia berpaling ke arah Amina pula.
Buat seketika, sekeping kertas yang lusuh dan luntur warnanya jatuh tepat mengenai lutut Amina. Amina mencapai kertas yang masih berlipat itu. Dia membuka lipatan kertas tersebut. Walaupun dakwat pen telah mengembang, dia masih dapat membaca dengan jelas apa yang ditulis oleh penulis surat ini.
‘Abang tetap ada di dalam jiwa Seroja kendatipun Seroja telah pergi.’
Share this novel