MALL.
Ini pertama kali mereka berempat keluar membeli belah bersama-sama sebagai sebuah keluarga yang lengkap. Aqi nak beli makanan mentah, Umar ikut kerana tiada plan lain, dan ditarik kedua-dua anak mereka sebagai penutup fitnah.
"Tak pasal-pasal kitorang jadi mangsa..." rungut Emir yang mengekori di belakang. "Ma ayah dating je la berdua. Buat apa bawa kitorang sekali. Tak romantik langsung. Masa Raya ritu, elok je flirt macamlah masing-masing single."
Umar tergelak sendiri. Aqi pula mendesis malu. "Kami tak dating. Ma nak balas jasa ayah kau pasangkan semua benda tu dekat rumah. Kau bukannya buat benda lain pun... tidur je kan..."
"Tidur pun benda penting juga..." sambut Ami pula, menggerutu kerana hujung minggu diganggu.
Umar menoleh. "Kau dah tak buat video masuk Instagram ke? Kalau tak setiap weekend kau mesti sibuk."
"Ami dah dapat ma, Instagram tu dah hilang tujuan hidup dah. Emir pun malas nak tolong buat content..." Kepala dipalingkan pada abangnya yang mengekori di belakang. Tetapi tiada. Aik? Ami berhenti melangkah. "Mana Emir?"
Umar dan Aqi turut berhenti berjalan, menoleh ke sekeliling. Anak lelakinya itu lesap macam asap. Rasanya baru sekejap tadi dengar suara dia.
"Telur busuk! Dia lari tak ajak aku!" getus Ami, terlebih dahulu mengesan taktik Emir sebelum ibu bapanya.
"Budak tu memanglah... kau jangan lari pula, Ami!" arah Aqi pula.
Gadis berambut panjang paras punggung itu merenung ibunya. Tubuh dipusing dan terus dia memecut lari. Umar dan Aqi menghantar si lasak itu pergi bersama keluh ringan.
"You know... kalau nak balas dendam, the only way kita boleh buat mereka stress ialah kita bergaduh," ujar Aqi sambil merenung anak perempuannya yang berhenti di kedai jam tangan.
"Kau nak ajak gaduh pasal apa?"
"Aku tak fikir lagi. Tapi kita akan bergaduh naturally, so it's in due time." Dia berkalih, kembali menyambung langkah ke Econ Save.
Umar menahan senyum. Kali ini benar-benar terasa macam dating. Wujud pula rasa bersalah pada Mimi. Tapi ah! Bukannya Mimi tak tahu perasaannya pada Aqi. Alang-alang ada peluang, kita rembat!
"Kau nanti pakai baju maroon tu?" soalnya, menukar topik.
"Baju maroon mana? Aku ada banyak baju maroon."
"Dress maroon yang kau pernah pakai dulu... Yang kau bersolek macam nak jadi bidadari... Yang kau cantik gila sampai aku termimpi-mimpi..." Langkah dipanjangkan hingga dia berjalan di sebelah Aqi semula. "Kau cakap nak berhias untuk aku sempena birthday aku... So kau akan pakai baju tu lagi?"
Comel benar permintaan itu hingga Aqi tersenyum kecil. "Baju tu hadiah dari Kuro tau... Kau nak aku pakai untuk kau?"
Muka Umar berubah seratus peratus hingga membuat Aqi menyesal kerana menyebut nama yang dah menjadi taboo tanpa lisan itu.
"Dia yang hadiahkan?? Untuk apa??"
Aqi enggan menjawab hingga membuatkan Umar menarik tangannya. Agak kasar bahana desakan perasaan.
"Kenapa dia hadiahkan dress dekat kau??" Tanya mata hazel yang bersinar marak itu lagi.
Aqi menelan liur yang terasa kelat. Baru je seminit tadi dia mengharap mereka bergaduh. Lidah masin!
"Aku minta. Dia belikan. Tu je..." jawabnya perlahan.
"Kenapa tak minta kat aku??"
"Dia hadiahkan last year! Aku belum balik ke sini lagi masa tu!" Tangan ditarik kasar.
Umar pula masih dengan marah yang cuba dikawal. "So that night... yang kau berhias macam pengantin... ialah sebab kau nak pergi dinner dengan dia?"
Kenapa geliga sangat mamat ni?? Aqi bertukar cuak. Umar pula terus mengawal marahnya hingga akhirnya dilepaskan dengan hembusan nafas panjang. Kemudian senyum dileret pada Aqi yang nampak pucat.
"Mujur aku buatkan kau tak jadi pergi dinner malam tu. Aku menang. Harharhar!" Sepatah-sepatah dia gelak sambil menjungkit hidung ke langit. Berlagak tak memasal hingga membuatkan Aqi menghembus nafas berupa sedakan. Bersyukur Umar terpujuk sendiri.
Ekor mata terpandang barang-barang bayi. Spontan tangannya dibentang ke hadapan Aqi, menghalang wanita itu menyambung langkah. Aqi pula mengaduh bila terhentak lengan besi itu.
"Apa lagi kau ni?! Sakitlah Mar!!"
Tetapi tumpuan bukan pada Aqi, melainkan pada beberapa stroller yang ditunjukkan. "Bila aku boleh beli stroller?" Kepala didekatkan pada Aqi walaupun matanya masih pada barisan stroller di depannya.
"Bila baby kau lahir..."
Angguk. "Yang mana satu sesuai untuk baby yang baru lahir? Mereka membesar jadi aku kena tukar stroller setiap setahun ke? Lebih baik beli yang besar terus kan?" Tangan kiri dilipat melintang ke dada manakala tangan kanan menggaru jambang.
Nak tergelak melihat ulah lelaki itu. "Mar, kau beli bila baby kau nak due la. Sekarang, perut pun tak timbul. Nak beli buat apa?"
"Salah ke beli sekarang?"
"Tak salah, tapi terlalu awal..." Lengan itu ditarik. "Jomlah teman aku jalan—kau shopping la sendiri! Kenapa tiba-tiba kau nak teman aku berjalan!!"
Sendiri mengajak, sendiri marah, lepas itu berpusing ala dramatik sebelum berjalan pergi, meninggalkan Umar menghantarnya pergi dengan kening bercantum. Stroller dipandang, kemudian Umar menoleh, melihat Aqi menjauh. Kemudian pada stroller lagi. Kemudian pada Aqi yang semakin menjauh. Dan dia memilih si perempuan.
"Dulu kau mengandung macammana Aqi?" soalnya bila kembali berada di sebelah si perempuan.
"Eh? Kau ada lagi?"
Tak peduli. "Bila kau dapat tahu kau bawak budak nakal dua ekor tu?"
"Third month."
"Lambatnya!"
"Ya... aku dapat tau sebab tiba-tiba jadi gemuk... period aku memang abnormal sikit, jadi aku memang tak saspek. Tapi tiba-tiba je perut aku ke depan... sini membulat..." Tangan membentuk cembung di dada.
Umar menjeling ke dada itu bersama minat. "Bila baby bump keluar?"
"Second trimester selalunya."
"I see..." Baby bump Mimi dibayang. "Can't wait..."
Aqi merenung air muka lelaki itu. Penuh dengan cahaya pengharapan. Bahagia sekali riasnya menunggu anak yang akan lahir. Lelaki ini tidak sabar nak menyambut peluang menjaga ibu mengandung, berdepan dengan susah payah sebelum melahir, semasa dan selepas. Membuat semua persediaan yang perlu. Sebuah pengalaman berharga bagi setiap pasangan.
Air matanya menitis tanpa dapat ditahan. Lekas diseka sebelum Umar nampak.
Dulu dia tak memberitahu Umar yang dia mengandung kerana dia masih marah atas penceraian mereka. Dia dan Umar memang sekepala. Bila marah, tahap selfish melangit. Tetapi dia dah hilang peluang itu sampai bila-bila. Sekarang, hanya Mimi yang boleh memberi peluang itu pada Umar. Lalu Aqi tersenyum sendiri, redha dan pasrah.
"Nanti kau kena jaga Mimi baik-baik. Pengalaman tu, kau tak boleh nak compare dengan mana-mana part hidup dalam life kau, Mar. Bila ingat balik, rasa nak nangis..."
Perasan nada Aqi memberat. Mungkin tengah sayu mengingati pengalamannya sendiri. "Lepas tu budak-budak yang kau kandungkan tu berdesut lari bila kau panggil minta tolong."
Ketawa Aqi terlepas, sekaligus melupuskan hibanya. Umar tersenyum lega.
"Siapa yang jaga kau masa tu, Aqi?"
"Zach."
"I see. Aku perlu berterima kasih dekat dia... masalahnya aku tak dapat contact dia langsung!"
Senyum haru dilukis pada wajah. "Nanti aku sampaikan terima kasih kau tu, Mar..." luahnya, masih enggan berterus terang.
MEREKA sedang memilih ayam mentah bila tiba-tiba Umar menerima panggilan dari Mimi. Umar cuak seketika. Ada orang melapor pada isterinya yang dia shopping berdua dengan Aqi, ke? Dengan lafaz bismillah, disambut jua panggilan itu.
"Abang dekat mana?"
"Err... mall..." Tak boleh nak mengelak sebab Nabila Razali tengah memekak dengan Peluang Kedua dekat speaker mall.
"Dengan siapa?"
"Aqi and the twin."
"Buat apa keluar dengan mereka?"
"Beli grocery untuk dinner kami esok."
"Ohh... kenapa abang ikut sekali?"
"Budak-budak nakal tu tarik. Abang tak boleh nak lari."
"Nice save," bisik Aqi bersama tawa nipis. Kemudian terus mencuri dengar Umar berbual dengan Mimi sambil memilih barang basah di depan mata. Selesai membeli ayam dan nak memilih daging kambing, barulah Umar menamatkan perbualan dengan isterinya dengan ucapan selamat dan mendoakan keselamatan perjalanannya.
"Mimi pergi mana?" soal Aqi sambil berjalan ke arah isle sayur.
"Tidur rumah mak dia."
"Oh. Kau ikut sekali?" Brokoli dicari.
"Tak... dia suruh aku spent time dengan korang."
Kelopak mata Aqi terbuka lebih luas pada brokoli, lalu dia menoleh dengan muka berkerut. "Huhh??"
iPhone direnung. "Risau pula aku..." Macam air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Umar benar-benar rasa tak sedap hati dengan kebaikan yang tiba-tiba itu.
"Aku ingat dia pakai plan tu untuk spoilkan plan aku..." ujar Aqi.
"Legit.... atau dia pakai reverse psychology supaya aku lebih sayangkan dia sebab dia beri aku ruang untuk habiskan masa dengan korang?"
Dan berpandangan lagi.
"Bini kau mampu fikir sejauh tu?" Jujur Aqi bertanya.
"Dia confuse reverse dengan reserve, even... kau rasa?"
Aqi menghembus nafas panjang, mengingati wajah cantik itu. "Mimi is not academically inclined... but she's not stupid..."
Umar mengangguk. "Aku tak tahu apa yang dia fikir, but its fair to say weekend aku free untuk kau dengan anak-anak kita."
Aqi menjeling bersama kening terjungkit. "I love that."
Senyum. Jam dilihat. "Jom pergi pantai. Tengok sunset. Makan seafood ke?"
"Nak!!" Mata itu bersinar seperti matahari terbit. Umar tertawa halus. "Tapi tak boleh lama. Aku ada hal lain malam nanti," sambung Aqi, sekaligus memudarkan tawa si lelaki.
"Hal apa?"
"Ada la..." Hal malam ni sebolehnya enggan diceritakan pada Umar. Tetapi tangannya dicapai lelaki itu. Aqi menyeringai sebelum membiarkan dirinya dipusing si lelaki. Umar menundukkan kepala ke wajahnya. "Aku taknak cakap," ujarnya terus.
"Kenapa taknak cakap?" tanya si kacak dengan muka comel.
"Sebab nanti kau buat perangai!"
"Pernah ke aku buat perangai selama ni?"
Aqi spontan buat muka sambil menjungkit sebelah kening, membuat Umar menelan ketawanya. "Okay okay. Aku janji aku tak buat perangai. Aku ialah your big man who make the big decision for us..." Aqi menahan tawa. "Try me. Kau ada apa malam ni?"
Muka bersungguh itu membuat si perempuan mengalah. "Dinner date...." balasnya bersama hembusan nafas dalam. Ada sedikit doa yang terselit meminta Umar jangan meroyan.
"Dinner date?"
Kepala diangguk.
Mata dijuling ke langit, berfikir. Teringat permintaannya pada Aqi untuk mencari pasangan hidup. Sebab itu ke wanita ini aktif benar dalam marriage market.
"Dengan member, atau calon husband...?"
Diam seketika. "Kau sure kau takkan buat perangai?" soalnya, dan Umar membalas dengan gaya, jangan layan aku macam budak kecil. Si wanita mengalah lagi. "The latter."
Boom!
Hati Umar terus terbakar. Lekas lidah digigit, memproses emosinya elok-elok. "See? Aku tenang. Aku tak buat perangai." Wanita yang melepaskan ketawa halus itu direnung. "Kuro?"
Masih dengan ketawa. Aqi lalu menutup mulut. Terhibur benar dengan tingkah Umar ketika ini. "Aku taknak cakap... tapi kalau the progress is good, then I'll introduce him to you..." Sengih nakal dilirik.
Pertama kali dalam hidup Umar, senyuman Aqi memberi pedih dalam hatinya kerana beranggapan wanita itu tengah tersenyum memikirkan lelaki lain. Tiba-tiba dia hilang akal nak memberi komen apa.
"Tapi kita masih boleh pergi ke pantai. Sekejap je la. Aku rindu juga nak tengok laut," ujar Aqi. Alang-alang boleh menghabiskan masa dengan Umar dan anak-anaknya, dia berbesar hati melakukannya.
"Okay." Namun dalam kepalanya tengah merencana sebuah pelan lain.
TOYOTA Prius dipandu laju menerusi lebuh raya. Penat dengan iklan radio, pendrive berisi lagu-lagu kegemarannya dikeluarkan dari dompet. Disumbat ke USB dashboard setelah diizinkan ayahnya. Lagu pertama kedengaran, Akulah Kekasihmu – AXL.
Aqi dan Umar serentak memandang radio. "Lagu rock kapak. Sejak bila, Mir?" soal si ayah.
"Sejak zaman lampin," sambut Ami. "Abang punya level jiwang sampai Ami tak boleh ikut."
"Lagu lama ada jiwa hehe—kau panggil aku abang?"
"Mana ada."
"Kau panggil aku abang! Aku dengar! Sebelum ni pun aku pernah dengar kau panggil aku abang!"
"Mati hidup semula pun aku takkan panggil kau abang." Datar menjawab.
Emir memicing. Kening dijungkit, tak peduli. Lalu dia menyanyi mengikut lagu tersebut, dituruti Aqi. Masuk chorus, tiba-tiba Ami ikut menyanyi sama. Apa lagi, Emir terus memasang volume ke paras tertinggi. Umar tidak membiarkan dirinya ketinggalan, lalu ikut karaoke bersama. Sebuah momen yang jarang datang dan benar-benar menggembirakan.
Perasan mereka bergerak jauh ke Selatan, Aqi menegur si pemandu.
"Kita nak kemana ni Mar?"
"Desaru."
Terperanjat. "Kan aku dah cakap aku nak balik sebelum malam! Mana sempat balik kalau pergi sekarang! Kau pusing balik!"
"Taknak dengar... taknak dengar..."
"Umar...!" Geram lalu.
"Kenapa ma nak balik?" soal Ami pula.
Aqi menoleh sebal. "Ma ada date malam ni..."
"Date?!"
"Dengan siapa?" soal Emir.
Bibir dijuih, lalu Umar dikerling. "Kuro."
Api cemburu yang tadinya menyala santai macam api campfire, kini melambung tinggi macam disimbah petrol. Umar menggenggam stereng sekuat hati sambil membuang nafasnya. Aku tak buat perangai... aku tak buat perangai... diulang-ulang dalam kepala.
Emir pula terkedu. "Ma dengan Kuro?? Sejak bila??"
"Siapa Kuro?" soal Ami terus bila melihat Emir mengenali insan tersebut.
"Baru je... sebab ayah kau suruh ma cari calon suami..."
"HAAA?!!" Kedua kembar itu terpekik nyaring, sekaligus mengejutkan ibu bapanya.
"Ayah dah kenapa nak lepaskan ma tiba-tiba?! Hari tu elok je i love you dekat ma! Kenapa tiba-tiba nak lepaskan?!" soal Ami tak percaya. "Dahlah siapa entah yang kita tak kenal!!"
Emir menoleh pada adiknya. "Kuro bukan siapa entah. Dia memang sukakan ma lama dah..."
Prius hampir terlanggar buntut kereta di hadapan bila Umar menekan pedal minyak ke lantai. Penumpang-penumpang itu turut tertolak ke belakang bahana inersia. Lekas kelajuan dikawal semula. Dadanya pula dah mula turun naik dengan nafas deras. Aqi makin risau.
"Tapi masih tak confirm... sebab tu nak date dulu... untuk tengok compatibility..."
"Tunggu compatibility apa benda? Ma dengan Kuro memang compatible dari dulu, tapi ma yang reject Kuro sebab bersungguh nak balik Melaka untuk reunite dengan ayah. Bila tiba-tiba macam ni, Kuro akhirnya dapat peluang dia untuk ikat ma laaa," tambah Emir lagi, sengaja menambah minyak bila menyedari cemburu ayahnya.
Ami masih keliru. "Serius wehhh... siapa Kuro??"
Aqi menoleh ke kerusi belakang. "Emir, diam. Ami, Kuro ialah kawan ma. Dan kau Mar... patah balik please..."
"Dah separuh jalan dah ni Aqi!"
"Cis... kau dah tahu aku tak free malam nanti. Kenapa pergi ke pantai jauh begini?"
"Kau cakap kau nak habiskan masa dengan aku..." keluh Umar pada jalan raya pula.
"Itu esok..."
"Kalau macam tu, untuk hadiah birthday aku, aku nak habiskan masa dengan kau dengan anak-anak kita dekat Desaru. Kita buat tuxedo-night-whatever-the-hell-that-is dekat sana, sambut birthday aku kat sana, beli everything dekat sana untuk accommodate apa yang tak cukup. Aku akan bayar semuanya. Biar si Kuro sapa entah tu mereput tunggu engkau kat Melaka!"
Ami dan Emir berpandangan. Drastik sangat trip kali ni. Jauh lebih drastik dari road trip Raya. Aqi pula merenung si lelaki dengan muka berkerut.
"Kau yang suruh aku cari husband, kenapa kau sendiri tak suka bila aku nak try seorang?" Ada nada marah di situ.
"Aku bukan tak suka, tapi kau dah janji nak spent time dengan aku masa birthday aku, tapi kau bahagikan masa kau dengan boyfriend kau pula..."
"Bila pula dia boyfriend aku! Dia kawan aku je, Mar..."
"Kau cakap dia calon husband!"
"So what? Kawan tak boleh jadi calon husband?! Aku cakap aku baru nak try, kan?!" Bengang pula dibuatnya. Terasa Umar cuba mengawal tindak tanduknya.
"Weekend ni, kau dah setuju yang masa kau dan anak-anak kita ialah untuk bersama dengan aku! Kau jangan jadi munafik, Aqi!"
Dan senyap terus ruang dalam kereta itu. Gagal memberi sebarang komen atau maklum balas atas kemarahan yang ketara itu.
"Fine... biarlah aku bagitau dia plan tangguh..." iPhone dikeluarkan dari handbagnya. Tanpa disedari, Umar membuka tingkap kereta. Aqi baru nak memberi khabar pada lelaki itu di hujung talian bila iPhone tiba-tiba lesap dari tangan. Terperanjat si perempuan. Dan bulat matanya bila Umar melontar terus iPhone itu ke luar tingkap.
"Umar Darius!!" Barulah suara wanita itu melangit.
"Rilekslah. Nanti aku hadiahkan baru. Kau nak sepuluh ke seratus?"
"Bukan itu masalahnya! Aku nak bercakap je dengan dia!!"
Giliran Umar pula senyap, enggan membalas. Dia panas hati. Cukuplah tahu itu.
Aqi melopong tak percaya. Dia dah jangka Umar akan buat perangai, tapi tidaklah sebegini sekali! Lalu anak lelakinya dipandang. "Emir, call Kuro."
"Eh?"
"Emir, kau jangan berani call celaka tu!!" Marah Umar pula, lebih berkuasa nadanya hingga merenjat sendi dan sel tubuh si anak.
Muka Aqi memerah. "Fine. Tak payah call Kuro. Call polis dan cakap ada lelaki gila tengah culik kita!!"
Si kaca mata menjuih. "Itu boleh. Asalkan jangan call si celaka tu..." ujarnya sebelum meletakkan dagu pada stereng, fokus merenung jalan.
Putus fius. "Apa masalah kau dengan Kuro?!! Jangan panggil dia celaka!!" jeritnya lalu memukul bahu Umar banyak kali. Benar-benar naik angin kali ni nampaknya. Umar pula cuba bertahan sambil mengekalkan fokus pemanduan.
"Aqi!! Aku tengah drive!!"
Tak habis, Aqi menoleh lipat maut pada anak-anaknya yang tengah pucat melihat mak ayah bergaduh. "Apa lagi? Call-lah polis!"
Emir dan Ami menelan cuak. Tak pernah dilihat emaknya marah mendesak begini. Emir membuka tingkap, lalu iPhone dilontar keluar. Terlopong si adik kembar melihat tindakan abangnya. Darah berderau turun bila ibunya menoleh padanya pula. Terus dipeluk iPhone ke dada.
"Na'ahh.... iPhone Ami is my life. Ma jangan suruh Ami buang."
"Ma tak suruh buang. Ma suruh kau call polis..."
"Okay okay. Nak polis Melaka ke polis Johor?"
Dan terdiam.
"Kau call 999 je. Nanti mereka hantar signal dekat balai polis terdekat," ujar Emir.
"Okay." 999 dah ditekan, malah ditunjuk pada ibunya. "Patut ke Ami proceed?"
Aqi merenung nombor kecemasan itu, kemudian pada mata hazel bulat milik anak perempuannya. Ami memang akan menekan butang Call tanpa ragu-ragu. Bersama dengus, Aqi berkalih dan kembali duduk bersandar. Tangan dilipat berpeluk tubuh dan wajahnya dipalingkan menghadap tingkap, sejenis bahasa isyarat yang diketahui umum bahawasanya seseorang wanita sedang marah.
Setelah masing-masing tidak berbunyi, barulah mereka menyedari lagu apa yang sedang bermain di radio. Pesanan Buat Kekasih – Spring.
Sekiranya engkau merinduiku
Hubungilah aku di sini
Jika ada kesilapanku
Maafkanlah diriku oh sayang
Terus ditutup radio itu. Menyampah rasanya. Umar membuka semula, nak mendengar. Dan Aqi menutup lagi. Umar tetap berdegil. Sekali lagi kembar itu berpandangan.
Dan izinkan aku bertanya
Mengapa kau berubah hati
Bengang. Ditutup lagi. Umar membuka dan terus ditahan tangannya disitu.
Kiranya kau ada penggantiku
Tetapi hidupmu tak bahagia
Relaku memaafkanmu
Dan menerimamu sayang
Walaupun hatiku kau lukai
Namunku masih menyayangi
Tangan Umar dan Aqi sedang berperang dan bertepuk tampar di depan dashboard, bergaduh nak menguasai radio. Bahana berang, Aqi menangkap tangan Umar dan digigit sekuat hati.
Meraung lelaki itu dibuatnya. Terus buku lima digenggam erat, dan otot lengan dikeraskan.
"Fine. Gigit sepuas hati kau. Aku akan tahan."
Tawaran itu diterima. Gigi dibenam sekuat hati segeramnya. Biar luka kalau boleh. Lelaki ini tak kisah luka, kan?
"Ma, friendly reminder, kesan gigit manusia jauh lebih teruk jangkitannya dari gigitan haiwan tau. Jangan sampai ma hantar ayah ke hospital untuk potong tangan dia sebab gaduh semasa roadtrip semata," komen Emir di belakang.
Dan Aqi melepaskan gigitan. Giginya meninggalkan bekas yang cukup dalam pada kulit lelaki itu. Ditolak tangan itu ke tepi. Umar mengelap liur pada jeans sebelum merehatkan tangannya di atas pahanya.
Lagu dah bertukar kepada Kurik Kundi – Siti Nurhaliza, memanggil Ami untuk tertawa. "Lagu apa kau dengar ni Emir?!"
"Seronoklah lagu ni. Ada nilai kemelayuan. Seni bangsa kita. Suara Siti pun helok."
"Kau ni pelik, kau sedar tak? Kawan-kawan kau dengar lagu metal, kau dengar lagu macam ni."
"Tak kisahlah. Aku minat benda aku, mereka kisah apa."
Perbualan anak-anaknya membuat asap di kepala memudar sedikit walaupun hatinya masih panas berbahang. Tangan Umar dikerling sekilas. Kesan gigit tadi berbekas merah. Timbul pula rasa bersalah di hati.
"Ada air tak? Air kosong..." soalnya pada anak-anaknya.
Ami menghulur botol air yang ditemui dibawah seat. Kemudian Aqi mencapai tangan kiri Umar, mengejutkan si lelaki. Dibasuh bahagian yang digigitnya tadi.
"Kau basahkan kereta aku."
"Small price to pay sebab culik orang dan buang phone orang." Tangan Umar diletakkan di atas pahanya. Lelaki itu menjeling pelik, tetapi membiarkan. Krim antiseptik Dettol yang sentiasa dibawa bersama, disapu pada bekas gigitan. "Mudahan tak infected..." Doanya sesungguh hati. Malah ditiup sedikit ke bahagian sakit itu, meniup sekali api tsunami dalam hati si lelaki tadi.
"Sakit lagi?" Lembut bertanya. Malah bahagian berdenyut itu diurut sedikit.
"Okay je..." Halus juga suara garau itu menjawab.
Emir dan Ami berpandangan lagi. Nak tergelak melihat dinamik ibu bapa mereka. Nampaknya tak perlu risau teruk sebab mereka pandai berbaik sendiri selepas ditegur.
Aqi menghabiskan kerjanya dengan melekatkan plaster yang juga dibawa bersama. Keadaan buku lima Umar pula disentuh. Kerana luka ber-boxing, kulit di buku lima itu menebal dengan kulit kering serta meninggalkan parut.
"Kasarnya..." komennya, bermonolog.
"Aku dah pakai losyen pun kasar lagi?"
Ketawa Aqi terlepas tanpa dapat ditahan. "Bongok... aku tengah marah, kau buat lawak... hahaha..."
Dan sesungguhnya, tiadalah jampi atau sihir tahyul yang dipakai Aqi untuk memikat hati Umar melainkan ketawa, senyumannya, tingkah lakunya dan sifatnya semata. Hati Umar dipanah cinta buat kali ke 100 juta.
Tangan Umar diletakkan semula ke tempat asal. Hanya sekejap, kerana tangan itu memanjang bagi mencapai tangan wanita itu. Aqi terperanjat. Diletakkan kembali tangan Umar ke habitat asal, tetapi tangan itu berdegil. Tangan Aqi ditangkap, dan terus digenggam erat.
Aqi terkedu. "Seriously?"
"Give me a minute... just to get it out of my system..." Nafas ditarik sedalamnya, menenangkan raga yang dihambat ribut taufan ketika ini. Ikutkan hati, dia culik terus ke Thailand. Dia mampu buat. Tetapi bersabarlah hamba Allah yang bernama Umar Darius. Bini kau tengah mengandung. Jangan buat kerja gila yang lebih gila dari apa yang kau tengah buat sekarang.
Melihat halkum itu turun naik, Aqi berlembut hati. "Kau dah kronik, kau sedar tak?"
Bukan sekadar sedar, tetapi bernafas setiap hari dengan derita cinta di dada. Yang membuatnya menjadi si bacul yang tidak kukuh dengan keputusan sendiri. Anak mata dikerling pada radio bila lagu bertukar kepada Putus Terpaksa – Ziana Zain. Kemudian dijelingkan pula pada wanita di sebelahnya bila dia terdengar tawa. Mulut Umar terbuka, terpegun dengan rasa yang terus menerus menyesak di dada. Semakin dihalang rasa ini dari merebak, semakin kuat tekanannya hingga meletup dan merenjat akalnya.
Ya Allah... tolonglah aku....
Ami tiba-tiba memanjangkan tangan ke dashboard hingga mengejutkan mereka. Pendrive Emir ditarik kasar hingga mematikan terus lagu jiwang itu.
"Oi! Bagi balik!!" marah si abang.
"Lagu kau buruk-buruk!!"
Giliran kembar itu pula bergaduh. Aqi kelam kabut nak meleraikan mereka, manakala Umar berterima kasih atas tingkah anak-anaknya.
Hujung minggu ini akan membantu Umar membuat keputusan terakhir yang menentukan pengakhiran kemelut cinta mereka.
Share this novel