Bab 23

Romance Series 30273

Ting tong. Ting tong.

Al Ryan tekan lonceng rumah Kairul berkali-kali tanpa henti namun tiada lagi tanda Kairul buka pintu.

"Tidur lagi ke mamat ni?" gumamnya sambil tengok jam di tangan. Jam menunjukkan pukul 10 pagi. Tidak terlalu awal dia datang ke rumah ini. Lagi pun dia tahu, pada hari sabtu pagi Kairul tidak akan ke mana mana. Hidup lelaki itu setiap malam sabtu akan bermain permainan mudah alih sampai larut malam. Dia tahu rutin sahabat baiknya itu.
Ting tong! Ting tong!

Lagi sekali, jari Al Ryan menekan butang lonceng. Kali ini lebih lama. Dia tak akan berhenti selagi Kairul tak muncul di depan pintu. Malangnya, pintu itu tetap tidak dibuka. Hampir 20 minit dia berdiri di depan pintu rumah Kairul.

Al Ryan membuka telefon dan mendail nombor Kairul.

10 panggilan tapi langsung tidak diangkat Kairul.

Setelah beberapa saat, dia menghantar mesej. "Wey, aku kat depan pintu rumah kau. Bangunlah, wei."

Beberapa minit berlalu. Al Ryan merenung pintu, cuba menahan diri daripada membuat bising. Dia tak mahu mengganggu jiran-jiran di apartment mewah ini. Dia juga akan mengalami masalah nanti.

Selepas beberapa saat lagi, pintu akhirnya terbuka sedikit.

Muncul wajah Kairul yang kusut masai. Dia kelihatan terkejut dan sedikit bingung melihat Al Ryan berdiri di hadapan pintu.

“Weh, kau buat apa kat sini?” tanya Kairul dengan suara serak, jelas baru bangun dari tidur.

Al Ryan tersengih.

“Saja singgah sini. Alang alang lalu kawasan sini. Kau ni tidur mati? Call pun tak angkat."

Kairul menggosok-gosok mata, cuba memproses keadaan. Dia pening lalat sedikit akibat tidak cukup tidur.

"Aku ingatkan mimpi bila dengar loceng tadi… masuklah.” Jemput Khairul.

Dia membuka pintu lebih luas dan Al Ryan melangkah masuk.

"Tidur lewat. Tak solat subuh?"

"Aishhh kau ni. Aku tidur lepas solat subuhlah. Ni kau datang awal pagi apa hal! Tak cukup tidur lah aku macam ni." Bebel Khairul. Dia menguap berkali kali. Matanya masih mengantuk tapi terpaksa melayan Al Ryan.

"Kau nak apa?" Soal Khairul yang masih melayan mata mengantuk.

"Aku nak tahu tentang Orked."

Mata yang hampir tertutup tiba tiba sahaja terbuka luas. Khairul duduk menegak dan mata tajam pandang wajah Al Ryan.

"Kenapa?"

"Banyak benda yang aku tahu tentang dia. Ingatan aku hilang 100%. Sekurang kurangnya kau tahu aku dan dia. Kau boleh bercerita. Mana tau ingatan aku akan pulih sikit sikit." Ujar Al Ryan panjang lebar. Dia menarik nafas panjang. Bersedia dengar apa yang keluar dari mulut khairul.

"Aku tak banyak sangat tau tentang korang. Aku tahu awal tahun 2023 kau dah bertunang dengan Orked. Akhir tahun lepas patutnya kau kahwin."

"Bila?"

"2 minggu sebelum kau kemalangan kot. Entahlah aku pun kurang ingat. Masa kau kemalangan tu. Tarikh perkahwinan kau nak dekat dah."

Tersentak Al Ryan dengar cerita Khairul.

"Tarikh perkahwinan?" Al Ryan bertanya perlahan. Nada suara sedikit tegang.

"Aku tak ingatlah tarikh sebenar kau. Aku ingat sebab kau selalu cerita pasal persiapan perkahwinan tu. Tapi aku tak nak ingatkan banyak sangat, takut kau tertekan pula." Dia menepuk bahu Al Ryan, cuba menenangkan.

"Relax je, bro. Kalau ingatan kau nak datang balik, dia akan datang." Ujar Kairul.

Al Ryan mengangguk perlahan tapi hatinya tidak tenang. Dia cuba mengingat sesuatu apa saja tentang perkahwinan itu. Akan tetapi yang ada cuma kekosongan. Jari-jarinya menggenggam kerusi di sisi. Cuba menahan emosi yang bercampur-baur.

Kairul rasa serba salah. Kenapalah topik perkahwinan yang dia mulakan. Kenapa bukan benda lain?Mulut ni pun satu. Itu yang meluncur keluar.

"Kau tahu tak! Dulu kau bukan suka sangat Orked. Kau rasa dia kampung sebab suka pakai baju kurung. Tudung bawal plain. Baju kurung bunga bunga. Cute apa." Khairul mula buka topik lain sambil tersenyum kecil. Teringat kisah dulu.

Al Ryan senyum kecil.

"Dia masuk kerja tahun berapa?"

"Awal 2022 rasanya. 3 bulan lepas tu dia jadi pekerja terbaik." Balas Khairul.

"Masa tu aku dah putus tunang."

"Sekejap sekejap. Maksudnya kau dah ingat selepas 2 tahun kau putus tunang. Tapi Lana dan mama kau cakap kau hilang ingatan yang 3 tahun lepas. 2021,2022 & 2023 ingatan kau dah hilang. Tapi sebenarnya, 2022 dan 2023 kau hilang ingatan. Lana dan mama manipulasi fikiran kau."

Al ryan mengangguk. Dia hilang ingatan bukan semuanya tapi hanya ingatan 2 tahun kebelakang sahaja.

"Siuttt macam tu je kena goreng. Tapi kan kelakarlah mama dengan Lana. Nak tipu kau. Macam kau tak boleh nak pergi jumpa." Ujar Kairul sinis.

Al Ryan hanya mengangkat kedua dua bahu. Dia sendiri pun rasa menyampah dengan lakonan mama dan Lana. Dua orang manusia tu buat dia macam manusia bodoh yang tak tahu apa apa.

"Tapi elok pulak kau mengedik dengan Lana lepas kau sedar tuuu." Ujar Khairul lagi. Matanya pandang wajah Al Ryan dengan pandangan bengang. Dia teringat kisah di hospital itu. Kemesraan mereka berdua.

"Apa?" Soal Al Ryan.

"Aku rasa macam nak tumbuk je kau masa tu. Nasib baik mama kata kau hilang ingatan. Dah sekarang kau ingat pulak. Lagilah aku rasa nak marah! Kasihan Orked tau tak!"

"Mana aku tau! Celik mata. Mama cakap ni tunang Ryan." Ujar Al Ryan dalam nada mengejek.

"Kau suka masakan Orked. Semua Orked masak kau cakap sedap. Kadang kau minta Orked masa lebih sebab nak bagi kat aku." Kairul buka ceeita tentang kisah dulu yang dia masih ingat. Ini antara satunya. Tak pernah terlepas Al Ryan puji masakan Orked.

Al Ryan mengangguk. Dia masukkan dalam otaknya.

"Makan apa aku paling suka?"

"Aku tak pasti. Tapi itu je yang aku ingat. Kau selalu puji masakan dia." Balas Khairul.

Al Ryan menghela nafas. Dia pandang ke satu sudut. Almari itu penuh buku. Dia teringatkan sesuatu tapi memori itu tersekat.

Kairul sama pandang ke arah sudut itu.

"Orked suka buku terutamanya novel. Kau dan dia selalu pergi kedai buku. Kalau ada pesta buku je. Mesti korang pergi sama sama."

Al Ryan tarik nafas panjang. Peritnya bila banyak benda yang dia tidak tahu. Dia dapat merasa sesuatu tapi memorinya terpadam.

"Lagi."

Al Ryan minta Khairul lanjutkan cerita. Dia berharap cara seperti ini akan membuka ingatan perlahan lahan.

Kairul menghela nafas panjang. Dia tahu Al Ryan terdesak untuk tahu lebih banyak tentang Orked, tapi dia juga risau jika terlalu banyak cerita akan menyebabkan tekanan emosi pada sahabatnya itu. Namun, dia tetap cuba membantu.

"Orked tu... dia jenis yang tenang. Tapi kalau dia marah. Kau sendiri cakap dia susah nak pujuk. Masa awal-awal kau kenal dia, kau rasa dia susah nak faham gaya hidup kau. Tapi lama-lama, kau pula yang ikut gaya hidup dia."

Al Ryan memandang Khairul dengan wajah penuh tanda tanya.

"Gaya hidup macam mana?"

"Macam... kau mula suka pergi kafe kecil untuk minum kopi. Dulu kau mana pandang kafe kecil. Kau kata tak eksklusif. Tapi lepas jumpa Orked, kau jadi suka lepak kat kafe-kafe macam tu. Siap ada satu kafe yang jadi tempat korang selalu jumpa."

Kairul berhenti seketika, cuba mengingat nama kafe tersebut.

"Apa nama dia... Oh ya, Cafe Laman Seni. Kau ingat tak?"

Al Ryan diam. Nama itu terasa seperti deja vu. Seperti dia pernah ada di sana, tapi gambaran dalam fikirannya kabur. Dia menggeleng perlahan.

"Tak ingat. Tapi nama tu... macam familiar."

Kairul tersenyum kecil.

"Aku tak hairan kalau kau rasa familiar. Tempat tu korang lepak hampir setiap minggu. Kadang-kadang, Orked bawa novel dia, dan kau pula bawa laptop kerja."

Al Ryan menunduk. Perasaan hampa menyelubungi dirinya. Dia ingin sekali mengingati saat-saat itu, tapi semua terasa jauh dan tidak nyata.

"Lagi?"

Kairul mengangkat bahu.

"Setakat itu je yang aku tau." Ujar Kairul.

Sebenarnya, dia ingin cerita kejadian sebelum Al Ryan kemalangan. Tidak mengapalah, dia risau Al Ryan jadi serba salah dan tertekan. Dia harus simpan dulu. Mungkin, lagi elok Al Ryan mengingati sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience