Bab 21

Romance Series 30273

"Siapa Sri Dewi?"

Mulut Khairul ternganga mendengar soalan daripada Al Ryan. Cawan yang dipegang diletakkan kembali ke atas meja. Selera untuk minum hilang serta-merta. Soalan itu kedengaran serius, begitu juga riak wajah Al Ryan.

"Kau rasa?" Khairul membalas soalan dengan soalan.

"Siapa perempuan tu?" Al Ryan mengulangi pertanyaannya. Dia mahukan jawapan daripada Khairul. Sudah beberapa hari dia cuba memikirkan hal itu, namun tiada jawapan yang memuaskan hatinya.

"Hmmm."
Khairul menggaru-garu dagu, berfikir sejenak. Pandangannya kemudian beralih ke wajah Al Ryan. Al Ryan kelihatan semakin mendekat, mungkin kerana mengharap jawapan.

"Mana kau dapat nama tu?" Khairul bertanya untuk kepastian.

"Dalam mimpi aku. Dah seminggu aku mimpi benda yang sama, tapi aku tak nampak muka dia. Kabur."

Khairul mengangguk-angguk mendengar penjelasan Al Ryan.

"Sri Dewi tu... nama Orked. Orked Sri Dewi," ujar Khairul dengan tenang.

Al Ryan menarik nafas dalam, tubuhnya bersandar pada sofa. Dia menutup matanya sebentar, otaknya tiba-tiba terasa kosong.

"Kau okey?" Khairul bertanya risau.

Al Ryan mengangguk perlahan, matanya masih terpejam. Dia sedang cuba mengingati mimpinya itu.

"Kau tahu tak siapa dia?" Khairul bertanya lagi.

Al Ryan menggeleng tanpa berkata apa-apa. Tangannya memicit kepala yang mula berdenyut tiba-tiba.

"Jangan paksa diri, nanti kau jatuh sakit." Khairul semakin bimbang melihat kegelisahan Al Ryan. Peluh deras mengalir di dahinya, walaupun bilik pejabat itu dilengkapi penghawa dingin.

Al Ryan membuka dua butang baju di bahagian atas, mengesat peluh yang membasahi wajahnya. Dia cuba untuk bertenang, walaupun fikirannya berserabut. Dia kecewa kerana tidak dapat mengingati lebih banyak tentang mimpi itu. Nama itu sahaja yang terngiang-ngiang di benaknya.

"Jom jumpa doktor," cadang Khairul.

"Aku okey."

"Kau berpeluh banyak, Ryan."

"Sekejap lagi aku okey. Biar aku bertenang dulu."

Sepuluh minit berlalu.

Al Ryan membuka mata, mengeluh perlahan.

"Kau okey tak?" Khairul bertanya lagi.

Al Ryan mengangguk, matanya melirik ke arah Khairul.

"Orked Sri Dewi tu siapa sebenarnya?" Al Ryan mengulang soalan.

"Tunang kau, Al Ryan."

Dup dap dup dap.

Jantungnya berdegup laju. Hakikat yang harus diterimanya kini sudah jelas. Jawapan yang dicari selama ini akhirnya terjawab.

"Tak mungkin."

Khairul tersenyum sinis.

"Siapa tunang kau sebenarnya? Lana? Lana tu 'taste' kau? Orked tu orang kampung. Bukan 'taste' kau, kan? Terkejut?" Bertalu-talu soalan Khairul.

Al Ryan hanya diam.

"Kau masih ingat Lana tunang kau?" Khairul terus bertanya.

"Tak," jawab Al Ryan ringkas.

"Kau ingat Lana curang dengan kau?"

Al Ryan mengangguk. Walaupun ingatannya terjejas selepas kemalangan, dia masih ingat bagaimana Lana curang dan mereka putus. Selepas itu, dia langsung tidak merayu pada Lana. Menangis pun tidak. Kecewa, ya, tapi untuk kembali pada Lana? Tidak mungkin. Dia bukan lelaki yang bodoh, dia ada maruah.

"Jadi?" Khairul mencabar lagi.

"Semenjak aku sedar daripada koma, aku cuma layankan drama mama dan Lana."

"Jadi, mama kau suruh kahwin dengan Lana, kau layan je? Walaupun kau tahu Lana tu perempuan yang murah? Semalam aku nampak Lana keluar dengan entah Dato’ mana. Kau masih nak buat isteri?" sindir Khairul.

"Aku dah cakap dengan mama, kalau ingatan aku pulih dan segala yang mereka cakap betul, aku akan kahwini Lana. Tapi sekarang, sebaliknya," ujar Al Ryan tegas.

"Aku doakan kau pulih ingatan, dan kau dapat kembali memori kau sepenuhnya. Lagipun, kalau kau ingat betul-betul macam mana kau putus tunang, buat apa kau nak kahwin lagi? Buang masa je hidup dengan orang macam tu," Khairul membebel. Dia tahu Al Ryan hanya melayan kehendak Lana dan Puan Sarimah, membuang masa saja. Lebih baik cari kehidupan lain.

"Lana pandai putar belit. Kadang-kadang aku rasa keliru. Mama pun sama," keluh Al Ryan.

"Hati kau kata apa?" tanya Khairul, cuba membantu sahabatnya mencari jawapan.

"Hati aku dah kosong dengan Lana."

"Itu jawapan kau, Ryan! Kau dah tak ada hati pada Lana, tapi hati kau mungkin masih ada untuk orang lain. Kau kena cari yang itu," nasihat Khairul.

Al Ryan bangun dari sofa perlahan-lahan. Dia cuba menyusun kekuatan dalam dirinya. Dia hanya tahu satu perkara dia tak akan berkahwin dengan Lana. Namun, untuk sekarang ini dia perlu terus berpura-pura seolah-olah dia masih mempertimbangkan keputusan itu.

Khairul memandangnya dengan penuh tanda tanya.

“Kau pasti kau tak nak selesaikan benda ni sekarang?”

“Aku dah buat keputusan.” jawab Al Ryan dengan nada tegas.

“Aku tak akan kahwin dengan Lana. Tapi buat masa sekarang, aku kena biar semuanya nampak tenang. Kalau aku buat keputusan terburu-buru, semuanya akan jadi lebih rumit.”

Khairul mengangguk, walaupun dia tahu ada sesuatu yang lebih berat sedang ditanggung oleh sahabatnya.

“Jadi kau nak biarkan Lana fikir kau masih berminat?”

Al Ryan memandang jauh, cuba menahan perasaan sebenar yang bergelut dalam dirinya.

“Buat masa ni, ya. Aku tak boleh terus tolak. Aku perlu cari masa yang sesuai untuk lepaskan semuanya.”

“Dan Sri Dewi? Apa kau nak buat tentang dia?” Khairul bertanya dengan hati-hati.

Al Ryan diam sejenak. Nama itu terus bermain dalam fikirannya. Walaupun Sri Dewi hanya muncul dalam mimpi, perasaannya terhadap wanita itu seolah-olah semakin kuat. Tetapi buat masa ini, Al Ryan tak mampu berdepan dengan perasaan itu.

“Aku masih tak ingat siapa Sri Dewi. Tapi aku tahu satu benda. Hati aku dah kosong dengan Lana. Kalau aku ingat Sri Dewi atau tak, aku takkan kahwin dengan Lana.” Suara Al Ryan tegas, menunjukkan bahawa dia sudah tetap pendiriannya.

Khairul menghela nafas.

“Baiklah. Tapi kau kena hati-hati, Ryan. Semakin lama kau pendam, semakin sukar nak lepaskan diri.”

Al Ryan mengangguk. Dia tahu risiko yang dia hadapi, tapi buat masa ini, dia tak nampak jalan keluar yang lebih mudah.

“Aku tahu. Tapi sekarang ni, aku tak ada pilihan lain. Aku akan terus berpura-pura sampai aku jumpa cara yang betul untuk keluar dari semua ni.”

Mereka berdua terdiam sejenak, masing-masing tenggelam dalam fikiran masing-masing. Al Ryan tahu dia sedang bermain dengan api tetapi dia juga tahu untuk sekarang. Dia perlukan masa. Masa untuk mencari ingatannya tentang Sri Dewi. Pada masa yang sama, dia akan menyelesaikan masalah dengan Lana tanpa mencetuskan lebih banyak kekeliruan.

Khairul bangkit, menepuk bahu Al Ryan sebagai tanda sokongan.

"Apa-apa pun, kau tahu aku ada belakang kau. Kau buat apa yang kau rasa betul."

Al Ryan tersenyum lemah.

"Terima kasih bro. Aku harap aku buat keputusan yang betul."

Dengan hati yang berat dan fikiran yang masih berserabut, Al Ryan sedar satu perkara. Dia perlu berhati-hati dengan setiap langkah yang diambil kerana semakin lama dia menahan semakin besar kesannya nanti. Tapi untuk sekarang, dia akan teruskan lakonan yang dia tidak tahu apa apa. Dia menunggu masa yang sesuai untuk melepaskan diri dari segala kekeliruan ini. Sekarang ini, dia dapat rasakan dia sudah muak dengan drama mama dan bakal menantu kesayangan itu.

Hai korang. Maaf tauu sebab lambat je publish chapter terbaru. Saya tak berapa ada masa sangat. Berharap korang masih lagi baca cerita ini ya. Jangan lupa komen ya :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience