Apabila sampai sahaja di rumah Chempaka terus masuk ke dapur untuk melihat barang mentah yang ada untuk menyediakan sup sebagaimana yang telah dipinta oleh Adam. Barang-barang untuk memasak telah dikeluarkan oleh Chempaka dan diletakkan di dalam singki. Untuk memudahkan dia memasak…Chempaka mahu menyediakan sup sayur untuk hidangan Adam .
Setelah selesai semuanya Chempaka bercadang untuk mandi dan menyediakan makan malam mereka. Chempaka mendaki tangga untuk naik ke tingkat atas yang menempatkan biliknya dan juga bilik Adam. Chempaka bergegas mandi dan menyarung pakaian malam sahaja. Langkahnya diatur untuk ke bilik Adam. Berkali-kali daun pintu di ketuk tetapi tiada jawapan. Perlahan-perlahan Chempaka menolak daun pintu dan terus masuk ke kamar yang menempatkan Adam. Mata besar milik Chempaka dapat menangkap sekujur badan Adam sedang terbaring enak di tilam empuk miliknya. Hati Chempaka berbicara sendiri sama ada mahu mengejutkan Adam atau tidak. Di cekalkan hatinya maju ke depan menghampiri katil Adam.
“ Awak!...awak!...saya dah siapkan sup yang awak minta tadi”. Dengan suara perlahan Chempaka cuba mengejutkan Adam yang sedang tidur dengan begitu lena. Penat sangatkah Adam sehingga tidak menyedari Chempaka mengejutkannya.
Tiada sebarang reaksi dari Adam…sedikit pun panggilan Chempaka tidak meninggalkan kesan padanya. Chempaka masih lagi memanggil-manggil nama Adam walaupun tiada jawapan dari Adam.Chempaka merapatkan dirinya kepada katil yang menjadi tempat peraduan Adam. Chempaka memegang hujung kaki Adam seraya memanggil nama Adam berulang-ulang kali. Apabila Chempaka memegang hujung kaki Adam…Adam terjaga dan alangkah terkejutnya apabila mendapati Chempaka berada di hujung kakinya.
“ Kenapa you ada kat sini, apa you dah buat kat I? Nasib baik I tak terkejut…kalau I tertendang you tadi, macam mana?” Bukan itu yang Chempaka mahukan dari Adam apabila dia bertujuan baik dan yang pastinya dia ikhlas memasak untuk Adam.
“ Awak…saya tak buat apa-apa. Saya cuma…nak kejutkan awak tadi kerana sup yang awak nak saya dah masakkan. Kalau awak nak makan sekarang boleh saya sediakan ”. Terdiam Chempaka seketika kerana tidak menduga yang Adam menganggap dia menceroboh bilik Adam. Beberapa ketika barulah Chempaka dapat menjawab pertanyaan dari Adam.
“ Sekejap lagi I turun makan. Lepas makan nanti I nak minta you tolong massage badan I sikit. Sakit sangat I rasa badan I ni…lepas you picit tadi I rasa lega sangat. Nasib baik cuti esok, tak kerja…kalau tak masalah juga”. Terdengar jawapan dari Adam. Malas mahu melayan kerenah Adam yang macam-macam nanti.
“ O.k…saya tunggu awak kat meja makan. Jangan lambat pula. Saya dah panaskan sup tu…kalau sejuk nanti tak sedap pulak. Saya sediakan sup sayur tu sekarang untuk awak. Saya dah lebihkan sayuran kegemaran awak dalam tu”. Chempaka melangkah dengan laju agar tidak dituduh macam-macam lagi oleh Adam.
Setelah meja makan lengkap dengan hidangan makan malam mereka, Chempaka setia menunggu Adam turun. Seminit, dua minit dan lima belas minit berlalu…Adam masih tidak turun-turun lagi. Chempaka gelisah menunggu Adam. Hendak dipanggil…takut dimarahi sekali lagi. Hidangan di atas meja ditutup dan Chempaka menunggu Adam di ruang tamu sambil menonton televisyen. Terlena Chempaka sambil menanti Adam dengan tv masih terpasang.
Adam terpisat-pisat bangkit dari katil apabila dia merasa perutnya sakit dan pedih. Matanya memandang jam yang di letakkan berhampiran dengan lampu tidur. Terkejut dia apabila mendapati jam telah menunjukkan ke angka dua belas tengah malam. Pantas dia melangkah turun ke tingkat bawah bagi mencari Chempaka, lampu ruang tamu masih terpasang terang benderang di ruang tamu rumah dan masih kedengaran suara televisyen bersiaran. ‘Tak tidur lagi ke budak perempuan ni…kenapa tak dikejutkan aku makan? Bendul betul…susah dapat isteri bendul macam ni…menantu kesayangan mummy konon. Tak de masa aku nak bagi muka dengan budak beringus macam ni…nak jaga suami pun tak tahu’. Rungutan Adam terhenti apabila terpandang Chempaka sedang lena di sofa panjang ruang tamu.
“ Chempaka!!!...bangun!!!...”. Suara Adam yang agak kuat telah mengejutkan Chempaka dari lena. Pucat muka Chempaka akibat terkejut dengan sergahan dari Adam. Terkebil-kebil mata Chempaka memandang Adam yang sedang leka memerhatinya tanpa simpati.
“ Tadi I minta you kejutkan I untuk makan…you sesuka hati aje terbongkang tidur kat bawah ni…sekarang ni, I nak you sediakan makan malam untuk I”. Adam melepaskan kemarahan yang tidak sepatutnya kepada Chempaka.
“ Awak…saya dah siapkan tadi tapi…”. Belum habis Chempaka menjelaskan keadaan yang sebenarnya sekali lagi Adam memerlinya dengan kata-kata yang lebih pedas pada pendengaran Chempaka.
“ You memang tak pernah ikhlas mahu melakukan sesuatu untuk I. kalau you tak mahu buat apa-apa untuk I, tak perlu macam ni…cakap je!!!...”. Angin tak betul Adam telah menguasainya saat ini. Sesuka hati sahaja melontarkan kata-kata tanpa memikirkan hati Chempaka yang pedih terluka.
Chempaka mengheret kakinya menuju ke dapur. Dipanaskan segala makanan yang telah sejuk dan dihidangkan semula. Kalau ikutkan hatinya mahu dia biarkan sahaja Adam kebuluran malam ini. Mahu dijerit nama Adam dari arah dapur tetapi…apabila di fikirkan semula nanti dia takut labelkan isteri biadab oleh Adam.
Adam melangkah ke meja makan dan Chempaka telah menyediakan segala keperluan makan Adam malam ini. Malas melayan Adam, Chempaka mahu melangkah pergi meninggalkan Adam makan sendirian di dapur. Sakit hatinya masih belum hilang dengan cara Adam melayannya sebentar tadi. Dia bukan tidak menunggu Adam untuk makan malam tetapi Adam sendiri yang tidak turun-turun dan kesilapan itu telah di letakkan seratus peratus di bahunya. Hatinya sakit dan tidak dapat menerima kekasaran Adam padanya. Langkahnya diatur menuju ke bilik untuk tidur, biar perutnya pedih akibat masuk angin dia lebih rela dari menerima kata-kata yang bakal keluar dari mulut Adam yang akan memedihkan hatinya berhari-hari.
Adam perasan yang makanan di meja masih belum terusik. Kesian pula dia apabila menyedari Chempaka juga pastinya belum makan. Dia juga tidak jadi untuk makan sebaliknya mendaki anak tangga untuk memanggil Chempaka makan bersamanya.
“ Chempaka, buka pintu ni…”. Ketukan perlahan pada daun pintu bilik Chempaka masih boleh ditangkap oleh telinga Chempaka. ‘ Apahal pulak mamat puting beliung ni nak…tadi bukan main berangin lagi. Marah aku suka-suka hati dia je…’. Chempaka mendiamkan diri dan berpura-pura tidur.
“ Chempaka!... I tahu you tak tidur lagi, baik you bukakkan pintu ni…atau you nak I pecahkan pintu bilik you”. Adam masih menggunakan kaedah ugutan apabila mahukan sesuatu dari Chempaka.
Perlahan Chempaka bangkit dari katil lantas membuka pintu. Adam berdiri betul-betul di hadapannya kini. “ Ada apa awak nak jumpa saya ni…kan dah lewat malam ni, saya ngantuk”. Chempaka bertanya dengan perlahan sahaja kerana dia tahu…tersilap cakap sahaja akan menyebabkan perang mulut boleh meletus antara mereka berdua. Dia sudah tiada daya lagi untuk bergaduh pada waktu-waktu malam begini.
“ Jom turun makan. I nak makan dengan you ni”. Begitu lembut nada suara Adam, Chempaka menggosok-gosok matanya berulang kali. Bermimpikah dia apabila Adam yang garang tadi telah bertukar menjadi begitu baik sekali. Tidak faham dengan perangai Adam yang sering berubah-ubah membuatkan Chempaka hanya memandang sahaja sedari tadi.
“ Come on…mood I tengah baik ni…kalau you nak I makan you…teruskan …jangan pandang I macam ni…kalau jadi apa-apa nanti, jangan salahkan I seorang”. Terkejut dengan kata-kata Adam, Chempaka dengan tindakan refleksnya terus mahu menutup pintu. Dia tidak mahu Adam melaksanakan apa yang dikatakan ke atasnya. Tidak!!!...
Laju tangan Adam menahan pintu bilik Chempaka dari terus tertutup. Sekuat tenaganya Chempaka cuba menolak pintu yang dipegang Adam. Adengan sedemikian menyebabkan Chempaka malas melayan Adam, dilepaskan pintu biliknya terbuka luas.
“ O.k, awak turun dulu, jap lagi saya turun. Saya nak cuci muka dan gosok gigi dulu”. Chempaka beralasan mudah-mudahan akan dipertimbangkan permintaannya.
“ Nope…I akan tunggu you kat sini. Cepat!!!...”. Alasan Chempaka tidak diterima pakai oleh Adam. Lambat-lambat Chempaka menuju ke bilik air dan menyikat rambutnya terlebih dahulu serta merapikan sedikit keadaan pakaiannya. Mata Adam ralit memerhatikan Chempaka. Air liurnya ditelan berkali-kali…‘ Perempuan ini cantik sangat tetapi aku sendiri tak pasti mengapa aku harus menolaknya, sedangkan aku juga begitu menyukainya…bukan sahaja mummy yang menyenanginya, bahkan aku turut merasai perasaan yang sama’.
Langkah Chempaka diikutinya rapat sekali, haruman rambut Chempaka masih sempat ditangkap oleh deria baunya. Dia tidak mahu melayan perasaannya yang tidak menentu saat ini. Kalau ikutkan hati lelakinya, pasti pinggang ramping Chempaka sudah di dalam pelukannya. Dia harus mempertahankan keinginan yang satu itu.
“ Awak nak nasi sekali ke? Kalau nak boleh saya ambilkan”. Walau apa yang terjadi apabila Chempaka berhadapan dengan Adam dia tahu yang dia wajib menunaikan tanggungjawabnya terhadap seorang suami. Bukan mudah dia mahu mendidik diri untuk tidak melawan setiap perbuatan Adam terhadapnya.
“ Sendukkan sedikit nasi untuk I. You tak makan sekali ke? Jom makan…atau…you nak I suapkan”. Tersedak Chempaka apabila mendengar ayat terakhir yang diucapkan Adam. cepat-cepat nasi di masukkan ke pinggan Adam dan dihulurkan kepadanya. Chempaka mengambil sedikit nasi dan mengunyah perlahan-lahan, tidak diangkat mukanya kali ini. Dia mahu Adam tahu yang dia bukan anak-anak kecil yang boleh diherdik sesuka hatinya.
Setelah selesai makan lewat malam itu, Adam masih lagi berada di meja makan memerhatikan Chempaka mengemas dan membasuh pinggan yang telah digunakan. Pelik dengan sikap Adam kali ini, dia meneruskan kerja-kerja dapur yang masih berbaki.
Adam menghampiri Chempaka dan tindakannya yang begitu drastik menyebabkan Chempaka tidak sempat mengelak. Belakang Chempaka dipeluk erat oleh Adam manakala rambut Chempaka diciumnya berkali-kali. Keadaan sedemikian menyebabkan Chempaka menjadi kaku tiada sebarang tindakan. Dibiarkan sahaja Adam memeluknya, dia tiada pilihan selain dari mendiamkan seketika.
Perlakuan Adam tidak berakhir di ruang dapur sahaja. Badan Chempaka dicempungnya dan dibawa ke ruang tamu. Saat ini Chempaka bagaikan terkena renjatan elektrik apabila Adam memulakan serangan yang tidak dijangka-jangka ke atasnya. Dia redha dengan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi ke atasnya. Mereka bukan melakukan perkara yang salah ataupun berdosa…dan Chempaka harus rela andainya Adam meginginkan dia melaksanakan tanggungjawab yang satu itu. Dalam kepasrahannya tetiba dia terasa badannya ditolak keras oleh Adam.
“ Chempaka!..you saja nak seduce I. Apa jenis perempuan you ni? Berani you nak ambil kesempatan kat I . You memang tak layak untuk digandingkan dengan I. You bukan perempuan yang I inginkan”. Adam berdiri dan membetulkan rambut dengan menggunaka hujung-hujung jarinya. Chempaka tidak dapat mencerna kata-kata yang dikeluarkan oleh Adam.
Tangisan Chempaka mula kedengaran. Air matanya mengalir bagaikan empangan pecah. Adam keterlaluan bagi dirinya apabila dia mengatakan yang Chempaka mahu menggodanya. Tidak mungkin Chempaka akan menjatuhkan maruah dirinya sebegitu hina. Teruk sangatkah dirinya apabila diperlakukan sebegitu rendah oleh Adam.
Dalam tangisan yang masih bersisa Chempaka melangkah ke biliknya. Tidak disangka-sangka Adam boleh bertindak sedemikian teruk terhadapnya. Kalau dia tahu begitu kesudahan yang terpaksa dia hadapi malam ini, tidak mungkin dia membiarkan Adam berbuat sesuka hati ke atas dirinya.
Matanya sembab akibat menangis semalaman. Agak lewat Chempaka keluar dari biliknya kerana dia tidak mahu bertembung dengan Adam. Kepedihan yang dirasakan semakin menular andainya dia tidak merawat sendiri luka yang semakin parah.
Kesibukan menyediakan sarapan pagi terganggu apabila mendengar deringan telefonnya. Agak laju Chempaka melangkah kerana mahu mendapatkan telefon yang terletak diatas meja konsul di satu sudut rumah kediaman mereka. Akibat kelam kabut Chempaka terlanggar sesusuk tubuh yang mahu dihindarinya.
Jatuh terduduk Chempaka, dia mengaduh kesakitan. Chempaka menggosok-gosok bahagian pinggangnya yang terhempas. Adam berlalu ke dapur tanpa membantu Chempaka. Terkial-kial Chempaka bangun sendiri, Adam langsung tidak mempedulikan Chempaka yang berada dalam keadaan terduduk akibat kesakitan. Chempaka berusaha untuk berdiri. Adam tidak langsung menoleh ke arahnya, jauh sekali untuk membantu.
Harapannya hancur berkecai apabila dia bertembung dengan Adam di dalam rumah pagi ini, insiden yang tidak dijangka telah menghancur lumatkan perasaannya. Hatinya tidak mahu lagi bersua dengan Adam walaupun dalam mimpi. Dia betul-betul benci dengan lelaki nan seorang itu.
“ Sarapan dah saya sediakan untuk awak kat meja dapur”. Chempaka malas nak bercakap tetapi dipaksakan juga agar cepat-cepat menghabiskan sarapannya dan dia bebas melakukan kerja sendirian. Itu lebih selesa bagi Chempaka apatah lagi apabila mengenangkan peristiwa lewat malam tadi.
Adam makan sendirian tanpa Chempaka menemaninya seperti hari-hari yang telah mereka lalui sebelumnya. Chempaka sengaja menyibukkan diri dengan mengemas rumah dibahagian belakang, membasuh pakaian di bahagian laundry rumahnya dan yang terakhir dia mahu mengemas biliknya sendiri.
Langsung dia tidak mempedulikan Adam. Dia menguatkan hatinya agar tidak mengambil tahu lagi berkaitan dengan Adam. Yang pasti bagi Chempaka, dia mahu menghabiskan latihan kerjayanya terlebih dahulu di Berjaya Padu Holdings dan kemudian dia akan menyusun starategi untuk mendapatkan kebenaran mama, ayah, mummy mertua dan papa mertuanya untuk meneruskan kehidupannya sebagai mahasiswi. Dia tetap mahu tinggal diasrama seperti semester-semester yang lalu.
Lamunannya terganggu apabila mendapat panggilan dari mummy mertuanya. Mereka suami isteri mahu datang ke rumah untuk makan tengahari. Mummy mertuanya mahu dia memasak makanan yang menjadi kegemaran papa mertuanya tengahari ini. Masak lemak ikan senangin dicampur dengan bendi dan belimbing besi. Mana dia mahu mencari semua bahan tersebut kerana hari telah menginjak jam dua belas tengahari.
Mummy sampai awal dari yang sepatutnya kerana dia mahu membantu Chempaka di dapur. Bahan-bahan juga turut disediakan termasuk ikan yang telah dibelinya di pasar tani semalam. Puan Sri Zaida sengaja mahu melawat anak menantunya,dia mahu melihat sendiri kehidupan mereka berdua. Hati tuanya seolah-olah dapat menghidu kepincangan rumah tangga anak menantunya.
Orang gaji keluarganya juga turut diangkut oleh Puan Sri Zaida. Bukan dia mahu menyusahkan Chempaka untuk memasak makanan tengahari mereka tetapi dia sengaja mencipta alasan untuk datang ke rumah anak menantunya. Bukan dia tidak tahu Adam juga tidak suka kedua ibu bapanya datang ke rumah kediamannya secara mengejut…itu semua bukan menjadi masalah kepada Puan Sri Zaida. Suaminya juga dipaksa untuk datang bersantai di rumah Adam, semua agenda yang diatur wajib mendapat sokongan Tan Sri Zaid.
Hari minggu yang amat malang bagi Adam mahupun Chempaka, kedatangan ibu dan bapa mertua ke rumah terpaksa diterima dengan hati yang lapang. Sengketa yang tercetus terpaksa dilupakan buat sementara waktu, memandangkan mereka bukan sahaja berdua pada hari minggu ini tetapi terpaksa menerima tetamu yang sememangnya tidak diundang oleh mereka berdua.
“ Chempaka, mummy dah belikan semua barang untuk kita masak hari ni. Jom!...kita mulakan operasi memasak. Seronoknya mummy bila dapat masak dengan menantu kesayangan mummy sesekali macam ni. Makan ramai-ramai nanti lagi mummy suka. Papa dah tak sabar-sabar nak makan masakan Chempaka, kita masak sedap-sedap hari ni”.
Tan Sri Zaid sedang rancak bersembang dengan anak tunggalnya. Sesekali kedengaran ketawa dari mereka berdua. Entah apa yang menarik sangat sehingga ketawa mereka dapat didengari hingga ke dapur.
“ Chempaka hantarkan minuman sejuk ni dulu untuk papa dan abang Adam kat sana jap, untuk mummy dan makcik Mariam dah ada kat meja ni…kalau mummy nak join dia orang pun boleh. Jom…”. Pelawaan Chempaka tidak ditolak oleh Puan Sri Zaida. Langkah Chempaka diekorinya.
“ Yam, kita orang minum kat depan…nak sembang dengan anak menantu je hari ni. Jangan lupa masukkan belimbing buluh kat dalam masak lemak cili padi, Tan Sri suka sangat tu…Adam pun suka masak lemak cili padi. Yang lain tu, masak macam biasa le”. Bagaikan jeneral askar memberi arahan lagaknya Puan Sri Zaida memberi peringatan kepada pembaumntu rumahnya.
Sedikit kuih yang dibawa oleh ibu mertuanya juga turut dihidangkan bersama. Chempaka mahu terus ke dapur bagi membantu Makcik Mariam menyediakan makan tengahari mereka pada hari ini.
“ Chempaka tak payah nak sibuk-sibuk kat dapur, makcik Yam tahu nak buat apa. Kami datang ni nak bersembang dengan anak menantu kami, bukan senang nak dapat peluang macam hari ni. Papa kamu ni sibuk memanjang, sampai dah tak ingat kat mummy lagi sekarang. Adam pun bukan tahu nak bawa Chempaka jumpa mummy kat rumah kalau hujung minggu. Mummy ni dah tua, dah mula terasa sunyi kat rumah tu. Sesekali nak juga bersembang dengan anak dan menantu”. Chempaka hanya memandang mummy mertuanya dengan senyuman sahaja. Tidak berani dia mahu menyampuk perbualan kerana takut tersalah cakap. Kesan dari kesilapan itu akan di terimanya nanti. Terlintas di benaknya untuk meminta diri tetapi memandangkan Puan Sri Zaida baru sahaja menggingatkan mereka tentang tujuan kedatangannya kerumah kediaman mereka, tidak jadi Chempaka untuk mencari alasan.
“ Ni, ha…Adam…Chempaka…mummy nak kamu berdua jangan nak sorok apa-apa dari mummy atau papa. Lepas je…Chempaka habis belajar, kami nak adakan majlis untuk kau orang berdua. Jangan kata tak nak pulak. Semua kawan-kawan mummy dan papa nak tengok menantu kami. Mummy pun dah tak sabar-sabar nak adakan majlis gilang gemilang untuk meraikan menantu kesayangan mummy ni”. Meleret senyuman mummy pada Chempaka dan raut wajah Adam juga turut dipandangnya sekilas bagi mencari reaksi dari sang anak.
“ Mummy ni saja je…bagi le Chempaka chance dulu untuk dia tenang masa final year ni. Adam tak kisah kalau dia nak adakan majlis tu…sekarang pun boleh!...yang bermasalah menantu kesayangan mummy ni, macam-macam dia punya masalah”. Kata-kata Adam merenggut tangkai hati Chempaak. Senangnya seorang lelaki yang bernama Adam Hasif ini meletakkan segala kesalahan diatas bahunya. Beban yang terpaksa ditanggungnya semakin bertambah dan Adam begitu tega meletakkan semua permasalahan kepadanya. Tak tertelan air liurnya dirasakan pada saat mendengar kata-kata yang dituturkan Adam. Pedih hatinya dengan kejadian malam tadi masih belum habis dan hari ini Adam menambahkan pedih hatinya dengan siraman air garam pada lukanya.
“ Mummy, Chempaka minta maaf sangat-sangat kerana terpaksa menghampakan mummy buat sementara waktu. Chempaka kena memberikan tumpuan lebih terhadap pelajaran terutamanya semester depan kerana ia adalah penentu Chempaka”. Tidak berani Chempaka memandang wajah-wajah yang berada dihadapannya kini. Puan Sri Zaida seolah-olah memahami gelodak rasa yang ditanggung oleh Chempaka lantas bagi menenangkan perasaan anak menantu nan seorang ini dia memaut bahu Chempaka dan memeluknya erat. Tan Sri Zaid hanya memerhatikan sahaja perlakuan isterinya terhadap menantu kesayangan mereka. Adam masih membeku dan tidak menunjukkan sebarang reaksi yang boleh membuat Chempaka rasa damai.
“ Tak pe, Chempaka jangan bimbang…mummy dangan papa tak pernah mendesak Cuma…mummy mahu semua orang tahu yang mummy dah pun mempunyai menantu yang cantik manis ni dan tak lama lagi kita orang akan menimang cucu. Mummy rasa papa pun setuju dengan mummy kan?”. Sengaja Puan Sri Zaida cuba menarik perhatian suaminya dalam perbualan mereka. Dia juga tidak mahu menambahkan rasa serba salah pada diri Chempaka.
Bermacam-macam cerita meraka bualkan terutamanya berkaitan dengan syarikat kepunyaan keluarga Adam. Puan Sri Zaida tidak mahu Chempaka lebih tertekan dengan permintaannya. Sayangnya kepada Chempaka tidak dapat dinilaikan. Andai kata dia memiliki anak perempuan, dia membayangkan anaknya akan sebaik dan sesopan menantunya ini. Terasa Chempaka seumpama anaknya jua. Tidak sedikit pun ada rasa kecewanya apabila Adam terpaksa menikahi Chempaka walau dengan cara yang tidak diingininya, malahan dia dan suaminya begitu bersyukur dengan anugerah Allah ini.
“ Mummy…biar Chempaka tengok Makcik Yam kat dapur jap, nak tolong apa yang patut je”. Dengan penuh budi bahasa Chempaka meminta diri kerana dia tidak mahu dituduh berlaku kurang ajar oleh ibu dan bapa mertuanya. Langkah Chempaka diperhatikan oleh ketiga-tiga beranak tersebut. Lenggang lenggoknya diatur dengan penuh sopan, pasti sesiapa yang memandang akan terpaut.
“ Dam…mummy tengok kamu macam ada masalah je dengan Chempaka. Mummy nak ingatkan kamu, jangan sesekali menyakiti hati dan perasaan Chempaka. Kalau mummy dapat tahu, siap kamu!!!...”. Amaran mummynya membuatkan hati Adam terasa sedikit gerun.
“ Ala mummy ni…sape sebenarnya anak mummy ni… Adam ke Chempaka? Mummy asyik nak lebihkan Chempaka je…mana aci. Papa mesti belah Adam. mana boleh dua-dua dah terkena penangan menantu kesayangan ni. Amacam papa? Papa mesti dengan Adam”. Tergelak kedua-duanya dengan cara Adam meraih undi dari mereka.
“ Papa tak campur dalam bab-bab macam ni…yang papa tahu sape yang buat hal dia yang kena tanggung. Papa tak akan berat sebelah…anak atau menantu tetap sama. Sape-sape yang salah dia kena terima akibatnya. Ingat tu!...”. Terlopong Adam mendengar pendirian papanya kali ini. Ini semua gara-gara Chepaka. Selama ini papa akan menyebelahinya dalam apa perkara yang berkaitan dengannya. Terpukul dia dengan kata-kata dari papanya tadi. Andai kata terjadi apa-apa terhadap Chempaka nanti sudah semestinya dirinya akan dipersalahkan oleh seluruh ahli keluarga mereka.
Share this novel