Dengan berbekalkan nombor bilik yang diberikan oleh Adam, Chempaka laju sahaja menapak mencari bilik yang di huni oleh mummy mertuanya. Ketukan di pintu tiada jawapan. Chempaka mengetuk sekali lagi berserta salam. Pintu terkuak dari dalam dan salam disambut oleh Puan Sri Zaida. Tangan Chempaka diraih dan ditariknya masuk ke dalam bilik penginapannya. ‘Fuh!!!..bilik ke… apa ni??? Cantik…besar dan serba mewah. Macam bilik five star je…kat resort ni aku ingat bilik yang menempatkan aku bersama Adam dah cukup cantik dan bagus, rupa-rupanya bilik orang terhormat ni…lagi…hebat’. Kata-kata yang tidak terluah berlegar-legar di ruang fikr Chempaka.
Chempaka melabuhkan punggungnya di sofa empuk berwarna krim keemasan yang terletak di satu sudut bilik tersebut dengan matanya terus mengeledah ruang bilik mewah itu. Dia merasa betapa beruntungnya mereka semua, menjadi orang berada…memiliki apa sahaja yang terlintas di kepala.
“ Mummy nak bagi sesuatu untuk Chempaka dan Adam. Mummy nak you all pakai malam ni. Jangan hampakan mummy…mummy nak Adam dan Chempaka menjadi couple of the year malam nanti. Teruja sangat mummy nak tengok. Nak tengok you all berdua bersanding betul-betul lambat sangat…jadi, bersanding je malam ni kat dewan resort tu dulu. Hati mummy dah tak sabar nak tengok Adam digandingkan dengan Chempaka malam ni”. Dua beg kertas cantik diserahkan kepada Chempaka. Teragak-agak Chempaka menyambut huluran dari Puan Sri Zaida. Beg kertas tersebut bertukar tangan.
“ Chempaka punya tu, mummy dah siapkan dengan tudungnya sekali. Mummy tempah semua ni kat butik Hatta Dolmat. Semua dia yang desingnkan dan jahit baju tu. Mummy dah minta jurusolek kat butik sini-sini datang siapkan Chempaka malam ni. Jangan lambat sangat turun nanti. Sampaikan salam mummy buat Adam”. Anggukan kecil dari Chempaka sebagai tanda akan mematuhi permintaan dari mummy mertuanya. Perlahan sahaja tangan Puan Sri Zaida disalaminya. Santun sekali perwatakannya pada pandangan mata seorang ibu. Begitu bertuah Chempaka kerana memiliki aset yang berharga hasil terapan dan didikan dari seorang insan yang bernama ‘mama dan ayah’.
Hatinya begitu teruja dengan pemberian ibu mertuanya sebentar tadi. Hasil rekaan Hatta Dolmat, pereka terkenal dari butik yang terkenal juga di Kuala Lumpur. Hasilnya pasti akan menepati citarasa orang-orang terkenal terutamanya artis-artis di Malaysia. Orang berduit macam keluarga mertuanya tidak berfikir panjang untuk mendapatkan sesuatu yang cantik dan menarik sementelah kena dengan selera mewah hidup mereka. Selera mereka bertepatan dengan kemampuan hidup yang mereka ada. Chempaka sedar diri…untuk mendapatkan sesuatu yang agak mahal pun dia selalu berfikir beratus-ratus kali. Keluarganya yang sederhana banyak mengajar dirinya untuk mendapatkan sesuatu barangan berdasarkan keperluan bukan sekadar untuk memenuhi kehendak hati semata-mata. Berbeza sekali cara mereka, bagaikan langit dengan bumi sahaja lagaknya.
Otaknya ligat berfikir berkaitan permintaan mummy mertuanya untuk melihat mereka berdua disandingkan. Peristiwa antaranya dengan Adam tadi menimbulkan rasa malu yang bukan sedikit. Hatinya juga turut meragui kepasrahannya menerima Adam dengan begitu mudah. Mengapa dia merelakan kejadian tadi berlaku? Adakah perkara tersebut akan terus dilaluinya pada hari-hari yang mendatang. Tidak sanggup untuk dia terus membayangkan hari-hari yang bakal dilaluinya bersama Adam dalam erti kata sebenar sebagai isteri kepada seorang lelaki hebat seperti Adam. Mampukah dia mengharungi hidup bersama orang yang tidak pernah mahu menerima dirinya yang serba-serbi kekurangan.
Pintu bilik penginapan dibuka dengan sehabis perlahan kerana dia tidak mahu mengganggu Adam. Derap kakinya juga dijaga agar tidak mengeluarkan bunyi yang kuat kerana dia tidak mahu mengejutkan Adam yang sedang lena menganyam mimpi nan indah sendirian. Beg kertas pemberian mummy mertuanya juga di letak perlahan-lahan agar tidak menimbulkan sebarang bunyi. Berhati-hati sekali pergerakan Chempaka kali ini. Tudung yang membaluti kepala dibuka dan digantungnya. Hatinya bagaikan digaru-garu untuk melihat pemberian mummy mertuanya, pasti sesuatu yang cantik.
Katil yang menempatkan badan sasa Adam dihampirinya. Dia mahu memastikan yang Adam betul-betul lena sebelum dia mengeluarkan baju dari beg kertas tersebut untuk dicuba. Percaturannya kali ini tidak tepat. Rupa-rupanya Adam tidak tidur seperti yang dijangkakannya. Apabila sahaja dia menghampiri katil untuk memastikan Adam betul-betul lena, Adam bertindak pantas. Tangannya disambar oleh Adam dan menariknya dengan agak kuat.
Akibat dari tarikan Adam, badan Chempaka terjatuh ke atas badan Adam. Pandangan mata Adam yang begitu tajam menggoda terus menusuk ke hatinya. Chempaka memejamkan mata kerana dia tidak mahu terus berlawan pandang dengan Adam. Sekuat mana pun dirinya, dia tahu apabila berhadapan dengan Adam dia akan kalah. Adam menarik muka Chempaka rapat ke mukanya. Dahi Chempaka dicium lembut menggunakan hujung hidungnya yang mancung, hidungnya dirapatkan ke hidung Chempaka…lama mereka berdua berada dalam keadaan sebegitu. Tenggelam dalam kehangatan cinta yang mereka sendiri tidak menyedari akan kewujudannya. Masing-masing mahu menafikan rasa yang wujud di hati, lantas membenamkan rasa itu dalam-dalam agar tidak dapat dihidu oleh diri masing-masing.
Pelukan Adam yang kukuh, belaian yang begitu mengasyikkan dan ucapan kata-kata yang lembut mampu membuai perasaan Chempaka. Dia mahu terus menikmati kehangatan yang tercipta antara mereka berdua dalam suasana yang sungguh damai. Kelembutan Adam membelainya membawa dia pada satu rasa…mencintai dan menyanyangi. Kalau dapat dihentikan waktu kala ini dia mahu mereka berdua terus berada dalam detik sebegini. Dia mahu menakluki hati seorang insan yang bernama suami, mencari erti kejujuran di dalam setiap perlakuan Adam terhadapnya. Adam terleka dalam lautan rasa bersama Chempaka. Chempaka bagaikan suri dambaan hatinya. Bagaikan bidadari yang dianugerahkan oleh sang pencipta untuk menemaninya dalam melengkapkan kehidupannya di dunia ini. Dia begitu bahagia dan dia tidak mahu keadaan ini berakhir. Segunung rasa yang begitu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Kelekaan mereka berdua melayani rasa yang hadir di hati masing-masing disedarkan dengan laungan azan maghrib dari surau yang berdekatan. Sekali lagi Adam memperlakukan Chempaka seperti tadi. Dibelainya wajah Chempaka penuh kasih. Petang yang membahagiakan, petang yang mengasyikkan dan petang ini juga menyatukan mereka berdua dalam satu dunia indah . Merasai apa yang patut mereka rasai sejak hari pertama penyatuan mereka walau tanpa kerelaan masing-masing. Adam melepaskan Chempaka dengan berat hati. Kalau tidak memikirkan malam ini adalah malam terakhir dan merupakan malam kemuncak bagi percutian mereka dia tidak akan melepaskan Chempaka dengan mudah. Masa seakan cemburu dengan kebahagiaan yang baru dirasai olehnya. Dia takut untuk mengakhirkan percutian kali ini kerana dia tidak mahu semuanya akan berakhir begitu sahaja.
Hanya harapan yang dia dambakan agar ikatan yang terbina antaranya dengan Chempaka di sini akan menghasilkan sesuatu yang lebih bererti. Wajah Chempaka lama direnungnya seakan-akan mahu memahatkan terus wajah itu di dalam ruang hatinya. Chempaka tidak dapat menahan pandangan tajam dari sepasang mata milik Adam. Mata Adam bisa melumpuhkan seluruh urat sarafnya seketika. Mata itu terlalu tajam sehingga mampu memecahkan hati sampai ke dasarnya. Chempaka tidak akan mampu untuk melupakan sepasang mata helang milik Adam meski pun sejuta tahun lagi di kelahiran yang lain.
“ Awak!!!...saya tak suka awak pandang saya macam tu”. Chempaka dengan spontan menegur cara Adam memandangnya.
“ Kenapa?...I suka…”. Sengihan Adam mematahkan semua kata-kata yang hendak disuarakannya.
“ Tak boleh!!!...saya tak suka!!!...tak suka!!!...jangan pandang saya macam tu…saya malu!!!...” terluah sahaja kata-kata tersebut Chempaka terus melompat dari katil menuju bilik air.
“ You tak suka tak pe…I suka!!!...”. Sengaja Adam menyakat Chempaka. Gelakan Adam semakin kuat menendang gegendang telinga Chempaka.
“ Suka hati awak le…gelak lagi kuat-kuat maghrib-maghrib ni…silap-silap orang ingat hantu laut jantan dah keluar ke darat”. Untuk memuaskan hatinya Chempaka masih sempat membalas kata-kata Adam.
Curahan air dari bilik mandi kedengaran sesekali, menandakan Chempaka sedang membersihkan dirinya. Mereka berdua perlu bersiap awal dan cepat agar dapat sampai tepat pada masanya. Chempaka tidak mahu kedatangannya nanti menjadi tumpuan mata sesiapa, biar cepat sampai dan cepat duduk di tempat yang telah disediakan. Gentar hatinya apabila membayangkan acara yang akan menjadi sebutan keseluruhan peserta nanti. Betul ke dia dan Adam akan bergandingan malam ini. Air yang dicurahkannya umpama salju…dingin sekali dan dia menjadi takut.
Mereka sempat berjemaah maghrib bersama. Chempaka membantu Adam mengenakan pakaian yang telah disediakan oleh mummynya, begitu segak sekali Adam dalam sut pakaian malam kali ini. Padan sungguh baju tersebut dengan penampilan Adam. Puan Sri Zaida betul-betul mahukan yang terbaik untuk anak lelaki tunggalnya. Mata Chempaka terpukau melihat Adam yang begitu hebat dengan gaya yang tersendiri. Adam bagaikan sang putera yang selalu menjadi igauannya sedari kecil. Pesonanya mampu membuatkan gadis-gadis Berjaya Padu Holdings tidak mampu melelapkan mata malam ini. Malam yang bersejarah untuk mereka.
Kehadiran juru make up yang telah ditempah oleh Puan Sri Zaida telah melengkapkan penampilan Chempaka. Pasti sesiapa yang memandangnya tidak akan berkedip mata pada malam ini. Evening dress hitam dengan rekaan ekslusif tersebut mampu menampilkan Chempaka penuh kelainan. Confirm Fira pun tidak akan mengenali Chempaka malam ini, silap-silap haribulan Fira boleh pengsan sebulan akibat terkejut melihat penampilan dari Chempaka malam ini. Setelah siap mengenakan tudung, Chempaka meminta agar Adam pergi dahulu dan menunggunya disana. Buat sekian kalinya tanpa membantah permintaan dari Chempaka, Adam keluar dan menuju ke dewan resort.
Kasut tumit setinggi tiga inci yang telah disediakan oleh mummy mertuanya menyukarkan pergerakan Chempaka. Hatinya tidak habis-habis berdoa semoga dia dapat berjalan dengan selamat. Dia takut tersilap langkah sahaja dia boleh terpelecok dan jatuh tersemban depan semua orang nanti. Langkahnya wajib diatur dengan sebaik mungkin…semua perkara perlu dipertimbangkannya semasa berjalan nanti. Yang paling utama, dia mesti memberikan sepenuh perhatian semasa melangkah seiring dengan Adam. Chempaka cuba memujuk diri agar lebih berkeyakinan semasa majlis berlangsung, supaya dirinya tidak dilihat bagaikan pipit digandingan dengan merak kayangan untuk majlis yang gilang gemilang di sini dan bakal meninggalkan satu memori indah mahupun lakaran sejarah hitam dalam hidupnya. Langkahnya diatur secermat mungkin kerana dia tidak mahu dengan satu kesilapan kecil sahaja akan mencacatkan penampilan dirinya disamping Adam pada malam ini.
“ Hai!...beautiful ladies!!!...siapa pasangan Cik Chempaka malam ni? Kalau you tak ada pasangan lagi…I boleh jadi couple untuk you”. Satu teguran dari seseorang yang amat dikenali oleh Chempaka. Razmin muncul di depan Chempaka pada saat-saat yang paling tidak tepat dan tidak diperlukan.
“ Aiskh!!!...mana couple you malam ni? Tak kan you main sambar je Raz? Aku ingat malam ni…pasti kau dengan Nisa. Kalau kau jadi couple Cik Chempaka malam ni…meraung Nisan anti… satu Pulau Pangkor boleh dengar tau!!!. Sape susah?...kau juga kan?...”. Kedatangan Adam tepat pada masanya. Mereka berdua ketawa dengan lawak spontan Adam berkenaan dengan Nisa.
“ Hai!!!...Dam…who’s your couple? I ajak you couple dengan I malam ni, you jual mahal. Dah sorang-sorang pula. Jangan you buat hal macam tahun-tahun lepas dah…konon dah ada couple, tup-tup tetap berjalan kat red carpet sendirian je”. Suara Nisa menambahkan riuh suasana di luar pintu masuk ke dewan.
“ Ala…You dengan Razmin dah tentu dapat awards couple paling sepadan malam ni. Masih dapat mengekalkan gelaran yang disandang oleh Nisa pada tahun lepas. I risau…takut I pula yang mendapat gelaran tu pada malam ni. You jangan pula menangis kat dalam dewan malam ni Nisa, maklumlah I…Adam Hasif dan pasangannya dapat merebut gelaran tersebut dari you Nisa… jangan tak tahu…I dapat kalahkan you all malam ni”. Usikan dari Adam menggamatkan lagi suasana di luar dewan tersebut.
“ Adam…jangan mimpi le, you nak dapatkan gelaran tu kalau bukan I yang jadi pasangan you malam ni. Nak buat macam mana sombong sangat…I aje yang layak bergandingan dengan you kat sini”. Sinis sekali kedengaran nada Nisa kali ini. Semuanya tidak meninggalkan kesan di hati mereka semua dengan kata-kata Nisa.
Penggumuman dari pengacara majlis membuatkan suasana menjadi sunyi seketika. Pengacara majlis mengalu-alukan kedatangan pemilik syarikat, Tan Sri Zaid dan isterinya dan menjemput semua staff memberikan tumpuan kepada acara seterusnya. Masing-masing mendapatkan pasangan yang telah dijanjikan untuk melangkah ke dewan. Pasangan demi pasangan mengatur langkah seia sekata melalui red carpet mencari tempat duduk yang telah dikhususkan untuk mereka.
“ Pasangan terakhir dan merupakan pasangan yang paling ditunggu-tunggu oleh kita semua…tak lain dan tak bukan…CEO Berjaya Padu Holdings dan pasangannya. Encik Adam Hasif dan…gadis bertuah yang menjadi pilihan beliau pada malam ini ialah Cik Chempaka Maisara Razak”. Sebaik sahaja pengacara menghabiskan ayat terakhirnya, tepukan gemuruh dan seluruh peserta memusatkan perhatian ke tengah dewan. Langkah Adam bersama Chempaka menjadi tumpuan. Kedengaran usikan-usikan dan siulan-siulan nakal apabila melihat Chempaka memaut kemas lengan Adam semasa melangkah ke tengah dewan. Adam dan Chempaka ditempatkan sebaris dengan Tan Sri Zaid beserta Puan Sri Zaida.
Bagaikan terawang-awang Chempaka semasa berjalan disebelah Adam. Hanya jasadnya sahaja dirasakan berada disebelah Adam. Kelihatan begitu serasi sekali Adam bergandingan dengan Chempaka. Mereka betul-betul bagaikan pasangan pengantin yang sedang diarak ke tempat duduk yang telah dikhaskan. Terukir senyuman yang cukup bermakna dari rekahan bibir Puan Sri Zaida apabila melihat pasangan anak dan menantunya bergandingan bersama. Helaan nafas penuh kelegaan dari Chempaka apabila dia selamat duduk di kerusi. Nada sms masuk kedengaran ditelefon Chempaka dari dalam ‘handbag’nya. Sms dari Fira…ayat yang penuh dengan pertanyaan yang menuntut jawapan darinya. Sengaja Chempaka tidak membalas dan membiarkan sahaja masej dari sahabat baiknya itu. Kalau dibalas lagi panjang berjela pertanyaan yang bakal menyusulnya nanti. Jalan selamat buat masa ini adalah membiarkan sahaja dahulu buat sementara waktu. Pegangannya pada lengan Adam dilepaskan sebaik sahaja dia merasa selamat. Bisikan Adam untuk mengusiknya menyedarkan kembali Chempaka ke alam realiti.
“ Seronok ke dapat pegang tangan I. I rasa you macam tak mahu lepaskan je tangan I tadi”. Suara Adam begitu hampir dengan telinganya. Adam masih sempat membisikkan kata-kata tersebut kepadanya. Adam terpaksa membogkokkan sedikit badannya agar suaranya hanya didengari oleh Chempaka sahaja. Kedua-dua bibirnya diketap geram dengan kata-kata Adam tadi. Adam masih lagi seperti Adam yang dikenalinya dulu, tetap sama sahaja.
Sesekali pancaran cahaya dari lensa kamera menyinggahi muka Chempaka tanpa disedarinya. Dia tidak mahu keadaan mereka berdua nanti akan menimbulkan gossip panas yang akan memanaskan lagi keadaannya di Berjaya Padu nanti. Jelingan maut yang dilemparkan oleh Nisa kepada Chempaka menyebabkan dadanya dipalu debaran yang maha hebat. Adam tidak menghiraukan usikan dari staff-sataffnya sebaliknya dia hanya membalas dengan senyuman sahaja. Suasana semakin ceria dan mood masing-masing sudah mula berubah apabila hidangan makan malam mula disediakan oleh pihak resort. Muzik latar mula kedengaran dan sesekali kedengaran suara pengacara majlis membuat pengumuman. Keputusan acara yang dipertandingkan juga turut diumumkan olehnya. Penerima hadiah atau wakil bagi kumpulan yang menang di minta untuk menerima hadiah. Bagi melengkapkan majlis Tan Sri Zaid diminta memberikan ucapan untuk semua peserta yang terlibat.
Muzik diperlahankan dan pengumuman yang mendapat perhatian keseluruhan peserta telah diumumkan oleh pengerusi kelab staff syarikat. Adam dan Chempaka telah dinobatkan sebagai pasangan yang paling ideal pada malam ini. Mereka berdua telah dijemput untuk tampil ke pentas utama sekali lagi untuk dinobatkan sebagai pasangan yang paling sesuai. Puan Sri Zaida telah dijemput untuk menyampaikan hadiah kepada pasangan yang telah meraih kemenangan yang tidak disangka-sangka itu.
Muncung Nisa semakin panjang apabila tangan Chempaka dipimpin oleh Adam untuk naik ke pentas utama. Tepukan berserta sorakan dari semua menenggelamkan suara pengacara majlis. Pelukan dari Puan Sri Zaida untuk kedua-duanya menambahkan keriuhan suasana. Suara-suara seronok juga tidak ketinggalan mengusik pasangan tersebut. Muka Chempaka sudah berubah warna, akibat malu yang tidak dapat disorokkan lagi ketara sekali warna kemerahannya.
“ Kenapa muka you blushing? Nampak macam ros yang sedang kembang dekat rose park je”. Sekali lagi Adam cuba mengusik Chempaka dengan cara berbisik. Kerana tidak mahu menambahkan rasa yang sedang bercampur bau dalam dirinya Chempaka mengabaikan sahaja kata-kata Adam. Cara Adam yang selalu membisikkan kata-katanya ke telinga Chempaka mendapat perhatian dari beberapa pasang mata di bawah sana.
“ Wow!!!...romantiknya encik Adam malam ni. Memang couple yang paling sesuai untuk tahun ni kat syarikat kita. Couple yang paling hebat setakat ni. Saya doakan Chempaka menjadi jodoh encik Adam lepas ni. Best couple of the year!!!...”. Laungan dari Nani mendapat sokongan dari ramai staff. Adam menunjukkan isyarat dengan menaikkan ibu jarinya ke arah Nani. Semakin menjadi-jadi mereka semua menyakat pasangan tersebut.
Hadiah yang mereka perolehi telah Adam serahkan kepada Chempaka. Bungkusan hadiah yang berbalut cantik itu menjadi tarikan banyak mata di dewan tersebut. Chempaka menjadi tumpuan beberapa orang staff yang agak rapat dengannya. Chempaka memohon untuk berpindah tempat kerana Fira beria-ia memanggil namanya. Adam mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami kehendak Chempaka untuk bersama dengan kawan-kawannya. Masih sempat diingatkan Chempaka agar tidak berlama sangat dengan kawan-kawannya. Semua tertanya-tanya dan ingin tahu isi kandungan hadiah tersebut, untuk merungkaikan Adam dan Chempaka bersetuju untuk membuka hadiah tersebut disitu.
Adam meminta Chempaka sahaja yang membuka hadiah terebut. Sepasang jam tangan berjenama rolex terbentang dihadapan Chempaka. Ternganga mulut Chempaka melihat hadiah yang tidak pernah dijangkakan oleh dirinya. Patut le…semua orang mengimpikan kemenangan untuk acara kemuncak tersebut. Hadiahnya agak lumayan dan bernilai…dan kali ini dia adalah orang yang bertuah kerana mampu mendapatkan barangan mahal dan berjenama tersebut. Senyuman gembira terserlah di ruang wajahnya yang berseri-seri. Semua orang yang menyapanya turut memuji kecantikan Chempaka pada malam ini. Itu semua tidak menimbulkan rasa riak dalam diri Chempaka.
“ Mana kau dapat baju mahal ni? Selama kat sini…bukan main lagi kau mengelak dari aku. Setiap kali aku cari kau, time tu le…kau lesap menghilangkan diri. Tengok-tengok bercouple lak dengan boss macam pasangan yang sedang hangat bercinta. Kau ni kan…langsung tak ingat kawan bila dah dapat gading bertuah. Handsome betul aku tengok boss kita malam ni. Macam mana kau dapat baju yang sedondon dengan dia? Ni yang aku tak puas hati ni…pada firasat aku kan…tak lama lagi kau dengan encik Adam nak kena bom dengan girlfriend encik Adam. kalau kau tak caya…kau tunggu kita balik Kuala Lumpur nanti. Siap kena pakai baju kalis peluru ni. Nak-nak kau ni, Chempaka…Cik Shila pasti berapi bila tengok gambar-gambar ‘meletops’ encik Adam di samping kau”. Berdas-das tembakan dari Fira sehingga terngaga mulut Chempaka apabila Fira menyebut nama Shila. Seram sejuk Chempaka apabila terkenangkan nama Shila, buah hati encik Adam, encik suaminya yang tidak diiktiraf buat masa ini. Huhuhu…sampai bila dia berstatus isteri rahsia kepada encik Adam.
“ Baju tu, aku sendiri tak tahu macam mana boleh sama pula dengan encik Adam…secara kebetulan dan secara trak sengaja. Pada malam ni aku tak tahu yang dia pun pakai baju sama jenis dan sama colour dengan aku. Tak sangka pula aku jadi pasangan tangkap muatnya malam ni. Aku tak ada pasangan tadi dan…encik Adam pun tak ada pasangan so…kami bercouple le berdua. Kau pun asyik dengan encik Hazril je…sampai dah lupakan sahabat sehidup semati kawan nan seorang ni”. Rekaan cerita Chempaka mampu menyakinkan Fira. Buat masa ini memadailah jika dia dapat memancing kepercayaan dari sahabatnya itu. Cerita Chempaka dapat menghentikan soalan-demi soalan dari Fira sudah cukup melegakan diri Chempaka.
Gaun malam yang dipakainya sempat lagi dibelek-belek oleh Fira dan juga kawan-kawannya. Chempaka hanya membiarkan sahaja kawan-kawannya melihat baju yang sedang dipakainya. Hatinya tidak dapat menahan ketawa apabila melihat semuanya terpegun dengan material kain yang dikenakan pada badannya. Geli sungguh hatinya melihat cara kawan-kawannya membelek pakaiannya dari atas hingga ke bawah.
“ Dah…dah…jangan nak belek-belek sangat baju aku ni. Karang ada yang terkoyak pula…sape yang susah, aku juga kan? Semua pakaian aku malam ini adalah tajaan dari…biarlah rahsia”. Tergelak Chempaka melihat keterujaan semua yang ada untuk mengetahui penaja kepada pakaian yang sedang dipakainya. Apabila Chempaka merahsiakan sahaja penajanya, semuanya menjerit dan mereka serentak mengenakan Chempaka. Riuh suara jeritan mereka semua sehingga menarik perhatian kumpulan lain yang sedang rancak bersembang. Itu semua tidak dihiraukan oleh mereka semua sehinggalah Chempaka menyedari sepasang mata tajam yang amat dikenalinya sedang merenung tepat ke arahnya. Chempaka dengan spontan menutup mulut dengan kedua-dua belah tangan sambil menunduk agar ketawanya tidak kedengaran,hanya bahu sahaja yang terhenjut-henjut menahan tawanya. Mereka bercerita dari satu perkara ke satu perkara seakan-akan hari esok sudah tiada buat mereka untuk bercerita.
Deheman yang menghampiri meja mereka menyedarkan kumpulan Chempaka dari terus bercerita. Semuanya terdiam apabila encik Adam dan encik Razmin melewati meja mereka. Tidak ada seorang pun yang berani bersuara apatah lagi mahu bersembang seperti tadi. Masing-masing sudah mula mencapai ‘handbag’ dan ada yang mahu meminta diri, tetapi masih belum berganjak dari kerusi masing-masing. Mereka berpandangan sesama sendiri apabila boss mereka berhenti betul-betul dihadapan meja mereka. Chempaka sudah merasa kepanasan dengan jelingan dari Adam tetapi dia berpura-pura tidak menyedari dengan jelingan tersebut. Sengaja dia mengalihkan pandangannya kearah kawan-kawannya.
“ Hai!!!...seronok nampaknya bersembang, suara ketawa you all menyebabkan kita orang rasa nak join sekali. Boleh ke? Kalau tak boleh…jom le Dam…kita balik. Bak kata pepatah melayu ‘hidung tak mancung…pipi yang kita sorongkan…’. Dah orang tak pelawa…baik kita balik je…aku dah malu ni…tapikan Dam…aku rasa hidung aku ni dah cukup mancung dah…tak tahu le aku, kalau hidung kau yang tak mancung pula”. Kata-kata Razmin mendapat sambutan dengan gelak dari mereka sekali lagi.
“ Tak dapat le kami nak tolong kalau dah hidung encik Adam tak cukup mancung lagi. Saya kalau nak bagi mancung hidung senang je…kalau encik Razmin nak petuanya saya boleh bagi. Kalau encik Adam nak pun…boleh…saya ni bukan jenis orang yang kedekut nak bagi petua yang bagus-bagus ni. Nak ke tak nak… petua turun temurun ni, encik Razmin”. Kak Yati sempat mempromosikan petua turun temurun darinya kepada boss-boss mereka. Kedua-duanya sudah menarik kerusi dan duduk semaja dengan mereka semua.
“ Ewah…bukan main lagi petua dari Kak Yati ni, cakap aje le…apa petua nak bagi mancung hidung. Kalau hidung encik Adam ni yang tak berapa nak mancung ni agaknya petua you tu sesuai kot”. Razmin masih lagi cuba bergurau dengan menembak pada Adam.
“ Raz!!!...hidung aku ni tak perlu dah petua-petua bagai tu, setakat nak mancungkan hidung ni…kacang je…aku tak main petua-petua tu…rasa-rasa aku le…kau yang memang sesuai dapatkan petua dari Puan Mahayati. Rugi kalau tak turunkan petua pada orang macam Razmin ni”. Bersungguh benar cara Adam cuba menepis kata-kata Razmin yang ditujukan untuk dirinya.
“ Okey!... Kak Yati apa petuanya? Kalau boleh kita guna pakai petua tu…lepas ni wajib diturunkan petua ni pada bakal-bakal ibu yang sedang sarat mengandung kat pejabat kita”. Razmin sekadar mahu melepaskan diri dari terkena jerat Adam sekali lagi. Di hadapan Chempaka dia tidak mahu menampakkan sebarang kelemahan yang ada pada dirinya. Dia berhajat untuk menarik perhatian Chempaka dan memenangi hati Chempaka.
“ Senang je encik Razmin…kat rumah banyak penyepit bajukan? Ambik satu je…tak perlu banyak. Ambik satu je…pas tu, encik Razmin sepit kuat-kuat kat hidung encik Razmin yang kurang mancung tu…mudah sahaja kan?...pasti lepas tu, hidung akan mancung selama-lamanya”. Benggang betul mereka yang mendengar tetapi selepas tu…semuanya ketawa keseronokkan dengan petua Mahayati.
“ Saya cadangkan akak yang buat dulu…kemudian setelah terbukti kemancungannya barulah kami semua akan mengikut petua yang akak sarankan tu”. Fira mencadangkan kepada Mahayati, semua yang ada menyokong Fira dan mereka semua tergelak sakan dengan lawak spontan tersebut.
Setelah suasana malam semakin merangkak ke tengah malam, semua yang ada mula meninggalkan dewan seorang demi seorang. Masing-masing tersenyum puas dengan agenda yang diadakan pada malam ini. Fira keluar beriringan dengan Chempaka sempai ke luar dewan. Mereka berpisah menuju ke bilik masing-masing. Terkejut beruk Chhempaka apabila sampai di pertengahan jalan, tiba-tiba ada suara yang menyapanya. Pusat lesi muka Chempaka akibat terkejut dengan tindakan Adam. Kalau semangatnya tidak kuat pasti dia sudah jatuh terjelepuk di situ. Sengihan Adam menampakkan giginya yang cantik tersusun kemas. Mata helangnya yang tajam bisa menggugurkan jantung Chempaka. Lama Chempaka berdiri di situ bagi menghilangkan rasa terkejut yang sedang mengombak di dadanya.
“ Awak!!!...”. terjerit Chempaka dengan kegeraman yang menggunung terhadap Adam.
“ Tengah-tengah malam ni…jangan terjerit-jerit macam tu, nanti…kecoh satu resort ni datang berkejar ke sini. Kalau tak pun…orang ingat ada yang disampuk hantu laut tengah-tengah malam macam ni”. Suara Adam yang sedang menahan ketawa itu masih menunjukkan rasa tidak bersalahnya terhadap perlakuannya mengejutkan Chempaka. Dengan muka masam Chempaka melajukan langkahnya. Dia tidak mahu bersaing dengan Adam kali ini. Rasa marahnya yang menebal menyebabkan dia terlupa seketika Adam sedang mempermainkan dirinya.
“ Awak tak payah jalan dengan saya dah…saya tengah marah ni…saya tak mahu saing dengan awak. Awak jalan dulu…”. Chempaka mematikan langkahnya dan dia mahu Adam berjalan dahulu. Tak seinci pun dia bergerak. Kali ini dia betul-betul geram dengan Adam.
“ You jalan dulu…biar I jalan kat belakang you. Kalau tak jalan juga, kita tidur je kat sini. Best ni malam-malam duduk berdua dibawah sinaran bulan”. Senyuman Adam dan pandangannya yang tajam menembusi jantung Chempaka. Malas mahu melayan karenah Adam yang agak pelik pada malam ini. ‘ Buang tabiat ke mamat depan aku ni?. Uwekkk!!!...nak termuntah pula dengan singa jantan yang dah hilang taring depan aku malam ni…dah insaf ke mamat sewel ni…kejap baik kejap garang…agak-agaknya dia ni memang mengalami masalah gangguan emosi. Ada hati nak jadi mamat jiwang, bercakap pun penuh berbunga-bunga…dalam hati dia ni dah ada kebun bunga ke???...rasa-rasanya kat taman dia ada bunga kegemaran aku tak? Kalau ada bunga ros ke…bunga cornation ke tak pun…bunga matahari…boleh le aku maafkan. Jangan penuh dengan bunga tahi ayam sudah!!!. Tak ingin aku!!!’.
Dijelingnya Adam dengan rasa sakit hati yang meluap-luap tambahan apabila melihat pandangan Adam yang ralit memerhatinya dari atas hingga ke bawah. Adam masih lagi berdiri bersebelahan dengan Chempaka dan tetap juga tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengalah. Mahu tidak mahu Chempaka kena mengalah lagi untuk sekian kalinya. Kelemahan yang memang sudah dikesan oleh Adam sejak mengenali Chempaka. Hatinya terlalu lembut walau pun reaksi yang di tunjukkan berbeza dengan kemahuan hatinya. Sekali lagi melebar senyuman yang dilemparkan Adam. Hentakan kasut tumit tinggi yang dipakainya sengaja dikuatkan tanda memprotesnya terhadap Adam. Chempaka sengaja menjarakkan dirinya agak jauh dari Adam meskipun Adam masih mahu menarik perhatiannya. Meradang hatinya dengan sikap selamba yang ditunjukkan oleh Adam, langsung tidak ada perasaan bersalah walau pun tahu yang dia sedang marah kala ini.
“ You sangat cantik malam ni, tambahan dengan kehadiran I sebagai peneman you…itu sebab kita dapat gelaran couple of the year tadi. Hadiah tu…jangan lupa!...satu untuk I, bukannya dua-dua untuk you. I nak you tahu…betapa beruntungnya you dapat berpasangan dengan I yang handsome ni. Berebut-rebut gadis kat luar sana nak jadi pasangan I, tau!”. Adam sengaja menjolok sarang tebuan yang sememangnya sedang menunggu masa untuk menyengat.
“ Saya tak ingin jadi pasangan awak tau!!!...ingat saya suka sangat. Nah ambik ni…hadiah awak!...saya tak nak. Jangan ingat saya sama dengan orang lain yang tergila-gilakan encik Adam kat luar sana tu”. Dengan penuh rasa geram Chempaka menarik tangan Adam dan meletakkan kotak yang mengandungi jam hadiah mereka tadi dengan kasar. Dia mahu cepat bergerak dan tidak lagi mempedulikan Adam. Langkahnya diatur laju menuju ke bilik penginapan mereka.
“ Amboi laju nampaknya berjalan…tak takut jatuh ke? Kalau jatuh siapa yang susah…I juga kan?. Buat apa nak jalan laju-laju…kad kunci bilik ada dengan I ni, sampai cepat pun nak kena tunggu I juga yang buka pintu. Baik jalan perlahan-lahan sambil menikmati angin malam sambil ditemani oleh I yang handsome lagi bergaya ni”. Keadaan Chempaka yang sedang berapi semakin menjadi-jadi apabila dia menyedari kad kunci bilik berada dengan Adam. Adam sengaja menayangkan kad tersebut di hadapan mata Chempaka. Chempaka cuba mencapai kad kunci di tangan Adam tetapi gagal.
“ Perasan!!!...ingat macam bagus sangat”. Akibat kesabaran yang semakin menipis, akhir terkeluar juga kata-kata yang sedang bergema di dalam dirinya sedari tadi. Chempaka yakin Adam tidak mendengar kata-katanya tadi. Sekali lagi kesilapan yang tidak diduganya terjadi. Telinga lintah Adam masih sempat menangkap kata-kata yang terkeluar dari bibir Chempaka. Sebal rasa hati Chempaka dengan lagak Adam yang selalu perasan bagus dan hebat itu. Biar kali ini Adam tahu yang Chempaka sudah menyampah sungguh terhadap dia bukan main-main lagi. Biar!!!...benci!!!...benci sangat-sangat!!!...
Akibat menahan geram yang melampau, air mata tidak dapat ditahan lagi. Akhirnya Chempaka menangis tanpa mengeluarkan suara. Dia tidak mahu Adam tahu, nanti lagi bertambah-tambah dia menjadi bahan usikan si singa jantan yang tidak ada rasa sensitif langsung. ‘Harapkan muka sahaja yang boleh menyejukkan mata aku tetapi perangainya buruk mampu mengalahkan segala jembalang yang ada kat dunia ni. Kalau ikutkan hati aku yang sedang meruap dengan api kemarahan, rentung juga jawabnya si Adam malam ni…tahu-tahu esok pagi ada yang mati terbakar jadi arang tepi jalan resort ni. Tak pasal-pasal keluar surat khabar, seorang CEO mati terbakar di pusat peranginan Pulau Pangkor. Kalau disabitkan kesalahan aku pun mati kat penjara nanti’. Hilang rasa sedih yang sedang bertandang di hati Chempaka apabila dia membayangkan Adam sudah rentung terbakar akibat api kemarahannya tadi, sebaliknya dia tersenyum geli hati. Keadaan ini menimbulkan tanda tanya pada Adam.
Share this novel