AMINA memutar stereng kereta, memasuki ke dalam tempat letak kereta bawah tanah. Dia sudah sampai ke rumahnya dari penjara. Tidak perlulah untuk dia bersedih terlalu lama. Itu bukan Amina. Lagipula, berbanding sakit dia, sakit lagi ayahnya. Dia tidak dapat membayangkan perasaan ayahnya sendiri sewaktu membesarkan dia dan Awina. Sekarang katakan, siapa yang tidak sakit? Apapun, dia harus mendapatkan penjelasan daripada ibunya sendiri.
Usai Amina mematikan enjin kereta, dia dapat melihat susuk tubuh Taufiq yang tinggi lampai sedang menunggu di hadapan lif. Amina berfikir sejenak, kenapa abang long ada dekat sini? Sedang menunggu siapa? Hendak bertemu dengannya ke?
Amina membuka langkah, mendekati abang iparnya itu. Seraya menegur, "assalamualaikum, abang long. Abang tunggu siapa?"
Taufiq angkat kepalanya. Sontak matanya bertemu dengan wajah bujur sireh milik Amina. Mata gadis tersebut merah dan nampak sedikit bengkak. Hidungnya juga merah, menandakan dia baru sahaja menangis.
"Waalaikumussalam." Dia tayang senyuman sinis di hadapan Amina. "Pandai pula betina ni bagi salam."
Amina angkat kepala. Betina? The audacity to call her like that!
"Aik, marah ke?" Taufiq memasukkan tangannya ke dalam poket seluar. "Malam ni tak kerja ke, tak buat servis?"
Kening Amina bertaut sesama sendiri. Apa maksud lelaki ni?
Taufiq mendekatkan wajahnya dengan wajah Amina. Dia berbisik di tepi telinga wanita tersebut. "Malam esok, kita jumpa eh. Aku nak 'sewa' kau untuk malam tu. Pastikan kau bagi servis tip top sampai aku tak boleh lupakan sentuhan kau."
"Apa yang abang long cakap ni?" Dahi Amina berlapis. Seriau apabila abang iparnya mengatakan sedemikian.
Sekelip mata, Taufiq melarikan tangannya dari bahu Amina hingga ke pergelangan tangannya. "Eh apa kata kau bagi sekarang je, tak payah aku bayar tauke kau nanti." Taufiq mengilai di hujung ayatnya. Selamba dia mendekatkan wajahnya pada wajah Amina.
PANG!
Satu tamparan melekat pada pipi Taufiq. Cukup membuatkan Taufiq terteleng ke tepi. Tangannya tadi yang menggenggam pergelangan tangan Amina dileraikan. Dia mengundur setapak ke belakang.
"Apa yang abang long buat ni?" Amina menyoal tidak puas hati.
Taufiq ketawa mengejek. "Kau cakap macam kau tak pernah kena sentuh, padahal kau suka, kan?"
"ABANG TAUFIQ JIJIK!" Tempik Amina. Dia membuka langkah besar meninggalkan Taufiq yang sudah kehilangan 'akalnya.'
Taufiq melihat kepergian Amina dengan pandangan ekor mata sahaja. Tidak puas hati dengan apa yang telah adik iparnya lakukan. Dia mendecit kasar. "Bidadari acah suci macam kau ni tak ke mana lah Amina. Aku pun jijik dengan perempuan macam kau!"
.
.
.
IQA dan Adib saling berpandangan. Seterusnya mereka melihat pejabat Amina yang kosong.
"Kenapa Min tak datang kerja hari ini?" Adib menyoal. Dia mula merisaukan keadaan Amina. Sudahlah semalam perempuan itu balik kerja awal dengan alasan dia ada kerja di rumah. Hari ini, wanita itu tidak masuk kerja pula.
Iqa angkat bahu tidak tahu. "Dia takde bagitahu aku apa-apa. Dia takde bagitahu kau ke?"
Adib mencebik. "Kalau dia ada bagitahu aku, aku takkan tanya kau Iqa." Adib memasukkan tangannya ke dalam poket seluar. Hari ini juga dia masih berpakaian lelaki. Gamaknya dia akan terus memakai pakaian lelaki sehingga emak dia pulang ke kampung. Emaknya tahu bahawa Adib seorang yang 'lembut', tapi tidaklah sampai bertukar menyerupai perempuan terus.
"Ishh, kau ni menyakitkan hati sejak jadi lelaki!" Iqa mencapai telefon bimbit yang ada di atas meja. Dia ingin bertanyakan kepada Amina tentang asbab dia tidak datang kerja hari ini.
"Dah memang aku lelaki. Kau tahu haperrr!"
Iqa menjeling. Jari runcingnya mula menekan-nekan papan kekunci telefon untuk menghantar mesej kepada Amina.
Adib mendekatkan wajahnya, untuk melihat apa yang dilakukan Iqa. "Bagi lah salam dulu sebelum nak mesej orang. Kata orang Islam..."
"Eee diam. Dia pun sekejap lelaki, sekejap pondan. Kata orang Islam..." Iqa menolak dada Adib daripada terus menghalangi pandangan matanya daripada terus menatap telefon. Adib terlalu rapat dengan telefonnya sampaikan dia tidak dapat melihat dengan jelas skrin telefonnya.
Adib terundur ke belakang. "Nak tengok jugak!" Suaranya dikepit seperti perempuan.
Iqa geleng kepala. Baru sahaja dia beri paku keras kepada Adib, alih-alih lelaki ini sudah bertukar menjadi maknyah! "Belakang la bro."
Adib menukar kedudukan. Dia berada di belakang Iqa, seraya berpaut pada kerusi Iqa. Dia membaca mesej yang telah dihantar oleh Iqa namun tiada sebarang maklum balas yang diterima.
Seminit.
Dua minit.
Tiga minit.
Namun tiada sebarang jawapan.
"Kau call je lah dia." Cadang Adib.
"Takpelah, mungkin dia ada banyak hal kot." Iqa menutup telefonnya. Dia memusingkan kerusinya, menghadap Adib yang sedari tadi berada di belakangnya. "Pintu ada dekat sana, haa boleh lah tu keluar."
"Cis, nak mengadu dekat Min kau halau aku!" Adib hentakkan kakinya sebelum dia membuka langkah untuk keluar dari bilik kerja Iqa. Dia berpaling ke arah Iqa yang sememangnya memandang ke arahnya. "Iqa, nanti sekejap lagi teman aku jumpa client."
"Client mana?"
"Dato' Rosyam."
Terhambur gelak Iqa sewaktu Adib menyebut nama tersebut. Bukannya dia tidak tahu, Dato' Rosyam mempunyai minat terhadap Adib!
"Please..." Suaranya ditukar kepada perempuan lagi.
"Kau nak bagi aku apa kalau aku ikut kau?"
"Kau nak apa?" Soalan dibalas dengan soalan.
"Aku nak..." Pandangan mereka bertemu sebelum Iqa melorekkan senyuman.
Adib juga tersenyum. "Dah lama eh kau tak buat kerja tu?"
"Cukup lama."
"Kau nak banjirkan bandar Selangor ni ke?"
"Alahh, bila lagi Adib... Kau sendiri yang panggil aku ni frog charming."
Adib ketawa mengekek seraya keluar dari bilik Iqa dengan langkah kanan. Iqa pula masih berada di tempatnya. Dia berdehem perlahan-lahan.
Iya, dia hendak banjirkan seluruh Selangor dengan nyanyiannya.
.
.
.
Siti yang berada di luar apartment milik Amina mula menekan tombol loceng. Hari ini dia sendiri yang datang ke rumah Amina. Pelik juga apabila Amina tidak ada menghantar Qayyum ke tempat asuhannya. Amina tidak ada memberitahunya apa-apa. Selalunya dia akan memberitahu Siti jika dia tidak menghantar Qayyum ke rumah Siti. Tambahan pula rumah ini gelap gelita dari semalam lagi. Seolah-olah tidak berpenghuni.
"Amina. Min." Dia ketuk dedaun pintu bertalu-talu pula, sebelah tangannya lagi menekan loceng.
Dia risaukan wanita ini. Sudahlah menjadi ibu tunggal pada usia yang sangat muda. Malah tinggal bersendirian pula dengan si anak. Tiada pula dia melihat kenalan yang datang ke rumah Amina selain mentuanya, Iqa dan Adib. Saudara Amina sendiri juga dia tidak pernah nampak. Dia beranggapan Amina anak tunggal.
Dari semalam lagi Amina nampak tidak bermaya. Kali terakhir dia nampak Amina adalah sewaktu dia mengambil Qayyum di tempatnya semalam. Dan dia tidak mendapat apa-apa khabar daripada perempuan tersebut sehingga sekarang. Batinnya menyatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perempuan ini.
Pintu rumah dikuak oleh seseorang dari dalam. Terjengul wajah Amina di ambang pintu.
"Cikti?" Amina menyoal. Nada suaranya begitu perlahan. Dia berpegang pada pintu untuk menampung berat badannya.
"Min okey tak ni?" Siti menyoal. Dia teliti seluruh wajah Amina. Mata sembap. Hidung merah. Bibir merekah. Kening berserabut. Pipinya juga merah. Melihat keadaan Amina dari luaran dia boleh syak Amina tidak sihat. Serentak telapak tangannya hampir sahaja melekap pada pipi Amina.
Serentak dengan itu, tubuh Amina terkulai layu jatuh ke lantai.
Bagai hendak tercabut jantung Siti tatkala dia menyaksikan Amina yang tiba-tiba sahaja terjatuh. Siti menapak masuk ke dalam rumah Amina. "Min, Min, Min..."
Tangannya mula menyentuh tubuh Amina. Panas! Suhu tubuhnya bak air yang menggelegak.
Siti segera mendail nombor telefon seseorang. Tangannya terketar-ketar sewaktu menekan-nekan nombor telefon tersebut. Sudahlah dia meninggalkan anak asuhannya yang lain dengan adiknya, Amad. Lelaki tersebut mana boleh diharap untuk menjaga empat orang anak asuhannya. Apapun, dia perlu menolong Amina terlebih dahulu.
Share this novel