15

Romance Series 1061

AMINA bersandar pada kepala katil. Rambutnya yang panjang mengurai dilepaskan sahaja. Dia pandang wajah Hasmiza.

"Siapa yang bawa Min ke sini?" Amina menyoal. Dia tidak larat untuk bertanya, tetapi dia tetap bertanyakan hal tersebut. Buka sahaja kelopak mata, dia melihat ibu mentuanya yang baru sahaja memasuki ke dalam wadnya.

"Tadi Cikti telefon umi. Dia cakap Min tak sedarkan diri. Dia nak hantarkan Min ke sini, tapi tiada siapa pula yang jagakan anak-anak asuhan dia." Hasmiza bangkit dari kerusi. "Min ada nak apa-apa ke. Umi nak balik sekejap lagi. Dah nak malam. Umi kena masakkan untuk babah."

"Umi baliklah dahulu. Min okey je." Dia senyum sahaja terhadap ibu mentuanya. Umi yang menemaninya sedari tadi. Timbul rasa kasihan terhadap emak mentuanya. Sudahlah bawa dia ke hospital, teman dia di hospital pula. Dah tiba masanya untuk ibu mentuanya balik berehat.

"Qayyum ada di rumah Cikti lagi ke?" Amina menyoal. Bersalah pula jika Siti menjaga Qayyum dari pagi hingga malam. Dia pula tidak tahu bila boleh discharge. Harap-harapnya demamnya cepat kebah. Dia tidak ingin berlama-lama beradu di katil. Dia ada perkara untuk diselesaikan.

Hasmiza anggukkan kepalanya. "Nanti esok umi ambilkan Qayyum kalau Min rindu."

Cepat-cepat Amina gelengkan kepalanya. "Takpelah umi. Dia kecil lagi, bahaya hendak bawa ke sini."

Hasmiza senyum. "Nanti keluar dari sini, Min tinggal rumah umi dahulu lah sampai betul-betul sihat." Sempat lagi dia berfikir, Amina demam panas disebabkan terkejut dengan kepulangan mengejut Taqi ke?

Amina simpul senyum sahaja. Tidak tahu sama ada dia akan menerima pelawaan tersebut ataupun tidak. Memori semalam bersama Taufiq kekal di ingatannya. Muncul perasaan takut dengan kewujudan Taufiq. Apa yang dimaksudkan lelaki tersebut?

Lama Hasmiza menjadi pemerhati Amina. Dia berasa kasihan akan anak gadis ini. Entahlah apa hubungan dia dan emaknya, anak kena tahan wad pun ibu Amina tidak datang melawat. Dia pernah tanya kepada Amina tentang hubungan Amina dan ibunya, namun Amina sekadar menjawab mereka baik-baik sahaja.

.
. .

Amina terjaga daripada lenanya. Dia dapat rasakan tapak kaki mendekati biliknya sekarang. Tepat, ketukan pintu bergema dari luar biliknya. Dia sempat menyauk tudung sauk yang ada di sebelah sebelum gerangan yang mengetuk pintu itu memasuki ke dalam bilik.

Wajah Taqi menyapa pandangan. Taqi ukirkan senyuman, menampakkan lekukan pada pipinya. "Assalamualaikum,"

"Waalaikumussalam..." Amina menjawab.

Terkejut?

Buat apa Taqi ada di sini?

Datang melawat dia ke?

"Pakai tudung buat apa, nampak rambut juga." Bibir Taqi dijuihkan pada rambut Amina yang keluar dari tudungnya.

"Pergi tengok buat apa?" Amina menjeling seraya membetulkan iv drip yang ada pada kekura tangan kanannya. Nada suaranya tidak energetik. Perlahan namun dapat didengari.

"Sebab bukan aurat."

Amina mencebik. Pandai pula cakap macam tu.

Dia labuhkan punggung di hujung kaki Amina. Pisau dan sebiji epal merah yang ada di atas meja dicapai. Lalu kulit epal dikupas olehnya. "Sebenarnya umi dan babah tak bagi aku tengok kau. Tapi kisah apa aku..."

Sekejap matanya naik mengerling ke arah Amina yang menunjukkan riak yang tidak terkesan dengan kata-kata Taqi tersebut.

"Kau sakit sebab aku ke?" Taqi menyoal.

Amina mencebik. Macamlah Taqi adalah pembawa penyakit!

"Panas lagi ke badan kau?" Lagi Taqi menyoal. Memandangkan Amina tidak ingin menjawab soalannya.

"Tak..."

"Baguslah."

Amina menjeling ke arah Taqi yang tidak ada tanda-tanda untuk pergi. Taqi mahu temankan dia di sini ke malam ini?

"Nak?" Taqi menyoal lalu memotong sehiris buah epal, dia suakan pada Amina. Tetapi laju sahaja Amina gelengkan kepalanya. Taqi mula membuat muka. "Eishh dia. Makanlah buat tambah tenaga."

Melihatkan Amina yang sekadar membisu, Taqi bangkit daripada duduknya lalu membuang kulit epal yang dikupasnya tadi ke dalam tong sampah. Seterusnya dia menghilang ke dalam tandas. Keluar sahaja daripada tandas, dia ambil sebuah pinggan lalu menghiris epal ke dalam pinggan.

Dia pusing tubuhnya, mendekati Amina sekali lagi. Dia letakkan pinggan tersebut di atas paha Amina. "Makan."

"Diet."

"Apekebenda dietnya. Dah macam cicak kubing aku tengok!" Dia memamah satu hirisan epal yang telah dikupas tersebut.

Amina perhati Taqi yang makan di atas katilnya. Macam terliur... Sudahlah kali terakhir dia makan adalah sebelum maghrib. Dan sekarang... Sudah jam sebelas! Jembalang mana yang datang melawat orang sakit pada jam sebelas malam kalau bukan Ahmad Taqi Waqiuddin!

"Tahu terliur. Cuba nganga mulut, cakap aaaa..." Selamba hirisan epal yang telah digigit Taqi tadi didekatkan pada ulas bibir Amina.

Amina gelengkan kepalanya. Dia merenung ke arah Taqi, dalam.

MACAM. BUKAN. TAQI. YANG. DIA. KENAL.

Taqi yang dia kenal dahulu susah untuk ukirkan walaupun segaris senyuman. Beku. Dingin. Hanya bercakap ketika perlu sahaja.

"Uit, lenguh tangan aku ni."

Perlahan-lahan Amina membuka mulutnya, membiarkan hirisan epal itu disuap Taqi.

"Manis kan?" Taqi sengih.

Amina angguk kepalanya. Setuju sahaja walaupun lidahnya tawar saat ini. "Aku nak tidur."

"Habiskan la dulu..."

Amina gelengkan kepalanya. Dia tidak bernafsu untuk menjamah makanan buat waktu ini. Waktu ini... Seharusnya dia tidur.

Dia capai pinggan yang ada di atas pahanya lalu diletakkan di sebelahnya pula, sebelum dia baringkan tubuhnya membelakangi Taqi. Selimut hak milik kerajaan Malaysia menutup seluruh tubuhnya. Dia pejamkan matanya. Memori sewaktu dia berpura-pura tidur kembali berputar.

"Apa maksud fi amanillah?" Amina menyoal.

"Fi hifzillah, fi amanillah."

"I leave you in the care of Allah." Taqi menyambung.

Amina kerdipkan matanya. Jadi, maksud Taqi dua tahun lepas adalah...

"Sorry." Terpacul perkataan maaf tersebut dari ulas bibir Taqi.

Amina terkedu. Dia tidak membalas apa-apa. Tahu-tahu sahaja malam itu tidurnya lena. Selalunya terlebih lena, tetapi malam itu tidurnya lena.

.
. .

"Kau demam ke darlings?" Suara Iqa menyoal dari hujung talian.

"Iya. Dah kebah dah. Esok ataupun lusa dah boleh masuk kerja kot." Amina menjawab bagi soalan Iqa.

"Ishh kau tak bagitahu aku apa-apapun. Kalau kau bagitahu aku, mungkin aku ambil emergency leave temankan kau."

Amina gelak perlahan. Tahu sangat niat sebenar Iqa itu. "Kau memang sengaja nak ponteng kerja ke Zulaiqa!"

Iqa hamburkan tawanya. "Okey lah okey. Aku letak fon dulu. Get well soon lalings."

"Ye, thank you Iqa."

"My pleasure lalingss. Nanti apa-apa contact aku."

"Iya, iya."

Usai menamatkan talian, Amina kerling ke arah Taqi dan Naqi yang baru sahaja masuk ke dalam biliknya bersamaan.

Amina dah boleh keluar dari hospital. Dia fikirkan umi ataupun babah yang akan mengambilnya, alih-alih dua orang jejaka ni?

"Kak Min, jomlah balik. Hari ni umi amanahkan Naqiuddin dan,  Waqiuddin yang baru je timbul ke permukaan dunia untuk ambilkan kak Min. Sebab, umi dengan Kak Jah pergi ambil Qayyum." Naqi menjawab persoalan Amina. Dia lemparkan senyuman manis kepada Amina.

Selamba Taqi menampar belakang leher Naqi. "Kau panggil dia kak buat apa, kau lagi tua daripada dia!"

Naqi menggosok lehernya yang telah ditampar. "Dah dia kakak ipar aku. Takkan nak panggil nama pula."

"Kita sama tua lah mangkuk!"

"Nye nye nye." Naqi menjelirkan lidahnya pada Taqi. Dia mendekati Amina. Beg pakaian yang sempat di pack oleh Cikti diambilnya. "Jom balik, Min."

"Em... Abang long ada dekat rumah ke?" Amina menyoal dengan nada perlahan. Tenggorokannya sakit dan pedih. Seperti ditikam dan disiat-siat sahaja. Tiba-tiba sahaja dia teringat peristiwa sebelum itu.

Taufiq... Seram!

"Takde. Taufiq ada kerja." Nada suara Taqi berubah. "Boleh jalan tak ni, kalau tak boleh aku nak ambilkan wheelchair."

"Boleh." Amina menjawab. Dia hembus nafas lega tatkala Taufiq tiada di rumah mentuanya. Kalau ada... Dia tidak pasti apalah yang bakal berlaku nanti. Sudahlah tempoh hari, Taufiq berkata perkara yang menjijikkan, malah berani menyentuhnya pula. Tetapi, apa-apa boleh berlaku di luar kehendaknya. "Min nak balik rumah Min boleh?"

"Tak boleh." Tegas Naqi membalas.

Terperanjat Amina sewaktu dia mendengar Naqi berkata demikian. Hei, kita nak balik rumah kita je kot!

"Umi amanahkan untuk bawa kak Min ke rumah. No objection."

Nampaknya memang tiada apa yang dapat Amina lakukan selain daripada menurut perintah.

Sedikit sebanyak dia risau jika Taufiq tiba-tiba sahaja balik ke rumah keluarganya. Dan membongkarkan rahsia besar...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience