SAMPAI di lobi hotel, Aqi terus bergegas ke kaunter lobi dan meminta kebenaran pada staf hotel untuk menggunakan telefon di situ. Umar yang mengekori rapat dibelakang hanya memerhati tanpa kata. Wanita itu mengeluarkan dompetnya, dicari business card, dan terus dihubungi nombor pada kad tersebut. Sambil menunggu panggilan bersahut, dia menjelir lidah pada Umar yang tengah merenungnya.
"Hey, Kuro! Aik, menjadi la nombor ni! Hahaha! Sorry malam ni tak boleh jumpa. Kirim salam dekat Aki. Kalau aku kat Melaka, aku boleh bawak korang makan sedap-sedap tapi aku tak boleh... sebab ada lelaki GILA culik aku dengan anak-anak aku just because dia insecure and jealous tak tentu pasal," ujarnya satu persatu disebut sambil membalas cerun Umar dengan renungan mencabar. "Okay bye. Sayang kau! Muah muah muah!" Gagang diletakkan, masih dengan muka mencabar.
Berasap kepala Kuro kat talian sebelah.
Umar menggelengkan kepala. Melawan betul.... "Ikut suka kau. Yang penting, aku dah angkut kau ke sini." Perasan staf hotel itu merenungnya, Umar spontan tersenyum. "Dua bilik please."
"Oh.... encik nak bilik apa?" soal staf.
"Sea view queen bed ada?" sampuk Aqi, terus berdiri di sebelah Umar.
"Aaaa—da..." Panjang sekali 'aaa' nya semasa memeriksa bilik kosong.
"Saya nak yang tu. Abang handsome ni, awak bagi stor cleaner je," sengihnya sambil menepuk bahu Umar. Terasa keras bahu itu, lalu dipicit-picit.
Staf itu terkaku seketika sebelum menoleh pada Umar.
"Bagi dia sea view queen bed macam yang dia nak. Saya tak kisah apa-apa bilik asalkan tak jauh dari bilik dia," balas si lelaki sambil menepis tangan Aqi yang memicit bawah lengannya. Kad kredit dikeluarkan.
"Tak seronoknya bila kau sado keras macam ni. Dulu lagi seronok, sebab kau empuk macam badak ai—aack!" Tersentak bila muka dicengkam Umar.
"Ma, ayah, makanan mentah ni macammana? Takkan nak biar dalam kereta," soal Ami dan Emir yang datang dengan barang shopping tadi.
"Bagi kat homeless je la."
Aqi menarik tangan Umar bagi melepaskan mukanya. "Bagi je la dekat staf hotel. Ada depan kita je ni ha..."
Umar merenung si wanita sebelum menoleh pada staf yang masih memerhati mereka. "Awak habis shif pukul berapa?"
"Lapan malam nanti."
"Bolehlah tu. Awak bahagikanlah dengan kawan-kawan awak nanti."
"Terima kasih." Alhamdulillah rezeki. Dua remaja bermata hazel yang mengangkat plastik berisi makanan mentah ke dalam kaunter, diperhati. Sama cantik sama kacak macam ibu bapa mereka.
Aqi merapatkan diri ke kaunter lagi. "Saya beli semua tu sebab nak masak keli salai masak lemak, daging hitam, ayam honey lemon, ayam masak merah, kailan ikan masin, dan sayur campur atas request certain badak air yang bertukar jadi Ultraman ni. Sekadar idea untuk awak masak apa nanti." Senyumnya.
"Ooh... terima kasih..." Kunci bilik berupa kad serta kad kredit Umar dihulur satu persatu. "Kunci untuk encik... dan err... untuk satu lagi bilik..." Masih pelik kenapa mereka mengambil dua bilik berbeza tetapi mungkin ada rancangan masing-masing.
"Thanks!" Aqi mencapai kad kuncinya dan terus berpusing. Bahu Ami dipeluk untuk dipimpin ke lif. Emir pula mengekori rapat di belakang.
Staf hotel itu menghantar Aqi pergi dengan senyum. "Isteri encik comel."
"Dia bukan isteri saya."
"Eh?"
"Kami pasangan cerai," jelas Umar lagi. Dompet dipadat semula ke dalam jeans. "But its cute that you thought that. Kami nampak macam couple ke?"
"Erk... bila tengok balik, macam kawan baik..."
Senyum. Selajur, Umar berlari bila menyedari Aqi dan anak-anaknya tengah memasuki lif.
TUXEDO NIGHT ialah aktiviti yang dicipta dua kawan baik merangkap bekas mahasiswa kejuruteraan serta bekas banduan yang bernama Kuro dan Aki, dimana mereka memakai tux bagi memasuki tempat-tempat eksklusif untuk mengorat wanita-wanita berprofil tinggi untuk dijadikan sugar mommy. Tapi sejak mengenali Ekin @ Aqi, wanita itu gemar menyibuk dalam aktiviti mereka dan akhirnya tuxedo night menjadi acara kasual yang lebih halal i.e. sekadar cukup kalau melaram dan makan-makan. Dan kini, melarat pula pada keluarga si wanita.
Rentetan kesungguhan Aqi nak membuat tuxedo night syariah compliance itu, Umar dan Emir sedang menunggu di lobi hotel dengan tux masing-masing. Umar memakai contact lens kerana nak menukar angin, manakala Emir memakai cermin mata hitam. Bukan main! Tahap segak dan kacak dua beranak itu sampai cukup untuk menarik perhatian beberapa wanita yang melintasi mereka. Emir sempat melayan manakala Umar memerhati dari tepi.
Melihat Emir berjaya mendapat nombor telefon wanita asing itu, Umar ketawa besar sambil menepuk tangannya. "Kau pantang je bila tengok perempuan..." Si ayah menggeleng kepala.
"Hobi je ayah. Bukannya Emir nak buat bini," sengihnya pada nombor telefon yang ditulis pada tapak tangannya.
Ayat kasanova tulen. Umar nampak masa depan yang carca marba untuk anak lelakinya ini. "Jangan sampai kau lukakan hati perempuan yang kau sayang dengan mentaliti macam ni, tahu?"
Lelaki tinggi itu ditentang. "Macam ayah?"
Sedas diterima. Umar tertawa lagi. Bahu dijungkit sambil menyeluk tangan ke dalam kedua belah poket seluar. "Nak pikat ma kau bukan main susah, inikan pula nak pening kepala memikat perempuan lain..."
"Haha... aunty Mimi?"
"Ayah tak pikat dia... dia datang sendiri... ayah layan je." Nafas dihembus sambil menoleh ke pintu luar. "Mereka berdua cukup untuk peningkan ayah. Ayah tak perlukan perempuan lain..."
Emir tersenyum kecil sambil mengingati emak tirinya itu. Ami pernah bagitau dia tak sukakan Mimi sebab perangai miang perempuan itu sampai racunnya terpalit ke keluarga mereka. Sifat penggoda bukan sejenis gender issue nampaknya, sebab lelaki dan perempuan sama-sama miang, asalkan berani menggunakan seksualiti masing-masing untuk kepentingan peribadi. Sebab tu Kuro dan Aki mencipta tuxedo night. Sebab tu Mimi mampu menarik Umar ke dalam pernikahan. Dia pun nampaknya ada bakat tersebut yang dia tak pasti lagi nak gunakan sekadar untuk hobi atau benda lain pada masa akan datang.
Terperanjat bila kepalanya diusap tiba-tiba. Ah, ayahnya tengah membetulkan rambutnya. Emir melangut pada lelaki tinggi itu, sekaligus memerhati fizikal yang sempurna tetapi perangainya suka mengejar emaknya seorang. Kalau ayahnya jenis tak puas dengan seorang perempuan, mungkin mereka takkan berada di sini sekarang. Emaknya pun lebih mudah mencari pengganti.
Untuk itu, dia bersyukur.
"Antara gentleman macam ni barulah tuxedo night. Tak kena kalau ladies join. Kena tukar nama," ujar Umar, membetulkan rambut anak lelakinya supaya betul letak cacaknya. Ini barulah Umar Darius Junior!
Emir mengekek. Terhidu wangian pada tangan ayahnya. Malah sangat dikenali bau ini. "Kenapa tangan ayah bau losyen ma?" soalnya terus.
Mata Umar membesar. "Erkk..."
Pemuda itu merenung datar. "You guys flirt dalam kereta masa kami tidur ke?" tekanya, yakin dengan deduksi itu kerana dia dan Ami sama-sama maklum yang ayahnya suka menggatal pada ibunya setiap kali dia ingat orang lain tidak melihat. Cuma reaksi ibunya yang berubah-ubah. Kadang marah, kadang melayan. Boleh jadi kali ini ibunya melayan.
Umar menggaru belakang kepala yang tidak gatal. Masih tidak menjawab tetapi telinganya dah bertukar merah tanda tekaan itu benar.
Si anak bujang spontan mengerutkan dahi melihat reaksi itu. Ayahnya pandai malu? "Kenapa suruh ma cari lelaki lain kalau ayah tak boleh nak lepaskan ma walau seminit?"
"I'm still trying nak control diri. Lagipun ma kau pun laju je cari pengganti. Bila masa entah dia kenal Kuro tu sampai terus nak adjust buat husband..." cemiknya pada lantai pula.
"Dua tahun."
"Em?"
"Ma dengan Kuro dah kawan dua tahun...."
"Masih baru lagi..." bisik Umar pada dirinya sendiri. Malah, tahap rapat sampai dipercayai untuk menjadi emergency contact dan calon suami. "Ma kau betul-betul sukakan dia ke..." soalnya lagi dengan nada suara yang cukup berat.
Pemuda itu diam seketika, mengimbas memori bagi menjawab persoalan si ayah. "Emir tak boleh nak jawab... sebab hati ma, dia je yang tahu. Apa yang Emir tahu ialah kawan-kawan ma, termasuk Kuro, semua tahu priority ma ialah balik ke pangkuan ayah masa tu. Cuma... bila Kuro dengan ma bersama, nampak macam... ada chemistry... attraction..." Ayahnya yang memuram direnung dengan senyum kecil.
Kepala dipaling bila melihat ibu dan adik perempuannya memuncul dari lif. Aqi mengenakan dress hitam, manakala Ami mengenakan dress putih. "Ayah tak perlu risau pasal Kuro. Dia baik dan boleh diharap. Kalau betul ayah nak lepaskan ma, Emir boleh terima kalau pengganti ayah ialah Kuro."
"Kau kenal dia sangat ke?"
"Mereka bertemu sebab Emir. In a way, Kuro ialah kawan Emir juga."
Kening Umar terjungkit tinggi. Tak tahu nak komen apa kerana tak tahu apa-apa tentang pesaingnya itu. Kepala dipaling kembali bila dua orang hawa itu dah sampai ke arah mereka.
Ami menyapa mereka bersama sengih, manakala Aqi pula membuat perangai emak dengan jayanya. Mula-mula bow Umar yang senget, dibetulkan. Kemudian rambut anak lelakinya pula dibetulkan sebelum direnung si anak itu.
"Abang kau betul-betul ambik muka ayah kau, kan Ami?" soal Aqi sambil merenung anak lelaki yang berusia 14 tahun itu. Kerana cermin mata itu, dan rambut cacak yang menjadi ensemble rasmi Umar semasa zaman remaja dahulu.
Ami turut merenung si abang. "Patutlah aunty Mimi berkenan."
Ringan sekali tangan Emir melayangkan penumbuk, tetapi si inline skater lebih ligat mengelak. Malah si adik lalu melepaskan ketawa mengejak, suka kerana boleh melumur garam pada luka di trauma abangnya. Emir lekas mengejar dengan muka merah.
Pasangan duda dan janda itu merenung anak-anak mereka dengan keluh halus. Aqi spontan melangut bila terasa belakangnya disentuh. Tanpa cermin mata, anak mata hazel itu nampak lebih ketara di pandangan. Malah kelihatan jernih sekali. Hati perempuan terasa bergetar dipukul gendang, lalu dikawal sepenuhnya. Terasa tekanan pada sentuhan lelaki itu, memaksa Aqi mula melangkah.
"Emm... Mimi apa khabar?" soalnya pada lantai. Entah kenapa wujud pula rasa malu. Ya Allah. Kenapa tiba-tiba?
"Sihat walafiat.... kenapa tiba-tiba tanya pasal Mimi, Aqi, hahaha..." Random giler.
Menjuih dia lalu. "Tanya je..."
Umar masih dengan senyum kelakar. "Aku nak cakap kau nampak cantik, tapi aku dah doa banyak-banyak masa solat tadi, minta dekat Allah supaya janganlah aku curangi dia dalam trip ni."
Dan Aqi menoleh dengan mata terbuntang. "Siapa yang buat perangai tiba-tiba sekarang ni sebenarnya?!"
"Kita sama-sama tahu aku simpan feeling dekat kau, obviously aku kena control diri aku... walaupun aku rasa aku tak pernah blushing macam kau sekarang.... Kau fikir apa, Aqi?"
Si wanita spontan menutup muka. "Mana ada aku blushing..." Tetapi panas di pipi kian terasa. Gagal mengawal ribut di hati, dia akhirnya melepaskan serangan terakhir. "Bongok!"
"Dia yang blushing, aku yang bongok..." getus Umar pelik, kini ditinggalkan oleh si wanita yang berjalan laju ke pintu hotel. Terpandang seorang lelaki botak dengan jaket jeans Harvey Davidson di tepi pintu hotel sedang leka memandang jandanya. Kecantikan Aqi sememangnya boleh menarik perhatian lelaki lain, dan wanita itu boleh melayan jika dia mahu. Tetapi Aqi bukan penggoda mahupun desperado, walaupun nampaknya Kuro ialah lelaki yang cukup karakter untuk menarik perhatian jandanya. Umar tenggelam dalam lamunan buat seketika, berfikir sekiranya perlu untuk dia cuba mengenali Kuro terlebih dahulu berbanding melayan cemburu membuta.
Aqi di hadapan sana pula terus mengipas muka yang panas dengan kedua belah tangan sebelum tiba-tiba terdengar satu suara yang cukup peka di telinga.
"Kau nampak cantik, Ekin..."
Bulu romanya meremang seperti terdengar bisikan maut. Darahnya berderau, peluh dingin pecah, dan sendinya turut goyah. Reaksi tubuh yang gagal dikawal kerana dah diprogramkan hasil dipukul bertahun-tahun. Aqi menoleh, mencari punca suara itu. Dan apa yang matanya cari, itulah yang ditemui.
Itu Chan, dengan jaket jeans lusuh dan seluar jeans lusuh. Walaupun kepalanya dah botak, tapi Aqi cukup kenal muka itu. Pandangan tiba-tiba terasa kabur, namun dia masih nampak leretan senyuman yang cukup dikenali itu.
"Kau terus kejar duda kau lepas kau lari dari aku? Hati aku sakit, Ekin... aku masih mampu sumbat dia ke dalam penjara, tau?"
Mulut terasa kering. "No you don't."
Chan tersenyum, sebuah senyuman sinis yang kerap kali dibuat bila lelaki itu seronok mempermainkan seseorang.
"Copies bukan hanya satu dua, just so you know."
Terasa gelap akalnya. CD rakaman itu masih ada dalam tangan Chan? Kepala terasa ringan dan lutut juga terasa goyah. Kemudian gelap. Dalam saki baki sedarnya, dia terdengar jerit, tetapi fokus Aqi masih pada lelaki tinggi botak yang tergelak melihatnya sambil mengenakan topi sudu ke kepala.
Umar masih dalam bahaya?
"APALAH nasib..." keluh Ami sambil menolak pintu bilik hotelnya.
"Tak boleh nak buat apa. Ma kau pun baru keluar hospital..." luah Umar sambil mengendong Aqi ke dalam bilik hotel yang didiami Aqi dan anak perempuannya.
"Ami lapar betul ni..."
"Sabarlah. Abang kau kan tengah pergi beli makanan..." Aqi diletakkan di atas katil dengan berhati-hati. Wanita itu dah pun sedar dari kejadian hampir pitamnya tadi, tetapi Aqi langsung tidak melepaskan genggaman pada tux-nya. Umar bertukar risau. Tak pernah dilihat wanita ini begini. Tambah-tambah peluh masih tak habis merenek di dahinya. "Ami, ambilkan tisu? Ami?"
Senyap.
Dia berpaling, melihat anaknya dah tiada, meninggalkan dia dan Aqi berdua di dalam bilik hotel di dalam cahaya suram begini.
Anak bertuah....
Umar cuba bangun, tetapi Aqi terus menahan genggamannya.
"Mar, jangan pergi..."
"Aku tak pergi, Aqi... aku nak ambikkan tisu..."
Geleng kepala. "Just stay. Jangan pergi jauh dari aku," ujarnya, namun pandangan mata itu langsung tidak sampai ke mata Umar melainkan merenung jauh ke tempat lain. Lelaki itu semakin risau.
"Aqi... apa dah jadi ni? Tadi elok je..."
Wanita itu tidak menjawab, sebaliknya dia hanya menggigit bibir. Tubuh perlahan-lahan direlakskan, berbaring. Genggaman pada tux beralih ke tangan lelaki itu dan terus digenggam erat.
"Bagi aku tidur kejap... I'll be back..."
"Oh. Okay."
"Jangan pergi dari aku."
"I won't."
"Pastikan kau ada bila aku bangun..."
"Okay, Aqi..."
"Promise?"
"I promise."
Aqi senyum dalam lirih. Kelopak matanya juga dah bertukar kelat. Lalu tangan Umar dibawa ke mulut, dicium sebelum dipeluk ke dada.
"Aku sayangkan kau, Mar..."
Itu kata-kata terakhirnya sebelum tenggelam dalam lena. Mudah sekali, seperti disuntik bius. Lelaki itu pula masih membatu, kurang pasti apa yang perlu dibuat.
"Perempuan cantik atas katil, berdua dalam bilik hotel, mood suram romantik, but nowhere to go..." keluhnya pada dinding. Belakang tengkuk digosok sebelum menoleh pada muka tidur itu lagi. Nak-nak mudah je dia mencuri cium tapi lailahaillallah....
Demi menyelamatkan iman, dia mendapatkan penyelamatnya. iPhone ditarik keluar dari poket seluar dan WhatsApp dari isterinya diperiksa. Kosong tanpa mesej. Umar menghantar mesej, "Sayang, you there?" kemudian dibiarkan menunggu respon.
Lima minit iPhone itu menyepi, Umar tak larat menunggu. Syaitan makin penuh membakar darah panasnya, lalu dia mendapatkan alternatif kedua. Nombor anak perempuannya dihubungi.
"BALIK BILIK SEKARANG!!"
Share this novel