Kicauan burung dan angin sepoi-sepoi bahasa begitu mendamaikan jiwa. Chempaka tenggelam seketika dengan keasyikan pemandangan kampung halamannya ini. Alunan gemersik daun-daun padi bertingkah dengan suara nyanyian burung-burung yang terbang riang di sawah sambil sesekali terbang rendah mencari mangsa. Damai dan tenang bercambah di hati nya kala ini. Tiada gangguan yang boleh menggugah ketenangannya disaat ini.
Sudah seminggu Chempaka menikmati hidup yang amat menggembirakannya dan tak sekalipun dia menelefon Adam. Baginya Adam tidak perlu ada bersamanya setelah dia sendiri lelah dalam pencarian matlamat hidup yang makin kelam. Bagi Chempaka, dia tak perlu memburu perhatian atau menagih sebarang pengertian dari Adam andainya itu yang mampu memberikan makna pada ikatan yang telah tejalin antara mereka.
Perkhabaran mama tentang Adam padanya tidak membawa apa-apa erti. Adam bukan tidak mempunyai nombor telefonnya kalau benar dia mahu tahu perkembangan diri Chempaka. Sebagai seorang insan yang telah terikat dengan sebuah perkahwinan hatta satu perkahwinan yang bukan berlandaskan rasa cinta, Chempaka masih menyimpan harapan untuk menyemai kasih di ladang hatinya.
Chempaka perlu balik awal ke Kuala Lumpur memandangkan latihan kerjayanya akan bermula dua minggu lagi. Rumah sewa perlu dicari bagi memudahkan dirinya berulang alik ke tempat kerja sepanjang enam bulan nanti. Mummy mertuanya telah dimaklumkan tentang kepulangannya ke sana. Hanya tinggal seminggu sahaja lagi untuk dia menghabiskan sisa-sisa cuti bersama mama dan ayah. Hadif seperti biasa sibuk dengan aktiviti hariannya.
“ Chempaka!...” lamunanku terganggu apabila mama memanggil aku. Spontan aku menoleh ke arah mama. “ Ya…ada apa mama?”. Soal ku ringkas.
“ Tadi mak mertua kamu ada telefon mama, katanya dia menelefon kamu tapi tak berjawab. Itu yang dia call mama. Dia minta mama sampaikan kat Chempaka. Minggu depan Adam datang sini, ambil Chempaka. Tak payah along atau angah yang hantar. Senang hati mama, bila Adam sendiri yang nak ambil Chempaka.” Seronok mama bercerita pada ku tentang menantu lelakinya yang satu ini.
“ Chempaka ikut sahaja apa yang baik untuk Chempaka, mama. Cuma,…Chempaka rasa rumah sewa tu kena cari juga. Siapa yang nak hantar Chempaka ke tempat kerja nanti. Chempaka tak nak menyusahkan Adam atau mummy…dan yang penting Chempaka tak nak susahkan diri Chempaka nanti. Tak nak Chempaka terkejar-kejar ke tempat kerja.” Chempaka terpaksa berterus terang dengan mamanya.
“ Mama nak ingatkan kamu, sekarang semua keputusan kamu mestilah dirunding dulu dengan suami kamu, Si Adam tu. Kalau dia setuju, mama tak kisah kamu nak duduk sendiri, jangan buat perangai macam masih tak ada suami.” Nasihat bercampur dengan sindiran oleh mama menusuk terus ke lubuk hati aku. Ini yang leceh nie…
‘ Aku memang isteri kepada Adam Hasif sejak sepuluh hari yang lalu. Aku memang ada suami tapi masih dara.’ Aku rasa Adam juga merasakan benda yang sama sebagaimana yang aku rasa. Beristeri tetapi masih bujang. Macam mana perkara ini nak dijelaskan kepada keluarga masing-masing. Kami tak mungkin bersama seperti pasangan-pasangan lain. Adam terpaksa kerana keadaan, ditambah dengan asakan dari mummy dan papanya. Aku pula tidak diberikan pilihan untuk membuat keputusan kerana menjaga maruah keluarga. Pening kepala aku apabila difikirkan kembali. Adam Hasif dan Chempaka Maisara…
Telefon bimbit aku bedering nyaring. Sengaja aku meletakkan nada dering yang lebih kuat agar aku senang mendengarnya. Di kampung aku tak kisah. Aku akan lakukan apa sahaja yang aku suka, tiada siapa yang boleh menghalang kecuali ayah dan mama. Deringan telefon aku biarkan sahaja. Sekali lagi telefon aku berbunyi dan aku rasa terganggu lantas secepat kilat aku menjawab pangilan tersebut. Nombor yang tidak ku kenali.
Salam ku hulurkan terlebih dahulu. Terkejut beruk aku dibuatnya apabila mendengar suara yang tak ingin ku dengar buat sementara waktu menjawab salam dariku. Apa lagi yang mamat ni nak dariku. Tanpa angin, tanpa ribut tetiba dia call aku, naik hairan aku dibuatnya. Jangan nak ngorat aku pula sudah. Terlebih perasan la pulak…
“ Chempaka!...minggu depan hari isnin I akan jemput you. I tak mahu lambat kerana I ada banyak urusan lain lagi. Mummy yang paksa I ambil you kat sana. Kalau ikutkan hati I, tak mahu I menyusahkan diri untuk jemput you. Jangan nak ngada-ngada. I tak nak tunggu lama sangat kat sana, faham tak???...”Rupa- rupanya itu tujuan Adam menelefon aku. Semata-mata nak sampaikan berita yang memang dah aku tahu dan aku tak nak tahu…dijemput olehnya.
“ O.k…saya faham. Bye…” talian telefon ku putuskan.
Begitu cepat masa berlalu ku rasakan. Hari demi hari yang ku lalui bersama keluarga adalah detik yang paling indah buat aku kenang nanti kiranya masa tidak memberikan ku peluang dan ruang untuk selalu berada bersama mereka selepas ini.
Petang itu cuaca sangat baik. Damai ku rasakan apabila berada dipangkin buatan ayah sambil minum petang bersama mama. Kata mama, bila tiba masnya nanti dia akan mengadakan kenduri bagi meraikan perkahwinan aku. Indah sungguh perancangan mama untuk anak perempuan tunggalnya. Bagi mama upacara gilang –gemilang mesti dibuat sempena perkahwinan aku. Sedih hatiku apabila mengenangkan yang impian mama mungkin tinggal impian sahaja.
Adam mungkin tidak memerlukan aku sebagai isterinya untuk hari ini, hari esok mahupun hari-hari mendatang. Kehadiranku dalam ruang hidupnya adalah satu mimpi buruk yang ingin dihapuskan dan tidak perlu dikenang. Aku harus menerima hakikat yang aku adalah isteri yang tidak diperlukan. Titik. Adam tidak pernah memperkatakan apa-apa lagi berkaitan dengan perkahwinan yang tidak pernah dirancangkan ini. Aku mengerti dan terlalu memahami perasaannya terhadapku. Mengundur diri dari hidupnya adalah jalan terbaik untuk kami berdua. Selepas ini aku akan bincangkan perkara ini berdua. Sepahit mana pun kenyataan ini, aku harus menerimanya dengan hati yang redha. Aku pasrah…
“ Chempaka…mama nak Chempaka tahu, hidup berumah tangga umpama menongkah gelombang. Adakalanya ombak ganas akan memukul kita dan ada masanya ribut taufan yang datang membadai. Kita harus pandai mengemudinya agar kita tidak lemas dan terus tenggelam. Sebagai seorang ibu, mama mahu anak mama berjaya dalam hidup yang ditempuhi.” Nasihat dari Puan Hanum begitu bermakna dan mendalam maksudnya.
“ Mama pun tahu bagaimana cara Chempaka dikahwinkan. Chempaka takut untuk menghadapinya. Takut sangat, mama…takut kiranya Chempaka gagal. Gagal…kerana Chempaka belum bersedia untuk semua ini”. Menangis lagi dan lagi.
Hati ibu mana yang sanggup melihat puteri kesayangannya berladung dalam kesedihan yang tidak berkesudahan. Mahu dihapuskan kedukaan pada hati Chempaka tetapi dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya. Hanya doa yang tidak pernah putus dipohonkan agar diberi kebahagiaan buat satu-satu anak perempuannya.
“ Kita harus menerima semua kejadian dengan hati yang lebih terbuka. Andainya satu masa nanti terjadi juga sesuatu yang tidak kita ingini antara Chempaka dan Adam, mama akan tetap menyokong Chempaka. Percayalah…selagi nyawa mama dikandung badan mama akan menyayangi Chempaka sepenuh hati mama.” Terkesima Chempaka mendengar luahan hati mama. Selama ini mama merupakan seorang ibu yang tegas, mungkin terbawa-bawa dengan sikapnya ketika mendepani pelajar-pelajarnya dulu. Tugasnya sebagai seorang guru suatu masa dulu membentuk keperibadiannya sedemikian.
“ Terima kasih,…mama”. Chempaka memeluk Puan Hanum dengan erat. Tangisan dihamburkan sepuas-puasnya. Lega hatinya setalah melepaskan perasaan yang terpendam selama ini. Mama sememangnya seorang ibu yang baik. Tersangat baik bagi seorang anak. Bersemangat Chempaka untuk mengharungi hidupnya nanti. Dia tahu dia tidak bersendirian dalam menghadapi sebarang masalah mendatang.
Barang-barang yang hendak dibawa bersamanya telah siap dimasukkan ke dalam beg. Chempaka risau kalau ada dokumen yang penting tertinggal dan akan menimbulkan masalah padanya nanti. Mendepani Adam juga bukan perkara yang mudah untuk diselesaikan. Dia tidak mahu kerana kecuaiannya nanti akan menambahkan lagi masalah yang telah sedia wujud. Sikap Adam bukannya senang untuk diramalkan oleh dirinya. Adam…memeningkan kepalanya.
Mummy dan papa mertuanya memang orang yang baik dan begitu mudah untuk difahami. Bagaimana makcik Mariam boleh mengelaskan Adam sebagai orang yang baik hati. Payah untuk Chempaka menerima kata-katanya. Kata makcik Mariam, Chempaka bertuah kerana mendapat suami seperti Adam. Dimana tuahnya pun tidak diketahui.
Setibanya Adam lewat pagi itu telah disambut oleh ayah dan mama. Aku tidak menghiraukannya kerana masih sibuk mengemas mana-mana barang yang tertinggal dan aku rasakan penting untuk dibawa. Peringatan dan amaran Adam lewat telefon dulu masih segar diingatanku.
Aku terpaksa merelakan diri menghampirinya dan menyalami tangannya. Ayah dan mama leka memerhatikan perlakuan kami berdua. Masing-masing tidak terkata apa-apa, hanya pandangan mata sahaja yang menjadi bukti bahawa mereka tahu keadaan kami berdua.
“ Ayah, saya kat sini sekejap sahaja. Tak bermalam kat sini kerana esok ada kerja penting yang terpaksa diuruskan. Sekejap lagi dah nak bertolak balik ke Kuala Lumpur”. Adam memberitahu kedua-dua ibu bapaku. Aku sudah sedia maklum kerana Adam telah menyatakannya kepadaku lewat telefon hari tu.
“ Oh!...macam tu. Nak buat macam mana kalau dah Adam ada kerja penting esok. Makan tengahari kat sini dulu. Lepas makan baru balik. Ipoh ke Kuala Lumpur bukannya jauh sangat. Tak kan tak sempat makan dulu, berehat sekejap kat bilik Chempaka pun boleh. Tak ada la penat sangat nak memandu nanti”. Panjang lebar nasihat ayah sebagai orang tua.
Terangguk-angguk kepala Adam bersetuju dengan pendapat ayah. Ayah memanggil ku untuk membawa Adam masuk ke bilik. Adam mengekori aku dari belekang.
“ Rehat aje kat bilik ni. Katil saya tu buruk aje tapi…jangan risau bersih dari kotoran dan dijamin tak memudaratkan kulit awak tu…buktinya, tengok kulit saya nie…tak berkudis dan berkurap pun”. Sindiran Chempaka membuatkan tahap kemarahan Adam sampai ke kemucaknya.
Pintu bilik Chempaka ditutup dan dikunci oleh Adam. Chempaka perasan dengan perbuatan Adam tetapi dia buat-buat tidak nampak sahaja. Masih menyibukkan diri mengemas beg-begnya. Adam menghampiri Chempaka…terkejut Chempaka dengan perlakuan Adam.
“ Eh…kenapa dengan awak ni?. Nak apa?...jangan datang dekat dengan saya, nanti saya jerit tau!....” perasaan takut telah mula menguasai Chempaka.
“ Tadi you yang cakap nak suruh I lihat buktinya kat kulit you kan? Bak sini…I nak lihat sekarang juga, lepas tu baru I baring kat katil you tu. Kalau you nak jerit, jerit la…I tak kisah pun”. dengan sengihan yang menakutkan Chempaka, Adam semakin mendekat.
Chempaka mengundur kebelakang tetapi Adam semakin menghampiri dan semakin hampir. Suara Chempaka tidak terkeluar untuk menjerit sebaliknya terdiam terus. Adam memegang tepi kain Chempaka seolah-olah hendak merentapnya tetapi,… sebaliknya dia ketawa berdekah-dekah melihat kekalutan dan ketakutan Chempaka. Chempaka membuka matanya yang telah terpejam dan alangkah geramnya dia apabila dia tahu Adam sengaja mempermainkannya.
Selesai menunaikan solat zohor dan makan tengahari, Adam meminta diri untuk bergerak balik ke Kuala Lumpur. Sebal hati Chempaka dengan perbuatan Adam masih belum hilang. Dia sengaja melengah-lengahkan masa agar mereka boleh berlama-lama di rumahnya. Barang-barang yang hendak dibawa oleh Chempaka telah siap di masukkan ke bahagian belakang kereta.
Seminggu sahaja masa yang Chempaka ada untuk menyelesaikan masalah tempat kediaman sementaranya. Jarak tempat kerja dengan rumah mestilah dekat agar tidak menyusahkannya kelak.
Lamunannya terganggu apabila mama mencuit bahunya. “ tak baik termenung panjang apabila nak berjalan jauh. Jangan dok fikir yang bukan-bukan. Tu…Adam dah lama tunggu untuk bergerak. Apabila dah sampai nanti, jangan lupa telefon mama.”
Selesai bersalam dengan kedua-dua orang tuanya, tangisan yang tersembunyi terus kedengaran. Berpisah kali ini begitu berbeza dengan perpisahan yang pernah dia lalui sebelum ini. Sedih dan pilu menguasai hatinya.
Mama menghantarku sehingga aku masuk ke dalam kereta kesayangan Adam. Mama juga masih sempat memberikan pesanan kepada Adam agar memandu dengan berhati-hati. Ayah hanya menjadi pemerhati sahaja, begitulah ayahku.
Sepanjang perjalanan aku masih bersedih, kesepian melanda perjalanan kami. Adam menyepikan diri dan aku terus larut dengan kesedihan yang panjang.
“ Macam budak-budak la you ni, setiap kali berpisah dengan your parents you mesti nangis ke?. Tak faham betul dengan sikap you ni…dah naik bingit dah telinga I ni, dari tadi sampai sekarang masih dengar suara menangis tu. Banjir dalam kereta I ni macam mana”. Adam mula menyindir Chempaka. Chempaka hanya menjeling geram ke arah Adam.
Setelah hampir tiga jam perjalanan mereka telah memasuki tol Jalan Duta, ini bermakna sekejap lagi mereka akan sampai ke rumah agam milik Tan Sri Zaid. “ Awak!...nanti boleh tak awak tolong saya sikit”. Chempaka memohon ehsan dari Adam.
“ Nak minta tolong apa dari i? Kalau tak menyusahkan i…i akan tolong you. Cakap ajelah…” merengus kasar Adam dengan permintaan Chempaka. “ Saya nak minta awak tolong carikan rumah untuk saya sewa nanti. Boleh la…boleh la, ya!!!.”
“ Mana boleh…you ingat mummy dengan papa akan benarkan you tinggal kat rumah sewa. You mesti kena duduk dengan dia orang atau tinggal dengan i. mana-mana boleh…kalau you tinggal dengan my parents…bererti i kena duduk kat sana juga. Kalau you ikut i, kita bebas…boleh duduk bilik masing-masing.” Adam memasang strategi.
“ Awak…boleh tak kalau kita kata kat mummy yang saya ikut awak tetapi awak carikan saya rumah sewa yang berhampiran dengan rumah awak”. Chempaka membuat perancangan yang klebih idea bagi dirinya dan Adam.
Adam mengia-iakan pendapat Chempaka. Hari ini yang pentingnya mesti jumpa mummy dulu. Dengar syarahan mummy dan baru boleh membuat keputusan. Mana-mana pun boleh, asalkan jangan tinggal dalam rumah mummy sahaja. Malang bagi kami berdua kalau mummy yang bakal membuat keputusan. Adam pasti kebijaksanaanyan akan diuji sebentar lagi ataupun dalam minggu ini.
Setibanya di rumah besar milik keluarga Adam, aku disambut mesra oleh mummy mertuaku dan juga makcik Mariam. Kami berpelukan seketika dan Adam memerhatikan perbuatan mummynya pada Chempaka. Dari pemerhatian mata kasar Adam, mummynya terlalu sayang pada menantunya nan seorang ini. Begitu juga papa, terlalu mengambil berat pada Chempaka.
“ Mummy,…hari ni Adam nak balik rumah Adam. Banyak dokumen yang perlu Adam siapkan. Semua fail-fail tu, ada kat rumah sana. Esok Adam kena present pada client Adam. Chempaka ni…Adam tak kisah kalau nak tinggal kat sini atau nak ikut Adam balik. Adam betul-betul kena siapklan kerja tu”. Aku tidak pasti itu satu alasan bagi Adam atau dia betul-betul mahu menyiapkan tugasannya. Aku jadi keliru sekarang sama ada aku di perlukan atau tidak di sini.
“ Eh!...bukan ke Adam dan Chempaka baru aje sampai rumah mummy ni. Berehat dulu, kejap lagi kalau Adam nak balik pun balik le…kalau dah ada kerja penting sangat, mummy nak cakap apa lagi. Kalau nak halang Adam bukan boleh pun”. mendatar sahaja kata-kata dari mummynya. Ada nada rajuk dalam suara Puan Sri Zaida.
Aku diam sahaja. Terasa benar diri tidak diperlukan di sini. Aku mahu selepas ini aku bebas bertindak dengan jalanku sendiri. Adam mesti tahu apa yang terjadi adalah bukan kehendakku mahupun kerelaanku. Biar apapun yang terjadi aku mesti mencari rumah sewa tanpa pengetahuan mummy, papa, ayah dan mama. Perancangan yang teliti antara aku dan Adam mesti dilaksanakan.
Mummy meminta aku mengikut Adam esok sahaja. Adam diminta oleh mummynya untuk mengambil aku selepas waktu pejabat. Katanya masih ada banyak perkara yang hendak dibincangkan dengan aku. Aku pun tidak kisah, aku tahu adam lebih suka sekiranya aku tinggal dengan mummynya.
Selesai minum petang, Adam membelah jalan raya menuju ke rumahnya. Tidak dihiraukan pandangan mata mummynya sebentar tadi. Beg-beg kepunyaan Chempaka masih berada di dalam keretanya. Hanya beg baju kecil sahaja yang diambil oleh Chempaka. Tidak ada apa yang mahu dilakukan oleh Adam. Semua alasan itu hanyalah rekaan Adam semata-mata bagi mengelakkan dirinya daripada terus berada di rumah Tan Sri Zaid.
Berada bersama Chempaka seolah-olah mendera perasaannya. Bukan mudah untunya menerima sebuah perkahwinan tanpa ada sekelumit rasa cinta. Bertahan hanya kerana memikirkan maruah keluarga. Sampai bila semua ini akan berakhir. Bentuk bagaimanakah yang hendak dia corakkan pada perkahwinan tanpa roh ini. Wajarkah dia mendera perasaan dan hati Chempaka malahan secara tidak langsung hatinya sendiri terbakar renting.
Mampukah pertalian antara dia dan Chempaka berterusan andainya tiada aliran yang sama antara mereka. Bukankah dia sendiri masih mencari-cari seseorang untuk mengisi ruang yang tersedia kosong seteleh sekian lama tidak dihuni. Kalau benar Chempaka adalah jodohnya yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa, apakah dayanya untuk menolak.
Chempaka, terlalu unik untuk dinilai oleh seorang lelaki sepertinya. Terlalu naïf untuk dikhianati oleh insan sepertinya. Semuanya lengkap sebagai wanita pendampingnya atau…dia yang tidak tahu menilai erti sebenarnya seorang perempuan. Untuk dibandingkan dengan Marissa terlalu jauh Chempaka ketinggalan. Chempaka seolah-olah terlalu jauh ketinggalan dari dunia moden yang penuh dengan muslihat.
Bagaimanakah corak perhubungan mereka seandainya Chempaka terus kekal menjadi teman yang halal untuknya menuju destinasi sebuah penghidupan. Berwajah menarik, berkulit putih bersih, tingkah laku yang sopan dan bijak memikat perhatian mummy dan papanya. Kekurangannya adalah tidak pandai memikat hai lelakinya sahaja. Apabila bersama Chempaka seumpama berada bersama patung cendana sahaja. Jarang bereaksi terhadap dirinya.
Untuk memutuskan perhubungan ini adalah perkara yang agak mustahil. Mummy tidak mungkin dapat menerima begitu juga dengan papa. Aku mesti membincangkan perkara ini dengan Chempaka dari hati ke hati. Chempaka boleh mengambil masa sebanyak mana yang dia mahu…aku mahu dia berfikir dengan lebih matang agar tidak lagi menyakitkan kami berdua.
Esok aku akan pergi ke rumah mummy dan akan mengambil Chempaka untuk datang ke rumah aku. Aku akan pastikan perkara yang baik-baik sahaja akan berlaku antara kami. Kami akan membincangkan perkara ini dengan hati yang lebih terbuka.
Share this novel